Pages

Sunday, January 24, 2010

PRK 2010-sebuah catatan awal

Sekarang musim pilihanraya kampus. Seorang sahabat saya turut bertanding. Ya, orangnya agak popular juga barangkali kerana personalitinya yang mudah mesra. Namun, saya juga yakin beliau juga seorang bertanggungjawab dan berdedikasi pada tugas. Saya berdoa semoga beliau berjaya.

Pilihanraya kali ini nampak sedikit ‘hidup’ berbanding yang lalu. Ya, langsung tiada sebarang khabar dan berita. Seakan tidak mahu buat juga. Ya, barangkali ketika itu kehangatan pilihanraya umum masih terasa, maka pilihanraya kampus perlu mengambil ‘jalan selamat’ untuk dilaksanakan.

Saya tidak pernah membaca apa-apa artikel atau rencana tentang bagaimana sesebuah pilihanraya kampus itu dilaksanakan. Namun, dari ucapan YDP MPP dalam sebuah majlis baru-baru ini saya menyedari betapa mahasiswa-mahasiswa yang bertanding hendaklah atas tiket calon bebas dan sama-sekali bukan mewakili mana-mana parti seperti yang berlaku dalam pilihanraya umum. Walaubagaimanapun, secara tidak rasmi calon-calon ini terbahagi kepada Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa.

Ya, ketika demam pilihanraya kampus sedang bermula, bekas-bekas MPP yang lalu mula membuat kempen. Memang aneh, orang lain yang bakal bertanding, orang lain pula yang bersungguh untuk berkempen biarpun waktu berkempen masih belum tiba. Barangkali juga kerana ketika pilihanraya yang lalu mereka tidak diberi peluang langsung untuk berkempem. Maka dua kelompok ini Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa semakin jelas kelihatan.
Kadang-kala saya mahu tertawa dan kadang-kala saya sedikit kecewa. Barangkali kita semua mahu lakukan yang terbaik dalam setiap tugasan yang diamanahkan. Namun kadang-kala kita seakan terleka yang kita kejar bukan menghulur bakti dengan tulus namun harapan kita terpandang dan terkenang dalam lipatan sejarah. Ya, itu yang dapat saya rasakan terselit dalam hati bukan sahaja MPP malah keseluruhan mahasiswa. Kita menghulur tangan bukan semata-mata mahu membantu yang memerlukan tapi kerana kita mengharap orang lain turut melihat, menyanjung dan mengangkat.

Maka kuasa, pengaruh dan kepercayaan menjadi matlamat. Ya, saya kecewa. Barangkali banyak pencapaian dan kejayaan yang telah kita perolehi. Sungguh ia sangat mengagumkan. Namun, saya kecewa jika hanya sekadar itu tujuan dan matlamat kehidupan. Semata-mata kerana diri sendiri.

Dunia politik memang menggerunkan. Namun, tanpa kuasa politik kita seakan tongkat tidak dipapah. Mahasiswa adalah golongan muda yang penuh semangat dan idealistik. Saya bimbang dan saya harap agar semangan dan idea mahasiswa tidak ditenggelami oleh pengaruh material dan penghargaan. Dari dulu kita berjuang demi berbakti kepada masyarakat. Maka saya mengharapkan kita tidak akan sesekali berubah dan bercakaran sesama sendiri kerana kepentingan diri sendiri. Apatahlagi oleh pihak-pihak yang cuba memanipulasi semangat dan idea kita.

Pilihanraya kampus bakal bermula. Di UPM, calon-calon yang layak bertanding telah diumumkan. Sebagai warga kampus, menjadi hak dan tanggungjawab kita untuk membuat pilihan. Bagi sahabat-sahabat yang bertanding, bertandinglah secara adil atas semangat persaudaraan dan permuafakatan. Biar siapa pun kita, kita perlu sedar kita adalah mahasiswa yang bebas dan merdeka untuk menjadi diri kita sendiri. Jika anda terpilih, anda perlu sedar tugas anda bukan lagi mencari publisiti, tugas anda adalah berada dikalangan sahabat-sahabat anda ini untuk membantu mereka. Juga sebagai pemimpin, anda perlu sedar amanah yang anda galas itu sangat berat.

2 comments:

ahmad bin ibrahim said...

syabas...
rse suke bile membace artikel2 amal..
bahase yg diolah cantik dan menarik...
hebat!

Amalina Ismail said...

huhu...pujian melambung ni..=)
alhamdulillah...asal dpt difahami dgn baik..okla...
trima kasih membaca...
n teruskan membaca...=)