Sedar antara tidak rejab sudah berakhir dan syaaban menjelma datang. Ah, ramadhan sudah semakin hampir! Bulan ibadah itu perlu persediaan agar masa 30 hari itu tidak disia-siakan begitu saja.
Aku terkenang ramadhan yang lalu, bermulanya usrah kali pertama. Permulaannya juga aku mengenal fikrah Islam yang sebenar. Permulaan sebuah perkenalan dan perjuangan. Ya, aku sudah banyak berubah. Dalam tempoh setahun ini pelbagai perkara yang dapat aku hayati dan ambil iktibar.
Kehidupan memang perlu perubahan. Setiap halangan yang datang perlu ditranformasi kepada peluang. Perubahan juga perlu kekuatan. Juga pendirian yang tetap.
Aku masih teringat ketika aku mula-mula memamsuki UPM. Aku lupa. Percutiaan lebih separuh tahun menjadikan aku alpa pada hakikat dan pendirian hidup yang sebenar. Sungguh, aku benar-benar hanyut.
Tapi Tuhan begitu sayangkan aku. Dia anugerahkan aku insan-insan yang membawa aku kembali ke tebing. Kak Soleh, Amnani dan Kak Siti. Mereka bertiga datang dari penjuru yang berbeza, tapi menanamkan benih yang sama. Kembali kepada Tuhan. Sungguh, aku benar-benar merasai kasih-sayang Tuhan saat itu. Aku tersedar betapa aku dalam kelalaian.
Aku mulai berubah. Perlahan-lahan, satu-persatu. Tapi kadang-kala agak drastik juga. Hingga satu ketika pada semester lepas aku diuji dengan ujian 'futur'. Ya, saat itu aku mengenali 'dia'. Aku sedar itu salah. Sejak awal lagi aku menyedarinya. Tapi aku terlalu lemah untuk melawan hasutan syaitan, juga terlalu degil untuk teguh di jalan Tuhan. Suasana yang dibawa teman-teman turut sama mempengaruhiku.
Aku memaksa diri, tanpa rela untuk terus dalam perjuangan Islam. Aku takut kehilangan cinta Tuhan, tapi aku terus berkeras dalam kemaksiatan dan kemalasan. Ah, memang aku berjuang...tapi dengan separuh hati.
Kemudian cuti antara semester bermula, seribu satu peristiwa berlaku. Pastinya, aku rindu pada usrah selama tempoh lebih 2 bulan itu. Namun, aku masih tidak dapat melepaskan diri dari 'dia'.
Sepanjang cuti dan bulan pertama semester ini aku diuji pelbagai sudut. Sungguh, aku rasa tak punya sesiapa selain Tuhan...sungguh, aku baru tersedar cinta Tuhan yang agung. Aku sanggup kehilangan segalanya tapi tidak Tuhan dari hatiku. Benarlah betapa setiap ujian itu menifestasi cinta Tuhan kepada kita, kerana melaluinya iman semakin kuat dan teguh.
Hingga aku merasa redha pada segalanya. Hingga aku juga rela melepaskannya. Teringat bicara seorang teman, jodoh sudah ditentukan Tuhan, jika bukan jodoh kita, dikejar ke hujung dunia pun tetap tak mungkin dapat dimiliki. Maka nantilah jodoh ketentuan Tuhan. Ya, aku cuma percayakan Tuhan soal ini. Aku sendiri tak percaya pada pilihan diri kerana aku selalu silap dalam memilih.
Itulah kehidupan, ia adalah tempoh yang mendewasakan. Setiap kesilapan dan masalah adalah jalan menuju Tuhan. Jangan sesekali melarikan diri. Kembalilah kepada Tuhan biar bagaimana situasi dirimu saat ini. Kerana Tuhan sentiasa menanti kehadiranmu.....
Tuesday, August 5, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment