Seringkali singgah pertanyaan dari teman dan adik-adik junior tentang hukum bercinta atau istileh remaja hari ini adalah ‘kapel’. Kalau ketika masih di alam sekolah di mana saya bersekolah agama dengan peraturan dan batasan yang jelas pasti tanpa banyak bicara saya pantas menjawab, ‘tidak boleh’. Namun, ketika berada di alam kampus yang penuh dengan kejutan budaya, saya sendiri pada awal menjadi terkejut dan menukar pantas jawapan bagi persoalan sama yang ditanyakan di atas.
Seakan saya ini lalang yang lemah, hanya mengikut angin menghembus. Namun, dengan dikelilingi golongan yang hampir semuanya mengamalkan gaya hidup ‘kapel’ ini, bagaimana saya dapat menjatuhkan kesalahan pada setiap individu? Maka dalam kejutan yang saya hadapi itu saya tidak dapat memberi sebarang jawapan bagi persoalan itu. Sungguh, bukan saya orangnya untuk membuat konklusi sebelum jelas permasalahan yang berlaku.
Namun, saya kini sudah menginjak tahun ketiga pengajian di universiti. Sudah terlalu banyak kejutan budaya yang sudah lali untuk saya hadapi. Bukan bermakna saya mengikut arus, kerana saya tetap teguh bahawa harimau yang masuk ke kandang kambing tetap juga adalah harimau. Namun, harimau itu barangkali tidak mungkin dapat memakan kambing-kambing di situ. Maka saya mengambil pendekatan menulis artikel ini. Sempena dua tahun saya bergelar mahasiswa, saya menulis tentang cinta khas untuk semua pelajar baharu yang baru mahu mengenal dunia universiti dan amnya seluruh warga universiti.
Di atas sekali saya buatkan 4 kotak yang terisi 4 perkataan berbeza yang menunjukkan rutin harian kita sebagai pelajar. Gambarajah ini saya perolehi semasa mengikuti salah satu program di universiti dan saya kira sangat menarik untuk menggambarkan permasalahan kita kali ini. Cinta, belajar, tidur dan ibadat diletakkan dalam kotak-kotak berbeza. Saya mahu bertanya, mungkinkah untuk anda menjalani sebuah kehidupan di mana anda dapat membahagikan waktu, emosi, tenaga dan perhatian dengan jelas dan jitu bagi keempat-empat aspek terbabit?
Baiklah, saya bagi contoh di sini, katakan anda meluangkan waktu pagi untuk ‘dating’, kemudian anda bergaduh dengan pasangan anda atau pasangan anda memberikan hadiah istimewa untuk anda, mampukah anda untuk tumpukan perhatian untuk melaksanakan solat atau belajar pada sebelah malam tanpa memikirkan kejadian yang telah berlaku pada waktu pagi? Saya tidak tahu anda, namun daripada pemerhatian saya kebanyakan kes begini akan berjalan seperti ini; pertama jika anda bergaduh, anda akan menangis sepanjang hari dan kedua, jika anda menerima hadiah anda akan habiskan malam anda dengan berbalas mesej atau membuat panggilan bersama pasangan anda. Apa yang jelas di sini, anda akan hadapi krisis pembahagian waktu di mana ia akan mengganggu-gugat proses pembelajaran anda.
Seakan saya memang mahu ‘mengharamkan’ ‘kapel’ ini. Namun, saya bukan lagi pelajar sekolah atau pelajar baharu yang terkejut dengan budaya kampus, saya menulis sebagai panduan dan persediaan untuk anda melalui kehidupan kampus yang sama sekali berbeza.
Sebagai pelajar baharu, anda juga datang dari pelbagai aliran dan latar belakang. Maka saya mencadangkan untuk anda kekal menjadi diri sendiri dan terus berusaha memperbaiki diri ke arah lebih baik. Namun, tentunya anda akan berdepan dilema dan kekeliruan untuk menentukan nilai yang baik. Saya hanya mahu berpesan bahawa tidak semua perkara yang biasa anda lihat itu sesuatu yang baik. Sebagai contoh isu ‘kapel’ ini. Mungkin dari sudut pelajar sekolah agama saya akan memberikan beberapa dalil-dalil naqli dari Al-Quran dan hadis tentang bahayanya pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Namun, saya tidak akan nyatakan di sini. Bukan mahu membelakangkan hukum Tuhan, tapi siapalah saya untuk memberikan hukuman. Baiknya biarlah orang yang lebih arif tentang ilmu agama berbicara tentangnya.
Sebaliknya sebagai mahasiswa universiti yang sentiasa berpandangan jauh dengan visi dan misi yang jelas, saya sendiri bersetuju dengan ‘kapel’ jika ia memenuhi syarat-syarat berikut;
1. Tiada pertemuan di tempat sunyi mahupun terbuka yang boleh menimbulkan fitnah dan menjerumus ke lembah maksiat
2. Tiada pembaziran masa dan wang ringgit semata-mata untuk keluar berpeleseran dan membeli ‘top up’ sekadar untuk mengirim mesej atau panggilan ‘apa khabar’,’sudah makan’ dan sebagainya.
3. Tidak menggunakan duit ibu bapa dan biasiswa/pinjaman yang diperuntukkan untuk proses pembelajaran sebagai modal aktiviti ‘kapel’ anda.
Sekali lagi anda pasti memberi label bahawa saya adalah ‘anti kapel’. Saya cuma menggariskan tiga syarat. Pasti banyak lagi yang anda boleh lakukan ketika ‘kapel’. Saya tidak pasti apakah ia, namun selagi ia tidak melanggar tiga syarat di atas, silakan untuk ‘kapel’. Jika tidak, saya minta untuk anda fikir lagi dan pertimbangkan semula keinginan anda untuk ‘kapel’.
0 comments:
Post a Comment