Menulis kritikan dan aduan bukanlah sesuatu yang saya gemari. Tapi saya suka membuat pemerhatian, meneliti masalah dan mencipta pandangan. Maka bila berdepan situasi, barangkali saya akan meluahkan perasaan, sekadar tidak puas hati dan meluahkan apa yang terbuku, namun, saya sedar setiap isu perlu banyak pemikiran, perlu banyak kritikal, dan jangan mudah mempercayai dan dipengaruhi. Bagi saya, kebebasan untuk berfikir perlu agar kita tidak semudahnya menjadi alat pihak-pihak tertentu untuk mencapai kepentingan peribadi.
Mukadimah seperti mahu berkisar soal politik, hakikinya saya terpanggil untuk membahaskan isu sistem pendidikan negara. Dalam kemelut isu Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), saya berdepan pula isu pengajian lepasan sekolah yang saya perhatikan dalam persekitaran semasa. Perlu diingatkan ini bukan medannya saya mengadu dan mengkritik, sekadar memberi sebuah ulasan dari fenomena yang melanda.
Ayah saya seorang pekerja dalam sektor swasta, kaitannya dengan isu kali ini, beliau adalah kaunselor di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu negara. Ironinya, sudah dua bulan beliau tidak menerima gaji. Bukan hanya beliau malah semua pekerja termasuk para pensyarah di kolej terbabit. Barangkali anda boleh bayangkan sekarang, jika anda tidak menerima gaji yang sepatutnya anda peroleh, adakah anda masih mempunyai semangat untuk hadir ke tempat kerja? Persoalannya kini, apa akan berlaku kepada pelajar-pelajar apabila pensyarah tidak hadi memberikan kuliah?
Saya tak pasti apakah punca masalah di institusi berkenaan, namun, apa yang ingin saya bahaskan di sini, betapa ilmu itu adalah satu bahan yang komersial, diniaga dan diharapkan memberikan hasil yang lumayan. Baik bagi penerima dan pemberi ilmu, mereka berharap ilmu itu memberikan mereka ganjaran yang bersifat materialis. Atau mungkin dengan bicara lainnya, ilmu diperoleh demi memenuhi tuntutan material.
Saya mahu anda semua sorot seketika betapa banyak iklan-iklan tentang institusi pengajian tinggi yang terdapat hari ini, baik awam mahupun swasta atau lokal manupun inter-nasional, masing-masing sedaya-upaya menarik para generasi muda untuk mendaftar menjadi pelajar mereka. Saya mahu bertanya, mengapa agaknya mereka begitu teruja menarik generasi muda untuk meneruskan ppengajian mereka? Barangkali demi melahirkan generasi modal insan yang berilmu dan berketrampilan, namun saya yakin, dalam polisi korporat yang lebih bersifat perniagaan, sebab utama adalah mencari sebanyak mungkin keuntungan dari para pelajar yang datang mendaftar. Maka saya tidak dapat tidak melihat betapa situasi ini menjadi kekangan pula bagi sesetengah pihak dalam meneruskan pengajian mereka, berdepan dengan yuran yang membebankan dan sistem pembelajaran yang pastinya ‘berat sebelah’. Saya tak mahu mengulas lanjut tentang ‘berat sebelah’, mungkin di lain tulisan.
Apa yang saya ingin bincangkan, kos tinggi dalam pengajian sama sekali menjadikan para pelajar begitu terbeban dan memfokuskan tujuan memperoleh ilmu semata-mata untuk memenuhi tuntutan kehidupan yang bersifat kebendaan. Saya sering mendengar keluhan ibu saudara saya tentang kos pengajian yang terpaksa ditanggung mereka untuk abang sepupu saya yang mengambil diploma di sebuah institusi pengajian tinggi. Sampaikan bila tiba untuk adik sepupu saya pula melanjutkan pengajiannya, mereka terpaksa berkira-kira agar ia tidak membebankan, biarpun kursus yang dipilih tidak sesuai dengan minat dan kehendak adik sepupu saya. Ironinya, keluarga mereka agak berada. Mereka tinggal di rumah banglo dan mempunyai beberapa pintu rumah sewa serta kebun kelapa sawit. Namun, saya tidak hairan kerana kos hidup di ibu kota memang sukar untuk diramal.
Walaubagaimanapun, apa yang membuatkan saya terfikir ialah jika keluarga yang agak berada ini juga perlu berkira-kira, apa yang akan berlaku pada mereka yang datang dari keluarga miskin dan kurang pintar pula untuk menerima biasiswa? Tentu, mereka akan menerima pinjaman, namun, bagaimana mungkin untuk mereka menghayati ilmu yang diperoleh andai kehidupan dalam usia belia lagi sudah dipalit hutang-piutang? Pastinya mereka hanya teruja untuk mencari cara mengumpul ‘dana’ untuk melanjutkan proses kehidupan.
Selain itu, saya ajak anda sekalian renung seketika tentang galakan untuk mahasiswa membuka perniagaan sambil belajar. Sungguh, memang tanpa galakan, ramai mahasiswa menjebakkan diri dalam usaha mengaut keuntungan. Walau tidak semua, namun ramai yang menjejaskan proses pengajian mereka kerana teruja mengaut keuntungan yang singkat tanpa perlu menghadap buku-buku tebal bertahun-tahun demi segulung ijazah. Sungguh, saya tidak nafikan berniaga itu 9 dari 10 pintu rezeki dan hidup berdikari tanpa memenuhi keperluan diri adalah satu yang terpuji. Namun, ramai mana mahasiswa ini yang tidak kelabu mata dengan wang yang telah diperoleh hingga sanggup meninggalkan dewan kuliah demi urusan perniagaan. Ramai mana mahasiswa yang bijak membezakan keperluan dan kemahuan serta ramai mana yang reti untuk bertanggungjawab memenuhi harapan keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara? Apa yang saya perhatikan, mahasiswa kita sibuk mencari wang demi kehidupan selesa dan menganggap ilmu yang dituntut hanya sampingan dan ijazah adalah gelaran yang akan lebih bermanfaat untuk mencipta kekayaan.
Sukar untuk saya menyetujui apabila nilai ilmu dijatuhkan sebegitu. Malah saya kira sukar lagi untuk negara bersaing dalam melahirkan para cendekiawan berkualiti kelas utama jika hanya dolar dan ringgit di minda mereka. Bagi saya mengejar kekayaan dan keuntungan itu memang perlu, namun menjadikannya alat mencapai kemahuan meterialistik serta memperlekehkan ilmu yang dituntut, itu satu tindakan betapa ceteknya pemikiran generasi muda kita yang diharapkan menjadi pemimpin negara masa depan.
0 comments:
Post a Comment