Pages

Tuesday, October 21, 2008

Last Day Lectures


Hari Khamis lalu (16 Oktober 2008) adalah hari terakhir bagi kebanyakan pelajar asasi semester ketiga sesi 2007/2008 menghadiri kuliah sebagai pelajar asasi. Tidak terasa tempoh setahun setengah yang berlalu begitu pantas. Tahun hadapan kami akan meneruskan perjuangan dalam meraih ilmu di fakulti yang menjadi pilihan masing-masing.


Sedih rasanya mengenangkan perpisahan yang bakal berlaku walaupun kami semua masih di UPM, suasana baru di fakulti pasti jauh berbeza semasa asasi. Terlalu banyak kenangan pahit dan manis yang telah kami lalui dalam tempoh singkat tiga semester ini. Malah persahabatan yang terjalin begitu membekas dalam hati.


Ramai dikalangan kami yang meninggalkan keluarga buat kali pertama ketika mula-mula menjadi pelajar asasi, tidak kurang juga yang sudah biasa hidup berjauhan dengan keluarga. Dari seluruh pelusuk tanah air kami saling berkenalan, mengenal dan memahami. Saling bantu-membantu, ingat-mengingati, tak kurang juga sakit-menyakiti. Dalam persahabatan yang terbina, kami menjadi lebih dewasa, menempuh hidup bersama, ketawa dan menangis, juga saling meluah rahsia hati dan resah yang ada. Biar apapun, sama ada luka yang ditoreh dalam atau kemanisan yang kekal terkesan, kita telah mencipta kenangan yang tak mungkin terpadam dalam sejarah persahabatan ini. Alangkah indah jika kita bisa bersama untuk selamanya!


Bagi saya, terlalu banyak yang telah saya temui dan pelajari sepanjang tempoh setahun setengah sebagai pelajar asasi, pelajar UPM mahupun pelajar universiti. Pengalaman yang sangat mendewasakan dan mematangkan diri. Kehidupan yang memberi seribu satu pengajaran yang membentuk diri, emosi dan rohani. Kadang-kadang merasa gentar untuk menghadapi masa depan yang pasti lebih banyak kejutan dan perkara-perkara yang di luar jangkaan.


Namun, masa depan akan pasti tiba dan masa lalu akan pergi meninggalkan kita. Biar apapun yang menanti kita, kita perlu tempuh dengan penuh berani dan optimis. Kehidupan bukan sesuatu yang indah andai ia hanya dipenuhi senyum dan tawa, kadang-kadang tangis dan sakit juga perlu untuk melengkapi warna pemandangan kehidupan agar lebih sempurna. Saya yakin, pasti masa depan akan lebih mencabar, lebih menguji emosi dan fizikal. Saya berharap tiada sesiapa dikalangan rakan-rakan seperjuangan dari asasi yang akan mengalah dan berputus asa. Yakinlah pada diri dan teruskan usaha demi mencapai impian dan cita-cita masing-masing.


Satu hari nanti bila kejayaan sudah dalam genggaman dan jubah graduan tersarung di tubuh, kita akan bertemu dengan senyuman penuh kepuasan. Segala jerih payah dan jatuh bangun sepanjang tempoh perjuangan ini akan terbang diganti rasa kebanggaan dan kesyukuran. Saya harap untuk bertemu rakan-rakan dari asasi kurang lima tahun lagi di perkarangan Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahudin Syah dengan gelaran siswazah dan bergambar bersama sambil mencampak topi graduan masing-masing. Saya menanti detik itu........


Hingga itu, kita akan meneruskan perjuangan yang belum selesai ini, doakan saya dan doa saya akan sentiasa mengiringi semua rakan-rakan. Semoga masa depan yang gemilang bakal menjadi milik kita...akhir kata; GAMBATTE!

0 comments: