Pages

Monday, December 29, 2008

Maal Hijrah 1430 H



Selamat Tahun Baru Hijrah 1430........


Pertama kali rasanya tahun baru hijrah dan masihi hanya berlangsung selang beberapa hari. Apabila menjelang tahun baru, aku selalu membuat pelbagai azam dan harapan, merancang impian dan cita-cita. Aku seakan menjadi manusia baru dan lebih bersemangat untuk menghadapi kehidupan. Setiap kali tahun baru, aku sentiasa punya fikiran yang positif untuk bangkit semula dan memulakan segalanya. Untuk memperbaiki yang salah, untuk menyambung yang belum selesai juga menghentikan apa yang tidak sepatutnya.


Aku gadis yang optimis, penuh impian dan harapan. Hidupku sentiasa ke hadapan tanpa pernah mahu kembali ke belakang. Orang kata zaman kanak-kanak begitu indah, hingga ada yang mahu kekal menjadi kanak-kanak. Tapi aku tak pernah merasa begitu, aku tak pernah merasa puas dengan kehidupan yang lalu. Aku merasa sentiasa mahu terus bertemu masa depan, menjadi dewasa dan hidup berdikari. Aku sentiasa mahu bergantung pada diri sendiri, menjalani kehidupan tanpa kesal dan kecewa. Biarpun seribu satu cabaran dan rintangan akan terpaksa aku lalui, aku akan terus melangkah dan lalui hidup ini.


Kadang-kadang aku selalu mengharap tahun baru tiba lebih awal, supaya aku lebih cepat berubah, merancang impian dan melaksanakan cita-cita. Ya, tahun baru adalah waktu yang sering ku nanti saban tahun. Biarpun bukan semua impian dan cita-cita itu terlaksana, tapi aku sedar, tiap kali aku membuat azam, aku sedaya-upaya untuk merealisasikannya. Aku tak akan berhenti untuk berazam, kerana aku yakin, suatu hari nanti aku bakal menjadikannya satu kenyataan.

0 comments: