Pages

Monday, December 1, 2008

Aku ingin bercinta,tapi...

Apakah bercinta itu satu kesalahan? Bukankah Hawa diciptakan untuk Adam? Bukankah fitrahnya insan untuk hidup berpasangan? Maka apakah salahnya untuk bercinta?

Belum tiba masanya. Diri ini masih muda. Masih jauh perjalanan hidup ini. Masih banyak yang bakal ku temui dan tempuh. Hidup bukan sesingkat dan sekecil ruang ini. Bercinta bukan sekadar meluah perasaan, menikmati detik-detik manis bersama dan hidup dengan angan-angan yang bahagia. Sesungguhnya untuk bercinta kita perlu sanggup untuk memberi komitmen dan tanggungjawab. Kita perlu berani menanggung risiko dan segala kemungkinan. Kita perlu redha dan tabah dengan setiap derita dan ujian. Ah, aku sewajarnya mampu menahan gelora perasaan agar tidak terjebak sebelum tiba masanya.

Namun, aku cuma gadis biasa. Punya impian dan khayalan. Aku juga membaca kisah sang puteri bertemu putera idaman. Hidup bahagia di mahligai nan indah. Aku ingin sekali merasa seperti gadis lain yang sebaya. Miliki kekasih dan cinta. Bisa bicara dan berkongsi rasa. Ah, alangkah indah!

Kadang-kala aku penat bersoal tanya dalam diri. Antara keinginan hati dan prinsip diri, aku kadang-kala dihimpit resah. Sungguh, aku buntu menyelesaikan masalah hati.

“Hai, boleh saya pinjam nota awak?” jatungku berdegup kencang umpama dilanda taufan. Pertanyaan lelaki itu langsung terbiar tanpa jawapan. Aku segera beredar tanpa memandang sedikit pun pada lelaki itu. Seakan aku tidak mendengarnya.

Itu bukan kali pertama. Itulah tingkahku tiap kali ditegur lelaki. Aku sedar niat lelaki itu ikhlas hanya mahu meminjam nota ku. Namun, aku sama sekali tak mampu mengawal reaksi spontan yang tercetus apabila dihampiri lelaki.

Angkara itu, aku sering mendengar kata-kata yang kurang enak tentangku, baik yang dibisik-bisik di belakangku atau yang keras dilempar di depanku. Perempuan sombong. Perasan lawa. Pekak. Tuli. Bisu. Buta. Dan entah apa lagi yang aku sendiri tidak mahu mengingatinya.

Ya, tentu sahaja aku terluka. Aku wanita yang miliki hati serapuh kaca, tidak pun pecah, ia mudah sekali retak. Barangkali memang layak juga aku dikata begitu. Mungkin aku memang bersalah. Namun, apa mampu kulakukan...inilah aku... Kadang-kala aku cuba untuk berubah, tapi ia bukan mudah. Pasti mengambil masa, maka hingga detik itu tiba..aku akan terus begini.

Aida pulang agak lewat malam ini. Di pelukannya terdampar sejambak mawar merah yang masih segar dan harum baunya. Wajahnya kelihatan ceria berseri-seri, riang sekali gadis itu. Senyuman yang terukir juga semanis gula.

Aku mendekatinya. Sengaja ku ukir senyuman tanda tanya sambil menjeling jambangan mawar merah 11 kuntum itu. Dia tertawa dan dengan senyuman yang tidak lekang bercerita tentang temu janji hari kekasihnya.

Amri. Aku tidak mengenalinya. Tapi itulah nama kekasih Aida. Lelaki yang telah membuatkan bibir mungil Aida tidak henti tersenyum. Mereka meraikan hari kekasih di tepi pantai. Kata Aida, dia tak akan melupakan keindahan hari yang dilaluinya hari ini untuk sepanjang hayat. Aku turut terus tersenyum. Senang dengan kebahagiaan seorang sahabat.

Pandangan ku jatuh pada jambangan mawar yang sudah teletak indah di dalam vas di atas meja belajar Aida. Sungguh menawan. Sedetik itu aku dilanda cemburu. Mawar merah 11 kuntum. Lambang keabadian sebuah perhubungan. Betapa romantis. Bilakah waktunya akan kulalui detik-detik manis seperti Aida?

Aku melihat Aida masih tersenyum dan termenung jauh. Pasti mengenangkan kekasih hati tercinta. Aku menggeleng sendiri. Aneh sekali bila sudah bercinta. Entah bila dapat ku rasa?

Aku memadamkan khayalan. Kembali ke ruangan ku meneruskan latihan matematik yang terbengkalai. Tiada guna memanjangkan angan-angan. Lebih-lebih lagi ia begitu jauh dari kenyataan..

Aida. Teman sebilikku itu seorang gadis peramah dan pandai bersosial. Dia mudah mesra dengan sesiapa saja. Walaupun sudah dimiliki, masih ramai yang mencuba nasib menawan hati gadis yang berlesung pipit itu. Andai aku seperti Aida!

Aku hanyalah gadis yang dijadikan bahan umpatan. Umpama langit dan bumi bezanya aku dan Aida pada pandangan lelaki. Saat Aida dipuja-puja, aku menjadi sasaran untuk dikata. Sungguh, Aida tidak bersalah, kerana yang bermasalah adalah aku! Atau mungkin manusia yang tak mengerti perihal hidupku? Atau mungkin juga dunia yang tak sebulu dengan pemikiranku!

“Wanita itu fitnah bagi lelaki,” kadang-kadang bicara lembut Ustazah Sumayyah dalam kuliahnya saban minggu mengganggu fikiranku. Kuliah pengajian yang sering kuhadiri ketika di desa dahulu.

Aku terkenang kedamaian perkampungan nelayan tempat aku dibesarkan. Angin laut yang tak henti membelai tiap pengunjung yang menyusuri pantai. Ketika kecil, aku sering menemani ayah ke pantai, sebagai peraih ayah akan mengutip hasil tangkapan nelayan setiap awal pagi dan lewat petang. Sepanjang perjalanan ayah selalu bicara, seringkali diulang-ulang di bibir ayah, betapa wanita itu hartanya maruah, rumahnya pemalu dan tiangnya agama. Sungguh, dalam usia yang muda kata-kata seperti itu bukan sesuatu yang mudah untuk ku mengerti. Namun, semakin menginjak usia remaja dan dewasa, aku makin memahami.

Bukan setakat memahami, aku juga sama sekali mengiakan hakikat pesanan ayah. Betapa maruah itu umpama harta yang disimpan rapi di dalam rumah malu yang perlu sentiasa dilindungi agar tidak sesekali dicemari, apatah lagi dirampas dari diri. Juga terdirinya tiang agama yang menegakkan rasa malu. Maka ayah sering menggesa aku untuk belajar agama, agar bisa saja aku membenteng diri dengan sifat malu. Sungguh, hasrat ayah benar-benar tercapai. Aku kini gadis yang sangat pemalu.

Bukan saja ayah, malah itulah pemikiran hampir setiap penghuni desa yang sudah aku tinggalkan demi mengejar impian di tengah kota metropolitan ini. Kota yang penuh dengan pemikiran-pemikiran aneh tapi dipandang lazim oleh masyarakatnya. Kota yang maju dengan bangunan konkrit dan keluli yang tinggi-tinggi serta kenderaan mahupun di darat, air dan udara yang canggih-canggih belaka. Namun, kemajuan desa dari aspek adab dan budaya, agama dan moral, lebih-lebih lagi maju ke depan. Kala membuat perbandingan sebegitu, aku sering tersenyum sinis sendiri.

Hakikatnya itulah arus kemajuan yang mengalir. Dalam sinis senyuman, aku menyindir diri. Betapa aku gadis desa yang semakin mahu menukar aliran kemajuan desa yang sebati dalam diri dengan kemajuan kota yang sangat mengiurkan. Ah, aku cuma gadis biasa, seperti manusia lain, aku turut ingin merasa!

“Hai, gadis ‘anti-lelaki’,” jantungku bagai disentak. Spontan aku mahu berdiri. Namun niatku terhenti bila dia meletakkan beberapa buah buku di atas mejaku. Aku mengerutkan wajah, serasanya ada sesuatu yang terlepas dari pandanganku.

“Kita ada tugasan Aisyah, awak tak perlu nak melarikan diri sebab saya tak ada masa nak kejar awak,” dia selamba menarik kerusi dan duduk dihadapanku. Terasa wajahku panas ditegur sebegitu.

Sama sekali aku terlupa aku ‘dipasangkan’ dengan lelaki ini dalam satu tugasan kuliahku. Aku menarik muka masam, dalam hati menyumpah-nyumpah sistem pasangan tugasan berlainan jantina itu.

“Kenapa? Tak puas hati? Saya pun tak puas hati dipaksa untuk melakukan tugasan ini bersama awak. Tapi nak buat macam mana, semua orang menolak untuk menjadi ‘partner’ awak. Jadi terpaksalah saya mengalah dan merelakan diri. Harap awak hargai pengorbanan saya ini dan tolong beri kerjasama. Lebih cepat kita mula, lebih cepat kita siap,” lelaki itu memang banyak bicara. Malah bicaranya sungguh menyakitkan hati. Aku menggetap bibir menahan geram. Namun ku tarik juga sebuah buku dan mula menyelak helaian demi helaian. Benar katanya, tugasan ini perlu segera di selesaikan!

“Rasa saya, awak tidaklah seteruk yang dikatakan,” aku mengalihkan pandangan dari monitor komputer riba.

“Jadi selama ini semua orang telah membuat fitnah pada saya,” sengaja aku memandangnya tajam dan berbicara penuh tegas. Wajahnya seakan berubah dan seketika itu dia terdiam. Aku kembali menghadap komputer riba dan terus menaip.

Entah mengapa, aku senang sekali bekerjasama dengan lelaki itu. Mungkin dia banyak bicara tapi kerjanya juga selalu selesai pada masanya dan dia tak pernah lewat apatah lagi mungkir dalam berjanji. Aneh sekali bila aku sering bicara pada diri jika aku terpaksa sekali lagi memilih pasangan tugasan, aku akan memilihnya, malah lebih pelik lagi, aku harap dia akan terus menjadi pasangan tugasan ku.

“Maafkan saya kerana salah sangka selama ini,” mulutnya yang terkunci seketika kembali bersuara. Aku menjeling sekilas dan tersenyum sendiri.

“Tak apa. Saya dah biasa, tak kisah dah,” dari pantulan di skrin komputer riba ku lihat dia tersenyum lebar. Aku menahan ketawa melihat mimik mukanya itu.

“Terima kasih. Mmm... hujung minggu ni awak dah ada rancangan?” aku mengerut wajah dengan pertanyaan itu. Aku memikirkan adakah aku punya sebarang janji dan program. Seingat aku tiada, aku menggeleng tanpa memandang ke arahnya.

“Kenapa? Tugasan ni dah nak selesai, rehat sajalah hujung minggu ni,” aku bertanya, kemudian terus menyuarakan keputusanku.

“Saya nak ajak awak berehatlah, ada saya kata nak buat kerja?” aku menjeling sekilas. Aneh sekali bicaranya. Kelihatan dari pantulan di skrin monitor, dia tersenyum penuh makna.

“Apa maksud awak?” aku bertanya, tegas dan serius. Sedetik itu senyumannya yang lebar itu seakan mengecut.

“Err... maksud saya, saya nak ajak awak keluar bersiar-siar di pusat bandar....” aku mengerut wajah. Sama sekali tawaran itu bagi halilintar menyambar hatiku. Aku sungguh terkejut dan tak reti untuk memberi reaksi.

“Kalau awak tak sudi tak apalah, saya ajak saja,” wajahnya mulai berubah serba-salah. Barangkali menyedari konsentrasi ku begitu terganggu dengan pertanyaan itu.

Lelaki itu, sejak ku kenali beberapa minggu yang lalu, begitu baik, begitu sopan, begitu jujur....mungkin kurangnya dia kerana bicaranya yang seakan tak mahu berhenti. Tapi kadang-kala melayannya berbual membuahkan keriangan dengan jenakanya yang bersahaja. Penampilannya sentiasa rapi dan kemas, kemeja-T berkolar dan seluar slack hitam biasa menjadi pilihannya, dan beg kain hitam setia tersangkut di bahu walau kadan-kadang ku sedari beg itu kosong sama sekali. Apa yang pasti dia tak kurang tampannya, aku masih teringat Linda menjerit cemburu bila aku mengatakan dia adalah pasangan tugasanku. Adam Haikal, nama itu memang sering meniti di bibir pelajar-pelajar perempuan yang mengenalinya. Aku memang tak pernah ambil peduli. Tapi hari ini, ingatan-ingatan itu seakan terbentang satu-persatu di hadapanku. Ia seperti meminta-minta aku berfikir sedalamnya dan membuat pertimbangan sebaiknya.

“Maaf Aisyah, saya tak bermaksud nak menyinggung awak. Anggap saja saya tak pernah mengatakannya,” lamunanku terpadam mendengar suaranya bertutur lunak. Aku berpaling, entah mengapa aku begitu berani menentang matanya apatah lagi dengan mengukir senyuman tenang.

“Apasalahnya..” aku bersuara pendek. Lantas kembali menatap komputer riba dan pura-pura mahu terus menaip. Tapi perhatianku sudah hilang sama sekali untuk terus menyelesaikan tugasan itu. Lantas, aku terus menyimpan semua tugasan yang terhenti di tengah jalan dan menutup komputer itu.

“Maksud awak? Awak setuju nak keluar dengan saya hujung minggu ni?” dia merenungku seakan tidak percaya. Aku segera mengemas barang-barang ku dan bersedia untuk beredar. Sengaja ku biar soalannya tergantung seketika.

“Ya, jumpa hujung minggu ni,” aku memandangnya dan tersenyum penuh yakin. Wajahnya yang terkejut itu sedikit mengusik hatiku. Adakah terlalu sukar untuk percaya? Ah, aku sendiri sama sekali tidak menyangka aku akan bersetuju! Tanpa menunggu pertanyaannya lebih lanjut aku terus melangkah meninggalkannya.

Mengapa aku setuju? Persoalan itu menerpa-nerpa benakku setiap waktu. Hingga aku jadi tak keruan, resah sepanjang hari. Apakah yang merasuk fikiranku? Ah, apakah yang sedang berlaku?

Adam Haikal. Nama itu terus meniti dalam lisan hatiku. Umpama zikir ia mewarna jiwaku. Aku sendiri tidak mengerti mengapa aku senang sekali mengenali, mengapa mudah sekali merapatinya dan mengapa berani sekali untuk keluar bersamanya? Tiba-tiba kurasakan degupan jantungku begitu kencang. Aku dilanda bimbang, adakah hati ini sudah mulai terpaut?

Adakah aku telah jatuh cinta? Dalam ragu aku bertanya pada diri. Adakah begitu mudah? Perkenalan yang berlangsung belum genap sepurnama tapi hati sudah bergolak seribu rasa. Apakah maknanya lagi? Tidak mustahil bukan? Kerna cinta pada pandangan pertama juga ada. Aku tersenyum sendiri. Benarkah ini cinta? Jika ya, sungguh, aku bahagia!

Tiba-tiba hatiku disapa ragu. Benarkah aku bahagia? Benarkah aku mahu bercinta? Benarkah aku boleh bercinta? Adakah benar aku di pihak yang benar? Resah bermain di jiwa. Tuhan, salahkah andai aku bercinta?

Aku terkenangkan Aida, sinar bahagia yang terpancar dimatanya adalah cahaya cinta. Salahkah aku untuk turut merasa. Aku juga manusia biasa. Aku ingin bahagia. Ingin merasa nikmat dan manisnya cinta. Ingin meneguk secebis bahagia punya insan tersayang. Sungguh, aku sudah penat menyimpan cemburu terhadap Aida. Aku juga ingin sekali menerima jambangan bunga dan hadiah berbalut indah. Aku ingin sekali. Tuhan, benarkanlah aku merasainya!

“Dum!” bunyi pintu dihempaskan mengejutkan ku dari lamunan. Aida mencampakkan begnya ke lantai dan menghempaskan tubuhnya ke katil. Wajahnya di tekup ke bantal, dan esak tangisan jelas kedengaran. Aku kaget seketika. Tingkah Aida membuat aku resah untuk memberi sebarang reaksi. Dalam benakku hanya satu pesoalan, apakah yang telah berlaku?

Esakan Aida beterusan. Bimbang dan curiga terus bermain di jiwa. Perlahan aku menghampiri Aida. Bahunya ku sentuh lembut. Biar apapun, aku perlu tenangkan hatinya. Tidak semena-mena Aida memelukku, di bahuku tangisannya terus pecah. Aku bertambah kaget, perlahan aku mengurut belakangnya, harap mampu menenteramkan sedikit perasaannya.

“Dia lelaki tak guna!” Aida menjerit dalam esakannya, berkali-kali hingga aku terus diburu tanda tanya. Namun, aku sedar tidak wajar untuk aku mendesak dia memenuhi rasa ingin tahu ku ini. Barangkali dia perlu melepaskan segalanya, barangkali dia perlu masa untuk lebih menenangkan diri.

Setelah hampir sejam, tangisan Aida beransur reda. Kelihatannya dia letih sekali. Wajahnya merah dan matanya membengkak. Aku jatuh kasihan padanya. Apakah yang telah berlaku? Aku bertanya pada diri bertubi-tubi. Akhirnya Aida terlena. Aida, adakah berat sangat masalah itu hingga engkau menangis semahumu?

Malam itu, aku tidak mampu untuk terlena. Pandangan ku tertumpu pada Aida yang tertidur kepenatan setelah puas menangis siang tadi. Fikiranku menerawang tentang masalah Aida yang masih belum dapat ku pastikan. Adam Haikal turut mengganggu fikiranku. Aku rasa penat sekali hari ini. Banyak sekali kejutan yang ku terima. Banyak pula perkara yang menuntut ku untuk berfikir dan membuat pertimbangan dengan akal yang waras.

Beberapa kali aku menguap, namun untuk terlena, tidaklah mudah. Aku cuba mengubah-ubah posisi tidur ku agar aku mampu melelapkan mata. Malam kian larut, dalam hati ada kerisauan bertapak bila mengenangkan aku ada kuliah di awal pagi dan kemudian temu janji dengan Adam Haikal pada sebelah petang. Aku tersenyum sendiri, keriangan untuk bertemu lelaki itu. Namun, aku tak punya waktu untuk berehat esok. Kalau aku kurang tidur malam ini, pasti konsentrasi ku akan terjejas. Aku mulai membaca ayat-ayat suci tertentu, sambil mengharap untuk lekas terlena.

“Aisyah,” mimpiku yang baru mahu timbul segera pudar. Aku kembali dalam ruangan bilikku yang gelita. Aku menoleh sisi, kelihatan Aida melutut di atas lantai. Wajahnya tunduk merenung ke bawah. Aku bingkas bangun dari katil dan bersimpuh di sisinya.

“Kenapa Aida? Kau okey?” aku merenung tepat ke arahnya sambil menyentuh kedua belah tangannya. Dingin sekali tangannya, hatiku bicara sendiri. Tiba-tiba Aida menggenggam tanganku, dia mengangkat wajah, dalam kegelapan itu ku sedar, Aida masih menangis.

“Aku mengandung Aisyah,” dia bicara perlahan sebelum kembali tunduk dan menangis lagi. Aku terpempan. Sukar untuk ku percaya. Aku membalas genggaman erat tangannya.

“Amri kah?” dalam ragu aku terus bertanya. Aida menatap wajah ku seketika dan mengangguk lemah.

“Dia tak mahu bertanggungjawab dan mahu aku gugurkannya,” dalam tangisan Aida cuba bersuara. Aku lantas memeluknya.

“Sabarlah, pasti ada jalan keluar,” aku membisik ke telinganya perlahan.

“Tak ada cara lain Aisyah. Aku cuma nampak jalan mati. Aku malu, aku takut, aku benar-benar buntu,” Aida berbicara terus. Aku mengusap-usap rambut lurusnya.

Malam itu, Aida menceritakan segalanya. Kerisauanku untuk esok hari diganti oleh kebimbangan terhadap masalah Aida. Aku tak sanggup membayangkan andai Aida bertindak di luar kewarasan akal. Aku mahu membantunya, tapi aku sendiri masih tidak bertemu jalan keluar. Rasa simpati pada Aida terus bertimpa-timpa. Ah, cinta tidak selamanya bahagia!

Nasib Aida membelenggu pemikiranku sepanjang hari. Mengapa sejauh itu Aida tersasar? Adakah ini bahana cinta? Aku berdiskusi dalam diri terus-menerus. Kadang-kadang kerisauan menerpa pada Aida yang kutinggalkan sendirian pagi tadi. Bimbang andai dia melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya.

Kuliahku tamat awal hari ini, tiga puluh minit lagi aku berjanji dengan Adam Haikal di bilik tutorial. Aku berfikir untuk hadir lebih awal. Selalunya Adam Haikal sudah menanti lebih dulu. Hatiku berbunga riang, entah mengapa, aku ingin segera bertemunya. Ah, adakah aku telah mula merindu?

“Habis duit aku melayang! Macam mana kau boleh tundukkan perempuan tu, Dam?” langkahku terhenti, dari celahan pintu yang sedikit terbuka aku melihat beberapa pelajar lelaki bersama Adam Haikal. Aku terus memasang telinga dan degupan jantungku berdetak semakin kencang.

“Ini Adam Haikal lah! Semua perempuan mesti cair dengan aku punya!” itu suara Adam Haikal. Hati ku mula tak keruan. Apakah maksud kata-katanya itu? Aku terus menanti mencuri dengar perbualan seterusnya.

“Lepas ni apa rancangan kau? Nak teruskan dengan Aisyah?” jantungku seakan mahu berhenti mengepam. Sahlah aku jadi bahan utamanya! Wajahku mulai memerah, namun aku masih mahu terus mendengar.

“Apalah kau ni, perempuan macam tu buat ‘spare tyre’ boleh la,” Adam Haikal kembali bersuara, di sambut ketawa oleh rakan-rakannya. Saat ini, seluruh tubuhku sudah membahang, serasa mahu terbakar seluruh organ badan.

“Dah pukul berapa? Kejap lagi dia nak datang, baik korang pergi dulu. Aku kena terus berlakon,” Adam Haikal sekali lagi bicara. Aku masih terpaku di depan pintu.

Tombol pintu ditarik, pelajar-pelajar lelaki itu terpempam memandangku. Aku tersenyum pahit. Air mata mulai mahu mengalir. Adam Haikal berpaling dan turut merasa terkejut dengan kehadiranku. Aku tersenyum ke arahnya sejenak sebelum melangkah pergi.

Air mata ku tak henti mengalir dan langkah kuatur pantas. Destinasi ku adalah kolej kediaman ku. Aku bimbangkan Aida. Sungguh, kami sama-sama terluka kini kerana cinta. Cuma luka Aida lebih dalam, dan aku tak tahu sama ada dia mampu menaggungnya, kerana aku yang terluka sedikit sudah merasakan dunia seakan hilang cahaya.

Aku merenung katil Aida yang terbiar sepi. Aida benar-benar pergi. Aku harap dia bertemu kehidupan yang lebih baik dan bukan jalan yang lebih menyesatkan. Namun, ada rasa tekilan dalam jiwa kerana tidak dapat membantunya. Setiap detik aku mendoakan kesejahteraannya, juga bayi dalam kandungannya itu.

“Syaitan itu tak akan pernah berputus asa dalam menghasut manusia kepada kemungkaran, dan ia akan masuk melalui lubang-lubang kelemahan kita. Jadi kambus dan tutuplah lubang-lubang itu dengan iman dan taqwa,” bicara ayah terngiang-ngiang di pendengaran. Benar kata ayah, maruah itu harta seorang wanita. Tanpanya wanita seakan tidak memiliki apa-apa, malah boleh dikatakan papa kedana.

Aku merenung jendela, remang senja kelihatan begitu jingga. Aku juga merasakan akibat hilangnya sebuah maruah, kerana seorang lelaki, aku mula dipandang serong oleh teman-teman. Reputasiku yang baik selama ini sudah terjejas. Sama sekali aku merasa malu berdepan orang ramai.

Walaubagaimanapun, aku berhenti menyalahkan Adam Haikal. Malah, berhenti menyesali nasib Aida. Aku sedar melalui mereka, betapa wanita itu perlu terus memelihara rasa malunya, perlu terus menegakkan pegangan agamanya dan tentu sekali perlu terus mempertahankan maruahnya.

Sesungguhnya, kerana mereka, aku tidak lagi ragu untuk menjadi gadis yang pemalu. Gadis yang tidak dikenali dan jarang menjadi sebutan, apatah lagi pujaan. Aku senang menjadi gadis yang sukar didekati dan payah dihampiri. Walau kadang-kala singgah kata-kata nista yang mengguris hati, tapi itu hanyalah cubitan dari parahnya sebuah maruah yang hilang.

Sampaikan Cinta,

Amal Mina

16.10.2008

1.01 a.m.

0 comments: