Pages

Sunday, November 1, 2009

mimpi saya



Saya bermimpi, melayang di udara menuju angkasa. Namun, saya terjaga. Sedar saya masih di atas katil dengan selimut tebal. Kedinginan mencengkam dan saya menarik selimut menyeluruh badan. Dalam gelita saya merenung kipas yang berpusing. Andai saja saya mahu bangun meninggalkan katil empuk ini dan merasa dingin teramat buat seketika, menuju suis untuk memperlahankan putaran kipas, pasti kehangatan akan saya rasai dan kedinginan yang meresahkan akan menghilang. Saya menghela nafas. Bukan saya tidak mampu atau saya tidak tahu, hanya saya yang tidak mahu.


Mimpi. Hidup saya penuh impian. Sedari kecil, saya bermimpi untuk terbang ke langit tinggi. Merasa udara yang berbeza dan sinar yang belum pernah kelihatan. Namun, semakin dewasa, mimpi saya semakin rendah terbangnya. Adakah kerana saya semakin menyedari hakikat, betapa mustahil untuk manusia biasa terbang merentas angkasa?


Tapi saya masih tidak mahu berhenti bermimpi. Biarpun rendah terbangnya, saya merasa ia lebih bermakna. Barangkali manusia biasa tidak mampu terbang merentas angkasa. Namun, saya tidak mahu menjadi manusia biasa. Saya mahu menjadi antara mereka yang berupaya meneroka semesta biar dengan cara yang berbeza. Ya, cara saya.