Pages

Tuesday, December 16, 2008

Bicara Siti Solehah

‘Indahnya perkenalan jika bersulamkan keikhlasan,

moleknya persahabatan andai setia yang dipertaruhkan

dan untungnya berkasih jika kekal selamanya’

Aku terima mesej dari dia buat kesekian kali. Aku berkira-kira, mahu membalas atau tidak. Dia lelaki pilihan aku. Tapi benarkah dia cintaku? Bicara panjang bersama Siti Solehah petang kelmarin bagai igauan yang masih terngiang-ngiang di telinga ku hingga saat ini.

“Rasa cinta itu anugerah Tuhan kepada hamba-Nya. Namun cinta itu milik-Nya, sewajarnyalah kita mencintai-Nya lebih dari segala-galanya,” senyuman manis di ukir mengakhiri bicara. Lunak tutur bicara dari gadis itu seketika mempesona pendengaranku.

Aku hairan gadis lembut yang manis dan sopan sepertinya masih tidak punya pasangan. Pasti ramai kumbang di taman menara gading ini yang menaruh hati kepadanya. Tentu dia saja yang ‘jual mahal’. Monolog hatiku terhenti saat suara lunak itu menyapa lagi gegendang telinga ku.

“Su…”

“Ya….. Cuma Siti, kadang-kadang perasaan itu ingin berteman, rasa kosong dan sepi, sunyi, kira normal lah bila ada perasaan seperti itu, sebaliknya Siti kalau orang itu tak ada perasaan macam itu, dia lah yang tak normal,” aku pula meluahkan bicara. Tentu sekali senyuman tak lekang dari bibir merah merekahnya. Begitu menyejukkan hati.

“Manusia tak punya apa-apa Su… andai hati ini dilanda resah, dilambung ombakmahupun badai… hati ini milik Dia, Dia yang memberi penawar mahupun racun. Dia pemilik nikmat dan bencana. Sandarkan cinta kepada-Nya, nescaya Dia akan menjaga hati itu selalu…” senyuman mula pudar, mata Siti Solehah seakan berkaca. Namun wajah itu kelihatan kekal indah bercahaya.

“Siti…Siti…Siti menangis ke?” aku cuba memandang wajah yang ditunduk sedikit. Siti Solehah mendongak, kembali tersenyum manis. Namun matanya yang merah tak dapat disembunyikan.

“Su pernah dengar tak ayat Al-quran yang berbunyi, ‘La taqrabuzzina’?” dengan suara lunaknya, dia terus menutur bicara. Aku menggeleng cuma, sungguh aku tak pernah mendengar tentang ayat Al-quran itu, bersekolah di sekolah harian biasa menjadikan aku seorang yang begitu jahil tentang agama ku sendiri tak seperti Siti Solehah, lepasan sebuah sekolah agama terkenal di pantai timur. Dia begitu fasih berbicara, lebih-lebih lagi tentang Islam. Seringkali aku sedari, saat
lidahnya begitu lantang berbicara dengan hujah yang berapi-api. Matanya bersinar. Orang kata, andai mata seseorang itu bersinar saat berkata-kata tentang sesuatu, maka orang itu sedang berbicara tentang sesuatu yang amat dicintai atau disukainya. Tapi, adakah mata ku bersinar saat berbicara tentang Khairul Anas?

“Su tak nak tahu maknanya?” lamunan aku disedari Siti Solehah rupanya. Lama kami terdiam
saat aku melayan perasaan. Aku mengangkat wajah memandang wajah manis gadis itu, mengukir senyuman dan mengangguk perlahan.

“Maafkan Su, tapi Su dengar apa yang Siti katakan,” ku atur bicara. Terasa sopan dan manis. Aku tersenyum sendiri. Aku memang agak kasar, namun kini aku sedar rupanya indah dengan kelembutan. Benarlah wanita diciptakan dengan kelembutan bukan sebagai penghinaan kepada mereka sebaliknya ia adalah anugerah sebagai hiasan untuk mencantikkan lagi ciptaan Tuhan
ini. Bukankah wanita hiasan dunia dan seindah hiasan adalah wanita solehah. Pastinya
wanita solehah itu begitu lembut dan sopan. Ku ukir senyum sendiri, berdoa dalam
hati agar aku menjadi antara hiasan yang indah itu.

“Maksudnya ‘jangan kamu mendekati zina’,” Siti Solehah memandang ke arah ku. Aku sekadar
mengerutkan dahi. Tidak mengerti.

“Kenapa Allah berfirman ‘jangan kamu mendekati zina’ kenapa tidak Allah berfirman ‘jangan kamu berzina’?” Siti Solehah mula berteka-teki. Aku merenung wajahnya, sekadar mengangkat kening dan menjungkitkan bahu sambil menjuih bibir tanda akal ku masih gagal menterjemahkan makna bicaranya. Ternyata senyumannya terus terukir manis.

“Su..sayang.. itu bermaksud Allah melarang kita sama sekali mendekati sesuatu atau perkara
yang membawa kepada zina. Larangan Allah hukumnya wajib dipatuhi dan berdosa melanggarnya. Dosa zina itu terlalu besar Su, dalam Islam hukum bagi penzina yang belum berkahwin adalah 100 kali sebatan dan bagi yang sudah berkahwin pula direjam sampai mati,” bicara Siti Solehah kali ini membawa rasa gerun di jiwa ku.

“Tidakkah hukuman itu terlalu berat Siti, tambahan pula setahu saya hukuman itu dilaksanakan di hadapan khalayak ramai,” aku pula menimbulkan persoalan yang tiba-tiba menerjah pemikiran.

“Su, kita hanyalah makhluk ciptaan-Nya. Siapalah kita untuk mempertikaikan hukum
ketetapannya? Dia Tuhan yang mencipta kita, siapa lagi yang lebih mengetahui keperluan ciptaannya selain penciptanya? Su, sesungguhnya akibat zina sangat besar kepada masyarakat. Ia merosakkan nasab keturunan, nasab keturunan yang rosak akan membawa banyak masalah kepada masyarakat. Anak hasil zina tidak dapat di bin atau bintikan kepada ayahnya, cuba Su bayangkan hidup tanpa nasab keturunan yang jelas. Dia akan membesar dengan kehinaan. Malah dia juga tidak punya wali dan tidak punya hak dalam harta pusaka. Maka sewajarnyalah hukuman yang berat dikenakan. Tambahan lagi jika penzina sudah berkahwin, ia akan merosakkan rumah tangga, dan anak yang dilahirkan jika penzina itu wanita membawa masalah untuk dinasabkan pada ayah yang mana. Andai tidak dipastikan betul-betul dan berlaku kesilapan, anak perempuan dan ayah akan menanggung dosa pula kerana aurat perlu dijaga andai mereka bukan muhrim. Tambahan pula andai si ayah menjadi wali kepada anak perempuan itu, perkahwinan itu tidak sah. Su, bercakap soal hukuman yang dijalankan di khalayak ramai pula, ia adalah salah satu cara pencegahan dalam Islam. Bukankah, mencegah itu lebih baik dari mengubati? Sesungguhnya Su, pesalah yang dihukum itu mendapat pahala andai bila dia dihukum ia membawa kesedaran kepada orang ramai yang menyaksikan. Malah pahala itu berterusan hingga dia mati andai kisah dia dihukum terus menerus memberi kesedaran kapada orang lain yang mendengar. Insya-Allah, mana tahu pahala itu akan membawanya ke syurga Allah? Sesungguhnya Su, bila kita sudah menerima hukuman atas dosa-dosa kita di dunia kita akan kembali kepada-Nya tanpa bebanan dosa itu lagi. Ini bermakna setelah kita menerima hukuman di dunia ini, kita tak akan lagi menanggungnya di akhirat kelak. Sakit di dunia ini sebentar cuma tapi seksaan akhirat lebih dahsyat dan lama pula.Mahukah Su mendengar kisah anak khalifah Umar Al-Khattab yang di hukum kerana berzina?” aku membeliakkan mata, seakan tak percaya mendengar bahawa anak khalifah Islam yang masyhur itu turut boleh terjebak kepada zina. Siti Solehah mengambil nafas selepas berbicara panjang lebar. Namun bicaranya terus-menerus menarik hatiku.Sungguh jahil aku ini rupanya. Adakah aku ini cuma Islam pada nama? Detik itu aku bertekad, aku perlu lebih banyak belajar tentang agama yang ku anuti hampir 19 tahun ini. Islam bukan setakat solat, puasa sahaja. Islam itu cara hidup. Islam itu sempurna,hanya mereka yang tak memahaminya akan memandang serong kepadanya. Aku tak mahu menjadi salah seorang dari mereka. Aku mesti memahami Islam dengan lebih mendalam.

“Su… nak dengar tak?” suara lunak Siti Solehah menerpa kembali gegendang telingaku. Aku memandang wajahnya, tersipu kerana sekali lagi aku ditangkap mengelamun. Aku cuma mengangguk. Siti Solehah tersenyum, menggeleng-geleng kepala sedikit. Barangkali agak kesal dengan sikap ku yang seakan tak memberi perhatian pada bicaranya.

“Maaf Siti, Su terkhayal sikit tapi Su dengar semua yang Siti cakap, betul…” aku memandangnya penuh perhatian menunjukkan kesungguhan di hatiku. Siti Solehah masih mengukir senyuman.

“Pada zaman pemerintahan Umar Al-Khattab, datang seorang wanita dengan seorang bayi. Wanita itu mengatakan bayi itu adalah cucu Umar hasil penzinaan anak lelaki Umar dengan wanita itu. Umar pun memanggil anaknya dan bertanyakan hal itu, dengan menangis penuh penyesalan anaknya itu mengaku pernah berzina dengan wanita itu tapi ketika itu dia dalam keadaan mabuk dan tidak sedarkan diri. Sebaik mendengar pengakuan itu, Umar terus memerintahkan supaya hukuman sebat dilaksanakan. Umar sendiri telah menyebat anaknya di hadapan khalayak ramai, anaknya merayu-rayu agar dia diampunkan. Tapi tidak diendahkan Umar. Sehingga akhirnya anaknya itu mati tapi sebatan ketika itu belum genap seratus kali. Maka Umar terus menyebat, para sahabat yang melihat meminta agar Umar berhenti menyebat kerana anaknya itu telah pun meninggal dunia. Namun tetap tak diendahkan Umar, sebaliknya hanya berhenti setelah genap 100 kali sebatan. Malamnya Umar bermimpi didatangi anaknya itu dengan wajah bersih dan berpakaian putih bersih, tersenyum kepada Umar sebelum pergi. Su dapat tak pengajaran dari cerita ini?” Siti Solehah memandang ke arah ku penuh makna. Aku
merenung matanya, menarik nafas sebelun mengangguk dua kali tanda mengerti.

“Menariknya tiap bicara Siti, namun, apa kaitannya dengan Su?” persoalan pokok kini ku utarakan. Mencari inti sebenar perbualan kami. Siti Solehah tersenyum sambil ku lihat dadanya berombak mengambil nafas.

“Anis Suraya, are you in love?” aku memandang tepat ke mata Siti Solehah, penuh tanda tanya. Siti Solehah tersenyum dan mengalih pandangan ke arah tasik yang luas terbentang di depan kami.

“Are you happy with this way of life?” Siti Solehah masih merenung tasik yang hijau airnya.
Aku memandang sisi wajahnya. Ingatan membawa kepada Khairul Anas.

Setahun lalu jejaka itu benar-benar menawan hatiku. Tamat Sijil Pelajaran Malaysia, cuti panjang yang membosankan dan melalaikan. Kekosongan dan kesepian terisi saat jejaka itu mengetuk pintu hatiku. Ingatan membawa kepada pesanan-pesanan ringkas romantis yang dititip tiap detik dan waktu. Sembang-sembang nakal yang sering mencuit naluri kewanitaan ku. Sungguh aku senang dengan kehadirannya di sisi ku. Menemani kesepian dan kekosongan yang merantai diri.

Setelah sebulan berhubung melalui telefon mudah alih, dia mulai berani mengajak ku keluar. Dia
teman sekolah, namun aku jarang sekali bertegur-sapa dengannya. Namun,cuti panjang kali ini berjaya merapatkan hubungan kami. Aku ragu-ragu pada mulanya memenuhi tawarannya itu. Bagaimana untuk bisa ku berdepan dengannya? Apatah lagi bukan sebagai teman biasa, sebaliknya kekasih? Benarkah kekasih? Namun pemikiran yang berbolak-balik terus saja kuabaikan, aku setuju dengan perlawaan jejaka itu. Kami bertemu. Pada mulanya, sepi menemani pertemuan kami. Namun, dari satu demi satu bicara diatur. Akhirnya kami
biasa. Akhirnya pertemuan demi pertemuan turut di atur saban minggu. Aku senang sekali
menghabiskan waktu bersamanya. Kami menontonwayang bersama, membeli-belah,
bermain bowling, meluncur ais, ke taman tema, malah kadang-kadang dia membawa ku
menonton perlawanan bola sepak dan futsal kegemarannya. Aku dapat rasakan
betapa hidupku saat itu penuh warna-warni, segalanya indah. Dia melayan aku bagaikan
puteri walaupun adakala ada pertelingkahan. Namun itu biasa, sedangkan lidah lagi
tergigit, inikan pula dalam perhubungan.

Namun segalanya berubah apabila kami masing-masing diterima masuk ke menara gading ini. Ya, mungkin jodoh kami mendapat tempat di universiti yang sama. Namun kami berbeza fakulti. Kesibukan sebagai mahasiswi sering menuntut masa dan tumpuan ku pada pembelajaran. Aku sudah tidak punya masa untuk keluar bersamanya malah untuk menghantar pesanan dan menelefon pun aku terpaksa mengira-ngira waktu yang ada. Tetapi dia kekal seperti dulu, terus menghantar pesanan demi pesanan dan mengajak ku keluar bersama setiap hujung minggu. Namun seringkali pula aku terpaksa menolak dengan seribu satu alasan. Saat ini aku merasakan kehadirannya menyesakkan dan merimaskan hidup. Kadang-kadang aku terasa kejam berperasaan begitu, terasa aku tak ikhlas dalam perhubungan kami. Namun aku tak mampu
membelakangkan pembelajaran demi dia. Jerih payah aku belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat tempat di universiti, tak akan semudahnya aku abaikan. Salahkah aku kerana mementingkan sesuatu yang lebih penting dari yang penting. Tapi pentingkah dia kepada ku? Akukah si kacang lupakan kulit? Habis manis sepah dibuang? Aku diasak persoalan demi persoalan. Saat ini aku tertanya-tanya, siapa dia di hati ku? Kekasih? Atau hanya teman di kala sepi? Aku buntu, serasa perasaan itu terus-menerus menghantui pemikiranku. Sedikit-sebanyak mengganggu proses pembelajaran ku.

“Su mengaku, hati Su bukan sepenuhnya milik dia. Tapi Su rasa sayang untuk kehilangannya. Siti, saat kesepian, Su senang dengan gurau-sendanya. Dia menghiburkan, jarang melukakan
hati Su. Saat kami bersama, teman-teman semua mengatakan kami pasangan paling sepadan. Su bangga mendapat perhatian. Siti, mungkinkah Su dapat melepaskan semua keindahan itu. Cuma….” bicara ku terhenti.Turut melempar pandangan ke tasik nan tenang itu, menghela nafas. Mencari kekuatan untuk terus berbicara.

“Cuma apa Su?” Siti Solehah memalingkan kembali pandangan mengadap sisi wajah ku. Aku tunduk, melepaskan keluhan berat. Ya, jarang sekali aku berbicara tentang rahsia hati ku. Lebih-lebih lagi tentang Khairul Anas. Yalah, saat ada saja masalah melanda diriku, dia lah insan tempat ku mengadu dan kini masalah itu berpunca darinya, kepada siapa pula dapat ku luahkan? Tetapi Khairul Anas juga tidak banyak mendengar masalah ku. Dia lebih gemar berhibur dan katanya hiburan akan menghilangkan masalah dan aku semudahnya bersetuju dengan pendapatnya. Tentu sekali apabila kembali ke alam realiti, masalah itu terus membelenggu.

“Dia dah banyak bantu Su. Tak kan Su nak jadi seperti kacang lupakan kulit. Bila Su sedih, dia ada di sisi Su. Siti, tidakkah Su kejam kerana tidak serius dalam perhubungan. Siti, Su ingin ada seseorang yang menemani Su saat Su rasa begitu tak terdaya, dapat Su sandarkan beban yang tak tertanggung Su sendiri….Su….” aku mula tersedu. Ah, betapa murah nilai air mataku yang mengalir!

“Adakah lelaki itu dapat memberi segala itu kepada Su?” suara lunak Siti Solehah begitu indah menyapa gegendang telingaku. Aku mengangkat wajah, membalas tatapan mata redup Siti Solehah. Air mata ku mengalir deras. Aku menggeleng dalam sendu lantas memeluk tubuh gadis itu, menangis sepuasnya di bahu sang sahabat yang begitu sabar berbicara dengan ku. Aku terharu tiba-tiba. Barangkali teman seperti Siti Solehah yang ku damba tiap waktu. Bukan Khairul Anas yang hadir umpama angin yang tak tentuakibatnya, barangkali meniup
awan mendung tempat beteduh atau mungkin jua membawa taufan membuah bencana.

“Su, tak tahu bagaimana… An tak akan semudahnya melepaskan Su, Siti. An akan marah pada Su. An akan benci pada Su. Siti, Su buntu. Su tak tahu apa yang dapat Su lakukan lagi,” suaraku antara dengar dengan tidak diselangi sendu tangis yang makin galak. Siti Solehah menggosok-gosok belakangku. Dia diam cuma, membiarkan aku terus melepas segala resah dan beban yang ku tanggung selama ini.

“Siti, apa perlu Su buat?” aku meleraikan pelukan dari tubuh Siti Solehah, aku menatap wajahnya penuh harapan agar dia bisa meluah bicara yang dapat meruntuhkan tembok keresahan yang memenjara kedamaian dan ketenangan diri.

“Su, apa yang lebih Su takutkan, kemurkaan Allah atau kemarahan makhluk?” dia menyoal ringkas, membuah kerutan di dahi ku. Aku seakan terpukul dengan soalan itu.

“Cinta-Nya hakiki, abadi dan sejati. Dia pemberi nikmat yang tiada kesudahan biarpun pada
hamba-Nya yang alpa. Saat susah dan senang adalah di bawah kekuasaan-Nya. Bersandarlah kepada-Nya, Dia tak akan sesekali mempersia-siakan hamba-Nya yang sentiasa berharap kepada-Nya. Su, memang fitrah manusia yang cenderung terhadapjantina yang bertentangan. Tapi biarlah kecenderungan itu dalam kawalan akal bukannya nafsu. Su, nikah itu satu-satunya cara yang menghalalkan perhubungan itu. Allah mencipta hukuman sebegitu tentu punya hikmah yang tersendiri. Bukankah Dia Maha Mengetahui akan keperluan hamba ciptaan-Nya. Teguhkanlah keyakinan mu sahabat.Yakinlah, Dia ada di sisi mu dalam apa jua keadaan. Su, Allah tak pernah menjadikan hidup ini mudah untuk manusia, malah sering berliku dan penuh onak duri, semua itu bukanlah bala dari-Nya, sebaliknya ujian agar diteguhkan iman. Allah tak menjanjikan kemudahan dalam hidup orang-orang yang beriman itu tapi Dia berjanji untuk berada di sisi mereka menemani mereka menempuh ujian itu demi kesenangan abadi di akhirat kelak. Percayalah, jangan takut dan jangan bersedih, Allah sentiasa di sisi kita. Ingatilah
Dia dalam tiap detik dan waktu, Dia akan mengingati kita berkali-kali ganda lagi,” Siti Solehah menatap wajahku, menghadiahkan keyakinan baru kepada ku. Ah, mengapa jahil sungguh aku selama ini dalam memahami erti keimanan yang sebenarnya.Mungkinkah aku telah syirik selama ini, merasakan bahawa makhluk adalah tempat terbaik untuk bergantung dan bersandar? Mengapa aku boleh alpa tentang kebesaran Ilahi? Ya,memang dialah sebaik-baik tempat bergantung dan berharap. Astaghfirullah, sungguhaku telah tersesat dan terkhilaf dalam menggantung kepercayaan.

“Siti, perlu jugakah Su memutuskan hubungan dengan An? Salahkah untuk bersamanya? Kami tidak buat sesuatu yang melanggar syariat,” aku kembali tenang. Namun aku masih ragu
untuk putus dengan Khairul Anas. Ah, betapa lemahnya pergantungan aku kepada Tuhan sehingga aku begitu takut untuk kehilangan lelaki itu! Takut kehilangan, tercari-cari tempat bergantung dan bersandar. Aku takut, aku menyesal kehilangannya. Ah, begitu lemah iman di dadaku! Ah, aku cuma insan biasa yang lemah untuk melawan gelora rasa! Hati kecil dan besar ku mulai bersoal jawab sesama sendiri dalam keraguan dan kepercayaan. Aku bagai dilanda keliru dan dilema dalam memilih langkah yang bakal ku atur.

“Ingat lagi tak ayat Al-quran yang Siti bacakan tadi, ‘La taqrabuzzina’? ‘Jangan kamu mendekati zina’?” Siti Solehah menyoal ku pula. Ya, aku masih mengingati ayat Al-quran itu yang Siti Solehah lafazkan di awal perbualan kami. Namun apa kaitannya? Aku mengerutkan dahi tanda masih gagal mengerti.

“Syariat Islam memang melarang berzina tapi juga segala sesuatu yang mendekati zina. Su,
berdua-duaan itu haram, mengingati seseorang yang bukan muhrim itu juga haram, bercinta itu membawa kepada zina hati, zina mata, zina perkataan malah sekarang ni boleh dikatakan zina mesej pula. Su, tiada hubungan yang halal antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim itu selain perkahwinan. Allah Maha Pengampun Su, Dia sentiasa mendengar taubat hamba-Nya. Selagi nyawa masih tidak di kerongkong, kita masih belum terlewat untuk kembali ke jalan-Nya yang benar,” aku kelu dengan bicara itu. Ya Allah, betapa banyak dosa-dosa ku kepada-Mu! Ampunilah aku hamba-Mu yang penuh dosa dan noda ini! Terasa segala adegan antara aku dan Khairul Anas ditayangkan di hadapan ku saat ini. Ya Allah, betapa malunya aku dengan tingkah-laku sebegitu. Ah,bayangkan di padang mahsyar nanti saat segala amalan baik dan buruk ditayangkan! Dimana hendak ku letakkan muka aku yang malu menghadap Tuhan yang Maha Esa? Airmataku mulai mengalir. Ah, betapa kotor dan jijik diriku ini untuk menghadap-Nya! Pasti tidak akan dijeling pun aku sebaliknya terus di campak ke neraka. Ya Allah, neraka! Sanggupkah nanti aku menanggung seksaan yang maha dahsyat di dalamnya? Air mata semakin deras membasahi pipi. Aku takut. Aku gerun. Ya Allah, ampunkanlah aku

“Siti, Su lemah. Su tak dapat laksanakan segalanya sekaligus. Siti akan bantu Su kan? Berikan Su masa, insya-Allah Su akan selesaikan hal Su dengan An,” aku merenung mata Siti Solehah agar dia bisa mengerti keadaan ku. Dia mengukir senyuman. Indah sekali! Ah, betapa bertuah lelaki yang bakal memiliki mu sahabat! Tentu sekali lelaki itu juga sehebat dirimu.

“Tentu sekali, berubahlah sedikit demi sedikit. Mintalah kekuatan dengan berdoa kepada-Nya. Sesungguhnya Dia suka mendengar suara hamba-Nya yang merintih dan memohon kepada-Nya. Insya-Allah, Dia akan memperkenankan doa kita yang bersungguh-sungguh berharap kepada-Nya,” Siti Solehah menutur bicara yang begitu mendamaikan kalbu. Keyakinan ku makin padu. Allah. Ya, Allah adalah teman yang ku damba selama ini. Alangkah indah andai aku menjadi antara kekasih-kekasih-Nya. Ah, cinta-Nya meliputi seluruh alam semesta! Hanya sebahagian kecil yang dicurahkan kepadaku umpama lautan kasih yang tidak bertepian. Aku mengukir senyum.

“Terima kasih Siti,” aku meluahkan penghargaan menatap wajahnya.

“Siti ini hanyalah makhluk-Nya, apa jua yang Siti lakukan terbatas atas kehendak-Nya. Berterima kasihlah dan bersyukurlah kepada-Nya kerana memberikan hidayah dan keinsafan dalam diri Su,” Siti Solehah masih tidak lekang dengan senyuman. Betapa hebatnya anugerah Allah kepada ku saat ini. Ya, sahabat sejati yang membawa ku memperoleh nikmat-Nya yang paling bererti. Ya, hidayah yang hanya untuk hamba-hamba-Nya yang terpilih sahaja. Alhamdulillah, aku adalah antara hamba-Nya yang terpilih.

Aku tahu aku perlu bertindak segera. Namun, saat kata-kata manis Khairul Anas tuturkan mahupun yang dikirimkan melalui sistem pesanan ringkas, begitu melemahkan jiwaku. Ah, aku tak mampu untuk hidup rasanya tanpa keindahan kata-katanya yang dititip saban waktu. Sunyi-sepilah yang akan menemani diri.

“Kalamullah itu lebih indah Su, bacalah Al-quran, sesungguhnya ia penawar hati yang sakit. Berdoalah semoga Allah tunjukkan jalan yang terbaik buat Su,” bicara Siti Solehah yang kutemui malam semalam membuatkanku terus berusaha melawan gelora rasa. Aku mulai rajin melagukan ayat-ayat suci Al-quran. Tiap kali selepas solat aku pasti berdoa agar dijauhkan terus dari maksiat ini. Aku rasa tak tertanggung lagi untuk merasa berdosa.

Satu hari, setelah selesai kuliah pada sebelah pagi aku bercadang untuk mengambil makan tengah hari walaupun jam baru menunjukkan angka sebelas. Memandangkan tengah hari itu ada kelas yang bakal aku hadiri. Sewajarnya aku mengambil makan tengah hari sekarang. Aku mengatur langkah menuju medan selera yang terletak selang beberapa fakulti dari fakulti ku. Setiba di situ, aku segera memilih lauk-pauk. Namun aku terhenti dari memilih, saat kedengaran suara seseorang yang ku kenali di belakangku. Aku menoleh, pandangan kami bertemu. Gurauan mesra Khairul Anas dengan gadis genit yang memaut erat lengannya terhenti. Matanya terbeliak memandangku. Aku meneguk liur, menarik nafas dan entah dalam sedar atau tidak aku menempek nasi panas di dalam pingganku ke wajah lelaki itu. Lantas berlalu pergi, dalam langkah yang ku atur kedengaran bunyi dentingan pinggan plastik itu berlaga dengan lantai. Aku tak peduli. Aku sedar. Aku malu dengan tingkah ku. Ah, bukan sewajarnya begitu…Namun aku takpeduli, langkah terus ku atur.

Aku bertemu pondok rehat yang kosong. Lantas melabuhkan punggung ke bangku yang disediakan. Aku mengambil nafas. Terasa dadaku berombak kencang. Aku keliru. Cemburukah
aku? Atau sekadar marah? Terasa diri di permainkan? Aku tak keruan, hilang arah dan tujuan. Aku meraba saku seluar slack putih yang ku pakai, telefon bimbitku buka. Ya, baru semalam dia hantar pesanan bahawa dia sayang kepadaku dan hanya aku di hatinya. Tiada tanda-tanda dia mahu berpisah. Apa dia fikir dia nak main kayu tiga? Aku menghela nafas, keras, hati ku sakit. Siapa dia? Dia tak layak pun untuk berada di hatiku, apatah lagi menyakitkan hatiku. Dia tak layak………

Tiba-tiba telefon bimbit ku berdering. Khairul Anas. Aku menarik nafas. Berkira-kira untuk menjawab panggilan itu. Akhirnya, setelah berupaya menenangkan diri. Talian ku sambungkan.

“Helo..helo…Su..Su..Su jangan salah faham. Kami tak ada apa-apa. An cuma sayang Su seorang saja. Su, percayalah, Su…Su…” dia merayu cuba memberi penjelasan. Aku hilang bicara. Ah, inilah anugerah Tuhan rupanya! Kini aku punya alasan kuat untuk memutuskan hubungan terlarang ini. Aku tersenyum sendiri. Suara rayuan Khairul Anas masih menampar telingaku.

“Jumpa saya di pondok rehat di fakulti ekonomi,” aku mengucap bicara lantas memutuskan talian.

Aku diam mencari ayat-ayat yang sesuai untuk ku tuturkan. Aku perlu tegas. Berulang kali
aku mengingatkan diri. Aku tak boleh lemah dengan pujuk-rayu lelaki itu. Sudahlah berdosa dengan melakukan maksiat ditambah pula dengan ditipu bulat-bulat. Ah, memang Tuhan amat menyayangi ku! Sungguh aku tak akan mempersia-siakan nikmat kurniaan-Nya ini dengan menjadi bodoh dan lemah. Sedaya-upaya aku mengumpul kekuatan dan keyakinan.

“Su, An betul-betul minta maaf. Hubungan kami bukan seperti yang Su sangka. An cuma sayang pada Su seorang saja,” kata-kata manis Khairul Anas dibalas senyuman sinis di bibirku.

“Kita putus,” aku menutur ringkas dan tegar.

“Su, jangan buat keputusan melulu! Bagi An peluang untuk beri penjelasan sebenarnya. Takkan
kerana perkara remeh sebegini boleh merosakkan hubungan kita selama ini,” Khairul Anas cuba menyentuh bahu ku namun segera ku tepis dan mengundur ke belakang, menjarakkan diri dari lelaki itu.

“An terangkanlah banyak mana sekalipun sebab hal itu memang remeh dan Su memang tak berminat langsung untuk mengetahuinya. Tapi untuk putus ini memang hal besar dan penting untuk Su katakan,” aku lancar menutur bicara.

“Apa maksud Su? Su kena faham, An sangat sayang dan cinta pada Su. An tak boleh hidup tanpa Su!” Khairul Anas meluah bicara. Ah, dasar lelaki buaya! Memang penuh kata-kata manis, namun, dusta belaka!

“Tapi Su tak cintakan An,” aku mengumpul kekuatan untuk meluahkan ucapan itu.

Ternyata Khairul Anas terkejut dengan bilah kata yang kututur. Dia diam. Kelu barangkali dengan pengakuan ku itu.

“Habis, apa selama ini?” suaranya bergetar menahan gelora rasa di dalam jiwa.

“Kesilapan. Maafkan Su, tapi Su sudah fikir lama tentang perkara ini. Tapi Su tak berani
nak beritahu An. Bimbang An marah dan tak dapat terima. Tapi kini Su sedar
ramai lagi di luar sana yang lebih baik untuk An. Maka biarlah Su selesaikan di sini. Tolong jangan hubungi Su dan jumpa Su lagi. Su tak mahu lagi ada kaitan dan hubungan dengan
An. Maafkan Su…” air mataku mulai menitis. Aku cuba bertahan. Namun, ternyata aku lemah. Ya Allah, hadirkanlah kekuatan dalam diri ini!

Khairul Anas terus membisu. Matanya tertancap ke wajahku. Ah, entah apa yang bermain di jiwanya. Aku tak bisa menerka. Biarlah apapun. Alhamdulillah, segalanya telah ku luahkan. Terasa lega dan ringan beban dosa yang ku tanggung.

“Su pergi dulu,” aku mula mengatur langkah meninggalkannya kekal berdiri termangu-mangu
sendirian. Barangkali dia masih cuba untuk memahami tiap patah kata yang ku tutur sebentar tadi.

“Adakah Su resah saat ini?” Siti Solehah bertanya sebaik aku habis bercerita kisah yang telah berlalu antara aku dan Khairul Anas. Aku mengukir senyum. Semanis mungkin.

“Tidak. Malah sebaliknya Su rasa tenang sekali. Kini Su mahu jadi seperti Siti, mencintai
Ilahi, melepas rindu dan mengadu kasih kepada Si Pemilik Cinta Yang Agung,” terasa mataku bersinar saat ini. Ya, inilah cinta yang ku cari!

“Insya-Allah, cinta itu milik Anis Suraya,” Siti Soleha merenung mataku sambil
mengukir senyuman indah yang mempesona. Ah, Siti, indahnya Tuhan mencipta dirimu.Begitu sempurna. Manis di mata dan di hati jua.

Anis Suraya, sahabat yang hadir membawa ingatan pada diriku yang dulu. Naif, suka memberontak dan seringkali tersasar haluan. Sungguh aku pelajar sekolah agama, namun hatiku keras untuk menerima begitu banyak peraturan yang menyekat kebebasan. Hatiku memberontak. Aku pernah tersasar Su, aku pernah khilaf dalam melayari bahtera remaja. Aku pernah hampir jatuh ke lembah zina kerana terpedaya dengan ajakan nafsu dan bisikan syaitan. Tapi Tuhan masih menyayangi diriku. Saat aku hampir-hampir tersungkur jatuh dan tak berdaya untuk bangun semula. Dia hulurkan tangan untuk membantu dan memapah ku melalui denai-denai kehidupan yang tak pernah sunyi dari dugaan. Tangan itu adalah seorang sahabat yang begitu teguh menemani dan menunjukki aku jalan ke arah hidayah-Nya. Sungguh tanpanya aku tidak akan berada di jalan ini.Dialah anugerah terbesar yang paling bererti dalam hidupku.

Kini, sahabat itu telah pergi. Pemergian yang hanya menjadikan akhirat tempat pertemuan. Dia akan terus ku rindu dan kenang selalu. Tiap bicaranya terus berkesan dijiwa ku. Pesan terakhir agar aku terus dalam hidayah ini sering membuah sendu di kalbuku. Aku juga mahu jadi sepertinya. Sahabat sejati yang tak jemu-jemu menunjukkisahabat-sahabatnya ke arah jalan-Nya. Aku terasa menggalas beban untuk untuk bersama-sama mereka menuju hidayah-Nya. Ya, aku juga perlu berkongsi nikmat ini dengan mereka. Supaya mereka juga bisa mengecap kenikmatannya.

Su, aku juga manusia biasa. Penuh dosa dan noda. Tapi bak kata sahabat sejati ku itu, tiada manusia yang tak berdosa melainkan nabi. Namun, Allah sediakan jalan taubat agar kita bisa membersihkan diri. Pabila berdosa, barulah kita menginsafi betapa kerdil diri ini. Maka, barulah terasa betapa kebesaran Allah itu melebihi segala-galanya. Maha Suci Allah, Tuhan Yang Maha Besar………….

Buat Mu Sahabat Ku, Anis
Suraya………

Bila engkau letih dan hilang rasa semangat,

Allah tahu betapa engkau telah mencuba sedaya-upaya,

Bila tangisanmu berpanjangan dan hatimu kedukaan,

Allah telah mengira titisan air matamu itu,

Bila engkau rasa ketinggalan dan masa meninggalkanmu,

Allah sentiasa di sisimu,

Bila engkau telah mencuba segala tapi tidak tahu tujuannya,

Allah ada jalan penyelesaian,

Bila tiada yang bererti buatmu,

Keliru dan kecewa,

Allah adalah jawapan……


0 comments: