Pages

Friday, August 1, 2008

Kematian

Akhirnya, aku dapat juga meluangkan masa untuk menulis entri ini. Sudah sebulan semester di buka, hendak katakan sibuk, tidak juga, cuma kadang-kadang masa begitu pantas berlalu. Itulah kata Imam Ghazali, yang paling jauh dari kita adalah masa yang telah berlalu dan yang paling hampir adalh kematian. Ah, bercerita soal kematian, sejak akhir-akhir ini aku selalu terfikir, andai aku mati esok......

Jarang bukan bercerita tentang kematian. Kadang-kadang terasa mustahil untuk mati. Iyalah, masih muda remaja. Tapi benarlah, adakala kelapa muda juga ada yang berguguran. Kematian itu akan datang tanpa disedari. Hingga itu aku jadi terfikir, jika aku mati esok.......

Apa guna lagi impian dan cita-cita yang selama ini ku semai untuk jadikan realiti, apa guna lagi pakaian2 dan perhiasan yang kubeli untuk dipakai, apa guna lagi wang yang ku cari dan ku simpan, apa guna lagi janji2 yang terpatri...ah, sudah tak bererti... bila kematian sudah tiba...

Aku baru merencana impian, membina harapan dan melakar cita-cita, aku diserbu ragu, bimbang, resah juga andai semua itu tidak tercapai. Pasti aku akan kecewa, terluka dan kesal juga. Tapi bila kematian sudah menjelma, semua perasaan itu bukan lagi satu kepentingan.

Maka perlukah untuk aku putus asa. Tunduk bungkam menghadapi mati. Ah, bila pula kematian itu akan hadir.....

Aku perlu bermimpi, merencana masa depan seakan kematian tak mungkin datang. Namun, aku juga perlu berhenti dan bermuhasabah dalam diri, semua ini tidak pasti, kerana kematian akan hadir. Maka hadis ini akan jadi sangat bererti; Berkerjalah kamu seperti kamu akan hidup selama-lamanya dan beribadahlah kamu seperti kamu akan mati esok hari.

Barangkali esok kita akan mati, maka pastikan tiada ibadah fardhu yang tertinggal dan ibadah sunnah jadikan amalan. Barangkali kehidupan masih panjang, maka teruskan memburu impian dan jadikan cita-citamu kenyataan......

0 comments: