Pages

Thursday, January 23, 2014

Berlari, Mengejar Mimpi

Impian, mimpi. Ingin sekali saya berlari mengejarnya! Selamanya, saya mencari begitu banyak alasan untuk tidak menggapainya. Ketika tamat pengajian, kecewa dengan perasaan yang tidak puas hati sepanjang tempoh pengajian. Impian yang makin pudar. Hala tuju yang tak tentu hala. Tugasan dan tanggungjawab yang diluar keupayaan. Saya buntu. Saya menangis mencari jalan keluar.

Seketika lama, saya membiarkan diri, dibawa hanyut oleh arus. Namun, arus itulah kehidupan. Dalam pelayaran yang seketika itu, saya menghadam sejuta perkara. Saya mula mencari mimpi. Saya mula merenung rasa yang tersimpan jauh dalam diri. Saya mula mengatur langkah satu per satu. Ya, memang pincang, masih tidak kelihatan cahaya yang mencerahkan. Tapi, saya mula menemukan laluan. Entahkan benar, entahkan tidak. Saya sendiri tidak pasti.

Beberapa hari lalu, ada teman mengajak untuk sama-sama  menulis antologi cerpen. Sesuatu yang telah saya impikan sekian lama. Impian yang semakin tenggelam dan pudar hilang. Saya tertawa, penulisan kreatif telah agak lama saya tinggalkan. Tertanya-tanya kemampuan diri, sama ada masih berupaya melakukannya kini.

Saya menyemak kembali naskhah cerpen Ku Berlari, Ku Kejar Mimpi, cerpen yang ditulis di pertengahan 2009, cerpen yang ditulis di saat saya mengalami satu pengalaman getir yang membekas dalam jiwa. Ketika itu, saya masih menyimpan mimpi. Kelukaan yang saya alami kala itu cuba saya luahkan dalam cerpen ini bersama mimpi yang ingin saya gapai. Sayangnya, itulah cerpen terakhir saya. Ketika membacanya kembali, saya masih tidak berpuas hati. 

Cerpen ini saya tulis ketika usia menganjak 20 tahun. Bacaan saya ketika itu kebanyakannya adalah karya-karya sastera kontemporari, terutama penulisa Faisal Tehrani. Saya ketika itu, memang terlalu mahu menulis karya berlatar-belakang negara asing. Maklumat yang diperoleh dari sepupu yang sedang belajar di Jepun menjadi modal di samping drama Jepun yang memang menjadi rutin harian. Ternyata, latar yang dipersembahkan tidak begitu kuat. Begitu juga plot yang ditawarkan. Saya tidak pasti jika dibaca orang lain, adakah mereka mengerti jalan cerita yang mahu disampaikan. Ternyata, jika benar-benar mahu diterbitkan, karya ini mesti dimatangkan.

Namun, cerpen ini adalah sebuah kisah yang sangat hampir dengan saya. Ia tersimpan luka, terukir mimpi dan tersirat seribu satu rasa. Kisah ini, bila dilihat kini menunjukkan betapa cintanya saya pada kembara dan kerinduan yang mendalam untuk kembali berkarya. Dan masih, ia mengandung duka yang kekal berparut menemani sejarah lalu saya.

Membacanya kembali ketika saya mula menyusun langkah mencari masa depan, saya seakan mahu berlari dan mengejar mimpi!