Pages

Wednesday, February 6, 2013

Himpunan Helwa Kebangsaan 2013 (Bahagian 1)



Lama sekali tidak mengenakan hijab merah jambu, warna ini memang kegemaran saya, namun, hitam kekal pilihan saya dalam memilih warna menggayakan busana. Sempena hari istimewa ini, saya sarungkan juga tudung merah jambu dari adik comel Alin. (Terima kasih Alin, nanti akak pulangkan ye tudungnya)

Sebagai jawatankuasa pendaftaran, kebanyakan masa saya di meja pendaftaran, menanda kehadiran, mengutip yuran serta mengedar ‘beg program’. Namun, sedaya upaya saya mencuri ruang dan peluang mengikuti setiap slot sepanjang himpunan. Serta mendekati seramai mungkin ahli wanita jemaah dari seluruh negara.

Upacara perasmian bakal berlangsung, maka kaunter pendaftaran di tutup sementara. Saya ukir senyum manis dan meminta izin dari Kak Ju, ketua jawatankuasa pendaftaran untuk turut serta mengikuti majlis perasmian di dalam dewan. Bila saja Kak Ju menganggukkan kepala, pantas saya angkat punggung menuju pintu belakang dewan yang perlu menaiki tangga ke tingkat dua.

Sudah ramai yang memenuhi ruang di bawah dewan. Ruangan duduk di tingkat 2 masih punya banyak ruang kosong, oleh kerana saya bersama Che Ah, seorang hewi dari delegasi Perak yang menuntut di USIM, 2 tempat kosong yang mudah untuk masuk di perlukan.

Bacaan al-Quran masih di alunkan. Syukur, baru bermula. Kami mengambil tempat. Giliran Dr Rahmah pula memberikan kata aluan selaku pengarah program. Terimbau kenangan gerak kerja sepanjang sebelum program ini bermula. Pasti, ada suka dan duka. Bukan mudah melaksanakan program sebesar ini, melihat jumlah kehadiran yang memenuhi tiap ruangan di bawah dewan menerbitkan rasa syukur tak terhingga dalam diri. Jawatankuasa yang terdiri dari 3 generasi datang dari WADAH, ABIM dan PKPIM, memerlukan daya toleransi dan kefahaman serta berlapang dada yang tinggi. Ungkapan Dr Rahmah bahawa ‘yang muda perlu bersabar dengan yang tua, dan yang tua perlu menyayangi yang muda’, begitu mengesankan saya. Sungguh, walau kami baru mengenali, namun, rasa cinta seperti sebuah keluarga mendetik dalam jiwa. Sungguh, menjayakan program sebesar ini bukan sekadar bilangan adalah hasilnya tapi taaruf yang terakam sepanjang menjayakan program ini merupakan hasil yang lebih-lebih mengesankan. Saya dan sahabat HEWI PKPIM menjadi lebih matang mendepani jurang usia dalam melaksanakan gerak kerja. Moga usaha ini mendapat redha dan barakah dari Allah s.w.t.

Seterusnya, saat yang ditunggu-tunggu adalah ucaptama dari Dato’ Dr. Siddiq Fadzil. Saya begitu teruja siap sedia memasang perakam suara. Memang tabiat saya merakam setiap program yang saya hadiri jika berpeluang (walau jarang saya mengulang dengar). Ucapan bermula menarik namun sedikit hambar bagi saya yang sering kali mendengar bicara Ust Siddiq, barangkali kerana di pandu teks ucapan.

Namun, isinya membina. Dimulakan dengan menyingkap sejarah fenomena ‘mini telekung’ era 70 an serta karya-karya klasik yang mengangkat watak-watak hebat wanita. Seterusnya, di sentuh kisah wanita dalam al-Quran dengan Maryam binti Imran yang menjadi ‘ayat’ atau tanda kebesaran Allah serta Asiah isteri Firaun yang diangkat menjadi wanita yang teguh mempertahankan prinsip keimanan dalam lingkungan kesyirikan. Inti utama mengulas panjang lebar pengorbanan Saidatina Khadijah sebagai seorang isteri, pejuang agama yang meninggalkan kesenangan materi yang melingkari hidupnya demi menyokong dan mendokong perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. Serta kisah Saidatina Aisyah, isteri Rasulullah yang cerdas yang berdepan ujian fitnah. Saidatina Aisyah menjadi simbol kekuatan seorang manusia berdepan ujian dengan redha dan sabar serta menjadikan Allah semata-mata sebagai tempat sandaran dan meminta pertolongan. Sebelum berakhir, kisah wanita terlibat dalam perjanjian penting baiatul aqabah menonjolkan peri penting peranan wanita dalam sosiopolitik ummat. Akhirnya, Ust Siddiq, secara kritis dan sinis mengkritik sistem feudal dan politik masakini serta meluahkan harapan agar berlaku tranformasi dan taghyir dalam semua sudut kehidupan. Ternyata, ucaptama ini begitu menginspirasi dan meningkatkan lagi semangat wanita jemaah.

Seterusnya, penganugerahan dua tokoh wanita yang cemerlang dan berjasa dalam bidang masing-masing. Ketika anaugerah Saidatina Khadijah di umumkan, ramai yang merasa kagum dan terharu dengan kekuatan dan kecekalan luar biasa seorang wanita yang tampil lembut namun keras berdepan mehnah dan cabaran. Biarpun ada yang mempersoalkan, bagi saya siapa lagi yang layak untuk menerima anugerah tokoh wanita dengan tinggi keperibadian dan akhlak yang setia di belakang suami serta turut serta terjun ke lapangan ummat demi menegakkan kebenaran dan keadilan.

Ketika mengumumkan penganugerahan Saidatina Aisyah, hampir semua yang hadir mengalirkan air mata. Malah Kak Dib yang membacakan biodata turut teresak. Saya turut menyedari Ust Siddiq di sofa atas pentas mengesat air mata. Sungguh, pemergian seorang pahlawan dikenang selamanya. Betapa kehilangan arwah begitu dirasai. Mereka yang sama-sama berjuang dalam gerakan ini bersama-sama arwah pastinya tidak dapat membendung air mata. Malah, saya yang hanya pernah bertemu arwah sekali ketika menghadiri program turut tidak mampu menahan air mata dari mengalir.

Usai penyampaian, saya bergegas keluar. Kaunter pendaftaran perlu di jaga, dan saya sedikit kaget melihat begitu ramai yang hadir dan duduk bersila bersama anak-anak kecil di atas permaidani berhampiran pintu masuk dewan.  ‘Memang penuh dewan’, saya cuma berbisik di dalam hati dan pantas menuruni anak tangga 
ke meja pendaftaran.

Sesaat melabuhkan punggung ke kerusi, bertali arus peserta datang untuk mendaftar. Beberapa kali mengedipkan mata yang berair rasa terharu dengan majlis perasmian dan mengukir senyuman pada wakil-wakil delegasi yang datang.


0 comments: