Perkataan itu pertama kali saya baca pada satu cetakan ketika menumpang kereta seorang sahabat. Sahabat saya itu menceritakan sedikit tentang bapanya yang menyertai persidangan tentan Islamophobia di Eropah. Saya sekadar memasang telinga kerana saat itu saya kurang sekali informasi tentangnya.
Seiring dengan peredaran masa, saya semakin memiliki sedikit pengetahuan tentang perkataan yang pada mulanya agak berbelit lidah untuk saya menyebutnya. Satu isu yang timbul oleh propaganda barat dalam melabelkan negara-negara yang majoritinya mengamalkan agama Islam sebagai sarang pengganas. Sehingga Islam digeruni dan ditakuti sebagai satu agama yang ganas dan tidak berperikemanusiaan. Perkataan Islam menjadi fobia kepada masyarakat atas angin di atas propaganda-propaganda yang di bawa barat.
Anehnya saya sering pula menerima informasi tentang peningkatan masyarakat Amerika dan Eropah yang memeluk Islam dari semasa ke semasa. Dan yang paling terbaru adalah tentang Michael Jackson, penghibur Amerika yang sangat terkenal yang meninggal dunia sebagai seorang muslim. Sungguh, islamophobia ternyata hanya propaganda dan masyarakat dunia semakin terbuka untuk menerima agama suci ini.
Isunya di sini ialah apakah pandangan kalian jika islamophobia berlaku dalam sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama persekutuan yang digunakan untuk apa jua upacara dan majlis. Negara yang mengaku sebagai negara Islam yang majoriti rakyatnya mengamalkan agama Islam serta begitu aktif diperingkat antarabangsa dalam isu-isu rasmi bersifat islamik. Apakah yang kalian rasakan jika di dalam negara seperti ini juga, islam begitu digeruni dan hampir-hampir dianggap pengganas?
Jika bertanyakan saya, saya sama sekali begitu sedih dan juga marah. Sedih kerana golongan yang mengangap Allah itu Tuhan yang esa dan Nabi Muhammad itu pesuruh-Nya ternyata begitu gusar dengan agama sendiri. Marah pula kerana mudahnya umat islam hilang jati diri dan keimanan dengan bulat-bulat terpengaruh dengan propaganda golongan kafir yang mahu menjatuhkan islam.
Sungguh, saya merasa begitu lemah dan malu pada diri sendiri kerana hanya mampu untuk mengkritk keras di dalam entri ini. Namun, inilah usaha yang dapat saya lakukan. Saya berdoa Allah akan memberikan saya kekuatan untuk lebih lantang bersuara.
Saya menyeru saudara-saudara yang berkongsi keimanan yang sama agar tidak begitu mudah dipengaruhi oleh budaya hendonisme (berseronok-seronok) dan menganggap agama itu satu kekangan yang mengongkong dan menyekat. Saya sedar kita menuju kesatuan bangsa, Satu Malaysia. Kita tidak mahu dibatasi oleh perbezaan budaya dan agama. Kita seakan mahu berkongsi segalanya. Kita begitu berbangga dengan perkongsian ini tanpa sedar pemikiran liberalisme dan pluralisme mulai menyerap jiwa dan sanubari kita.
Saya terkenang ceramah sejarah negara yang disampaikan oleh Prof Dr Ramlah Adam sempena minggu perkasa putra yang lalu, kaum melayu sudah banyak berkorban dalam pembentukan Malaysia, melayu sudah hilang bangsanya kerana mahu mewujudkan bangsa Malaysia. Saya bukan mahu menjadi rasis di sini kerana saya sama sekali tidak melihat mewujudkan negara bangsa satu yang paling penting kerana negara bangsa juga samalah seperti demokrasi yang dibawa manusia dan bukan Tuhan. Namun, apa yang ingin saya bicarakan dan tegaskan di sini ialah jangan terlalu lemah-lembut dan mengalah kerana setelah hilang bangsa jangan pula kita hilang agama. Nauzubillah.
Sebelum meneruskan penulisan, saya tegaskan saya bukan mahu berpolitik apatahlagi meraih pengaruh, namun sebagai masyarakat yang sihat akal fikiran, saya mahu kalian berfikir dan menimbang dengan sebaik-baiknya. Jika wujud persatuan yang menggunakan agama Kristian, Hindu dan Buddha, apa salahnya dengan persatuan yang menggunakan nama Islam? Dari mana kita boleh mengakses tentang agama kita di satu suasana yang tidak lagi mewajibkan agama untuk dipelajari dan dihayati jika tidak melalui persatuan yang membawa nama agama?
Wajarkah sebagai seorang muslim kita merendahkan agama sendiri dan mengagungkan agama lain?
Saya kecewa sebagai seorang pelajar, teman dan saudara seagama dengan ungkapan yang menghina agama seperti ini. Saya mencadangkan jika terlalu gusar dan gentar, wujudkan persatuan baru yang membawa nama Islam dan mewajibkan setiap mahasiswa untuk menyertainya. Pantaulah setiap aktiviti agar benar dilandasan syarak tanpa pengaruh dan anasir luar. Kerana saya yakin, apa yang didahagai oleh mahasiswa bukan kempen politik dan sebagainya namun nilai-nilai Islam yang tulus dan suci yang terus menerus dapat diakses pelajar.
Akhir kata, saya tegaskan di sini saya seorang muslim yang cintakan agama dan negaranya yang berjuang hanya kerana-Nya dan bukan kerana yang lain.
0 comments:
Post a Comment