Pages

Sunday, January 10, 2010

kalimah Allah...

Tahun 2010 dibuka dengan satu lagi isu antara kaum. Kali ini ia melibatkan agama, pertembungan antara kaum dan agama dalam sebuah negara 1Malaysia ini pastinya mustahil untuk tidak berlaku. Ya, kepelbagaian yang wajar untuk kita raikan bersama. Bukankah Allah menciptakan kita dari kalangan lelaki dan perempuan serta berpuak-puak agar kita boleh berkenal-kenalan? Sesungguhnya setiap kejadian Allah itu ada hikmahnya tersendiri.

Isu ‘Allah’ yang mahu digunakan dalam penulisan sebuah akhbar Kristian pastinya menimbulkan tanda tanya. Ya, memang tidak salah untuk megungkapkan Allah sebagai Tuhan. Malah Allah adalah satu-satunya Tuhan yang perlu diiktiraf oleh setiap makhluk. Namun, mengapa Kristian mahu menggunakan Allah sedangkan di dalam Bible perkataan Allah sama sekali tidak pernah disebut. Jika sekadar mahu menterjemahkan istilah ‘God’ dalam bahasa Inggeris itu, apa salah menggunakan perkataan ‘Tuhan’? Saya tertanya-tanya mengapa mereka begitu beria-ia hingga membawa isu ini ke mahkamah? Mengapa ya?

Ramai yang membantah, tak kurang juga yang menyokong. Bagi saya, saya menyokong kebenaran dan setiap yang membawa manfaat kepada agama Islam. Jika Kristian menggunakan istilah Allah dapat memberikan peluang untuk dakwah Islam berkembang, pasti ianya sangat dialu-alukan. Namun jika sebaliknya? Saya tanpa segan-silu dan ragu-ragu untuk turut mengangkat sepanduk menyertai demonstrasi di depan mahkamah yang meluluskan penggunaan ini.

Ramai yang meminta ditunjukkan hukum larangan penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam. Ya, baik dalam Quran mahupun Hadis kita tidak akan menemuinya. Ini disebabkan Tuhan yang dirujuk dalam dua sumber rujukan utama kita ini meletakkan Tuhan hanyalah Allah. Namun, hukum dijatuhkan bukan secara terus pembacaan Quran dan Hadis ini tapi juga melalui penelitian pada maksud tersirat dan tersurat yang terdapat dalam dua sumber utama ini. Maka untuk golongan awam seperti kita, apakah kelayakan kita untuk menjatuhkan hukum? Maka mengambil penerangan dari pihak-pihak yang lebih pakar adalah satu keutamaan. (Di sebelah kanan atas blog ini adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Haron Din, kenyataan dari pihak IKIM di sini)

Ramainya membantah, segelintir menyokong dan secara peribadi saya juga merasa bimbang. Bimbang dengan gelombang pluralisme agama yang semakin bertiup kencang. Saya bimbang dalam usaha memberi kesamarataan dan hak kebebasan juga kita atas dasar melaksanakan tajdid agama tanpa percaturan dan pertimbangan ilmu dan akal telah menyumbang kepada galaknya gelombang ini. Ya, kita dengan niat mengharap mahu berkongsi pemahaman menyumbang pula ke arah pensyirikan. Saya bimbang jika semakin lama penggunaan ‘Allah’ yang digunakan secara meluas dalam agama bukan Islam menjadikan Islam dan agama-agama lain tiada lagi berbeza. Ya, bagaimana untuk agama itu berbeza bila Tuhannya serupa?

Saya tidak mahu Allah, Tuhan yang Esa yang saya imanni adalah sama dengan Tuhan Bapa yang ada dalam konsep Triniti. Allah adalah nama Tuhan orang Islam, jika anda begitu mahu Tuhan kamu bernama Allah, sila masuk ke agama Islam. Mengapa mahu menggunakan nama Tuhan orang Islam sebagai Tuhan anda? Bukan kami orang Islam tidak mahu berkongsi nama Tuhan namun kami punya tanggunggjawab sebagai hamba yang menyembah Tuhan Allah untuk memelihara keEsaan dan kemuliaan namaNya dari diseleweng dengan sewenang-wenangnya. Ya, saya tekankan sekali lagi, Islam sekali-kali tidak akan menerima konsep pluralisme agama. Memang setiap agama membawa kebaikan namun agama yang benar hanya Islam dan satu-satunya Tuhan dalam Islam hanya Allah.

Jadi saya mahu bertanya lagi, mengapa mahu ‘God’ diterjemahkan kepada ‘Allah’? Sedang seluruh seantero dunia tahu, Allah adalah Tuhan orang Islam. Jika kita membenarkan ‘Allah’ digunakan bukan Islam, apa bezanya Allah, Buddha, Brahman, Jesus dan lain-lain Tuhan?

0 comments: