Pages

Monday, January 11, 2010

'Demi keharmonian'

Oleh Hassan Omar
hassanomar@bharian.com.my


Penganut Kristian minta gereja gugur tuntutan guna kalimah 'Allah'

KOTA KINABALU: Demi keharmonian dan keselamatan negara, seorang penganut Kristian yang juga Presiden Majlis Jaksa Pendamai (JP) Malaysia, Datuk Clarence Bongkos Malakun, meminta masyarakat Kristian negara ini menggugurkan tuntutan penggunaan kalimah 'Allah'.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah, berkata tuntutan itu harus dinilai semula berikutan bantahan umat Islam berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) membenarkan penggunaan kalimah 'Allah' oleh Herald-The Catholic Weekly.

"Walaupun Mahkamah Tinggi membenarkan perkataan 'Allah' bukan hanya boleh digunakan orang Islam, kita harus sedar reaksi masyarakat dan organisasi Islam terhadap perkara itu.

"Masyarakat Kristian harus faham bahawa umat Islam marah kerana perkataan 'Allah' sudah digunakan di Malaysia sejak azali lagi dan ia juga merujuk kepada Tuhan bagi Islam.

"Saya sedar, kenyataan ini akan menyebabkan ramai penganut Kristian menyalahkan saya, tetapi jika penganut Kristian yang sebenar, kita harus memaafkan dan saling sayang menyayangi," katanya dalam kenyataannya di sini, semalam.

Pada 31 Disember lalu, Hakim Datuk Lau Bee Lan membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Ketua Biskop Roman Katolik Kuala Lumpur dan mengisytiharkan bahawa kalimah Allah bukan eksklusif kepada Islam saja.

Bagaimanapun, Rabu lalu, Lau membenarkan permohonan Menteri Dalam Negeri untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan kes berkenaan.

Malakun yang juga Presiden Majlis JP Sabah, berkata lebih wajar penganut Kristian menggunakan perkataan `Tuhan' atau `Tuhan Yang Maha Kuasa' berbanding mendesak untuk menggunakan kalimah `Allah'.

Beliau berkata, penganut Kristian di Malaysia tidak wajar mencontohi masyarakat Kristian di Indonesia yang menggunakan kalimah 'Allah' dalam urusan agama mereka, sebaliknya harus mematuhi Perlembagaan Malaysia.

"Biarkanlah saudara Islam kita saja menggunakan kalimah 'Allah' demi kebaikan kita hidup dalam aman dan harmoni.

"Dengan memahami 'Allah' itu Tuhan bagi umat Islam, masyarakat Kristian harus mampu menyesuaikan diri dengan situasi di negara ini bahawa Islam agama rasmi Malaysia. Jika kita terus mendesak, ia akan mengakibatkan keadaan bertambah buruk," katanya.

Sehingga semalam, tujuh gereja termasuk yang terbaru di Miri, Sarawak, menjadi sasaran cubaan membakar dan vandalisme dipercayai mempunyai kaitan dengan kontroversi penggunaan kalimah 'Allah' oleh Herald-The Catholic Weekly.

Pos pengawal Sekolah Menengah Convent di Taiping, Perak turut dibaling bom petrol, manakala sebuah surau di Klang, Selangor dibaling batu.

sumber di sini

0 comments: