Pages

Thursday, January 30, 2014

Syura dan Pemimpin

Jujur saya katakan, saya tidak mudah diyakini, tidak senang mengikuti dan sukar untuk ikut membuta tuli. Maka, jika ada yang memberi arahan dan saya rasakan tidak cocok di hati, saya dengan tenang akan berlalu pergi tanpa ambil peduli.

Hidup dalam masyarakat yang bersistem dan berperaturan membuatkan kita terdoktrinasi untuk mengikut tanpa banyak tanya. Bagi saya, taqlid itu bahaya. Sama ada kita jadi zombi, robot atau sesat dalam arus.

Jadi, tidak salah untuk bertanya, meminta penjelasan, meluahkan rasa malah memberikan teguran. Maka, ketika diajar urusan syura, saya begitu teruja memahami. Benar, dalam hidup ada keperluan yang perlu diutamakan, tapi tidak semua keutamaan yang kita rasakan utama itu serupa untuk semua individu. Di sini pentingnya syura, musyawarah itu.

Bermusyawarah itu membawa kita mengenal. Bukan mahu orang lain saja yang mengenal kita, tapi lebih-lebih lagi peluang untuk kita mengenal orang lain. Bermusyawarah itu tidak mesti pada urusan besar dan penting, malah soal makan, pakai malah suka dan benci, semuanya wajar dimusyawarahkan, dibincangkan.

Jadi, jika mahu terus menyuruh itu dan ini, tanpa berbincang, tanpa difahami, tanpa mengenal, kita akan terdedah pada bahaya 'syok sendiri'. Barangkali, ya, arahan dan suruhan itu diikut dan dilaksana, namun, sejauh mana hati yang melaksanakan itu ikhlas dan reda? Kita tak akan tahu tanpa cuba mendengar dan mengerti.

Menjadi pemimpin itu tidak mudah. Jadi saya memang hairan bila orang berebut-rebut mahukan kerusi di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. Ini disebabkan, betapa pemimpin itu perlu miliki kemahiran mendengar, kemampuan mengerti dan keupayaan memahami bukan sekadar pengetahuan itu dan ini, maka 'aku lebih tahu dan ikut arahan ku'. Dalam organisasi juga serupa, 'kerana aku ketua, maka kataku kebal, tidak salah dan tidak wajar dipersoal'. 'Kerana kamu pengikut, maka ikut dan patuh saja arahan itu.'

Alahai pemimpin sekalian, memang tidak mudah jadi pemimpin itu, semua hati perlu dijaga, semua hak mesti dijaga dan keadilan itu mesti ditegakkan. Makanya, bersedialah untuk menerima kecaman, teguran, nasihat malah fitnah dan adu domba walau anda tidak mahu jadi pemimpin namun, sebagai pemimpin, bersedialah!

Makanya, itulah sebab musyawarah itu perlu, mendengar itu mesti, sebab hidup pemimpin bukan hidup sendiri.

Dalam jamaah ini, ada juga syuranya yang tertinggi. Katanya, keputusan syura adalah persetujuan bersama, keputusannya terkandung barakah. Melaksananya jika betul dapat dua pahala, jika salah dapat satu pahala. Membelakangi adalah khianat.

Saya memahami pendirian dan konsep ini. Saya juga mengerti bila ada anggota yang tidak terlibat secara langsung di dalamnya tidak mampu untuk mengikut dan meraikan keputusannya. Ya, mereka tidak didengari suaranya, maka disuruh mengikut saja. Lalu, itulah pentingnya pemimpin mendengar dan meraikan suara mereka, juga cuba memahamkan sebaiknya keputusan yang telah dibuat bersama.

Jika masih tidak mahu, jangan dilabel itu dan ini, sebaliknya biarkan saja mereka dengan langkah mereka dan unjurkan mereka untuk secara terhormat berpisah dari gerakan. Barangkali nampak tidak adil, namun, inilah kemuliaan untuk hidup bersama.

Sebagai anggota, kepatuhan adalah satu kemestian kerana jika bersalahan tindakan kita dengan gerakan yang kita anggotai, akan timbul fitnah dan aib terhadap gerakan ekoran anggota yang gagal patuh dan taat. Maka, jika tidak setuju, dapatkan penjelasan sebaiknya, jika masih tidak berpuas hati, pilihlah untuk diam dan menghormati keberkatan syura atau secara terhormat berpisah dari gerakan.

Pasti ada tolak-ansur di sini selagi tidak berkait akidah dan syariat. Maka, di bawah syura tertinggi itu, syuralah dalam kumpulan-kumpulan kecil supaya dapat saling mendengar dan saling mengenal.

Ketika Anwar Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Presiden ABIM dan memilih memasuki UMNO, bagi saya silapnya cuma satu, beliau tidak dahulu bersyura sebaiknya, tidak dahulu memahamkan anggota. Maka, kesannya begitu pahit, dikenang orang hingga hari ini.

Ust. Siddiq pernah berkongsi pengalaman peribadi beliau ketika membuat pilihan untuk melanjutkan pengajian, ketika semangat berkobar-kobar untuk ke luar negara, beliau berkonsultasi dahulu dan saranan Anwar Ibrahim untuk melanjutkan pengajian di dalam negara di bawah seliaan Prof. Naquib Al-Attas diterima dengan ikhlas dan senang hati. Ya, memahamkan pengikut tentang apa yang pemimpin inginkan akan memberi kesan dalam kepimpinan dan struktur organisasi serta negara keseluruhannya.

Bila menulis tentang ini, saya berfikir sendiri , betapa saya sendiri masih begitu lemah soal musyawarah ini. Saling mendengar, mengenal dan mengerti. Namun, kita diajar untuk terus mengajak orang lain di samping sedaya upaya memperbaiki kelemahan diri.

yok! sama-sama perbaiki diri. Mulakan dengan 'meletakkan diri dalam kasut orang lain'!

1 comments:

♥ Nur Hazlina Binti Mohd Fisol ♥ said...

Salam ziarah, baca entri ini membuatkan saya rindu kamu.

Ikhlas,
Ina Nailofar :)