Aku sukar mengerti. Dia kata dia lakukan kerana cinta. Cinta apa itu? Aku benar-benar tidak memahami.
Lama dulu dia menangis. Aku kurang mengerti mengapa? Dia kecewa. Kerana apa? Aku cuba mencungkil cerita. Kisahnya, dia khilaf menghulur cinta. Cintanya dikhianati. Cintanya tak dihargai. Dia menjadi pendiam. Seakan kesal dan meratap nasib diri.
Aku cuba merawat luka dihatinya. Itu semua takdir Ilahi. Ujian Tuhan menduga hati hambanya. Aku selongkar kisah sufi. Kisah Suraya Al-Jausi ku garap penuh emosi. Gadis miskin yang terperangkap dalam khilaf dosa dan bergelumang noda, akhirnya menjadi pendamba cinta hakiki.
Aku terus menjalin panglipurlara. Kisah Rabiah Al-Adawiyah, selebriti pencinta Ilahi menjadi hiburan. Sesungguhnya Allah tak akan membiarkan hambanya menyatakan ‘bahawa kami telah beriman’ tanpa diduga dengan ujian dan percubaan. Dalam mendamba halawatul iman sang sufi terus berdepan rintangan. Hanya kesabaran dan doa menjalin keakraban bersama Tuhan.
Kisah Hassan Al-Basri, penghulu para tabi’in itu punya pedoman menusuk kalbu. Dalam mengejar hiasan duniawi, sufi masyhur itu beroleh cinta sejati. Biar kisah silam terpalit duka, dosa dan noda, cinta Tuhan tak pernah mati. Kecapi damai selama derita masih merintang kerana cinta Ilahi sentiasa mekar dan subur menghias laman hayat pencinta-Nya.
Ternyata dia terpukau dengan ceritera-ceritera zaman sufi itu. Hingga nestapa terus memudar. Dia bertanya di mana ku temui kisah-kisah menakjubkan itu. Aku tersenyum dengan perasaan ingin tahunya itu. Aku membawanya ke toko buku. Dalam senyuman aku cuma berisyarat. Dia tertawa lucu dengan tingkah ku. Terus juga mengerti maksudku.
Dia berubah terus. Halaman demi halaman ditatap penuh emosi. Hidupnya banyak membisu, bergelumang cuma helaian-helaian yang melakar kisah dan peristiwa. Barangkali begitu asyik.
Satu hari aku cuba bertanya, tidak mahukah dia keluar bersama-sama teman-teman. Mungkin bersiar-siar di pusat membeli-belah atau menonton di pawagam. Pertanyaan setelah lama dia tenggelam sendirian. Dia seakan berubah mendadak. Aku dilanda sedikit gusar walau aku senang dia sentiasa di sisi.
Dia menatap ku. Senyuman tawar diukir bersungguh-sungguh seakan menenteramkan gundah hatiku. Dia tutur lembut, mahu tumpu pada peperiksaan besar yang bakal dihadapi. Aku senyum kembali. Harap dia benar-benar begitu.
‘Kau memang bodoh. Oleh sebab itu kau tidak layak untuk mencintai aku. Malah untuk bercinta dengan sesiapa pun,’ kata-kata dari Amirul menusuk ke jantung hati. Aku sungguh terluka. Sungguh aku mudah diperdaya, mungkin benar katanya, aku bodoh.
Kata-kata itu terus-menerus membelenggu perasaanku. Benarkah tiada cinta untukku? Aku terluka. Rasa terseksa dengan kata-kata itu. Terasa hina. Rendah diri.
Aku malu menatap wajah teman-teman. Amirul seakan tak bersalah terus melukai diriku. Lelaki yang pernah mengisi ruang kalbu kini menikam hatiku sendiri.
Aku bersendiri. Terus mengasing diri. Hidup seakan mahu berakhir. Inikah rasanya putus cinta?
Rasa dikhianati? Memang sakit. Memang pedih.
Aku hilang punca. Akhirnya aku luah kepada ibu. Ibu diam lama. Ibu tatap mata merahku berbekas air mata. Akhirnya ibu senyum. Senyuman ibu yang manis dan menenangkan. Ibu menyentuh rambut hitamku. Rambut yang melepasi paras bahu itu diusap lembut. Tangisan dan rasa pilu semakin pudar, seakan menghilang.
‘Cinta pada bunga, bunga akan layu. Cinta pada harta, harta akan binasa. Cinta pada manusia, manusia akan pergi. Cintailah Ilahi, kerana itu cinta abadi,’ ungkapan ibu membuah persoalan di wajah muramku. Tapi jauh di sudut hati, aku mengerti bicara ibu.
Ibu membuat misalan. Jika kecil dulu ibu galak bercerita kisah gadis miskin bertemu putera raja, memberi aku harapan dan impian. Kini ibu serap kisah cinta agung menenang gelora duka yang menghempas jiwa, memberi aku kepercayaan dan kekuatan.
Aku menelesuri cinta sejati itu. Aku percaya ada cinta untukku. Amirul bukan penentu arah
cinta ku. Cuma aku perlu kekuatan meraih cinta.
“Ibu, pernahkah ibu dengar tentang kisah seorang ibu di zaman Rasulullah dulu yang melepaskan
keempat-empat anak lelakinya ke medan jihad? Lalu keempat-empatnya syahid. Ibu, tidak mahukah ibu jadi seperti ibu itu? Sungguh saya lakukan ini kerana cinta. Saya pergi untuk menuntut ilmu, bukankah menuntut ilmu itu juga fi sabilillah. Insya-Allah ibu, kita akan selalu bertemu,” mata gadis itu berkaca-kaca cuba meyakinkan sang ibu yang berat mengizinkan. Seorang teman lama yang menuntut di pantai timur ditemui cuti sekolah lalu. Sahabat baik sebetulnya. Sejak kecil seingatnya. Terpisah kerana sang sahabat pergi merantau jauh ke negeri serambi Makkah. Pemergian demi memenuhi ilmu di dada. Dia pernah bertanya dahulu, mengapa dia sanggup meninggalkan keluarga tercinta pergi ke daerah yang tak dikenali. Sahabatnya cuma menjawab pendek, cinta perlu pengorbanan, aku juga lakukan ini kerana cinta. Dia tidak mengerti waktu itu, tapi kini dia mengerti sekali. Amat memahami.
Dia bercerita. Membuka pekung di dada. Bukan meminta simpati atau memburuk sesiapa. Sekadar berkongsi rasa bersama teman lama. Sebetulnya meluah duka yang pernah merasuk jiwa.
Lalu sahabatnya itu lantas bertanya, bagaimana dia atasi kekecewaan yang melanda? Dia tersenyum tenang. Merasai cinta yang mulai mengalir dalam setiap urat saraf. Kerana aku telah temui cinta, kerana aku juga boleh memiliki cinta. Dia menjawab. Yakin sekali. Menatap wajah sahabat yang ditumbuhi tanda tanya.
Dia terus menunjukkan buku-buku yang memperkenalkannya dengan erti cinta. Kisah-kisah cinta zaman lampau yang banyak memberi pengajaran. Mengajarnya cinta itu milik semua yang kuat untuk meraihnya. Percaya cinta itu miliknya. Cuma cinta perlu usaha untuk memilikinya. Ternyata dia sedang berusaha. Usaha yang sungguh-sungguh. Cuma kadang-kala dia buntu. Barangkali cinta memang begitu. Penuh halangan dan dugaan.
Sahabat setia mendengar. Mendalami dan memahami hatinya yang dilanda perasaan. Aku juga sedang meraih cinta itu. Sahabat meluah bicara setelah puas dia bercerita membuah kejutan di hatinya. Di daerah terasing itu sahabatnya diajar meraih cinta. Cinta yang dia ingin miliki. Dia terus tertarik. Mahu mendengar lagi kisah cinta yang ditemui sahabat di sana.
Dia terus memahamkan aku tentang cinta. Tentang piramid cinta. Puncaknya adalah Ilahi. Tentang pengorbanan dalam cinta. Dia kata dia perlu restu ku. Mengimbau kisah seorang pemuda yang mahu sekali menuntut ilmu tapi tanpa restu sang ibu, menempuh kepayahan dalam perjalanan, dirompak dan dicederakan. Akhirnya kerana doa ibu, si pemuda pulang menemui ibu yang selalu merindu tapi dia pulang dengan derita kerana telah kudung tangan dan kaki malah buta penglihatan. Dia bertegas, dia tak mahu jadi seperti pemuda itu. Benar-benar meminta restu ku.
Sahabatnya itu memang manis. Aku dari dulu memang senang dengan kehadirannya. Dia yang tidak punya saudara, sedari kecil sahabatnya itu sudah jadi teman sepermainan, seperti saudara kandung, berkongsi segalanya. Lebih-lebih lagi sahabatnya itu tidak punya saudara perempuan. Tentu sekali mereka serasi bersama.
Kini, dia mahu mengikut sahabat itu. Pergi meninggalkanku. Aku akan sendiri. Aku tahu niatnya baik tapi naluri keibuan ku sukar melepaskan.
Kalau dulu ketika zaman remaja, aku juga mengejar cinta yang serupa. Cinta indah yang penuh
nikmat. Tapi masih ada kekurangan. Aku kesal kerana keluargaku tak pernah mengerti cinta itu. Aku rasa gersang di tengah-tengah keluarga sendiri. Aku jadi asing. Tapi cinta itu terus mekar. Biarpun sukar dipertahankan. Aku tak mahu mengalah. Terus mengharap cinta ku tak akan gagal.
Cinta yang ikhlas pasti punya balasan. Saat usia menginjak dewasa, hadir seorang insan menawar diri menemani aku melalui perjalanan cinta itu. Insan yang selalu ku mimpi walau tak pernah ku ketahui kewujudannya. Insan yang tercipta melengkapkan dunia cintaku. Aku bersyukur, kerana bersamanya aku tak akan asing dalam meraih cinta. Bersamanya aku akan miliki keluarga yang kuidamkan selama ini.
Kami bersama. Aku bahagia. Bersama insan itu, dunia yang cerah yang ingin ku masuki kini kumiliki. Aku bermimpi miliki anak-anak yang nanti akan ku ajar mereka tentang cinta itu. Aku lahirkan dia setahun selepas itu.
Bukan mudah untuk menjadi ibu. Aku alami komplikasi ketika dia enam bulan dalam kandungan. Doktor menyarankan aku menggugurkannya. Kata doktor, dia tak mungkin selamat malah aku juga turut terdedah bahaya andai tegar mahu terus hamil. Aku berdegil. Aku sudah rasai pergerakannya dalam rahimku. Mana mungkin untuk aku membunuhnya. Semua ahli keluargaku memujuk. Insan itu terutamanya. Tapi aku tak mampu. Dia sudah bernyawa waktu itu. Aku tak mampu membunuhnya. Sungguh cintaku sudah tersemi untuknya.
Barangkali aku kelihatan berkorban demi melahirkannya. Tapi bagiku, dia sudah seperti nyawaku. Aku tak mampu hidup jika dia dibunuh. Ia seumpama membunuh diriku sendiri. Aku
tidak berkorban tapi aku mempertahankan kehidupanku.
Sungguh cinta itu satu kekuatan dan kadang-kala keajaiban. Cinta Ilahi pasti, dia kini membesar
sihat di hadapanku. Aku juga terus dapat menghirup udara dan mengecap cinta-Nya. Hanya puji-pujian pada Sang Pencinta. Aku benar-benar terharu dengan cinta-Nya yang penuh dugaan. Cinta, memang tak indah tanpa ujian.
Biarpun impian untuk miliki anak yang ramai sudah tinggal mimpi kerana rahimku telah dibuang sejak aku melahirkannya. Tapi aku bersyukur dengan kehadirannya. Sang puteri yang melestari cintaku. Dia adalah segala-galanya. Dia adalah kekuatan dan kepercayaanku.
Tiga tahu bersulam bahagia. Hidupku digegar sekali lagi. Ujian cinta hadir kembali. Insan yang menemaniku melalui perjalanan cinta, telah bertemu destinasi sebegitu awal. Sebuah kemalangan. Insan itu pergi. Pergi mendakap cinta yang diimpi. Seketika aku ditimpa luka yang parah. Kecederaan yang tak kelihatan.
Aku hampir hilang pedoman. Tapi dia menghalang. Dia yang waktu itu belum pun berusia tiga tahun. Cintanya. Sungguh dialah kekuatan dan kepercayaanku.
Dia memberi aku nyawa. Dia buat aku terus bertahan. Aku jadi lupa pada cinta yang ingin ku raih dulu. Apa yang pasti aku mahu lakukan terbaik untuknya. Aku berusaha hidup dengan bahagia. Agar dia juga bahagia.
Aku membesarkannya sendirian selama hampir dua belas tahun. Dia beri aku kekuatan
untuk berdepan apa jua derita dan dugaan. Tiap kali memandangnya, aku beroleh semangat. Aku hidup kerananya.
Kini dia mahu pergi. Pergi kerana cinta. Cinta apa itu? Aku sukar mengerti
.
“Restu ibu penting. Taat pada ibu satu kewajipan. Ulama besar, Syeikh Abdul Qadir Jailani sewaktu kecilnya ingin berpergian. Anak kecil yang dilepas sang ibu demi untuk menuntut ilmu. Pesan ibu cuma satu, amanah. Dalam perjalanan, rombongan yang disertai si anak dirompak. Berkat pesan ibu, si anak berpegang pada amanah. Apabila ketua perompak bertanya di mana dia meletakkan wangnya, dengan jujur anak yang taat itu memberitahu kepada ketua perompak. Kejujuran dan amanah bukan saja menyelamatkan nyawanya tapi membuah keinsafan kepada ketua perompak. Itu secebis kisah ibu. Saya yakin ibu juga tahu kisah itu. Ibu mengertilah, saya lakukan ini kerana cinta,” sang gadis tak henti berbicara. Amat berharap hati si ibu dapat dilembutkan.
Dia sudah menginjak usia remaja. Dia membesar di hadapanku dari seorang bayi yang
dilahirkan, keluar bersama-sama sekali rahimku melalui pembedahan yang menjadi penentu hidup dan mati hingga menjadi gadis sunti yang manis sekali. Aku melihat dia menangis, bertutur pelat-pelat, mengeja, membaca hingga kini bisa petah bicara memujuk aku. Aku melihat dia mula meniarap, merangkak, bertatih, berjalan, berlari hingga kini mahu pergi meninggalkan ku.
Akukah yang terlalu tua tidak mengerti jiwa remajanya? Aku cuma tak bisa kehilangan nyawaku. Aku akan mati.
Akukah yang terlalu degil dan pentingkan diri? Aku bersamanya sekian lama. Aku tak sanggup berpisah dengannya.
Aku terkenang zaman remajaku. Aku memang jauh dari keluarga. Malah aku tak rapat sama sekali dengan mereka. Ayahku ahli korporat, jarang di tanah air. Biasanya di seberang laut, mengumpul dana untuk terus melabur. Bila pulang sekali-sekali ayah bawa bersama hadiah yang pelbagai dari dunia sebelah sana. Hadiah yang mahal-mahal dan cantik-cantik tentunya. Mamaku aktif berpersatuan. Mama selalu bertanya itu dan ini padaku. Nyata ambil berat tentunya. Tapi belum sempatku bercerita pasti ada panggilan yang memanggil atau tetamu yang bertandang.
Aku memutus untuk ke sekolah asrama. Seperti abang dan kakak yang pintar-pintar, mereka berjaya mendapat tempat ke sekolah berasrama penuh. Aku kurang bernasib baik, lantas terdampar ke sebuah sekolah agama. Jauh di utara semenanjung. Pada mulanya mama membantah, ayah langsung tidak kisah. Terlalu sibuk untuk memikirkan tentang soal mudah persekolahan anak-anak. Mama juga mengalah kemudiannya kerana juga tenggelam dalam kesibukan. Aku terlepas. Sendiri menjalin hidup di negeri terkecil itu.
Aku pergi. Aku harap ayah dan mama menghalang. Sungguh-sungguh menghalang. Tapi aku terluka, kecewa dengan sikap mereka. Mungkin ini takdir hidupku. Dalam kesal yang amat
sangat, aku temui cinta di situ. Cinta di madrasah.
Cinta yang aneh. Cinta yang membawa bahagia. Aku jadi redha dengan takdir diri. Aku berhenti
menyalahkan ayah dan mama. Belajar untuk bersyukur dengan apa yang telah kuperoleh.
Namun cintaku sering diuji. Tiap kali kembali ke teratak itu, aku jadi asing, jiwa jadi gersang, cinta bagai hilang. Banglo mewah itu suram tanpa cinta. Ayah dan mama semakin tidak ku kenali, keluarga bukan lagi penting bagiku. Aku bahagia dengan cintaku.
Tamat persekolahan aku tekad ke bumi kinanah itu. Aku terus mahu mengejar cinta itu. Ayah dan mama tidak banyak memberi pendapat. Cuma berpesan dan mengingatkan, mereka mahu aku tahu mereka sentiasa menyokong ku dan akan membantu aku dalam apa jua keadaan. Aku membalas dengan senyum tawar.
Aku pergi mencari cinta di bumi Musa itu. Bumi yang di sana lahir beribu insan yang turut meraih cinta seperti cinta yang ingin kuraih. Lebih separuh dekad aku menyelami erti
cinta bersama aliran Sungai Nil. Sungai yang tenang mengalir, yang melimpahkan cinta pada setiap warga di tebingnya. Aku makin mengerti. Setelah sekian lama, setelah aku kuat dan percaya betul pada cinta itu. Aku menjejak kaki semula ke tanah air.
Ayah dan mama sudah tidak begitu sibuk. Abang dan kakak sudah mengambil alih perusahaan mereka. Aku gembira. Gembira amat. Umpama inilah dentinasi cinta yang ingin ku tuju selama ini. Tapi aku khilaf. Perjalanan cintaku masih panjang.
Tak sampai setahun aku mengecap cinta yang kuimpi bersama ayah dan mama. Mereka pergi buat selama-lamanya. Aku pilu. Tapi aku tahu aku perlu redha.
Selepas itu aku mendirikan rumah tangga. Cinta itu terus mekar. Ya, sehingga aku bergelar balu. Aku terlalu sibuk dalam sendirian itu. Demi dia. Demi membesarkannya aku seakan terlupa tentang cinta yang bertahun-tahun ku raih.
Cinta itu memudar. Dalam kelukaan aku membina bahagia bersamanya. Ya, cinta itu masih ada, cuma aku tak baja dan siram ia. Cinta itu makin layu. Mungkin hampir mati dalam gersang perasaan kerana segalanya adalah untuk dia.
Ini semua kerana cinta. Dia juga mahu pergi. Akukah yang tidak mengerti?
Aku mengerti hati ibu. Ibu cuma ada aku selama ini. Tak pernah berjauhan untuk jangka masa yang lama. Aku juga berat mahu meninggalkannya. Tapi panggilan cinta itu begitu sukar untuk tidak dipedulikan.
Aku ingat lagi ketika menyertai lawatan cuti tahunan dua tahun lalu, walau cuma seminggu, ibu
bersungguh-sungguh melarang. Aku kecewa sekali saat itu. Aku memberontak. Tak puas hati ibu asyik membantah. Akhirnya ibu ambil cuti seminggu. Sepanjang malam memandu sendirian ke Cherating mengiring bas rombongan kami.
Aku marah sekali. Malu dengan tingkah ibu. Hingga saat ini masih ada teman-teman yang mengusikku anak manja. Aku tidak lagi menyertai mana-mana lawatan atau aktiviti yang
menyebabkan aku terpaksa berpisah dengan ibu. Aku serik dengan sikap ibu.
Dahulu aku sukar mengerti. Tapi ibu tak henti-henti memujuk dan memberi aku pengertian. Ya, aku mengerti tingkah ibu. Aku kini makin dewasa untuk memahaminya.
Tapi aku ada impian. Aku gadis yang mahu bebas. Bukan aku tak sayang ibu. Bukan aku mahu tinggalkan ibu. Aku juga tak punya sesiapa selain ibu.
Dunia ini dicipta Tuhan sangat luas. Aku tak mahu selamanya terkurung dalam dunia kecil ibu. Aku tahu ibu banyak terluka. Aku tahu ayah yang hanya ku ingati wajahnya dalam foto itu telah lama pergi. Ibu sudah lama derita.
Untuk membesarkan aku, ibu tempuh segala kepayahan. Kini setelah aku mulai boleh berdiri sendiri, aku mahu meninggalkannya. Aku tahu itu tidak wajar. Aku rasa berdosa sekali
tiap kali air matanya berlinang mendengar permintaanku.
Tapi aku sukar mengerti betapa hatiku keras. Ah, memang selama ini aku anak yang keras kepala. Segala yang ku ingini, pasti mahu ku peroleh. Ibu yang kasihan, dalam berat terus berusaha memenuhi permintaan ku.
Aku terkenang waktu aku mula mengenal Amirul. Lelaki itu memang ramai peminat. Lalu umpama rembulan jatuh ke riba, aku terus bersetuju saat lelaki itu menawarkan aku menjadi teman wanitanya. Waktu itu, dalam ruang pandanganku yang sempit, Amirul adalah lelaki yang hebat. Kacak dan menarik. Aku bangga. Sekurang-kurangnya tiada sesiapa yang memandang rendah pada diriku. Biarpun ada bisik-bisik yang kurang senang. Aku tidak peduli. Bagiku mereka cemburu. Cemburu aku bergandingan dengan Amirul.
Amirul selalu mengajakku menghabiskan waktu hujung minggu di pusat membeli-belah. Kadang-kadang selepas sesi persekolahan juga. Aku senang sekali memenuhi ajakannya itu. Amirul ada sesuatu yang lebih selain ketampanannya. Setiap gadis yang berjalan beriring dengannya pasti menerima tempias keistimewaan itu.
Ibu kurang senang bila aku mulai tidak melekat di rumah. Ibu menegur. Tapi aku memberontak, membentak ibu terlalu mengongkong. Aku ungkit kisah lalu ketika ibu tidak membenarkan aku untuk mengikuti sebarang lawatan. Aku mengingatkan ibu betapa aku bukan lagi anak kecil yang perlu dipimpin sepanjang waktu. Aku meminta sedikit kebebasan.
Ibu mengalah akhirnya. Sedar betapa aku sudah meningkat remaja. Ingin mencuba dan merasa. Ibu berserah dan merelakan tingkahku.
Tapi ibu terus mendekatiku. Sesekali tidak membiarkanku sebegitu saja. Ternyata ibu wanita
bijak, pendekatan ibu tidak menekanku. Aku senang begitu.
Namun itu semua sia-sia belaka. Amirul bukan lelaki setia. Ah, lelaki kasanova seperti itu! Amirul bermain kayu tiga. Aku marah sekali. Kami bertengkar besar. Lelaki itu tak pernah mahu mengalah malah menghinaku.
Aku kesal mengenali Amirul. Kadang-kadang aku terfikir, kesalkah aku nanti dengan keputusan yang bakal aku lakukan ini? Ah, cinta itu terlalu kuat! Sukar ku pendamkan. Adakah sekuat saat aku bertengkar dengan ibu dulu kerana Amirul? Aku keliru. Payah untuk menilai.
Ibu, ibu, mengapa sering kita berantakan? Barangkali cinta antara kita. Sukar dimengerti cinta yang melingkari sejak aku membenih di rahim ibu. Baik atau buruk, cinta sukar mengerti. Mungkin itulah, cinta dikatakan buta. Buta untuk menilai lantas selamanya dalam kekeliruan. Ah, aku mahu keluar!
Barangkali memang aku yang tak mengerti. Barangkali aku yang tak berlaku adil. Barangkali aku bersikap prejudis. Barangkali aku yang mementingkan diri.
Barangkali situasi itu berbeza. Barangkali matlamat tidak serupa. Barangkali alasan tak sama. Tapi cinta itu serupa.
Kerana cinta itu sukar dimengerti aku tak daya melepaskan dia pergi. Cinta antara kami. Hingga aku lupa. Lalu aku alpa. Betapa dalam urat nadi ku mengalir cinta itu.
Dari rahimku dia lahir. Pasti cinta itu mendarah daging. Walau cinta itu kian pudar hari demi hari tapi aku tak mampu menipu betapa kini aku merindu. Kerinduan pada perasaan saat cinta itu mekar di lubuk sukma.
Benar dia mengingatkan. Sungguh dia menyedarkan. Lantas aku bermuhasabah. Berkira-kira betapa selama ini aku dalam pelarian. Lalu dia entah tanpa sengaja mengembalikan ku pada titik permulaan. Biarpun dia yang sebenarnya tercari-cari noktah itu.
Barangkali sudah tiba waktu itu. Barangkali aku perlu kembali. Medan darurat itu telah ku
lewati. Barangkali telah berjaya ku atasi.
Dia sudah dewasa. Mungkin belum terlalu dewasa. Tapi cukup matang untuk ku biar dia belayar
mencari arah tujuan. Cuma aku sesekali menjadi umpama ahli nujum memberi pandangan. Barangkali aku patut biar dia menjadi nakhoda dalam bahterakehidupannya sendiri. Ya, nakhoda memang perlukan ahli nujum untuk merenung bintang di langit malam menentu arah laluan.
