Saya tidaklah terlalu berminat untuk mengikutinya. Sebab? Saya sendiri tidak pasti, barangkali angin cuti masih menguasai diri dan berehat di rumah adalah segalanya. Namun, seminggu di rumah saya memang tak keruan. Daripada terus-menerus melayangkan fikiran tanpa tujuan, saya menetapkan hati di saat-saat akhir untuk menyertai konvensyen ini. Saya yakin, pasti banyak yang bakal saya peroleh nanti.
Memang program ini menarik. Sebuah program berkonsep islami disertai mahasiswa dari segenap pelusuk negara dan mempunyai fikrah dan pendirian yang berbeza. Tapi pastinya, matlamat dan niat yang serupa. Ya, melihat ramainya anak-anak muda yang sanggup meluangkan waktu cuti menghadiri program sebegini dan memikirkan ramai lagi yang berada di seluruh pelusuk negara melaksanakan tanggungjawab masing-masing, saya merasakan kekuatan Islam masih kekal mekar dalam diri generasi kini yang dikatakan banyaknya sudah rendah moral dan tiada jati diri.
Apa yang saya peroleh? Selain menghubungkan persaudaraan yang lebih erat dari ramainya mahasiswi yang hadir, saya memperoleh banyak peringatan dan ilmu-ilmu baru dari wacana-wacana serta forum yang diadakan. Sungguh, saya memang terlalu menggemari majlis-majlis sebegini yang membicarakan soal spiritual, falsafah dan rohani di samping isu-isu semasa. Buat saya terus memikirkan tentang hala tuju masa depan saya. Baik, hanya di situ. Kembali kepada tajuk.
Jujurnya saya masih tidak dapat memegang gelaran ‘pendakwah’ itu. Menghadiri program sebegini hakikatnya membuatkan saya terus diburu serba-salah walau saya benar-benar gembira menyertainya. Namun, saya sedar dakwah itu satu kewajipan dan saya tidak wajar lari daripadanya. Begitu juga anda semua. Saya sama seperti kalian, malah saya yakin saya lebih banyak berlaku salah dan menghimpun dosa dari kalian. Namun, saya sedar ini semua tidak akan menggugarkan tanggungjawab saya yang telah ditentukan Allah sebagai hamba dan khalifah. Bagi saya saat ini, dakwah yang paling utama adalah pada diri saya sendiri.
Berfikir dari sudut seorang pelajar, saya merasakan banyaknya mutiara ilmu yang dapat saya kutip dari program sebegini. Bukan hanya ilmu agama yang dibentangkan, namun Islam itu lebih dari itu. Apa yang perlu sedar penguasaan ilmu adalah penentu kayu ukur kehebatan suatu bangsa. Saya amat bersetuju dengan ini. Apa yang lebih utama, ia mengembalikan saya kepada niat pertama saya menjadi seorang pelajar. Sungguh, universiti sama sekali berbeza ketika zaman persekolahan. Kebebasan untuk kita memilih dan membuat keputusan kadang-kala mengubah hati dan minda. Kadang-kala tanpa kita sedari kita semakin jauh dari matlamat dan tujuan utama. Peruntukan RM 150000 untuk program ini saya kira ada manfaatnya dengan memberikan kesedaran kepada para pelajar tentang perkara sebegini.
Saya yakin, kebanyakan yang hadir memang jelas dengan tujuan dan matlamat ini. Barangkali hanya saya dan segelintir saja yang terlupa. Namun perhimpunan sebegini memberi ruang kepada pelajar untuk berkomunikasi, menjadi kritis dan kritikal dalam berdepan masalah dan isu semasa. Apa yang pasti ia akan membangkitkan keinginan untuk lebih tahu, menimba ilmu serta saling meluah dan berkongsi pandangan.
Sebagai contoh, saya amat mendapat kesan terhadap tajuk bengkel yang diberikan kepada kumpulan saya. Soal tajdid agama, dibangkitkan pula dari sudut golongan pelampau dan jumud. Jujurnya bagi seorang yang kurang ilmu seperti saya, persoalan itu begitu berat untuk diterjemah mencipta resolusi namun ia adalah sesuatu yang semasa. Sesuatu yang bukan saja perlu dititikberatkan golongan agamawan, namun perlu disedari seluruh golongan masyarakat agat kekeliruan dan salah faham dapat dielakkan. Namun, saya kira saya gagal untuk mencerna isu ini sebaiknya. Saya tidak fikir menyalahkan permasalahan adalah wajar kerana masalah memang sesuatu yang perlu diterjemah dan penyelesaian perlu dicipta secara ilmiah dan wajar. Maka saya merasakan kurangnya penguasaan ilmu dan pemikiran yang logik dan praktikal memberikan kepincangan yang lebih lagi dalam masyarakat. Saya kira pengajaran ini memberikan pelajar-pelajar yang hadir untuk meningkatkan persediaan diri. Barangkali perlunaya lebih banyak meneroka dan mencari daripada tunggu untuk diberi.
Banyak lagi yang ingin saya kongsi sepanjang 4 hari 3 malam saya menyertai program ini. Termasuklah memilih untuk tidak mendengar pembentangan kertas kerja Faisal Tehrani dan meminta seorang yang tidak dikenali untuk merakamkan ucapannya. Saya merasakan, betapa tajdid itu satu keperluan, penggunaan teknologi ternyata membuatkan saya tidak terlepas untuk memperoleh informasi di mana jua. Pengolahan inilah yang perlu kita aplikasikan dengan bijak dalam usaha mengembangkan Islam sendiri.
0 comments:
Post a Comment