Pages

Thursday, July 16, 2009

Bicara Masa



Ada satu hadis Rasulullah s.a.w. yang menyuruh kita menghargai lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain iaitu sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati. Hadis ini menjelaskan kita betapa pentingnya masa. Saya teringat bicara hujjatul Islam Imam Al-Ghazali bahawa sesuatu yang paling jauh daripada kita ada masa yang telah berlalu. Malah Allah bersumpah dengan masa di dalam Surah Al-Asr.


Masa. Betapa ia adalah makhluk Tuhan yang tidak dapat kita lihat namun ia ada. Kita merasai ia berlalu detik demi detik. Aneh sekali jika mahu mengerti soal masa. Pada lingkungan mana untuk kita kelaskan ia? Namun, inilah istimewanya ciptaan Tuhan, yang kadang-kala penuh misterius.


Masa pantas berlalu, saya juga merasakan betapa masa pergi meninggalkan saya saat demi saat. Kadang-kala bila mengimbau kenangan silam, saya sering berbicara sendiri andai masa bisa diputar. Sungguh, banyak masa yang telah saya biarkan berlalu tanpa saya manfaatkan dengan sebaiknya dan sungguh, banyak masa yang saya penuhi dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Lantas, ia memberi keinsafan betapa masa yang akan datang begitu bererti untuk digunakan sebaiknya.


Semester kali ini saya dihimpit masa. Jadual saya penuh setiap hari. Hingga setiap saat yang berlalu terasa begitu berharga. Kadang-kala saya mengeluh penat dan putus asa, namun, ia menyedarkan saya betapa Tuhan itu maha Berkuasa, dan saya hanyalah hamba yang lemah tak berdaya. Saat saya terlalu lelah dalam mengejar masa, saya tahu betapa Tuhan mahu saya terus mendekatiNya, memohon dan mendamba maunahNya. Saya jadi malu, betapa saya leka dengan nikmat masa sehingga sering melupaiNya sampai Dia perlu menariknya baru saya sedar akan khilaf diri yang hina.


Namun, dalam ketika Tuhan menguji saya lemah juga menanggung dugaan. Masa yang menghimpit saya jadikan alasan untuk lalai dalam urusan. Tanggungjawab utama sebagai hamba dan khalifah saya kesampingkan. Maha Suci Allah yang menerima taubat, ampunkanlah dosa hamba Mu yang alpa ini.


Urusan masa adalah urausan Dia yang maha Tahu. Mohon saya agar setiap momen masa yang saya lalui dapat saya niatkan hanya untukNya. Amin...



0 comments: