Pages

Wednesday, August 27, 2008

Jiwa tenang menanti ramadhan

Ramadhan semakin hampir menjelma. Sungguh saya sudah tidak sabar untuk menjalaninya. Saya sudah mula berangan-angan untuk berqiamullail, bertadarus Al-Quran, iftar dan sebagainya. Saya berdoa saya dapat terus istiqamah sepanjang bulan yang penuh berkat ini.

Dalam persediaan untuk Ramadhan, Tuhan anugerahkan ketenangan dalam hati saya dengan rasa cinta dan rindu yang begitu mendalam kepadaNya. Sungguh, saya sudah mampu untuk melupakan segala permasalahan yang membelenggu jiwa dan pemikiran saya sebelum ini. Alhamdulillah.

Ditambah pula denga beberapa tugasan seperti menyiapkan buletin ramadhan, usrah serta sebagainya. Saya merasakan hidup saya benar-benar bermakna. Memang tiada tempat bergantung selain Tuhan, maka berhaentilah berasa sedih dan kecewa, dan yakinlah Allah ada bersama-sama kita....

Thursday, August 14, 2008

Sibukkan diri...

Semalam ana sempat menghadirkan diri ke ceramah yang bertajuk 'Adakah dakwah itu satu kewajipan' yang disampaikan oleh Brother Lim Jooi Soon. Menarik sekali. Bro Lim menjelaskan tentang adab-adab berdakwah kepada masyarakat bukan Islam, kepentingannya dan sebab-sebab ia tidak dilaksanakan.


Apa yang paling menyedarkan ana ialah masih banyak lagi urusan perjuangan Islam yang perlu di fikirkan. Ana rasa ana sudah rehat terlalu lama untuk meneladeni masalah sendiri. Barangkali betul kata seorang sahabat, ana terlalu banyak memikirkan masalah-masalah ana yang remeh hingga memudaratkan diri sendiri.


Ana sewajarnya memperuntukkan masa dan tenaga untuk memikirkan tentang perjuangan Islam. Pesanan seorang sahabat, 'sibukkanlah dirimu dengan kebaikan supaya kamu tidak disibukkan dengan kemaksiatan.' Ana patut kembali menyibukkan diri dan pemikiran. Soal-soal rumit dan penting tentang ummah dan Islam perlu ana kembali perhalusi dan diskusikan. Ana perlu membuang pemikiran-pemikiran ke arah perkara remeh yang kurang penting.


Ana sedar ana sendiri tidaklah terlalu baik untuk mengajak orang ke arah kebaikan. Tapi ana sedar, jika setiap orang perlu jadi baik dahulu untuk menyeru kepada kebaikan, tiada orang yang akan melakukan kerja dakwah dan islah. Kerana hakikatnya tiada manusia yang benar-benar maksum di dunia ini....

Wednesday, August 13, 2008

Tarbiyah Dzatiyah

Sabtu lalu ana berkesempatan menghadiri Kursus Penghayatan dan Kefahaman Islam di UKM. Dalam kesibukan mengulangkaji untuk ujian satu, alhamdulillah Allah masih mengurniakan sedikit ruang dan waktu untuk ana menghadiri program yang dapat mengukuhkan HATI DAN JIWA.

Sebelum ke program ana sudah berjanji untuk menghadiri usrah dengan kak soleh selepas subuh. Waktu memang begitu menghimpit. Ditambah lagi dengan subjek-subjek yang belum habis diulang. Namun, kesibukan in menjadikan hidup ana bermakna. Hidup dengan taklif adalah hidup yang penuh nikmat.

Niat ana menghadiri program ini cuma satu; mencari ketenangan dan mendekati Tuhan. Seribu satu urusan harian yang membelenggu pemikiran ingin ana lupakan sebentar. Ana mahu kembali muhasabah diri, apakah makna hidup yang hakiki. Sungguh, itulah yang ana perolehi. Benarlah, setiap apa yang kita peroleh itu adalah apa yang kita niatkan.

Namun, ada satu istilah yang menarik perhatian ana yang ana peroehi dari pembentangan salah satu kumpulan yang ingin ana kongsikan di sini. Tarbiyah dzatiyah. Bimbingan dalaman. Kadang-kadang secara fizikalnya kita sudah lalui banyak program, tarbiyah dan tazkiyah, namun anehnya, hati kita masih sakit. Bak kata Mak Cik Idah dalam kuliah 2, masih ada saki baki jahiliah dalam diri. Barangkali kita hanya menjalani tarbiyah luaran dan mengabaikan tarbiyah dalaman.

Kata pembentang, selain mengikut program tarbiyah yang diatur sahabat dan sahibbah untuk kita, kita perlu juga mengatur program tarbiyah untuk diri kita sendiri. Supaya dengan itu tarbiyah yang kita jalani lebih konsisten dan ikhlas, malah lebih membina dan menyentuh hati. Astaghfirullah, ana rasa ana kurang sekali melaksanakan tarbiyah dzatiyah ini, ya, muhasabah diri. itu penting sekali, agar kita sentiasa menyedari dosa yang telah dilakukan, merasa kesal dan benar-benar bertaubat untuk tidak mengulanginya. Selain itu peruntukan waktu untuk ibadah-ibadah sunat, datang ke surau atau masjid untuk berjemaah dan berzikir dalm setiap urusan. Bagi ana, program tarbiyah ini juga penting disediakan masterplan serta laporan sekaligus. Supaya perlaksanaan lebih istiqamah dan sistematik.

Sungguh semua itu perlu kekuatan. Ana sendiri akui sukar sekali untuk mentarbiyah diri bila bersendiri. Namun, itulah kehidupan. Perlu perjuangan yang berterusan. ada satu kata-kata yang ingin ana kongsikan di sini;
'bila kamu tak mampu bangun di malam hari dan tak mampu berpuasa di siang hari, ketahuilah bahawa kamu sedang di belenggu oleh dosa-dosa kamu'
Astaghfirullah, barangkali itu penyebabnya. Dosa yang bertumpuk dalam diri menyukarkan untuk konsisten mentarbiyah diri.

Maka taubatlah yang perlu kita jalani. Tazkiyah dan membersihkan diri. Moga-moga nikmat beribadah itu mampu kita kecapi...sama-sama islah diri....

Friday, August 8, 2008

Ujian

Minggu-minggu ujian....kadang-kadang ujian itu begitu berat untuk ditanggung. Ingin rasanya putus asa dan melarikan diri. Tapi itulah kehidupan, perlukan keberanian untuk menghadapinya.

Aku melalui waktu-waktu yang sukar dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Namun dalam kesukaran itu aku sedar ada lebih banya kebaikan yang aku lalui. Cuma kadang-kadang perkara yang baik itu tidak disedari, dan yang buruk itu lebih banyak diambil peduli.

Setiap ujian itu juga bagaikan nikmat. Begitu indah andai dihayati hikmahnya. Aku sedar betapa diri ini banyak berdosa dan lalai dalam melalui arus kehidupan yang fana. Melalui ujian aku ditegur Tuhan, aku perlu kembali kepadaNya. Meneguhkan cinta dan bergantung harap hanya padaNya. Kerana ujian biasanya menjadikan kita seakan sendirian saja, sungguh tanpa kekuatan dan pertolongan Tuhan, aku tersangat lemah.

Kadan-kadang memang aneh aturan Tuhan ini, Dia mendidik tanpa kita sedari. Dan didikanNya begitu berkesan dihati. Ah, sukar sekali untuk aku menjelaskan di sini. Ia bagai satu pengalaman rohani bagi sesiapa yang melalui. Apa yang pasti ujian itu anugerah, supaya kita sentiasa mengingati Tuhan dan mengharap padaNya dalam setiap keadaan.

Ujian juga kasih sayang dari Tuhan. Dia cemburu bila kita jarang-jarang mengingatiNya. Maka diberikan ujian, agar kita kembali mendekatiNya. Oh, Tuhan, betapa ku rasa cintaMu begitu kuat dalam hatiku! Teguhlah di situ dan jangan tinggalkan aku sendiri.

Tuesday, August 5, 2008

Kembali kepada Tuhan

Sedar antara tidak rejab sudah berakhir dan syaaban menjelma datang. Ah, ramadhan sudah semakin hampir! Bulan ibadah itu perlu persediaan agar masa 30 hari itu tidak disia-siakan begitu saja.

Aku terkenang ramadhan yang lalu, bermulanya usrah kali pertama. Permulaannya juga aku mengenal fikrah Islam yang sebenar. Permulaan sebuah perkenalan dan perjuangan. Ya, aku sudah banyak berubah. Dalam tempoh setahun ini pelbagai perkara yang dapat aku hayati dan ambil iktibar.

Kehidupan memang perlu perubahan. Setiap halangan yang datang perlu ditranformasi kepada peluang. Perubahan juga perlu kekuatan. Juga pendirian yang tetap.

Aku masih teringat ketika aku mula-mula memamsuki UPM. Aku lupa. Percutiaan lebih separuh tahun menjadikan aku alpa pada hakikat dan pendirian hidup yang sebenar. Sungguh, aku benar-benar hanyut.

Tapi Tuhan begitu sayangkan aku. Dia anugerahkan aku insan-insan yang membawa aku kembali ke tebing. Kak Soleh, Amnani dan Kak Siti. Mereka bertiga datang dari penjuru yang berbeza, tapi menanamkan benih yang sama. Kembali kepada Tuhan. Sungguh, aku benar-benar merasai kasih-sayang Tuhan saat itu. Aku tersedar betapa aku dalam kelalaian.

Aku mulai berubah. Perlahan-lahan, satu-persatu. Tapi kadang-kala agak drastik juga. Hingga satu ketika pada semester lepas aku diuji dengan ujian 'futur'. Ya, saat itu aku mengenali 'dia'. Aku sedar itu salah. Sejak awal lagi aku menyedarinya. Tapi aku terlalu lemah untuk melawan hasutan syaitan, juga terlalu degil untuk teguh di jalan Tuhan. Suasana yang dibawa teman-teman turut sama mempengaruhiku.

Aku memaksa diri, tanpa rela untuk terus dalam perjuangan Islam. Aku takut kehilangan cinta Tuhan, tapi aku terus berkeras dalam kemaksiatan dan kemalasan. Ah, memang aku berjuang...tapi dengan separuh hati.

Kemudian cuti antara semester bermula, seribu satu peristiwa berlaku. Pastinya, aku rindu pada usrah selama tempoh lebih 2 bulan itu. Namun, aku masih tidak dapat melepaskan diri dari 'dia'.

Sepanjang cuti dan bulan pertama semester ini aku diuji pelbagai sudut. Sungguh, aku rasa tak punya sesiapa selain Tuhan...sungguh, aku baru tersedar cinta Tuhan yang agung. Aku sanggup kehilangan segalanya tapi tidak Tuhan dari hatiku. Benarlah betapa setiap ujian itu menifestasi cinta Tuhan kepada kita, kerana melaluinya iman semakin kuat dan teguh.

Hingga aku merasa redha pada segalanya. Hingga aku juga rela melepaskannya. Teringat bicara seorang teman, jodoh sudah ditentukan Tuhan, jika bukan jodoh kita, dikejar ke hujung dunia pun tetap tak mungkin dapat dimiliki. Maka nantilah jodoh ketentuan Tuhan. Ya, aku cuma percayakan Tuhan soal ini. Aku sendiri tak percaya pada pilihan diri kerana aku selalu silap dalam memilih.

Itulah kehidupan, ia adalah tempoh yang mendewasakan. Setiap kesilapan dan masalah adalah jalan menuju Tuhan. Jangan sesekali melarikan diri. Kembalilah kepada Tuhan biar bagaimana situasi dirimu saat ini. Kerana Tuhan sentiasa menanti kehadiranmu.....

Friday, August 1, 2008

Kematian

Akhirnya, aku dapat juga meluangkan masa untuk menulis entri ini. Sudah sebulan semester di buka, hendak katakan sibuk, tidak juga, cuma kadang-kadang masa begitu pantas berlalu. Itulah kata Imam Ghazali, yang paling jauh dari kita adalah masa yang telah berlalu dan yang paling hampir adalh kematian. Ah, bercerita soal kematian, sejak akhir-akhir ini aku selalu terfikir, andai aku mati esok......

Jarang bukan bercerita tentang kematian. Kadang-kadang terasa mustahil untuk mati. Iyalah, masih muda remaja. Tapi benarlah, adakala kelapa muda juga ada yang berguguran. Kematian itu akan datang tanpa disedari. Hingga itu aku jadi terfikir, jika aku mati esok.......

Apa guna lagi impian dan cita-cita yang selama ini ku semai untuk jadikan realiti, apa guna lagi pakaian2 dan perhiasan yang kubeli untuk dipakai, apa guna lagi wang yang ku cari dan ku simpan, apa guna lagi janji2 yang terpatri...ah, sudah tak bererti... bila kematian sudah tiba...

Aku baru merencana impian, membina harapan dan melakar cita-cita, aku diserbu ragu, bimbang, resah juga andai semua itu tidak tercapai. Pasti aku akan kecewa, terluka dan kesal juga. Tapi bila kematian sudah menjelma, semua perasaan itu bukan lagi satu kepentingan.

Maka perlukah untuk aku putus asa. Tunduk bungkam menghadapi mati. Ah, bila pula kematian itu akan hadir.....

Aku perlu bermimpi, merencana masa depan seakan kematian tak mungkin datang. Namun, aku juga perlu berhenti dan bermuhasabah dalam diri, semua ini tidak pasti, kerana kematian akan hadir. Maka hadis ini akan jadi sangat bererti; Berkerjalah kamu seperti kamu akan hidup selama-lamanya dan beribadahlah kamu seperti kamu akan mati esok hari.

Barangkali esok kita akan mati, maka pastikan tiada ibadah fardhu yang tertinggal dan ibadah sunnah jadikan amalan. Barangkali kehidupan masih panjang, maka teruskan memburu impian dan jadikan cita-citamu kenyataan......