Pages

Monday, January 6, 2014

Hujung Minggu dan Orang Hebat

Sabtu, menghabiskan separuh hari dalam Seminar Dunia Usahawan Dr. Azizan Osman. Seminar yang mengajar teknik pemasaran secara percuma itu dihadiri begitu ramai peserta. Kerusi yang disediakan tidak mencukupi. Mungkin ada dekat 10k orang yang hadir. Ini menunjukkan teknik pemasaran Dr. Azizan memang berjaya.

Saya memang pernah banyak kali mendengar tentang program-program Dr. Azizan, namun, saya memang tidak berminat untuk hadir. Mungkin disebabkan saya tidak begitu cenderung dalam bidang perniagaan, saya tidak mengambil berat berkaitannya. Namun, setelah dipujuk oleh seorang sahabat, saya hadir juga. Niatnya, ada ilmu yang bermanfaat dapat dibawa pulang juga demi memenuhi hasrat seorang sahabat.

Alhamdulilah, walaupun saya tidak menunjukkan keterujaan dalam seminar yang penuh tenaga ini, saya belajar banyak perkara. Meneliti kisah yang dituturkan Dr. Azizan berkaitan dirinya sepanjang seminar yang diselang-seli dengan teknik-teknik pemasaran berjaya, saya berfikir berbagai perkara.

Pertama, adalah satu tanggungjawab keinsanan itu untuk memberdayakan manusia. Memberdayakan diri sendiri dan juga orang lain. Kedua, sistem pendidikan kita memang mencemaskan. Bukan saja tidak mampu memberdaya, mengharap makan gaji dan meminta-minta, ia juga sunyi dengan kualiti moral dan intelektual yang membentuk sahsiah mulia dan pemikiran kreatif. Ketiga, hidup ini untuk memberi dan kekayaan yang diperoleh untuk di kongsi.

Dr. Azizan mengajar bagaimana untuk kaya, dalam masa yang sama tidak putus-putus mengajak untuk sedar diri dan memberi. Berkongsi kisah lalunya yang selaputi mendung kelabu, memberikan pengajaran bererti. Memahami, makna hidup yang hakiki. Kadang-kala diselit juga sindiran isu semasa, harga barang yang naik dan sebagainya. Beliau juga rakyat biasa. Kaya mana pun turut tersentuh dengan kenaikan kos sara hidup yang meningkat.

Saya, memang tidak bercita-cita mahu jadi jutawan. Namun, melihat beliau membantu mereka untuk membangun diri, memberdaya insani, saya kagum sekali. Barangkali kerana cita-cita saya bukan mahu kaya-raya tapi membangunkan negara dengan membangunkan warganya. Dan, kaedah Dr. Azizan ini mengkin salah satu caranya.

Ahad, separuh hari dalam sesi syarahan Merdeka Rakyat (Prof Syed Husin Ali) dan Asian Renaissance (Anwar Ibrahim). Hadir berseorangan menjadikan perasaan sedikit bimbang. Apatahlagi program yang dianjurkan salah satu pusat latihan parti politik (PKR). Peserta yang memenuhi program juga kebanyakannya ahli parti dan juga anak muda.

Uniknya, kehadiran adalah daripada pelbagai bangsa. Malah isi syarahan menyentuh langsung isu-isu sensitif antara kaum. Syarahan dijadikan medium pembentangan ilmu secara terbuka dengan pendekatan perpaduan antara kaum, pengiktirafan kemuliaan insan serta kepentingan ilmu untuk menjadikan seorang itu pemimpin.

Anwar Ibrahim, walau begitu banyak spekulasi, kontroversi dan fitnah di sana-sini. Tiada siapa dapat menyangkal beliau seorang seorang politikus dan pemimpin yang hebat. Tidak mahu jadi ekstremis, namun Anwar adalah tokoh politik di Malaysia yang wajar dicontohi.

Selain seorang orator yang hebat, dengan kata-kata yang mampu mempengaruhi khalayak masyarakat dan menundukkan kawan serta lawan. Beliau seorang pemimpin yang mementingkan nilai dan tradisi keilmuan. Ugutan yang diberikan kepada pemimpin PKR untuk menambahkan pembacaan dan berbicara dengan rujukan jika mahu beliau kekal memimpin PKR buat saya terfikir sejenak. Benar, memang ramai ahli politik yang cakap tanpa berfikir apatahlagi bercakap dengan ilmu. Namun, Anwar ternyata berbeza. Ahli politik adalah pemimpin dan kewajipan pemimpin itu hendaklah dia lebih berilmu dari yang dipimpinnya atau sekurang-kurangnya berusaha mendapatkan ilmu yang selayaknya untuk memimpin pengikutnya. Nampaknya, Anwar adalah pemimpin yang mahu melahirkan pemimpin seperti beliau juga.

Saya tidak dapat menangkap isi keseluruhan syarahan beliau ekoran beliau memperkenalkan beberapa tokoh di Asia yang wajar untuk diteladani. Merasa malu sendiri, dalam hati saya berazam untuk mengkaji nama-nama tokoh yang disebutkan beliau. Ya, jika mahu jadi pemimpin tidak boleh malas dan culas!

Berkaitan Prof Syed Husin, ini pertama kali saya bertemu beliau. Tidak begitu mengetahui latar-belakang beliau berikutan kejahilan saya sendiri. Namun, beliau rupanya seorang aktivis rakyat yang membela masyarakat miskin bandar.

Isu kemiskinan dan golongan tertindas seringkali menjadi fokus tarikan saya. Ia isu yang mengharukan jiwa dan mengamarahkan emosi. Barangkali jika mahu memperjuangkan nasib mereka, sorotan perjuangan Prof Syed Husin perlu dihayati dan diteladani.

Syarahan ini akan dibuat untuk beberapa siri lagi. Keinginan untuk mengambil diploma dalam bidang psikologi rasanya tidak sekuat keterujaan memahami silibus politik yang bakal disajikan dalam siri-siri syarahan akan datang.

Jika masih ragu-ragu, hilangkan keraguan dan pilih keyakinan!

Malamnya, usrah pimpinan bersama Ust. Siddiq Fadzil. Sesi usrah yang sangat ditungu-tunggu. Sesi pengisian yang saya rasakan paling dekat dengan Ust. Siddiq.

Ust. Siddiq malam ini sedikit bernostalgia bila bercerita kisah zaman kegetiran ABIM ketika Anwar Ibrahim membuat keputusan untuk menyertai UMNO. Kisah yang menjadi pertanyaan ramai, lebih-lebi lagi generasi muda yang tidak melalui zaman itu dan merasai pengalamannya.

Bagi saya, Ust. Siddiq seorang sahabat yang setia, ahli jemaah yang taat dan pemimpin yang dipercayai. Tentu sahaja, guru yang dinanti-nanti sesi kuliahnya. Seringkali mendengar kisah masa lalu, kita akan tertanya-tanya, kisah kita pula bagaimana?

Hujung minggu ini, saya temui 4 orang hebat. Barangkali ramai lagi tapi yang dinyatakan di sini cuma 4. Mereka adalah individu dari pelbagai latar berbeza. Nilai hidup yang berbeza. Tapi mereka cuba dari kaedah apa pun untuk membantu masyarakat. Mereka dengan kepakaran mereka memberdaya ummat. Hujung minggu ini terasa panjang dengan pertemuan bersama orang-orang hebat ini.

0 comments: