Pages

Thursday, November 26, 2009

Mencipta Pilihan


Selagi kehidupan berlaku, selagi itu wujud pilihan. Hanya kematian satu ketentuan dan kita hilang hak untuk membuat sebarang keputusan. Kadang-kala bila berdepan pilihan, kerunsingan melanda fikiran dan kita berbicara sendiri andai saja kita tidak perlu untuk memilih. Namun, bila kita tidak punya pilihan, kita merasakan pupusnya keadilan dan ia sesuatu yang tidak wajar. Maka saya menemui satu kesimpulan, fitrah manusia adalah resah dengan pilihan yang ditimbulkan sendiri. Kerana kita menginginkannya.


Dalam tempoh kurang sebulan, sudah dua kali saya diajak teman-teman untuk ke Sunway Pyramid. Saya tidak pasti sejak bila kompleks membeli-belah itu wujud, tapi saya mengenali sebagai tempat rekreasi luncur ais yang popular. Namun, baru tahun ini saya sempat melihatnya. Sebuah bangunan yang dibina dengan ciri-ciri Mesir. Piramid dan simbol-simbol yang seumpamanya. Pertama kali melihat saya merasa kagum sekali, seakan tidak percaya melihat reka bentuknya. Walaupun begitu hati saya seperti ditusuk. Bagaimana sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama persekutuan begitu mudah meluluskan sebuah binaan serupa rumah berhala sebagai kunjungan umum? Ya, kod tatacara pemakaian yang umum juga sukar untuk dituruti, mana mungkin negara demokrasi ini terfikir tentang kod seni bina dan reka bentuk.


Sehingga itu saya membuat keputusan untuk tidak akan mengunjunginya. Sekaligus memadam hasrat untuk mencuba sukan luncur ais. Tapi, saya jadi goyah juga bila diajak berkali-kali kerana saya memang teringin untuk cuba meluncur di atas ais walau saya sedar saya hanya akan jatuh berkali-kali. Sebelum saya menulis entri ini, saya terfikir mengapa saya menahan diri untuk memasuki bangunan itu? Sedangkan saya yakin dan tanpa ragu saya akan melawat mana-mana rumah ibadah di seluruh dunia jika punya peluang. Saya juga telah menjejakkan kaki sebuah gereja dalam usaha memahami agama Kristian. Tapi itu soal lain. Apa yang pasti saya memang seorang pengagum seni bina dan reka bentuk. Angkor Wat antara banyaknya rumah ibadah zaman lampau yang ingin saya kunjungi. Malah ketika menonton rancangan National Geographic tentang pemusnahan patung Buddha oleh Taliban di Afghanistan terdetik di hati saya betapa sebuah warisan zaman lampau akan hilang dan musnah begitu saja. Namun, saya sedar walau saya masih tidak pasti hukum sebenarnya, patung Buddha itu adalah lambang bagi mensyirikkan Allah maka wujud kewajaran untuk menghapuskannya. Barangkali tinggalan Ayah Pin yang dimusnahkan pihak berkuasa boleh dijadikan bandingan.


Banyak pula saya berbicara, soalnya saya telah mencipta pilihan dan setakat ini saya memilih untuk tidak memenuhi ajakan teman-teman saya itu. Walau saya memang mengharap saya tidak perlu untuk memilih.


Konvensyen Pendakwah Muda Peringkat Kebangsaan 2009 (WEHDAH ‘09)


Saya tidaklah terlalu berminat untuk mengikutinya. Sebab? Saya sendiri tidak pasti, barangkali angin cuti masih menguasai diri dan berehat di rumah adalah segalanya. Namun, seminggu di rumah saya memang tak keruan. Daripada terus-menerus melayangkan fikiran tanpa tujuan, saya menetapkan hati di saat-saat akhir untuk menyertai konvensyen ini. Saya yakin, pasti banyak yang bakal saya peroleh nanti.


Memang program ini menarik. Sebuah program berkonsep islami disertai mahasiswa dari segenap pelusuk negara dan mempunyai fikrah dan pendirian yang berbeza. Tapi pastinya, matlamat dan niat yang serupa. Ya, melihat ramainya anak-anak muda yang sanggup meluangkan waktu cuti menghadiri program sebegini dan memikirkan ramai lagi yang berada di seluruh pelusuk negara melaksanakan tanggungjawab masing-masing, saya merasakan kekuatan Islam masih kekal mekar dalam diri generasi kini yang dikatakan banyaknya sudah rendah moral dan tiada jati diri.


Apa yang saya peroleh? Selain menghubungkan persaudaraan yang lebih erat dari ramainya mahasiswi yang hadir, saya memperoleh banyak peringatan dan ilmu-ilmu baru dari wacana-wacana serta forum yang diadakan. Sungguh, saya memang terlalu menggemari majlis-majlis sebegini yang membicarakan soal spiritual, falsafah dan rohani di samping isu-isu semasa. Buat saya terus memikirkan tentang hala tuju masa depan saya. Baik, hanya di situ. Kembali kepada tajuk.


Jujurnya saya masih tidak dapat memegang gelaran ‘pendakwah’ itu. Menghadiri program sebegini hakikatnya membuatkan saya terus diburu serba-salah walau saya benar-benar gembira menyertainya. Namun, saya sedar dakwah itu satu kewajipan dan saya tidak wajar lari daripadanya. Begitu juga anda semua. Saya sama seperti kalian, malah saya yakin saya lebih banyak berlaku salah dan menghimpun dosa dari kalian. Namun, saya sedar ini semua tidak akan menggugarkan tanggungjawab saya yang telah ditentukan Allah sebagai hamba dan khalifah. Bagi saya saat ini, dakwah yang paling utama adalah pada diri saya sendiri.


Berfikir dari sudut seorang pelajar, saya merasakan banyaknya mutiara ilmu yang dapat saya kutip dari program sebegini. Bukan hanya ilmu agama yang dibentangkan, namun Islam itu lebih dari itu. Apa yang perlu sedar penguasaan ilmu adalah penentu kayu ukur kehebatan suatu bangsa. Saya amat bersetuju dengan ini. Apa yang lebih utama, ia mengembalikan saya kepada niat pertama saya menjadi seorang pelajar. Sungguh, universiti sama sekali berbeza ketika zaman persekolahan. Kebebasan untuk kita memilih dan membuat keputusan kadang-kala mengubah hati dan minda. Kadang-kala tanpa kita sedari kita semakin jauh dari matlamat dan tujuan utama. Peruntukan RM 150000 untuk program ini saya kira ada manfaatnya dengan memberikan kesedaran kepada para pelajar tentang perkara sebegini.


Saya yakin, kebanyakan yang hadir memang jelas dengan tujuan dan matlamat ini. Barangkali hanya saya dan segelintir saja yang terlupa. Namun perhimpunan sebegini memberi ruang kepada pelajar untuk berkomunikasi, menjadi kritis dan kritikal dalam berdepan masalah dan isu semasa. Apa yang pasti ia akan membangkitkan keinginan untuk lebih tahu, menimba ilmu serta saling meluah dan berkongsi pandangan.


Sebagai contoh, saya amat mendapat kesan terhadap tajuk bengkel yang diberikan kepada kumpulan saya. Soal tajdid agama, dibangkitkan pula dari sudut golongan pelampau dan jumud. Jujurnya bagi seorang yang kurang ilmu seperti saya, persoalan itu begitu berat untuk diterjemah mencipta resolusi namun ia adalah sesuatu yang semasa. Sesuatu yang bukan saja perlu dititikberatkan golongan agamawan, namun perlu disedari seluruh golongan masyarakat agat kekeliruan dan salah faham dapat dielakkan. Namun, saya kira saya gagal untuk mencerna isu ini sebaiknya. Saya tidak fikir menyalahkan permasalahan adalah wajar kerana masalah memang sesuatu yang perlu diterjemah dan penyelesaian perlu dicipta secara ilmiah dan wajar. Maka saya merasakan kurangnya penguasaan ilmu dan pemikiran yang logik dan praktikal memberikan kepincangan yang lebih lagi dalam masyarakat. Saya kira pengajaran ini memberikan pelajar-pelajar yang hadir untuk meningkatkan persediaan diri. Barangkali perlunaya lebih banyak meneroka dan mencari daripada tunggu untuk diberi.


Banyak lagi yang ingin saya kongsi sepanjang 4 hari 3 malam saya menyertai program ini. Termasuklah memilih untuk tidak mendengar pembentangan kertas kerja Faisal Tehrani dan meminta seorang yang tidak dikenali untuk merakamkan ucapannya. Saya merasakan, betapa tajdid itu satu keperluan, penggunaan teknologi ternyata membuatkan saya tidak terlepas untuk memperoleh informasi di mana jua. Pengolahan inilah yang perlu kita aplikasikan dengan bijak dalam usaha mengembangkan Islam sendiri.


Thursday, November 19, 2009

The Prestige


This is story about magicians. Two or may be more compete to each other for the greatest. Neither magic nor hollywood movie move my heart, but this really got me. Somehow, magical does. Of course its all about the story. Always, good movie came from the novel, and this one based on the novel by Christopher Priest.

What is the most interesting about this story? Of course the tricks! Make wonder and exciting. Really, we always want to know the secret and the magician is the one who cannot reveal it. Somehow, it takes a lot of sacrifice and hurt.

The story is about two gentlemen met each other on the way of learning magic. But, in one performance, an accident happen and the revenge started. But, its not more than revenge because they not really care what they lose as long as they learn the greatest trick and magical moment happens to impress the audience.

Its started and end with murder. Its really great movie. Because i’m not having teary eyes but i felt the satisfaction as it end.

I tried myself watching the series of Harry Potter’s movies but i felt nothing. I’m not really understand why people too obsessed with this magic non existed world with a lot of costume made props. I hate that made creatures. Really, i keep thinking why its really fan for many people. Who got the idea, please give me some answer.

Monday, November 9, 2009

mimpi saya 2


Masa kecil dahulu, orang selalu kata saya akan jadi doktor dan along akan jadi arkitek. Masih melekat dalam ingatan sekeping kad kiriman abang saudara saya yang memberi ucapan untuk kami bertiga beradik agar belajar-belajar bersungguh-sungguh dan saya akan menjadi doktor dan along pula arkitek. Ya, saya memang pernah bermimpi untuk menjadi doktor. Tapi saya tak ingat mimpi-mimpi itu. Atau saya memang tidak pernah bermimpi? Kata-kata orang hanya berlalu menjadi seakan ia satu realiti bagi saya. Tapi saya memang gemar menonton drama-drama berkaitan doktor. Hmm, barangkali saya memang sukar menonton drama, bukan doktor sahaja.


Dulu, semasa di sekolah rendah saya suka membaca. Terutama siri-siri penyiasatan. Saya pun bermimpi untuk menjadi detektif. Namun, saya langsung tidak ingat apakah kes yang saya ingin selesaikan. Pastinya kes selesai sebaik saya tamat membaca hingga ke muka akhir. Tapi bukan buku penyiasatan saja yang saya uliti. Seingat saya, perpustakaan kecil sekolah rendah saya adalah tempat di mana masa saya paling banyak dihabiskan. Ya, serasa hampir semua buku di situ saya habiskan membaca sebelum saya tamat persekolahan. Barangkali saya hanya suka membaca bukan menjalankan siasatan.


Cita-cita yang pernah muncul dalam hidup saya semuanya adalah cerita. Bila membaca buku tentang seorang pengarang, saya bermimpi untuk untuk menjadi penulis skrip. Bila menonton filem tentang ciptaan baru, saya bermimpi untuk menjadi saintis. Hakikatnya saya cuma tengelam dalam keterujaan sebuah cerita. Bila menemui cerita baru keterujaan yang lama berlalu dan keterujaan yang baru membara. Maka saya terus mengukir mimpi-mimpi berbeza.


Maka saya mengejar mimpi. Hingga ke saat ini.........


Apakah mimpi saya saat ini? Setakat ini apa yang perlu adalah lulus dalam setiap peperiksaan, duit yang cukup untuk menampung kehidupan dan hati yang gembira. Ya, setakat ini semua itu cukup untuk memberi senyuman di bibir saya.


Namaun, saya masih tidak berhenti berfikir tentang masa depan. Apa yang ingin saya lakukan? Jujurnya, saya cuma mahukan kehidupan yang ringkas. Setakat ini yang berlegar difikiran hanyalah sebuah restoran dan perpustakaan. Sungguh, saya bakal jurutera makanan, namun makanan yang diprose dan kilang bukan satu kegemaran. Malah saya paling benci dengan makanan berproses. Bagaimana mungkin untuk saya mencipta sesuatu yang tidak saya gemari? Sebaliknya saya suka dengan masakan segar yang terhidang. Masakan panas yang baru dibakar, digoreng atau direbus. Tentu sekali dengan ramuan semulajadi yang enak. Ya, siapa saja yang tidak gemar? Maka saya selalu memikirkan restoran.


Namun, ada impian yang perlu diselesaikan. Saya sendiri masih ragu akan kemampuan untuk menggapainya. Ya, masa depan memang tidak seindah yang dirancang. Barangkali saya hanya akan berakhir sebagai kakitangan awam dalam sebuah jabatan kerajaan. Bekerja sehingga usia persaraan. Di hujung kehidupan menghabiskan masa hanya dengan keluarga. Sebuah kisah yang ditelusuri kebanyakan insan. Barangkali kisah saya juga.



Sunday, November 1, 2009

masa yang tinggal



Semester ini tinggal lagi 2 minggu sebelum berakhir. Tahun ini tinggal lebih kurang 2 bulan sebelum berakhir. Saya tertanya-tanya tinggal lagi berapa lama untuk saya tinggalkan segalanya?


Masa memang akan terus berlalu. Dan kita dalam tertekan mengejar setiap tarikh akhir. Bimbang dan gusar, andai apa yang perlu disediakan, apa yang perlu disiapkan, masih belum selesai bila tarik akhir tiba. Sungguh, kita takut. Takut berdepan keadaan di mana kita masih belum bersedia, masih belum menyiapkan apa yang perlu pada tarikh yang ditentu. Takut berdepan masa depan.


Ya, saya tidak sabar untuk semester ini beakhir setelah lebih 5 bulan bergelut dengan pelbagai peristiwa, tarikh akhir dan tekanan. Namun, saya tidak mahu tahun ini berakhir. Mengingatkan usia yang bakl kurang setahun lagi, saya seakan bimbang dan gentar. Kerana saya tidak tahu bilakah tarikh akhir saya akan tinggalkan segalanya?