Saya tidak pasti mengapa begitu lembap pembacaan saya akhir-akhir ini. Novel garapan penulis dari seberang ini tidaklah terlalu tebal dan berat hingga memerlukan berhari-hari untuk dihabiskan. Malah seingat saya, novel Tafiqurrahman Al-Azizy, Syahadah Cinta saya khatam cuma satu malam, seperti kelazimannya saya membaca novel naratif bertema cinta.
Namun, saya berhasil juga menamatkan pembacaannya malam tadi. Sungguh kisah cinta berdasarkan kisah di dalam al-Quran seringkali menawan hati saya. Tentu saja, kerana saya jarang-jarang mahu memiliki novel bertema cinta, cukup sekadar meminjam dari teman atau menyewa di toko. Tetapi untuk novel ini saya keluarkan juga sejumlah wang untuk memilikinya, saya kira novel ini saya beli dengan harga RM 26 di pesta buku PWTC baru-baru ini.
Berapa bintang untuk novel ini? Saya rasa mungkin 3 bintang layak untuknya. Malang tidak membaca versi asal dalam bahasa Indonesia, pasti lebih menarik saya kira kerana sebuah karya yang dinikmati dengan bahasa asal penulisnya tanpa terjemahan saya kira adalah karya yang paling baik berbanding yang telah diterjemah. Namun, saya jujur mengatakan saya sama sekali tidak kesal memiliki novel ini, sungguh, bahasanya indah, kisahnya bererti dan pengajarannya dalam sekali. Sungguh saya kagum sekali dengan karya-karya penulis dari seberang yang saya kira sungguh berkualiti dari sudut menyentuh hati para pembacanya.
Kisah cinta antara dua insan bernama Yusuf dan Zulaikha yang menempuh pelbagai dugaan dan fitnah. Sungguh, hidup bagaikan pentas drama cuma kadang-kadang kita menjadi penonton dan adakala pula kita menjadi bahan tontonan. Begitulah kisahnya, cinta yang bermula tanpa suara dan terpendam dalam hati Zulaikha akhirnya meletus bagai gunung berapi memuntahkan laharnya dan menjadi tontonan pula masyarakat yang mengerti dan bersimpati, ah, tidak kurang pula mengata dan mengeji.
Namun, seperti banyaknya novel cinta, jalan cerita yang dipamerkan ditamatkan juga dengan kebahagian. Penyatuan dua jiwa yang saling mencinta. Ya, mana ada lagi yang mahu membaca kisah yang akhirnya hanya derita, sengsara dan terseksa. Namun bila menyorot kisah-kisah karya agung yang kekal diingati seperti Romeo and Juliet, Laila dan Manun serta Uda dan Dara, semua itu tidak berakhir dengan penyatuan sang kekasih. Aduhai, kita terlalu hanyut dibuai keinginan untuk mencapai apa yang kita impikan hingga sukar menerima hakikat betapa ia bukanlah takdir untuk kita.
Juga seperti entri saya yang lalu, kisah antara Yusuf dan Zulaikha di dalam al-Quran juga tidak berakhirnya dengan bersamanya dua jiwa ini. Ah, cinta tak semestinya bersama dan berpisah itu bukan bererti hilangnya cinta.
Walaubagaimanapun, saya amat mengesyorkan novel ini dibaca golongan muda yang sedang asyik hanyut dibuai gelora rasa cinta. Koreksi rasa dan tanyalah diri, adakah benar itu cinta? Dan muhasabah jika layaknya itu dikatakan cinta?
Biarpun jalan cerita dan plot mungkin masih lagi boleh ditingkatkan penyusunannya, namun isi kandungan dan ajaran yang terhimpun di dalamnya adalah lebih bermakna. Ya, saya ulang lagi saya sama sekali tidak kesal memilikinya. Ah, memang indah jika setiap cinta itu boleh dicipta kisah yang indah begini.
6 comments:
salam ziarah..
sungguh indah novel yg anda baca..
pernah terbaca tentang novel baru bertajuk suzana?trylah..novel ini juga berunsurkan islamic..nice novel karya Abu Azzaki.penulis baru yg tiada langsung pengalaman dalam bidang penulisan namun karya sulung beliau ini amat menarik.
salam...novel ni harga dia brapa eh??bln lpas ade jmp satu novel jln crita mcm ni tp hrga dlm rm20++...tp biler search kat internet x jmp..yg ade rm42...xtau sme ke x..sbb cover bku lain..huuu~kalau blh ltak lah gmbr novel...hehe
salam dyazz..erm..novel ni around 20 je..sy dh letak gambr..pas ni blehla g cri..hehe..
membaca novel nih..hadiah dari suami..buat saya benar2 menh=ghargai kasih sayangnya...:)
apakah novel yusf dan zulaikha ini ada film nya
maaf,saya tidak pasti ada filem atau tidak bg novel ini. Namun, sudah ad karya taufiqurrahman yg di filem kan...barangkali boleh usaha di cari...
Post a Comment