Pages

Sunday, May 24, 2009

Amalina, dalam ‘ketupat’ ada cinta



Itulah yang Faisal Tehrani tuliskan di halaman pertama novel Ketupat Cinta bersama tanda tangan beliau semasa di gerai Ameen Publishing di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini. Jujurnya, novel ini bukan pilihan utama untuk dibeli tapi kerana novel Saasatul Ibad telah habis dijual dan hati saya jadi begitu tak keruan melihat Faisal yang sedia menanti peminatnya untuk menurunkan tanda tangan. Saya beli jua.



Setelah sedikit kecewa dengan Tunggu Teduh Dulu yang sememangnya novelyang telah sekian lama ingin saya tatapi. Hati saya terubat dengan nukilan segar penulis dalam Ketupat Cinta. Sungguh, seperti berbezanya dua novel ini seperti langit dan bumi kerana satunya berkisar kisah zaman sekarang dan satu lagi adalah hikayat zaman lampau. Ia ternyata banyak persamaan, selain ditulis penulis yang sama, kedua-duanya ditulis bersiri dalam Utusan Malaysia. Ya, biar wadah dan mediumnya serupa, ia sama sekali jauh berbeza.



Bagi saya, Ketupat Cinta seperti Manikam Kalbu yang menyentuh lembut jiwa dan kalbu saya dengan kisah yang indah tanpa terang-terangan mengait kisah cinta lelaki perempuan yang begitu klise sebagai tema popular novel. Indah lagi ia kisah sejarah, satu berkisar tentang pakaian dan satu lagi berkisar tentang makanan. Seumpama membaca sejarah baru seperti 1515, Ketupat Cinta turut memberi dimensi baru sudut pandangan sejarah Melaka. Entah mengapa saya sama sekali terpesona dengan tiap bab dalam novel ini, selain mempelajari resepi masakan melayu, serasa setiap bab punya cerita sendiri seakan drama siri hollywood seperti Prison Breaks. Setiap episod, ada debar yang menanti.



Seperti menambah perisa dalam juadah supaya enak dan sesuai diterima tekak, begitu juga penulis mengisar dan menggaul humor-humor yang rapat dengan isu politik semasa ketika novel ini ditulis begitu mencuit perasaan. Sungguh, peribahasa pena itu lebih tajam dari mata pedang ada benarnya, jenaka yang penuh sindiran itu jelas dan terang untuk difahami dan untuk kita tergelak di dalam hati sambil menggeleng-geleng sendiri betapa pemimpin kita seakan bermain wayang di pentas politik hingga boleh diterjemahkan dalam bahasa seni oleh penulis lantas menjadi penglipurlara sekalian rakyat pula.




Sungguh Ketupat Cinta novel siasah yang penuh kontroversi, ya, saya masih ingat kritikan bekas mufti Perli, Dr. Asri Zainal Abidin semasa novel ini diterbitkan bersiri dalam Utusan Malaysia mengenai kecenderungan penulis terhadap fahaman syiah. Ya, jelas sekali isu ini dibangkitkan berikutan novel ini jelas-jelas mengagung-agungkan ahlul bait (keluarga nabi). Sungguh golongan syiah adalah golongan yang sangat mengangkat-angkat ahlul bait. Saya sendiri sukar untuk memberi komentar bagi isu ini. Bagi saya khilaf itu telah ada lama dulu sejak Nabi sallallahu alaihi wassallam masih hidup. Malah ada hadis yang mengatakan betapa umat Islam itu akan berpecah-pecah kepada banyaknya kumpulan dan hanya satu yang akan terselamat iaitu yang mengikut Al-Quran dan Sunnah. Masing-masing ada hujah-hujah naqli yang sahih. Bagi saya perselisihan begini ada hikmahnya, ia memberi ruang kepada rakyat marhaen untuk turut serta mengerti dan menilai. Secara tak langsung kita akan ambil tahu dan mendapat ilmu juga. Apa yag pasti saya berdoa agar saya berada dalam golongan yang selamat itu.



Apa lagi ya untuk dibabadkan di sini? Oh ya, Ketupat Cinta ini musim pertama, serasa saya masih ada dua musim lagi. Pastinya saya tak sabar menanti kemunculannya. Oh ya, sebelum saya terlupa, unik sekali biarpun berjudul Ketupat Cinta, saya masih belum bertemu muka jalan cerita berkisah tentang ketupat, barangkali di musim kedua atau ketiga. Akhir sekali saya berikan empat bintang bagi novel ini. Bagi saya inilah novel yang wajar ditatap generasi muda hari ini. Ah, barangkali yang tua juga! Tiada salah mencari bahan bacaan ringan dan hiburan mudah yang menyeronokkan, tapi perlu juga akal itu diberi santapan agar ia tidak kebuluran lantas merajuk untuk terus berfungsi. Akhir kata, selamat membaca dan jika ada sebarang bahan bacaan yang menarik untuk dikongsi bersama, silakan seperti novel Suzana yang dicadangkan. Saya masih belum mendengar tentang judul itu, sungguh, jika ada peluang akan saya tatap jua!




0 comments: