Pages

Sunday, May 31, 2009

Sebuah kenangan..



Saya sendiri tidak pasti apa puncanya. Rasa resah, terluka, lemas, bingung dan berjauh hati. Segalanya bercampur dan membuncah dalam diri. Hari itu saya keluar sendiri. Entah bagaimana caranya, saya sendiri terlupa. Apa yang masih berlegar dalam kenangan, saya sudah ada di pusat membeli-belah Midvalley. Sendiri. Benarlah, ada kejadian-kejadian yang bisa begitu mudah terpadam dari memori namun tidak pada rasa.


Saya berasa begitu berani untuk kali pertama menyendiri di tengah kesibukan pusat membeli-belah yang besar itu. Saya sendiri ragu adakah benar saya bertindak begini, sedang ada tanggungjawab yang menanti saya mendepaninya. Seakan saya sengaja melarikan diri. Entah pada masalah, entah pada tanggungjawab. Seakan saya begitu pengecut untuk melaluinya. Lantas saya beraksi berani untuk bersendiri.


Saya melangkah ragu ke arah kaunter. Membeli tiket untuk menonton. Melangkah longlai dalam getar gementar. Ini kali ketiga saya menonton. Tapi pertama kali sendirian. Entah benar tindakan ini, saya sendiri terus ragu. Lucunya, saya tersilap panggung. Ah, entah kalut membaca nombor 6 terbalik. Tebal juga muka ditegur pekerja yang memeriksa. Sekali lagi saya ragu.


Seakan tidak ramai yang datang menonton waktu itu. Saya mencari tempat duduk. Saya ragu sekali lagi. Di sebelah saya ada seorang lelaki. Adakah patut saya duduk juga di situ atau duduk di mana-mana tempat kosong lainnya. Namun bimbang di hati andai ada yang dihuni. Sekali lagi ragu. Namun, saya duduk juga di situ. Sekali lagi berpura-pura selamba. Seakan begitu berani. Namun, resahnya Tuhan saja yang tahu.


Saya langsung tidak mempedulikan lelaki itu. Tayangan dimulakan. Saya terlalu menghayati. Sungguh, seakan hilang segala ragu menonton cerita yang begitu indah. Saya benar-benar menikmati tiap adegan dan babak yang berlangsung di atas layar besar itu. Dalam hati saya seakan berharap cerita itu tak mungkin berakhir.


Tiba-tiba tayangan terhenti. Layar itu gelap tiba-tiba. Lampu-lampu juga tidak terpasang. Seketika menanti, tertanya-tanya apa yang terjadi. Seorang pekerja panggung mampir, memaklumkan bekalan elektrik tiada. Saya sendiri tidak mengerti apakah perasaan waktu itu, kecewa sekali cerita yang indah itu terhenti tanpa akhirnya atau sekali lagi ragu pada tindakan diri. Lama saya diam terduduk dalam gelap panggung. Lelaki di sebelah saya berdiri dan keluar. Saya memerhati, sebelum turut menurut jejaknya. Saya menuju kaunter tikat, menerima wang penebusan.


Itulah kenangan. Berlaku setahun yang lalu. Cerita itu tajuknya ‘Love’ filem Indonesia arahan Kabir Bhatia yang diadaptasi dari filem ‘Cinta’. Jujurnya saya masih belum menonton habis filem ‘Cinta’. Tapi begitu teruja menikmati ‘Love’.


Setelah setahun, baru hari ini saya habis menonton ‘Love’. Tidak di panggung tapi sekadar dari komputer riba yang ceritanya saya salin dari cakera keras milik Along. Ya, pasti beza menonton di panggung yang punya layar gergasi berbanding monitor 14 inci komputer riba milik saya. Namun, saya masih dapat menghayati indahnya filem ini.


Apa ya yang indah? Saya suka pada babak dan adegan yang indah, romantis juga detail. Cukup menyentuh. Saya suka pada plot yang tersusun rapi dan seiring berjalan walau ada 5 citra berbeda yang terpapar. Saya suka pada pengarah yang pintar mengubah dan begitu kreatif meletakkan sudut pandangan kamera hingga gambar yang terakam begitu bermakna.Saya suka pada dialog dan jalan cerita yang puitis dan manis. Ya, saya suka sekali pada kisah cinta yang begitu rapi ditata untuk dihasilkan. Tidak hanya sekadar-sekadar . Juga pada muzik dan lagu latar yang sama sekali mempesona pendengaran. Lagi satu, sinematografinya cukup menggoda biar hanya di lorong buruk yang penuh lopak. Ah, kadang-kadang keindahan itu sesuatu yang bisa dicipta walau dengan sampah andai kita ada usaha menciptanya.


Itulah yang indah yang saya suka. Harap saya filem yang indah sebegini bisa tercipta lagi. Cuma, saya tidak begitu gemar cinta diangkat tinggi menjulang. Sehingga kita terlupa ada Tuhan yang lebih tinggi. Ah, teknik, cerita dan ayat memang hampir sempurna. Tapi, apa saja yang sempurna di dunia fana?



0 comments: