Pages

Monday, December 1, 2008

Tamadun Cinta


“Kita kahwin?”

Kau mengangkat wajah. Dia masih tekun menulis sesuatu. Kau mengerutkan wajah seraya menggelengkan kepala. Barangkali kau bermimipi.

Sehelai kertas dihulur. Dia menatap wajahmu sejenak sebelum kembali menulis. Kau diserbu keanehan, namun kertas yang dihulur kau tarik juga mendekati diri.

‘Saya ikhlas. Saya mahu awak jadi isteri saya.’

Sama ada engkau yang bermimpi atau dia yang sudah hilang waras. Kau mengangkat wajah. Dia sudah sedia menanti merenung wajahmu. Serius. Kau juga serius. Namun, belum sempat engkau mahu membuka mulut, dia mengetuk perlahan pena di atas buku sambil mengerling keliling.

Kau menarik nafas panjang. Ini perpustakaan. Hampir setiap meja di situ dipenuhi pelajar yang begitu asyik dengan buku atau komputer riba. Ada yang menulis, membaca, menekan-nekan papan kekunci, juga yang hanya menggerak-gerakkan tetikus. Nafas kau hela perlahan. Kembali menatap wajahnya. Kau kerutkan kening kurang senang dengan situasi itu.

Dia mengangkat kening dan memuncungkan bibir ke arah kertas yang di hulur tadi.Kau mengetap bibir sambil menatap kertas itu. Memang kau tidak puas untuk berkomunikasi dengan cara itu. Seketika, kau mencoret juga di atas kertas itu dan segera kau hulur ke arahnya.

‘Kita keluar, kalau mahu berbincang.’

Kau bersandar ke belakang. Wajahnya kau renung tajam. Dia memandang juga ke arah kau. Kau mengangkat kening meminta jawapan. Kelihatan dia ragu seketika. Kau tak bisa lagi untuk menanti. Segera kau kemas segala buku dan nota di atas meja lalu melangkah menuju pintu keluar. Dia seakan tidak punya pilihan, pantas juga menyambar buku-bukunya dan mengekori langkahmu.

Perkenalan kami sudah lama berlaku. Sejak di awal pengajian bermula lagi. Perkenalan sebagai teman sekuliah berlarutan sehingga menjadi persahabatan yang penuh wacana. Ya, kami serasi menjadi teman berdiskusi, melontar idea dan saling membentangkan fakta. Dia lelaki penuh idealisme, sedang aku adalah pencari kebenaran yang hakiki. Mungkin inilah menjadikan hubungan kami kelihatan begitu bermakna.

Sememangnya aku begitu menggemari dunia pemikir. Aku suka mencari sebab dan punca, juga meramal akibat dan kemungkinan. Ada jenaka mengatakan, otak orang melayu adalah paling mahal di dunia, sebabnya otak orang melayu jarang digunakan untuk berfikir. Aku tak pernah mampu untuk tertawa dengan jenaka sindiran yang begitu menghinakan bangsaku. Walaupun jauh di sudut hatiku mengakui ada kebenarannya. Jenaka itu juga dicipta sebagai satu cabaran terhadap bangsa melayu. Sayangnya, berapa ramai orang melayu yang mahu menyahut cabaran itu. Ah, mungkin ramai, hanya aku yang berfikiran negatif terhadap bangsaku sendiri.

Walaubagaimanapun, aku bangga menjadi melayu. Bagiku melayu asli itu penuh dengan ketamadunan yang kaya pemikiran serta falsafah. Cuma dunia yang semakin berubah turut mengubah bangsa melayu sehingga lupa kehebatan tamadun sendiri. Bicara soal tamadun, inilah awal punca perkenalan kami.

“Apakah maksud awak masyarakat kelas bawahan tidak mengambil peduli soal kemajuan bandar besar? Adakah mereka tidak peduli soal pembangunan infrasturktur, fasiliti juga fizikal yang terdapat di bandar-bandar besar? Tapi, apa yang saya perhatikan, mereka terpegun malah ada yang ternganga dengan ketinggian menara berkembar juga kelajuan sistem transit aliran ringan. Bukankah itu cukup menjadi bukti mereka ambil peduli nilai ketamadunan seperti itu?” ada suara sorakan bergema dari beberapa pelajar lelaki yang begitu teruja dengan cara dia membentangkan pertanyaan. Aku tidak pasti sama ada mereka sekadar menyokong seorang kawan atau benar-benar mengagumi pertanyaan itu. Aku terdiam sejenak. Aku sama sekali tidak menyangka diserbu pertanyaan sebegitu. Pandangan ku alih kepada Dr. Arfah. Pensyarah wanita berusia separuh abad itu mengukir senyum dan mengangguk sedikit. Seakan dia mengerti kegusaran di dalam hatiku. Dalam santun dia melangkah ke depan dewan.

“Awak boleh abaikan atau jawab soalan itu, Suraya. Tiada sesi soal jawab dalam pembentangan kali ini. Arif, soalan yang baik tapi kurang bertamadun saya kira cara awak itu, kita bangsa melayu yang tamadunnya penuh kesantunan. Tiada salahnya andai awak meminta izin dahulu dan bertanya dengan hemah bukan bermaksud menonjolkan kehebatan diri apatah lagi berniat menjatuhkan maruah orang lain. Itu satu norma yang bukan terdapat dalam tamadun kita,” Dr Arfah berhenti bicara dan kembali ke tempatnya. Aku menarik nafas lega, tanpa membuang masa aku segera menyelesaikan tugasan pembentanganku. Dalam hati aku terus berdoa agar tiada lagi insan-insan yang sebegitu kerana aku sama sekali tidak punya apa-apa persediaan untuk memberikan rangsangan pada sebarang pertanyaan.

“Masih bertegas dengan pendirian itu?” aku mengangkat wajah. Aku terkesima saat melihat wajahnya. Dia menarik kerusi dan sudah pun duduk berdepan denganku. Aku berdiam, hanya mampu memandang tingkahnya. Dalam hati aku bersetuju dengan Dr Arfah, betapa lelaki ini sudah lupa atau sama sekali telah hilang salah satu ciri ketamadunan seorang insan, iaitu meminta keizinan. Aku pula sebagai gadis yang bertamadun, cuba menghulur senyuman menyenangkan.

“Sudah makan?” sengaja aku bertegur cara orang bertamadun sambil terus mengukir senyuman. Dia diam seketika sebelum juga tersenyum ke arahku. Dia memanggil pelayan dan meminta hidangan tengah harinya.

Kami berbual. Mungkin tidak, kerana dia lebih banyak berbicara sedang aku hanya mendengar, cuma sesekali menjawab saat dia mendesak dengan persoalan. Sungguh kehadirannya bukan satu yang ku harap tapi aku tak harap dia bangun meninggalkanku saat itu malah aku berharap makanan yang di jamu tidak segera habis, aku juga berdoa agar masa bisa terhenti kerana aku tertarik sekali dengan bicaranya. Ya, mendengar dan mencerna ideanya di dalam cepu fikiranku. Juga memerhati dan menterjemah setiap perilakunya.

Sungguh, aku tak dapat menafikan betapa aku senang sekali bersamanya. Aku senang kerana aku adalah seorang pemikir dan setiap bicaranya menjadikanku lebih banya berfikir. Ya, bukan mudah untuk mencari teman yang boleh berbicara soal-soal yang berat sebegini kerana kebanyakan generasi muda lebih banyak terjerumus dalam budaya hedonis yang lebih mementingkan hiburan dan urusan yang menyeronokkan sahaja.

Tapi aku tak pasti mengapa dia juga sentiasa mendampingiku. Kami memang jarang berenggang, di mana ada aku pasti dia juga ada. Barangkali seperti belangkas. Kadang-kadang aku ingin bertanya mengapa dia sentiasa di sisi ku, namun aku hanya menjawab sendiri di dalam hati bahawa aku adalah teman tempat dia meluahkan segala idea dan falsafahnya kerana hanya aku yang setia mendengarnya.

Perhubungan yang semakin jelas pada pandangan masyarakat ini mula mengganggu kehidupan seharianku. Aku jadi kurang senang bila ada yang mula menyindir dan membuat pelbagai andaian tentang kami. Aku lebih lagi tidak selesa bila ramai yang merasa cemburu dan iri hati. Lantas aku dijadikan mangsa umpatan dan fitnah.

Mereka selalu berfikir betapa aku bertuah. Dia lelaki yang hebat, ayahnya seorang tokoh politik terkemuka manakala ibunya adalah pakar motivasi yang popular. Dia yang berperawakan tinggi lampai dan berwajah tampan memang bisa menawan hati ramai gadis. Ya, memang aku bertuah dapat mendampinginya kerana aku cuma gadis desa yang baru kematian ayah juga ibuku yang hanya menjahit untuk menanggungku serta adik-adik. Sungguh, aku sama sekali tidak menyangka aku sebertuah ini. Namun, bukan aku yang mencari tuah ini kerana sebelum bersahabat dengannya aku sama sekali tidak mengenalinya apatah lagi mengetahui asal-usulnya.

“Su, kau bukan gadis seperti itu. Aku kawan kau Su, aku tahu. Aku kenal kau. Kau memang dari kampung, tapi kau gadis yang bermaruah. Bukan kau yang terhegeh-hegeh pada Arif. Sedang Arif yang selama ini mendekati kau. Su, abaikan apa orang kata. Kau perlu yakin, kau tak bersalah,” aku tersenyum memandang Adila. Dia memang sahabat yang baik.

“Terima kasih, Dila. Tapi, tak baik kau kata Arif macam tu. Dia tak adalah terhegeh-hegeh pada aku. Kami cuma kawan saja. Tak lebih dari itu,” aku membalas bicara Adila. Sebolehnya aku tak mahu Arif pula yang diburukkan kerana aku.

“Hmm.. membela nampak,” Adila memandangku dengan senyuman penuh sindiran. Aku mengerutkan kening dan mengeleng.

“Aku sedar persahabatan kami sudah menjadi masalah bagi kami. Aku tahu kami tak sepatutnya begini lagi. Ya, tak salah untuk bersahabat, tapi untuk bersama setiap detik dan ketika, itu tidak betul,” aku bersuara tenang, memandang Adila yang sedia mendengar. Adila mengukir senyuman. Aku tahu, dia sahabat yang sangat baik yang akan terus menyokongku.

“Suraya,” kami berpaling. Dia tersenyum dan berdiri tercegat tidak jauh dari kami. Langkahnya tenang mendekati kami.

“Maaf Dila, kini giliran aku. Mari Su,” Adila tersenyum ke arah ku sambil menjungkitkan bahunya. Aku membalas senyumannya. Tapi, dapatku rasa betapa tawar senyuman yang ku ukir. Dalam hati aku nekad, aku perlu menamatkannya.

“Su, apa maksud kau? Berhenti bertemu? Apa yang kau takutkan Su? Kalau kita tidak salah, mengapa mesti kita takut?” kau terus melangkah. Dia turut mengekori rapat di belakangmu. Tiba-tiba dia menarik tanganmu, kau berpaling, merenung kurang senang ke arahnya. Dia tersedar kesalahannya, tanganmu terus terlepas dari genggamannya.

“Maaf, tapi aku masih belum puas dengan penjelasan kau Su,” dia menahan kau dari terus melangkah.

“Sudahlah, kau faham maksudku. Aku tak ada apa lagi nak jelaskan pada kau. Mari ke perpustakaan. Kita belajar bersama buat kali terakhir,” kau mengukir senyuman dan terus melangkah. Sekali lagi dia menyambar tanganmu, kau segera merentap, membebaskan diri. Kau memandang tepat ke arahnya. Sama sekali kau kurang senang diperlakukan sebegitu.

“Maaf, Suraya....,” dia cuba berbicara tapi kau segera melangkah meninggalkannya. Namun dia lebih segera mendahuluimu dan berdiri di depanmu, menghalang langkahmu. Kau memandang, resah dengan tingkahnya.

“Apa lagi Arif?” kau bertanya dengan nada suara yang ditinggikan. Kesabaran kau semakin tercabar.

“Kita bercinta,” dia bersuara, perlahan. Aku mengerutkan wajah, lantas terus melangkah.

“Su, kita bagitahu mereka yang kita memang bercinta. Kita tamatkan segala kata-kata orang dan realitikan segala andaian itu. Su, kita depani segalanya bersama,” dia terus berbicara sambil mengekori langkah pantas mu.

Kau terus melangkah menuju perpustakaan. Ternyata dia masih tidak mahu mengerti kehendakmu. Di depan perpustakaan kau berpaling tiba-tiba. Dia terkejut dengan tingkahmu itu. Namun, dia seakan bersedia untuk mendengar sebarang bicaramu.

“Arif, kau tahu bukan prinsipku? Selain seorang suami, aku tak akan terikat dengan mana-mana lelaki. Aku harap kau faham, aku adalah gadis desa dan fahaman aku berbeza dengan masyarakat kota ini. Maaf, kau masih mahu ke perpustakaan?” dengan tenang dan rasional kau berbicara. Dia cuma mampu terdiam, menelan tiap patah bicaramu. Lambat-lambat dia mengangguk dan kamu berdua melangkah bersama ke perut perpustakaan.

“Hentikan semua ini Arif. Aku dah penat,” kau bersuara lemah. Kau memandang ke arahnya mohon pengertian.

“Aku juga penat, Su. Aku benar-benar mohon, agar kau dapat menerima cadanganku,” dia juga bersuara lemah.

“Arif, perkahwinan bukan soal main-main. Maafkan aku, sebab mendesak kau hingga ke tahap ini. Tapi kau perlu faham, aku seorang perempuan. Biar betapa benar aku, aku tetap salah andai aku terus membiarkan diri menjadi bahan fitnah. Aku mahu menjaga maruah ku demi keluargaku, agama serta bangsaku. Kita tetap kawan Arif, itu tak akan pernah berubah. Tapi aku mohon pengertian, bebaskan diri aku dari semua kemelut dan masalah ini,” kau luahkan kata-kata. Kau harap sekali dia dapat mengerti kali ini.

“Maka, perkahwinan adalah penyelesaiannya. Su, aku tak boleh kehilangan kau,” dia tetap berdegil. Kau mengerutkan wajah, bagaimana lagi untuk kau jelaskan kepadanya. Dia memandang terus ke arahmu.

Kau menarik nafas beberapa kali. Mencari akal dan jalan keluar. Kau sama sekali sudah dihimpit ke jalan buntu dengan perihalnya yang mahu terus mendampingimu. Kau sama sekali tidak mengerti. Tiba-tiba kau terfikir, mengapa kau masih mahu terus memberi penjelasan? Akhirnya, kau bangun. Mahu melangkah meninggalkannya.

“Kalau ini yang kau mahukan, kita putuskan segalanya. Aku benci kau yang menghuru-harakan kehidupanku. Terima kasih kerana menjadi sahabatku selama ini,” kau menahan air mata yang mahu mengalir dan terus berpaling. Sama sekali kau tak mahu mengungkapkan kata-kata sebegitu rupa.

“Su, jangan tinggalkan aku,” dia turut bangun dan melangkah pantas mendepanimu. Kau tertunduk menyembunyikan air mata yang sudah berkolam di kelopak mata.

“Aku cintakan kau, Su. Sebab itu aku tak mahu berjauhan dengan kau. Aku tak mampu menghadapinya,” bicaranya itu ternyata memeranjatkanmu. Kau mengangkat wajah, memandang wajahnya tidak percaya.

“Su, mungkin orang akan kata kita seperti langit dan bumi. Tidak sepadan dan serasi. Tapi bagiku, kita umpama bulan dan matahari yang bila bertemu akan membentuk gerhana. Sungguh, gerhana membawa kegelapan tapi ia juga memberi keredupan. Gerhana memberi simbol pada kehidupan, lambang budaya dan tradisi. Awak selalu kata, ada hikmah di sebalik malam yang gelap. Suraya, sungguh ada hikmah di sebalik gerhana juga,” kau terus membisu menadah telinga dengan tiap kata-katanya

“Kita kahwin?” dia sekali lag bertanya dan kau sama sekali kelu untuk memberi sebarang reaksi.

Suasana sepi. Kau tidak memberi jawapan dan dia terus menanti. Akhirnya kau membuat keputusan untuk terus melangkah dan meninggalkannya.

“Su, benar kau tak mahu berbicara langsung kepadanya?” Adila merenung tepat ke arahku. Aku membalas renungannya dengan tatapan mata yang yakin.

“Biarlah dia fikirkan dahulu atas apa yang telah berlaku. Aku juga mahu memikirkannya. Aku sendiri tidak tahu apa lagi yang dapat aku katakan padanya. Malah aku sendiri tak tahu apa pendirianku saat ini. Aku perlu waktu untuk semua ini. Kami perlu waktu, Dila,” aku bersuara tenang. Aku yakin dengan tindakan. Aku tahu, aku tak patut tergesa-gesa untuk membuat sebarang keputusan. Aku juga tak berniat untuk melukakan hati sesiapa. Aku yakin, masa adalah penawar yang terbaik untuk semua ini.

“Aku faham. Tapi, boleh tak aku tanya sesuatu?” Adila mengukir senyuman, aku tahu dia akan selalu menyokongku.

“Tentu sekali, tanyalah,” aku turut tersenyum kepadanya.

“Adakah kau juga mencintai Arif?” Adila bertanya lancar. Nyata, soalan itu bukan mudah untukku berikan jawapannya. Aku ukir senyuman buat Adila namun, tiada bicara yang terluah untuknya. Adila mengangguk-angguk. Aku tahu, dia pasti mengerti.

Arif, memang aku rasa bertuah mengenalinya, bersahabat dan menjadi teman rapat. Malah, aku lebih merasa betapa indah andai memilikinya. Lelaki sebaik dan sehebat Arif, mungkinkah dapat aku temui lagi satu hari nanti? Namun, pertemuan ini ku rasakan terlalu awal. Kadang-kadang aku kesal, mengapa begitu awal aku mengenalinya? Saat aku masih belum bersedia, saat aku tidak dapat untuk menyediakan diri pun. Andai semua ini berlaku tiga tahun lagi, bukan di tahun pertama pengajian ku. Mana mungkin untuk aku mencintai seorang lelaki, kerana cinta dan impian ku saat ini adalah demi mencapai cita-cita dan menunaikan janji kepada ibu yang mahu melihat kejayaanku. Apakah aku mampu mengecewakan ibu dengan berita tentang cinta dan perkahwinan? Sungguh, ia tidak salah, namun ia berlaku di waktu yang salah!

“Harapnya percutian ini menjadi waktu terbaik untuk kamu berdua,” Adila bersuara tiba-tiba. Aku memandangnya dengan senyuman.

“Terima kasih Dila,” aku menggenggan kedua belah tangannya.

“Sebagai kawan, aku akan sentiasa menyokong kau,” Adila menguatkan genggaman. Senyumannya begitu manis kurasa.

Aku akan bercuti. Segala yang berlaku sepanjang tahun pertama ini ingin aku rungkaikan. Aku akan memulakan hidup yang baru pada tahun kedua akan datang. Aku berjanji pada diri, aku akan jadi lebih dewasa untuk berdepan sebarang ujian dan rintangan.

Maaf Arif, bukan aku tak mahu berbicara denganmu, namun telah puas kita bicara dan kita memang serupa. Tegar dan degil dengan pendirian masing-masing. Aku tak mahu di anggap pemenang tapi aku juga tak dapat menerima untuk menjadi seorang yang tewas. Aku meninggalkan perkarangan kampus menuju desa tercinta tanpa sebarang ucapan kepadanya.

“Kami datang dengan hajat,” aku tak pernah menyangka dia akan bertindak sejauh ini. Aku tidak pasti untuk mengagumi atau mentertawakan tingkahnya ini.

Aku memberikan dulang kepada adikku, Salina. Dia memandang ku. Aku tersenyum serba-salah dan terus terduduk lemah. Dia merenungku dalam dan aku hanya mampu untuk tunduk membisu. Seketika, dia melangkah ke depan meninggalkanku ke ruang depan.

“Kak, mereka mahu akak ke depan,” Salina tiba-tiba muncul kembali. Aku mengangkat wajah, memandang tepat ke arah Salina.

“Jangan pandang Sal macam tu. Akak, untuk selesaikan masalah, kita perlu berdepan dengannya. Akak selalu cakap begitu pada kami. Kak, mari berdepan dengan masalah itu, Sal yakin akak pasti mampu lakukannya,” Salina lancar berbicara di hadapanku. Aku mengangkat wajah dan tersenyum kepadanya.

“Okay, akak faham. Akak akan selesaikan segalanya, akak janji. Jangan risau,” aku bangun. Aku tak patut nampak lemah di depan Salina. Aku patut hadapi segalanya. Aku patut menyelesaikan semuanya. Perlahan, aku melangkah menuju ke depan.

“Mak Cik, saya akan jaga Suraya di kota nanti. Hidup bersama seorang lelaki lebih selamat dan terjamin untuk gadis seperti Suraya. Tiada fitnah dan sebarang perkara yang dapat menjatuhkan maruahnya akan berlaku. Saya berjanji, saya akan jaga Suraya sebaiknya,” aku merenung tepat ke arahnya yang seakan tak mahu berhenti mengungkap bicara. Hatiku benar-benar terguris dengan tiap ungkapan yang keluar dari bibirnya. Akukah gadis yang tidak tahu menjaga diri yang mendedahkan diri kepada fitnah dan mencemarkan maruah? Adakah aku perlu dijaga untuk hidup di tengah kepesatan kota raya yang penuh onak duri? Adakah aku terlalu naif untuk mengerti kehidupan yang penuh pancaroba itu? Hingga aku begitu memerlukan dia di sisiku, sebagai penjaga dan pelindung. Aku ingin sekali meluahkan semua itu saat ini.

“Apa kata Suraya?” ibunya tersenyum memandangku. Aku menatap wajah lembut Puan Hamidah. Aku cuba mengukir senyuman. Hidup manusia bertamadun penuh pekerti dan tradisi. Aku tak akan jadi manusia yang tak bertamadun, yang bertindak mengikut hati dan perasaan. Aku mengalih pandangan ke arah ibu, ibu turut merenung dalam kepada ku.

“Ibu, orang kata diam itu tanda setuju,” aku mengalihkan pandangan tepat ke arahnya. Dia mengukir senyuman sinis. Seakan dia sudah menang. Jangan harap, aku tak akan sesekali tewas!

“Saya rasa, saya perlu waktu untuk berfikir,” aku mengungkap perlahan, penuh susila seorang gadis.

“Beginilah Puan, biarlah Suraya pertimbangkan sebaiknya keputusan yang ingin dia lakukan. Perkahwinan adalah soal seumur hidup, sebaiknya biar tiada kesalan yang timbul di kemudian hari,” ibu bicara dalam santun penuh senyuman. Puan Hamidah turut mengukir senyuman. Namun, dia tidak tersenyum. Sebaliknya memandang tajam ke arahku. Segera aku tunduk, melarikan pandangan daripadanya. Bukan takut tapi aku tak mahu mengeruhkan sebarang keadaan.

“Ketamadunan dari kaca mata barat dan timur, jelas sekali ada perbezaan. Maka, pasti juga setiap individu dan kelompok punya pandangan tersendiri dalam mendefinisikan ketamadunan. Namun apa yang jelas ketamadunan adalah identiti yang diperlukan agar sesuatu bangsa atau negara untuk berada dalam keharmonian dan dikenali. Maka jelas di sini, sesebuah masyarakat perlu membina identiti untuk membina sebuah tamadun. Semakin hebat dan mendalam identiti itu, semakin kukuh dan gemilang tamadun itu,” aku menamatkan perbentanganku kali ini. Dr Arfah tersenyum senang. Aku yakin dia puas hati sekali dengan persembahanku kali ini. Aku kembali ke tempat dudukku. Aku sedar, Arif masih terus memerhatikanku. Aku tahu, kami perlu berbicara dengan sebaiknya.

“Adakah caraku bukan bertamadun? Sehingga kau membenciku sedemikian rupa?” dia menatapku tepat. Aku mengukir senyuman. Nafasku tarik dan hembus perlahan.

“Aku tak pernah membencimu, bukan, aku tak dapat untuk membencimu walau aku cuba sedaya upaya. Bukan kerana ciri ketamadunan tapi kerana sifat insan. Mana mungkin untukku membenci sahabat baikku sendiri?” aku masih tersenyum dengan bicara penuh kelembutan. Aku sedar, api tak mungkin dipadam andai disimbah minyak tanah.

“Hanya sahabat. Bagaimana untuk aku jadi lebih bertamadun untuk menawan hatimu?” dia masih menatapku mencari penjelasan. Aku masih terus tersenyum. Aku akan cuba sedaya-upaya untuk buat dia mengerti.

“Sebagai manusia, kau sudah cukup bertamadun. Tapi, sebagai lelaki, kau masih kurang sesuatu. Maaf, aku tak maksud untuk merendahkan kau, tapi, sebagai sahabat, aku mahu berterus-terang pada kau. Aku mahu kau mengerti,” dia mengerutkan dahi, aku tahu dia cuba untuk mengerti.

“Mengapa Islam melihat ketamadunan dari dua sudut, lahiriah dan rohaniah?” aku menyambung bicara. Dia memandangku dengan kerutan di wajah yang semakin jelas terpamer.

“Pohon yang pucuknya menjulang ke langit masih perlu akar yang berpasak di bumi. Semakin tinggi pohon itu, semakin besar dan kuat akarnya. Semakin hebat ketamadunan dibina, kemajuan dan kemodenan yang ada perlu punya dasar dan punca yang kukuh dan tulen. Itulah hakiki sebuah ketamadunan, agar ia terus dikenang dan dipandang biar sudahpun lenyap,” aku terus berbicara tenang dan dia masih menatapku.

“Apa maksud kau Suraya?” akhirnya dia perlahan bertanya setelah aku diam seketika.

“Kau kurang sensitif dan mengerti. Itu kelemahan kau sebagai lelaki, hingga kau tak mampu untuk membuka hati aku. Maafkan aku,” aku menunduk. Aku sendiri tak sanggup untuk meluahkannya. Namun, aku perlu buat dia mengerti. Aku tak mampu untuk menatap reaksi wajahnya saat ini.

“Suraya, aku mengerti. Tapi, aku tak mampu untuk kehilangan kau,” aku mengangkat wajah. Aku lihat dia tersenyum.

“Tamadun, ia mengajar aku untuk terus membangun, mencipta kejayaan dan mengejar setiap impian. Tapi kau benar, bila begitu asyik mendaki ke puncak aku kadang-kadang terlupa kaki gunung adalah lebih besar. Biar setinggi mana ingin kucapai, aku perlu juga menuruni gunung dan aku tak mungkin mampu menggengam bintang,” aku memandangnya aneh. Dia masih tersenyum menatapku. Akhirnya aku tertawa kecil.

“Tapi Su, aku akan terus membina kapal angkasa agar bintang pun aku boleh jejak, sebab sebagai lelaki, kelebihanku adalah aku tak akan pernah mengalah,” aku memandangnya. Dia masih tersenyum dan menatapku penuh yakin.

“Baik, aku akan tunggu kapal angkasa kau siap,” aku membalas bicaranya dan mula berpaling untuk melangkah.

“Su, aku anggap itu satu janji,” dia berteriak agak kuat dan aku terus melangkah meninggalkannya. Aku tersenyum sendiri sambil menggeleng kepala.

“Suraya,” dia berpaling, aku berhenti berlari dan berdiri mendepaninya. Dia tersenyum. Senyuman yang paling manis pernah ku tatap.

“Arif,” dia menyebut lembut namaku. Aku meneguk liur, menatap sinar matanya bak sahmura, buatku kelu untuk bicara.

“Su, mari ambil gambar,” dia berpaling dan menyahut temannya yang sudah berkumpul untuk bergambar. Dia kembali menatapku dan senyuman yang terus mekar.

“Mari, mereka dah tunggu,” dia berbicara kepadaku. Aku melangkah perlahan menghampirinya. Kami berjalan bersaing ke arah teman-teman yang lain.

“Kamu berdua belum nak naik pelamin lagi, janganlah jalan macam pengantin,” seorang teman berteriak. Aku memandangnya, dan dia turut memandangku. Dia segera berpaling dan berlari ke arah mereka. Aku turut pantas melangkah menurutinya.

“Arif, betulkah kau akan terima kerja di Amerika itu?” sambil bergambar seorang teman bertanya kepadaku. Aku mengangguk dan menunjukkan dua jari ku menandakan lagi dua minggu aku akan bertolak.

“Selepas kenduri kahwin?” dia bertanya lagi. Aku memandangnya dan mengalihkan pandangan pada Suraya yang riang bersama teman-temannya.

“Tak lama lagi, ada orang akan bulan madu atas kapal terbang la,” dia bersuara agak kuat, menarik perhatian teman-teman lain. Aku tersipu-sipu menahan malu dipandang dengan senyum sinis teman-teman. Aku memandang Suraya, dia memandangku dengan senyuman. Aku mulai mahu melangkah menghampirinya. Tiba-tiba seorang teman menyiku dan menarikku untuk bergambar.

“Sabarlah, tak lari isteri kau tu,” teman-teman mula mengusikku dan ketawa pecah antara kami. Aku cuma mampu tersenyum, hanya Tuhan yang tahu betapa bahagia aku saat itu.

Aku cuma mampu memandangnya sejak kami berbicara tempoh hari. Walau kadang-kala kami dapat berbual dalam perbincangan tugasan harian. Namun, memang berbeza bila dia tiada lagi bersamaku menemaniku setiap detik dan ketika. Aku tahu, aku tak akan mampu untuk memaksa dirinya. Tapi untuk berputus asa, itu bukan caraku. Aku tahu, hatinya untukku. Cuma waktu yang jadi penghalang untuk dia mengakui segalanya. Aku akan terus berdoa dan berusaha agar Tuhan menyatukan hati kami dan aku berjaya membina sebuah kapal angkasa untuk membawanya menjejak kejora.

“Tuhan, dia bukan lelaki sempurna, dia hanya makhluk-Mu yang penuh kelemahan dan kekurangan maka teguhkan hatinya bersama-Mu dan jadikanlah dia hamba yang berkhidmat untuk-Mu dan bukan selain-Mu. Ampunkanlah dia atas segala salah dan silapnya dan tunjukilah dia jalan-Mu yang lurus.”

“Betul Su tak pernah berdoa untuk mengahwini abang?” Suraya menjeling ke arah Arif. Dia mengukir senyuman dan menggeleng perlahan.

“Maaf, terpaksa mengecewakan,” Suraya melangkah menyusuri pesisir pantai.

“Tapi, abang selalu berdoa untuk mengahwini Suraya, nampaknya doa abang lebih mustajab dari doa Su,” Suraya berpaling dan mengampiri Arif.

“Kenapa? Tak betul? Bukankah Su kini isteri abang? Doa abang selama ini telah dimakbulkan,” Arif memandang ke dalam mata Suraya. Dia dapat merasakan betapa dia mencintai wanita itu.

“Allah memang akan sentiasa mengabulkan permintaan hamba-Nya, hanya kita sebagai hamba yang selalu lupa kepada-Nya,” Suraya turut menatap ke dalam mata Arif. Dia mengukir senyuman yang lembut buat lelaki itu.

“Aku cinta padamu,” Arif mengucap lembut.

“Aku cinta kepada Allah,” Suraya tersenyum nakal. Arif mengangguk-angguk dan terus melangkah perlahan meninggalkan Suraya.

“Dan Allah menyuruhku untuk mencintai dan taat hanya pada suamiku,” Suraya bersuara agak kuat. Arif berpaling dan tersenyum menatap wajah Suraya. Dia mendekati Suraya dan meraih tanggannya.

“Su, apakah intipati utama dalam ketamadunan?” Suraya tertawa. Tangan Arif digenggam erat.

“Apa dia?” Suraya bertanya pendek.

“Perkahwinan,” Arif turut menjawab pendek. Suraya menahan ketawa dan mengangguk-angguk.

“Sayang, tanpa perkahwinan, tiada keturunan, tanpa keturunan, tiada umat manusia, maka mana mungkin tamadun bisa muncul,” Arif menatap wajah Suraya. Suraya membalas tatapan itu.

“Terima kasih, sebab tak pernah berhenti mencintai Su,” Suraya bersuara perlahan.

“Terima kasih, sebab menerima abang,” Arif membalas perlahan. Suraya mengetap bibir menahan air mata yang mahu mengalir. Arif tersenyum.

“Sudahlah, mari,” Arif menarik Suraya untuk melangkah bersama.

“Ke mana?” Suraya menatap wajah Arif.

“Ke tapak pembinaan tamadun,” Arif terus menarik tangan Suraya. Suraya tersenyum sendiri.

Kita akan bina tamadun cinta kita bersama, Suraya berbisik sendiri di dalam hati.

Binaan Cinta,

Amal Mina

1 Disember 2008

5.45 p.m.

0 comments: