Pages

Thursday, January 30, 2014

Agama yang Mana Kita Berbeza


Selamat Tahun Baru Cina! 
(Doodle from Google)

Agama, percaya dan beza. Ternyata kita semua punya agama, dan kita percaya bahawa agama yang kita pegang itulah sebenar-benar dan hakikinya adalah agama yang benar. Namun, disebabkan agama dan kepercayaan kita berbeza, maka kita tidak sama. Kita berbeza dan bersalahan antara satu sama lain. Kadang-kala bila ada perkara segelintir pihak menerima, ada pihak menolak dengan tegas. Jadi bagaimana perbezaan ini mampu dirai? Atau lebih tepat, mengapa perlu berbeza? Sehingga segalanya seakan tidak keruan dan menimbulkan satu demi satu permusuhan.

Ketika menghadiri Projek Dialog, Agama di Malaysia: Masalah dan Penyelesaiannya, saya masih menggenggam Tasauf Modern karangan Buya Hamka yang masih cuba saya tekuni dari helaian demi helaian di setiap ruang dan peluang. Bila seorang panel membangkit permasalahan agama sebagai punca permusuhan, perbalahan malah mengakibatkan pembunuhan, saya teringat beberapa perenggan yang ditulis Hamka iaitu;

                ‘Apakah tuan kira jika terjadi peperangan antara suatu bangsa dengan bangsa yang lain, terjadi pembunuhan dan pertempuran ngeri, lempar-melemparkan bom, runtuh-meruntuhkan , hancur-menghancurkan negeri, patah-mematahkan jembatan perhubungan; apakah tuan kira bahawa peperangan itu hanya semata-mata keinginan hendak menghilangkan keamanan dunia? Bukan! Bukan peperangan yang jadi tujuan dari peperangan, bukan kerosakan yang jadi cita-cita. Bahkan semua orang yang berperang tahu bahawa perbuatannya ngeri, kejam. Tetapi kerana ada di balik itu yang mereka tuju, lupalah mereka kerosakan itu. Yang mereka tuju ialah akibat sesudah perang, menang atau kalah! Mujur atau malang!
                Jika menang bendera naik, jika kalah bangsa pun hina! Demikianlah adanya hidup ini. Hidup adalah peperangan yang hebat, lagi kejam dan sakit. Di antara sepihak balatentera yang bernama diri dengan sepihak lagi balatentera yang bernama nasib.
                Peperangan itu belum pernah berhenti, dan selama-lamanya tidak akan berhenti, selama nafas masih dalam badan, selama matahari masih dihirup cahayanya, sampai langit digulung dan bumi dibelah, sampai kepada saat manusia yang akhirnya sekali hidup dalam alam ini’

Ternyata, ada benar bicara Hamka, perang, pembunuhan itu terjadi sejak anak Adam pertama, Habil dan Qabil. Malah, hingga hari ini ia tidak pernah kunjung tiba, tidak pernah berhenti. Jika sudah berhenti perang di suatu kawasan, timbul pula perang di kawasan lainnya. Jika lerai sudah perang antara negara, muncul pula perbalahan dan perang antara kaum dan bangsa. Berterusan sepanjang tamadun dan sejarah manusia.

Seperti terbunuhnya Habil ditangan Qabil, setiap perang yang berlangsung ada tujuannya. Tujuannya jelas, seperti bercita-citanya Qabil hidup bahagia bersama pasangan yang lebih menepati citarasanya, begitulah perang berlaku demi kebahagian yang dikejar manusia. Juga bahagia itu punya banyak makna, barangkali bahagia menegakkan kepercayaan dan prinsip, bahagia mengaut kekayaan dan laba, bahagia memegang kekuasaan dan pengaruh, dan lain-lain bentuk bahagia yang didamba manusia.

Maka, bertanya kita, perdamaian dan cinta itu bagaimana bisa dicipta?

Kata Hamka, ada 4 rukun yang harus ditegakkan dalam menyusun masyarakat, kalau mahu keamanan dan kesentosaan sentiasa terjaga;
1. Pertahanan atas diri
2. Menjaga kehormatan
3. Mendirikan pemerintahan
4. Mengakui ada suatu kekuasaan ghaib yang melindungi alam yang akan memberi ganjaran baik dan buruk di hari kemudian

Mempertahankan diri, menjaga kehormatan adalah sifat manusia yang memiliki kemuliaan. Manusia yang mahu menjaga nilai karamah insaniah ini perlu ada keinginan untuk mempertahankan diri, nyawa dan maruahnya. Namun, dalam usaha ini, kadang-kala manusia itu melampaui batas, dalam mempertahankan diri ada kehormatan dan nyawa orang lain yang tertindas dalam hilang. Maka, ada keperluan pemerintahan dan sistem peraturan kehidupan didirikan. Di mana manusia akan terkekang nafsu syahwatnya dan terbatas keinginan rasanya. Kata lain, pemerintahan menjaga pergaulan sesame manusia. Tapi pemerintahan sekadar mengatur lahiriah sahaja. Oleh itu, agama, percaya pada Tuhan (kuasa ghaib dan kehidupan selepas kematian) itu mengendali syahwat menuju kehendaknya, tidak terbentur dengan kepentingan orang lain dan tidak pula merosak diri sendiri. Agama juga yang menentukan di mana batas-batasnya pertahanan diri dan penyerangan pula. Ia juga menentukan batas penjagaan kehormatan diri dan di mana yang mengenai orang lain pula.

Benar, kerana agama kita berbeza, tapi kerana agama jugalah kita mengerti hidup ini ada batasnya. Kebebasan dan berleluasa itu ada had hentinya. Jangan sampai menindas dan tertindas. Jangan sampai jatuh dan menghinakan.

Bila ada pandangan yang mempersoalkan agama menyekat perpaduan, membunuh kedamaian, malah ada berkata agama sekadar kepercayaan karut golongan tradisional, sedang zaman telah berubah dan kebebasan adalah hak milik setiap insan. Perlu, kita kaji kembali, bagaimana agama telah sekian lama mendidik dan membina tamadun manusia.

Ada yang berkata, jika maksud agama hendak mendidik manusia berperangai baik, sedang saya telah berperangai baik, tidak mencuri, tidak berzina, tidak menganiaya, maka apa guna saya beragama lagi? Maka, hendaklah dia semak kembali sejarah bahawa idea dan ajaran mana yang menunjukkan ciri-ciri manusia yang baik itu. Siapakah yang lebih dahulu dari agama yang menerangkan bahawa mengambil hak milik orang lain dinamai mencuri? Siapakah yang menamai hubungan di luar nikah itu zina? Dan siapakah yang mengatakan merampas hak milik orang lain itu menganiaya?

Justeru, penyelesaian masalah perpaduan, perdamaian, keamanan dan cinta ini ternyata adalah kembali kepada agama. Jika sekali-kali manusia memilih untuk keluar dari agama, demi keamanan sejagat, maka tunggulah keamanan yang dicari tak akan kunjung tiba malah huru-hara dan perpecahan semakin berleluasa.

Lalu timbul soal, beda agama pula bagaimana?

[ Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).] Surah Al-Hujurat: ayat 13

Berbeza dan berlainan itu sunnatullah. Dia menciptakan makhluk berbeza supaya kita boleh saling berkenal-kenalan. Bagi saya, supaya kita boleh hidup. Perbezaan menjadikan kehidupan suatu yang relevan kerana tanpa perbezaan, mana mungkin kehidupan boleh berlaku.

Bagi orang yang tidak mengenal maka dikatakan agama itu perselisihan. Tiap-tiap agama mengatakan pihaknya yang lebih benar, dan agama lain penuh dengan kesalahan. Jika terjadi perselisihan antara agama, perlu ada golongan yang menyelidiki, tidak sekadar mengelak dan mengundurkan diri. Pertikaian dan permasalahan menjadi sebab pemeriksaan dan penelitian. Dan seorang penyelidik itu menyatakan hasil peneyelidikannya yang kadang-kadang benar, kadang-kadang mungkin salah. Kalau tidak dengan penyelidikan, tentu orang tidak dapat membedakan yang baik dengan yang jahat. Kalau tidak ada kesungguhan memeriksa, tentu tidak akan bertemu barang yang hilang.

Penyelidikan, penelitian, pemeriksaan atau apa jua istilah yang diberikan, bagi saya maksudnya serupa seperti ayat di atas, kita mengenal. Perbezaan ini memerlukan kita untuk saling mengenal dan mengambil tahu. Membuka akal dan minda untuk menerima bahawa Tuhan memang ciptakan kita berbeza. Kewajipan kita ialah untuk saling berkenalan.

Ruang yang disediakan Projek Dialog melalui perbincangan dan perbahasan antara kaum dan agama bagi saya sangat menepati unjuran ayat Quran di atas. Melalui platform ini kita bebas berbicara, meluah rasa dan ajaran agama masing-masing. Perlu diingat, ada batasnya seperti yang diajarkan agama.


Keamanan dan kedamaian ala utopia barangkali suatu mustahil. Namun, usaha untuk mengecap dan meneguknya adalah perjuangan manusiawi. Bagi Islam, bukan hasil yang Allah lihat, bukan kedamaian yang dicapai itu dinilai Tuhan, tapi tindakan dan langkah yang diatur ke arah damai itu yang diberiNya ganjaran. Maka, seperti diperintahkan agama, perjuangan ke arah keamanan dan cinta sesama insan itu adalah mulia. 

0 comments: