Pages

Friday, May 15, 2009

Kembara Ke Republik Syiah

Saya tidak pasti sebab utama saya menggemari Iran, mungkin kerana ketokohan Ahmadinejad sebagai presidennya atau pengaruh Faisal Tehrani yang kuat dari pembacaan hasil-hasil penulisan beliau. Namun, yang pasti selepas khatam menelek Travelog Iran : Menyingkap Misteri Bumi Ahmadinejad, tulisan seorang penulis wanita dari Indonesia, sama sekali mengikat hati dan minda saya untuk lebih mengenali negara yang sensasi dengan isu tenaga nuklearnya.

Selepas mengenal negara komunis di Rusia melalui Hatiku Terluka di Bukhara, saya makin teruja membaca travelog atau catatan pengembaraan ini. Entah mengapa saya seakan melihat persamaan antara Iran dan Rusia selain saya kira kedua-dua negara ini terletak agak berdekatan. Kedua-duanya tertubuh dari tercetusnya revolusi menentang sistem monarki yang menindas. Bezanya, Rusia memilih marxisme-komunisme sebagai ideologi negara, manakala Iran kekal memilih Islam yang tulus sebagai syariat dalam piagam republiknya.

Sungguh seperti tertera di kulit buku, Iran sebuah negara penuh warna-warni dengan tradisi dan budaya serta sejarah tamadun yang begitu panjang perjalanannya. Iran bukan negara Arab. Maka saya melihat pula persamaannya di Malaysia di mana kita bukan bangsa Arab. Tetapi menerima Islam sehingga menjadi satu identiti bangsa melayu. Seperti Iran yang kebanyakannya berbangsa Parsi atau Fars, masih kekal dan berbangga dengan tiap budaya bangsanya yang diasimilasikan dengan syariat Islam. Sungguh, mereka masih kekal dengan bahasa, perayaan dan cara hidup asal mereka dan dalam masa yang sama seperti kebiasaannya golongan Syiah begitu menghargai golongan keluarga Nabi.

Pastinya tiada suatu bangsa yang sempurna, malah di dalam al-Quran Allah hanya menyebut orang Islam adalah yang terbaik kerana melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar. Namun, meneliti ketelusan pengalaman yang dilalui seorang melayu di sebuah negara asing tanpa sebarang prejudis dan stereotaip baik berdasarkan sejarah, keturunan dan warna kulit. Sisi Iran yang sebenar dapat diterjemah.

Sikap dan sifat bangsa ini yang pasti tidak semuanya harum dapat diselam. Namun keindahan dan kehebatan bangsa lebih lagi terserlah. Maka apa yang dapat saya simpulkan manusia dimana-mana punya sifat yang serupa namun dalam sesetengah perkara ada budaya yang kekal menjadi pengenalan sesuatu bangsa.

Saya sungguh kagum dengan perjalanan penulis ke wilayah-wilayah seluruh Iran bagi menikmati udara dan debu Iran yang sebenarnya. Betapa tiap tinggalan sejarah yang ada telah wujud beribu-ribu tahun lampau masih kekal terpelihara, makam-makam tokoh terkenal dibesarkan dan diberi penghormatan serta perlindungan dan hak kepada golongan minoriti. Saya merasakan negara ini begitu indah walau kadang-kala sikap-sikap kasar dan keras masyarakatnya sedikit menjengkelkan kerana kebiasaan masyarakat timur itu adalah lembut dan sopan.

Saya lebih-lebih lagi kagum dan tersentuh dengan para pemimpinnya. Sungguh, walaupun saya tak pasti sejauh mana, namun di negara ini Islam benar-benar dipraktikkan. Demokrasi tercipta namun masih dalam had dan syariat. Bermula dari majlis syura hingga kepada undan-undang menutup aurat. Sungguh, di sini wanita bukan saja terbela malah diangkat dan diberi kebebasan untuk menceburkan diri dalam apa jua bidang yang diingini. Apa yang menyentuh saya adalah muzium Imam Khomeini yang dilawati penulis iaitu rumah sewa yang diduduki semasa hayatnya begitu sederhana, juga Presiden Mahmud Ahmadinejad yang baru dilantik menjadi presiden masih menyarung kasut yang lusuh dalam upacara pertabalannya malah kekal tinggal di kediaman yang sama sebelum dia menyandang jawatan nombor dua dalam negara selepas ‘rahbar’ iaitu jawatan yang diberi kepada seorang yang sangat alim dan layak sebagai pemimpin Islam yang dipilih oleh pakar-pakar agama seluruh negara. Sungguh, jika bicara soal pemimpin berjiwa rakyat, pemimpin-pemimpin Iran adalah contoh yang paling perlu dilihat.

Terlalu banyak yang indah dan unik di negara yang terkenal dengan penganut syiah ini. Saya kira anda wajar mengambil waktu seketika, membelek buku setebal 354 muka surat ini sendiri dan menikmati pesona Iran yang warna-warni, seindah pesona pelangi.

Sunday, May 10, 2009

Mahasiswa dan Kewangan

Menulis kritikan dan aduan bukanlah sesuatu yang saya gemari. Tapi saya suka membuat pemerhatian, meneliti masalah dan mencipta pandangan. Maka bila berdepan situasi, barangkali saya akan meluahkan perasaan, sekadar tidak puas hati dan meluahkan apa yang terbuku, namun, saya sedar setiap isu perlu banyak pemikiran, perlu banyak kritikal, dan jangan mudah mempercayai dan dipengaruhi. Bagi saya, kebebasan untuk berfikir perlu agar kita tidak semudahnya menjadi alat pihak-pihak tertentu untuk mencapai kepentingan peribadi.

Mukadimah seperti mahu berkisar soal politik, hakikinya saya terpanggil untuk membahaskan isu sistem pendidikan negara. Dalam kemelut isu Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), saya berdepan pula isu pengajian lepasan sekolah yang saya perhatikan dalam persekitaran semasa. Perlu diingatkan ini bukan medannya saya mengadu dan mengkritik, sekadar memberi sebuah ulasan dari fenomena yang melanda.

Ayah saya seorang pekerja dalam sektor swasta, kaitannya dengan isu kali ini, beliau adalah kaunselor di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu negara. Ironinya, sudah dua bulan beliau tidak menerima gaji. Bukan hanya beliau malah semua pekerja termasuk para pensyarah di kolej terbabit. Barangkali anda boleh bayangkan sekarang, jika anda tidak menerima gaji yang sepatutnya anda peroleh, adakah anda masih mempunyai semangat untuk hadir ke tempat kerja? Persoalannya kini, apa akan berlaku kepada pelajar-pelajar apabila pensyarah tidak hadi memberikan kuliah?

Saya tak pasti apakah punca masalah di institusi berkenaan, namun, apa yang ingin saya bahaskan di sini, betapa ilmu itu adalah satu bahan yang komersial, diniaga dan diharapkan memberikan hasil yang lumayan. Baik bagi penerima dan pemberi ilmu, mereka berharap ilmu itu memberikan mereka ganjaran yang bersifat materialis. Atau mungkin dengan bicara lainnya, ilmu diperoleh demi memenuhi tuntutan material.

Saya mahu anda semua sorot seketika betapa banyak iklan-iklan tentang institusi pengajian tinggi yang terdapat hari ini, baik awam mahupun swasta atau lokal manupun inter-nasional, masing-masing sedaya-upaya menarik para generasi muda untuk mendaftar menjadi pelajar mereka. Saya mahu bertanya, mengapa agaknya mereka begitu teruja menarik generasi muda untuk meneruskan ppengajian mereka? Barangkali demi melahirkan generasi modal insan yang berilmu dan berketrampilan, namun saya yakin, dalam polisi korporat yang lebih bersifat perniagaan, sebab utama adalah mencari sebanyak mungkin keuntungan dari para pelajar yang datang mendaftar. Maka saya tidak dapat tidak melihat betapa situasi ini menjadi kekangan pula bagi sesetengah pihak dalam meneruskan pengajian mereka, berdepan dengan yuran yang membebankan dan sistem pembelajaran yang pastinya ‘berat sebelah’. Saya tak mahu mengulas lanjut tentang ‘berat sebelah’, mungkin di lain tulisan.

Apa yang saya ingin bincangkan, kos tinggi dalam pengajian sama sekali menjadikan para pelajar begitu terbeban dan memfokuskan tujuan memperoleh ilmu semata-mata untuk memenuhi tuntutan kehidupan yang bersifat kebendaan. Saya sering mendengar keluhan ibu saudara saya tentang kos pengajian yang terpaksa ditanggung mereka untuk abang sepupu saya yang mengambil diploma di sebuah institusi pengajian tinggi. Sampaikan bila tiba untuk adik sepupu saya pula melanjutkan pengajiannya, mereka terpaksa berkira-kira agar ia tidak membebankan, biarpun kursus yang dipilih tidak sesuai dengan minat dan kehendak adik sepupu saya. Ironinya, keluarga mereka agak berada. Mereka tinggal di rumah banglo dan mempunyai beberapa pintu rumah sewa serta kebun kelapa sawit. Namun, saya tidak hairan kerana kos hidup di ibu kota memang sukar untuk diramal.

Walaubagaimanapun, apa yang membuatkan saya terfikir ialah jika keluarga yang agak berada ini juga perlu berkira-kira, apa yang akan berlaku pada mereka yang datang dari keluarga miskin dan kurang pintar pula untuk menerima biasiswa? Tentu, mereka akan menerima pinjaman, namun, bagaimana mungkin untuk mereka menghayati ilmu yang diperoleh andai kehidupan dalam usia belia lagi sudah dipalit hutang-piutang? Pastinya mereka hanya teruja untuk mencari cara mengumpul ‘dana’ untuk melanjutkan proses kehidupan.

Selain itu, saya ajak anda sekalian renung seketika tentang galakan untuk mahasiswa membuka perniagaan sambil belajar. Sungguh, memang tanpa galakan, ramai mahasiswa menjebakkan diri dalam usaha mengaut keuntungan. Walau tidak semua, namun ramai yang menjejaskan proses pengajian mereka kerana teruja mengaut keuntungan yang singkat tanpa perlu menghadap buku-buku tebal bertahun-tahun demi segulung ijazah. Sungguh, saya tidak nafikan berniaga itu 9 dari 10 pintu rezeki dan hidup berdikari tanpa memenuhi keperluan diri adalah satu yang terpuji. Namun, ramai mana mahasiswa ini yang tidak kelabu mata dengan wang yang telah diperoleh hingga sanggup meninggalkan dewan kuliah demi urusan perniagaan. Ramai mana mahasiswa yang bijak membezakan keperluan dan kemahuan serta ramai mana yang reti untuk bertanggungjawab memenuhi harapan keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara? Apa yang saya perhatikan, mahasiswa kita sibuk mencari wang demi kehidupan selesa dan menganggap ilmu yang dituntut hanya sampingan dan ijazah adalah gelaran yang akan lebih bermanfaat untuk mencipta kekayaan.

Sukar untuk saya menyetujui apabila nilai ilmu dijatuhkan sebegitu. Malah saya kira sukar lagi untuk negara bersaing dalam melahirkan para cendekiawan berkualiti kelas utama jika hanya dolar dan ringgit di minda mereka. Bagi saya mengejar kekayaan dan keuntungan itu memang perlu, namun menjadikannya alat mencapai kemahuan meterialistik serta memperlekehkan ilmu yang dituntut, itu satu tindakan betapa ceteknya pemikiran generasi muda kita yang diharapkan menjadi pemimpin negara masa depan.

Thursday, May 7, 2009

Dari Novel Ke Filem?

Selesai membaca Tunggu Teduh Dulu dalam masa kurang lebih dua hari. Untuk novel garapan Faisal Tehrani, saya kira ia agak mudah dihayati. Berbanding novel-novel beliau sebelum ini, yang mengambil masa paling kurang seminggu dan adakala hampir mencecah satu bulan. Sungguh, saya tak pasti adakah saya hampa atau hanya sedikit kecewa, hakikatnya berbanding novel-novel terdahulu, saya merasakan novel ini kurang unik dan istimewa.

Barangkali, novel ini bukan novel baru malah ditulis lebih lima tahun yang lalu, cuma saya yang terlewat memiliki. Maka pastinya Bedar Sukma Bisu lebih-lebih lagi menggetar kalbu dengan dramatik dan rentetan ilmu yang lebih dinamik. Ia kini malah diterjemah ke bahasa Inggeris. Sungguh, ia novel yang hebat dan Tunggu Teduh Dulu bukan lawannya, walau jalan cerita barangkali jauh berbeza kerana bagi saya Tunggu Teduh Dulu terlalu biasa. Sesuai dengan ungkapan pengarang di dalamnya, betapa ia cuma kisah kecil seorang wanita dan pastinya setiap jiwa punya kisahnya yang tersendiri.

Namun, 1515 lebih dahulu terilham sebelum Tunggu Teduh Dulu, kisah sejarah dengan teknik jungkir balik itu saya baca dua kali bagi benar-benar mengerti. Sungguh, ia adalah novel yang sangat saya gemari disamping Tuhan Manusia. Maka saya kira teknik penulisan Tunggu Teduh Dulu yang berepisod untuk siaran Utusan Malaysia barangkali menjejaskan kualiti dan idea. Ya, menulis untuk menyiapkan tugasan saban minggu kadang-kala berbeza tekanannya. Sungguh saya tak pasti tekanannya berbanding menulis sebuah novel pada satu tempoh waktu.

Walaubagaimanapun, kesederhanaan novel ini saya kira amat sesuai diadaptasi menjadi drama atau filem. Unsur-unsur suspens klise yang serasi dengan masyarakat kita pasti mudah menarik khalayak penonton jika dilayar perakkan atau diskrinkan dengan berkesan. Ditambah lagi pendekatan Islamik yang menekankan tauhid sangat mengesankan dan menginsafi pembaca dan penonton jika pendekatan ini turut dititikberatkan oleh penghasil karya pandang dan dengar.

Bercerita soal adaptasi, saya sempat menonton sebuah filem hollywood rasanya, bertajuk Slumdog Millionnaire. Juga sebuah filem adaptasi sebuah novel yang saya kurang periksa tajuknya. Filem yang memenangi beberapa anugerah di hollywood ini ternyata memang layak untuk dipuji.

Menonton filem bollywood dari hollywood pastinya memiliki banyak keistimewaan. Menampilkan sinematografi masyarakat India kelas bawahan yang menunjukkan India yang sebenar yang jarang-jarang ditampilkan dalam filem hollywood yang lebih senang menyerlahkan kebudayaan India yang penuh warna-warni di dalam mahligai sebesar istana. Penjelmaan filem ini menyedarkan masyarakat dunia hakikat yang berlaku di sebuah negara yang memang terkenal sebagai memiliki warga miskin teramai.

Indahnya filem ini kerana keunikan dan idea yang disampaikan penulis novel asal saya kira apabila seorang lelaki yang kehidupannya bergelumang dengan kemiskinan dan nasib yang buruk berubah 180 darjah apabila berjaya menjadi jutawan dengan takdir yang telah tertulis. Barangkali kerana ia sebuah cereka, fantasi seperti itu mudah direka. Namun, seperti kebanyakan filem bollywood yang tema utamanya cinta sejati yang sering berdepan halangan yang akhirnya akan tamat dengan kebahagiaan dan kegembiraan, begitu juga kisah ini, keperitan hidup dan kefakiran yang dilalui ditamatkan dengan sebuah anugerah bergelar jutawan.

Saya sering mendengar, filem-filem bollywood yang dihasilkan pasti mempunyai pengakhiran yang baik yang dalam bahasa Inggeris sering disebut, ‘happy ending story’, ini adalah disebabkan keperitan hidup yang dilalui masyarakatnya seharian. Menonton dilayar perak sebuah kisah penuh impian yang optimis pasti membuahkan semangat dan kelegaan dalam hati setiap warganya walau kisah itu umpama ‘fairy tale’ yang tak mungkin menjadi realiti untuk mereka.

Dari sudut yang lain, saya mengerti betapa media khususnya filem begitu berpengaruh sebagai bahan dalam membentuk pemikiran dan persepsi masyarakat. Maka ia bukanlah sesuatu yang sia-sia melabur jutaan dolar hanya untuk menyisipkan propaganda tertentu dalam sesebuah filem yang hebat. Sungguh, menonton Slumdog Millionnaire sedikit sebanyak memberi harapan betapa kemiskinan dan keperitan hidup sedikit sebanyak memberi harapan betapa masih ada jalan keluar dalam kehidupan yang yang biasa. Betapa ada yang tak mustahil untuk berubah. Itulah saya kira persepsi yang ingin ditanamkan pengarang dalam setiap yang menghayati karyanya. Selain kebaikan pasti akan mengatasi kejahatan.

Bagi saya nilai moral dalam filem ini sangat tinggi untuk dihayati. Menyoroti kehidupan sangat sederhana watak utama, penonton sama sekali disedarkan dan dibukakan mata. Sungguh, menghayati filem pasti lebih mengesankan berbanding novel, maka itulah saya kira keberkesanan sesebuah mesej yang lebih sampai kepada khalayak melalui filem yang baik berbanding novel yang baik.

Berbalik pada tajuk, saya percaya adaptasi novel-novel yang telah terbukti diterima baik khalayak masyarakat pelbagai kelas kepada filem pastinya sesuatu yang baik sekali. Barangkali perlu ada usaha giat dan komprehensif untuk melaksanakannya. Dan sebagai seorang peminat kecil industri seni dan sastera tanah air, saya kira kolaborasi yang erat pastinya bisa menghasilkan karya yang meninggalkan kesan mendalam kepada khalayak yang menghayatinya.

Thursday, April 30, 2009

Sesegar Nailofar dan Hatiku terluka di Bukhara

Selesai kertas terakhir, saya menuju ke perpustakaan. Puas melayari laman-laman maya di makmal komputer, saya menapak ke tingkat dua perpustakaan. Menuju rak-rak yang tersimpan karya-karya seni sastera tempatan. Niat di hati untuk meminjam sebuah dua novel sebagai ‘peneman’ di waktu lapang selepas tamat peperiksaan.

Lebih kurang tiga rak penuh terisi pelbagai novel dan antologi cerpen juga tak kurang catatan perjalanan serta biografi. Saya membelek dan memilih, seketika lama saya jadi rambang mata untuk membuat pilihan. Akhirnya saya membuat keputusan untuk meminjam lima buah buku. Semasa melangkah menuruni anak tangga menuju ke kaunter pinjaman, saya ragu-ragu dapat menghabiskan kesemua buku ini yang secara purata memiliki 300-400 muka surat setiap satunya. Ditambah lagi, esoknya saya akan ke pesta buku. Terlalu banyak bahan bacaan rasanya untuk saya habiskan. Namun, saya teruskan juga menghulur buku-buku itu kepada pembantu perpustakaan di kaunter pinjaman.

Hampir seminggu cuti bermula. Saya baru selesai membaca dua dari lima buku itu. Juga kedua-duanya adalah yang paling nipis. Tajuknya ‘Sesegar Nailofar’ oleh Zaid Akhtar dan ‘Hatiku terluka di Bukhara’ sebuah novel finalis Hadiah Sako 2 karya Wan Hashim Wan Teh, novelis yang tidak ku kenali sebelum ini.

‘Sesegar Nailofar’, seperti gaya penulisan Zaid Akhtar yang lain yang cenderung dengan dunia Timur Tengah dan cinta Islami. Biarpun ‘Sesegar Nailofar’ lebih dahulu di tulis, saya sudah pun memiliki novel terbaru guru bahasa Arab yang mengajar di sebuah sekolah agama di selatan tanah air yang bertajuk ‘Salju Sakinah’. Biarpun ketebalan dan jalan cerita agak jauh berbeza, bagi saya persoalan utama dan pemikiran dalam kedua-dua novel itu tidak jauh berbeza. Barangkali sesuai menjadi ‘trademark’ untuk lebih mudah mengenali penulis. Sejujurnya, novel sebegini agak baik dan sesuai sebagai bacaan untuk semua golongan masyarakat terutama remaja, namun saya kurang menggemari dan mengkagumi pemikiran dan persoalan yang dicetuskan dalam novel seperti ini. Bagi saya ia cuma sekadar cerita rekaan yang diolah dengan pengalaman dan khayalan yang tak lari dari realistik kehidupan yang cuba disuntik unsur drama yang diharapkan mampu menghidupkan jalan cerita. Secara keseluruhan, saya hanya dapat berikan dua bintang untuk novel-novel seperti ini. Walaubagaimanapun, saya tetap mengagumi hasil tulisan ini, malah apa jua hasil tulisan, kerana saya sedar saya tak akan mampu lagi untuk menulis seperti itu.

Mengenai ‘Hatiku terluka di Bukhara’ seperti tertulis di kulit bukunya ‘sebuah travelog kaya ilmu’, berbanding sebuah novel, ia lebih kepada sebuah catatan perjalanan penulis sepanjang ‘pelancongan’ beliau ke sebuah negara mengamalkan sistem sosialis-komunis pertama di dunia pada era 80-an. Saya tidak pasti fakta yang terakam dalam buku ini sahih atau tidak namun ia sedikit sebanyak membuka minda saya tentang aspek geografi dan sejarah sebuah negara yang tak pernah terlintas di minda saya sebagai salah satu destinasi yang akan saya tuju satu hari nanti. Malah, saya sendiri tidak menyangka Bukhara, tanah kelahiran ilmuwan Islam terkenal Imam Bukhari ini terletak jauh di utara tanah air ku sendiri, Malaysia. Novel ini mendedahkan secara langsung pencapaian domestik negara yang menjadikan komunisme-marxisme sebagai ideologi negara. Bertitik tolak sebagai satu alternatif untuk mencetuskan revolusi untuk menghapuskan zaman feudal yang menindas golongan petani, buruh dan rakyat kelas bawahan, ideologi ini masih diragui berkesan dalam memajukan sistem sosial, ekonomi dan politik masyarakat. Penulis membuat kesimpulan berdasarkan cara hidup rakyat yang masih tidak bebas untuk menikmati kehidupan dari aspek tempat tinggal, pekerjaan, kepercayaan, malah saya kira dari aspek makanan dan pakaian, masyarakat di situ masih terlalu mundur dan terjarak dari kemajuan tidak seperti negara-negara Eropah dan Amerika ketika itu. Secara keseluruhan, persoalan ideologi dan sistem yang ingin disampaikan dalam novel ini begitu jelas melalui gambaran cerita sepanjang perjalanan di samping pengetahuan-pengetahuan penulis melalui kaedah imbas kembali kepada bahan-bahan yang pernah dibaca penulis juga pengalaman-pengalaman masa lampau penulis.

Walaubagaimanapun, saya kurang senang dengan perincian catatan perjalanan ini yang kurang menitik beratkan nilai-nilai Islam terutama solat fadhu yang saya kira langsung tidak disebutkan ditunaikan oleh penulis sepanjang pengembaraan beliau di negara asing bersama pelancong-pelancong asing yang lain. Walaupun penulis begitu mengambil berat soal makanan, dengan memilih hanya makanan selain daging yang dikhuaitiri tidak disembelih dengan cara Islam. Saya kira ia jauh berbeza dengan cara penulisan catatan perjalanan H.M. Tuah Iskandar yang memberikan secara detail dan terperinci soal-soal ibadah dan sensitiviti dalam Islam.

Barangkali soal masa adalah faktor utama juga latar belakang penulis yang secara fizikalnya sangat kebaratan berikutan kecenderungan penulis dengan muzik, tarian dan kebudayaan barat di samping begitu selesa mengunjungi restoran atau kelab yang menghidangkan minuman keras dan bebas menari tanpa batasan. Saya kira itulah yang berlaku kepada kebanyakan mahasiswa Malaysia yang menuntut di luar negara pada era 70-an atau 80-an. Barangkali juga pada zaman sekarang namun kesedaran beragama itu lebih menonjol sekarang cuma kadang-kala ia begitu kabur dan bercampur-aduk hingga kebenaran itu tampak samar-samar sahaja.

Namun, bagi saya ‘Hatiku terluka di Bukhara’ memberi satu lagi genre penulisan berbantuk catatan perjalanan yang agak baik. Secara keseluruhan saya berikan empat bintang untuk novel catatan perjalanan ini.

Wednesday, April 29, 2009

Ini program saya

Saya paling tidak suka menyertai aktiviti sukan, malah kawad kaki adalah aktiviti yang sedaya-upaya cuba saya elakkan. Akibatnya, selama di bangku sekolah saya memang agak pasif dalam aktiviti bercorak fizikal. Namun, saya masih ketagih untuk menyertai aktiviti mencabar fizikal. Dan saya sendiri tidak pasti bila ia bermula, namun dari usia seawal 11 tahun, saya sudah mula mendaki. Masuk ke sekolah menengah, beberapa kali menyertai aktiviti perkhemahan dan melibatkan diri dalam aktiviti meredah hutan. Cukup buat saya jadi ketagih.

Setelah kembara malam di Bukit Lagong, saya mula menyimpan harapan untuk meneroka lebih banyak gunung, gukit dan hutan di negara saya yang kaya dengan simpanan hutan hujan tropikanya. Melalui sebuah kelab, kami menyusun perancangan.

Sungguh, memang saya bercita-cita untuk mendaki dan meneroka lebih banyak khazanah alam semula jadi ini. Namun, saya sedar ada urusan lain yang perlu diutamakan. Saya jadi lebih komitmen, merancang impian agar jadi kenyataan disamping mengatur strategi agar apa yang terlaksana akan jadi lebih bererti dan bermanfaat.

Hampir-hampir apa yang kami rancangkan terkubur tanpa nisan. Semuanya angkara pihak-pihak yang mempunyai stereotaip negatif yang kadang-kadang sukar untuk saya mengerti maknanya. Namun, saya memang bukan gadis yang mudah mengalah, tambah lagi teman-teman lain turut menyokong walau risau dan bimbang tak dapat dielakkan. Apa yang dirancang tetap dilaksanakan. Walaupaun, terlalu banyak yang perlu ditanggung dan terlalu besar risiko yang perlu dihadapi, tawakal dan berserah kepada Allah begitu menggunung tinggi, setinggi Gunung Angsi yang bakal kami takluki, Insya-Allah.

Selama tiga hari dua malam kami berkhemah, terlalu banyak pengalaman dan pengetahuan baru yang saya perolehi. Pertama kali menganjurkan program, bukan satu perkara yang mudah bagiku. Namun, mana mungkin ada kali kedua tanpa adanya yang pertama. Tiap salah dan silap saya jadikan pengajaran yang berharga untuk saya jadikan panduan untuk program-program yang akan datang. Semoga saya punya peluang lagi pada masa akan datang untuk melaksanakan program sebegini. Insya Allah.

Alhamdulillah, program ini berakhir dengan segalanya selamat. Itulah yang paling saya bimbangi. Saya bersyukur tiada sebarang tragedi atau kemalangan yang tidak diingini berlaku. Walaupun terlalu banyak kelemahan bagi program kali ini, lebih-lebih lagi dari segi pengurusannya, saya berpuas hati bila setiap peserta pulang dengan sebuah kenangan dan pengalaman berharga. Walaupun kepayahan mendaki mematikan semangat sebahagian peserta untuk kembali mendaki pada masa akan datang, saya berpuas hati dapat memberikan pengalaman kali pertama kepada mereka. Sungguh, saya yakin pengalaman sebegitu tak akan mudah untuk lenyap dari ingatan mereka.