Aku juga boleh mengenang cinta lalu. Barangkali aku bisa semai benih baru. Punya lebih banyak waktu untuk memerhatikan cinta itu. Punya waktu menabur baja dan menyiramnya. Penjagaan yang sempurna mungkin saja menyuburkannya, cinta itu akan tumbuh segar, berbunga mekar dan berbuah ranum. Betapa indah. Sudah lama tidak ku merasakan kemanisan seperti itu.
Barangkali dia cuma gadis sunti, di bawah umur pula. Tapi dia adalah anak. Anak kepada aku,
ibunya. Dia adalah aku. Dia seperti aku. Dia sama sekali serupa aku.
Aku punya mimpi. Dia menggantung impian. Aku tegar. Dia keras. Barangkali cita-cita tak selalu tercapai. Biarlah dia mengejar. Jatuh sungkur bukan kekalahan. Tiap tangisan
yang dia sendukan pasti berbekas pengajaran.
Aku merenung masa silam. Aku terluka. Aku kecewa. Bukan sekali air mataku tumpah. Tapi ia menjadikan aku, aku hari ini. Seorang ibu tanpa bantuan sesiapa membesarkannya. Barangkali ayah dan mama mendidik dengan begitu sempurna, hingga aku kuat begini.
Aku tak akan mampu melindunginya selamanya. Satu waktu aku akan tinggalkannya. Kalau aku tak mampu melihat air matanya waktu ini, dia tak akan bisa meredakannya sendiri andai air mata itu mengalir dan aku tiada di sisinya untuk menyeka air mata itu.
Sudah tiba waktu itu, aku perlu percaya pada dia. Biar dia belajar menyapu sendiri air mata. Aku
juga perlu percaya pada diri aku, betapa dia cuma satu amanah. Tanggungjawab yang perlu ku tunaikan. Sungguh antara kami ada cinta. Tapi cinta itu bukan halangan untuknya meraih cinta-Nya. Bukan juga sekatan bagiku.
Ya, aku juga perlu belajar hidup tanpanya. Seperti aku yang akan meninggalkannya, mungkin
saja dia dulu meninggalkanku. Aku bukan wanita lemah. Memang dia kekuatanku. Memang dia kepercayaanku. Tapi aku yakin kekuatan dan kepercayaan akan dapat kuraih semula kerana sebelum dia lahir aku telah miliki kekuatan dan kepercayaan itu. Ya, cinta yang memberi rasa kuat dan percaya.
Barangkali aku sudah mengerti. Bukan saja kerana cinta yang ingin diraihnya. Tapi juga kerana
cinta yang telah ku tinggalkan.
Pantai Cahaya Bulan berombak tenang. Dulu nama pantai itu Pantai Cinta Berahi. Entah mengapa ditukar nama? Barangkali berahi itu tidak kena maknanya tapi cinta itu tampak
indah sekali saat ini.
Maria menggenggam tangan Aishah. Mentari pagi masih lambat-lambat menunjukkan diri. Kaki langit berwarna jingga. Langit kelabu semakin membiru. Suara ombak begitu mengasyikkan.
Mereka menghayati. Pertama kali menikmati. Suasana matahari terbit dari ufuk timur. Angin bertiup nyaman. Bau masin Laut China Selatan dapat dihidu jelas. Maria merapatkan tubuh memeluk bahu Aishah. Pandangan bertaut. Betapa bahagia. Kepala didaratkan di bahu Maria. Dingin pagi hari sedikit hangat terasa.
Percutiaan yang penuh cinta di pantai cinta. Perasaan yang sukar digambarkan. Bahagia bersama
tapi resah menduga jiwa. Perpisahan bakal melanda.
Maria mengeselkan pipinya yang dingin ke kepala Aishah yang diliputi selendang biru muda. Warna kegemaran Aishah. Hatinya sayu sekali. Beberapa jam lagi dia akan menghantar Aishah ke sekolah agama pilihan Aishah yang sejam perjalanan dari pantai cinta itu. Ingin rasa hatinya, andai mampu, menghalang mentari pagi bersinar cahayanya. Biar hari tak berganjak, masa tak bergerak. Biar selamanya Aishah dalam dakapan.
Tapi masa makhluk yang taat. Tanpa jisim dan jasad terus hidup sepanjang zaman. Dia tak mampu menahan. Dia tak kuasa menyekat. Keputusan telah tetap. Hidup perlu diteruskan.
“Ibu, saya akan meraih cinta itu. Saya tak mampu untuk berjanji, tapi saya akan berusaha sedaya-upaya saya. Ibu doakan saya ya,” Aishah menggenggam erat tangan Maria. Suaranya kedengaran sayu sedikit tersekat-sekat.
“Ibu mengerti sayang,” Maria membalas bicara. Nada yang perlahan tapi penuh perasaan.
Langit sudah cerah. Mentari bersinar terang. Angin semakin kering. Ombak terus menghempas. Aishah merungkai pelukan Maria.
“Ibu, mari pergi sarapan. Saya lapar la,” anak matanya memandang tepat mata sang ibu. Maria membalas renungan, tersenyum pahit lantas mendakap erat tubuh langsing Aishah.
Aishah dapat merasakan sebak dalam diri Maria. Rasa serba salah bertaut kembali. Dia kelu untuk menutur kata-kata. Resah untuk menenangkan gelora rasa di hati Maria.
“Jangan risau sayang, ibu mengerti cinta itu,” Maria melonggar pelukan. Air mata berkolam di
tubir mata.
“Ibu, saya...” Aishah terhenti bicara.
“Ibu mengerti sayang,” Maria menatap wajah anak daranya yang manis itu. Tangannya mengusap kepala Aishah.
“Tapi ibu menangis...” Aishah masih mahu terus berbicara.
“Ibu tak sangka anak ibu dah besar, cantik pula. Tentu ramai yang minat dekat sekolah baru nanti,” Maria terus lembut berkata-kata. Wajah Aishah memerah mendengarnya.
“Ibu ni, ada-ada saja,” Aishah menahan malu.
“Sudahlah mari kita pergi sarapan,” Maria menarik tangan Aishah. Aishah bingkas berdiri. Mereka berjalan beriringan melintasi pantai yang putih pasirnya. Terasa betapa lembut pasir itu, selembut cinta. Ah, pantai itu sesuai sekali dengan gelarannya! Cahaya dan cinta itu serupa.
Aku mencari erti
Pada susunan aksara itu
Pencarianku buntu
Hampir sekali putus asa
Malam berganti siang
Detik berlalu waktu
Masa tidak menanti
Erti itu bukan satu
Kerna cinta ku mengaku
Sampai bila perlu menari
Pabila mentari hilang cahaya
Sampai waktu akan berlaku
Tarian sinar purnama
Kerana cinta ku mengerti
Ada cahaya yang menyeri
Gelita hati tidak mati
Kejora masih menghiasi
Biar mentari dan purnama bersembunyi
Tepukan bergema. Aku menunduk tanda hormat. Segaris senyuman bahagia terukir di bibir umi dan nenek. Aku ukir senyuman dari pentas serba indah itu.
Petang yang harmonis. Aku peserta terakhir. Para hadirin dijamu minum petang. Selepas itu barulah para pemenang akan diumumkan.
Puisi itu ku nukil sempena kisah cinta kami. Bukan kemenangan yang kuburu tapi kepuasan dalam berkarya. Ah, barangkali ini cintaku! Aku puas dapat memperdengarkan suara hati, mendeklamasi puisi cinta di hadapan khalayak yang turut mencintai seni itu. Aku harap ada yang mengerti. Paling tidak, aku meluahkan pada dua insan itu betapa bererti cinta mereka padaku.
Aku melamun lama. Minuman kotak di tangan hanya sekadar kugenggam. Dewan sekali lagi dipenuhi hadirin yang menanti keputusan diumumkan.
“Johan Pertandingan Puisi Antara Sekolah-sekolah Agama Zon Selatan jatuh kepada Suraya Habib binti Salehuddin,” suara juruacara majlis bergema. Jelas sekali di pendengaran. Aku tergamam di tempat duduk sebelum peserta di sebelah kiri menyiku, menyedarkanku untuk tampil ke atas pentas.
“Dipersilakan Adik Suraya Habib untuk sekali lagi memperdengarkan bacaan puisinya,” suara juruacara menampar gegendang telinga. Seumpama refleks aku atur langkah ke pembesar suara di tengah pentas.
Mataku mencari-cari kelibat umi dan nenek. Mereka memandangku penuh perhatian. Aku mengukir senyuman dari pentas itu khas buat mereka. Percayalah, aku bahagia dengan cinta yang ku raih.
“Ini dedikasi untuk bonda saya Aishah binti Abu Bakar dan nenda saya Maria binti Imran. Sungguh ku mengerti cinta ini,”
0 comments:
Post a Comment