Pages

Sunday, January 31, 2010

PRK UPM 2010 – Persoalan-persoalan saya....

Pilihan raya selamat berlangsung Selasa lalu, tapi sehingga Jumaat kami masih menanti-nanti senarai nama MPP yang berjaya memenangi kerusi. Ya, memang banyak khabar berita yang diterima namun keputusan rasmi yang ditampal masih dinanti. Sebagai seorang mahasiswa dan pengundi, mengetahui siapakah pemimpin yang bakal memperjuangkan nasib mereka adalah sesuatu yang amat dinanti.

Namun, saya menerima sms pagi tadi menyebut tentang pembatalan kemenangan beberapa calon MPP yang telah pun dikenalpasti kemenangan mereka. Ya, itu memang satu kejutan. Dan sebagai mahasiswa dan pengundi, sekali lagi kami tertanya-tanya.

Lalu, saya menambahkan pertanyaan di sini, apakah perlu PRK dilaksanakan jika sekadar mahu melantik pemimpin yang sedari awal telah dipilih? Mengapa perlu membazir waktu, tenaga dan wang dan merumitkan pemikiran untuk memikirkan jalan dan langkah jika pemilihan sudah sedia ditetapkan? Lantas saya menyarankan proses pilihanraya kampus UPM ini dimansuhkan sahaja........

Ketika tempoh sehari kempen, ada teman-teman yang bersungut melihat kertas-kertas poster yang bersepah-sepah. Bukan sahaja nampak seperti pembaziran malah lebih mencacatkan pemandangan. Namun saya hanya tersenyum dan dalam hati bertanya sendiri, bagaimana kemeriahan pilihanraya dapat terasa tanpa perang poster?

Itu terus membuatkan saya terus bertanya, betapa ramai mahasiswa yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga mereka mengedarkan poster dan berkempen demi kemenangan calon pilhan mereka. Ya, tiada calon yang sendirian dalam meraih undi. Mereka perlukan penyokong-penyokong setia yang membantu perjuangan mereka. Maka, persoalan saya, pasti ramai juga dikalangan mahasiswa yang sanggup mengorbankan tenaga dan masa mereka untuk mengira kertas undi dalam menentukan ketelusan proses pemilihan calon. Jika saya bertanya, adakah anda sanggup untuk mengira kertas undi secara percuma, pasti anda akan teragak-agak untuk mengiakannya, namun jika saya berkata, adakah anda berminat menjadi sukarelawan dalam melancarkan perjalanan proses pilihanraya, saya kira ramai dikalangan mahasiswa tanpa ragu sanggup mencurahkan bakti.

Lalu saya bertanya, mengapa perlu lagi e-undi? Ya, saya memang menyokong e-undi dari sudut efisiensi dan kelestarian yang dapat dilaksanakan. Tentu sekali saya bersetuju jika kertas tidak lagi digunakan dalam proses pengundian kerana pokok yang ditebang dapat dikurangkan dan keseimbangan ekosistem dapat dijaga selain menunjukkan ketinggian teknologi yang kita miliki. Namun saya seakan mahu ketawa pula bila proses berkempen masih di tahap tradisional malah purba bila hanya poster dan pamplet dari kertas A4 yang digunakan yang jelas tidaklah ‘lestari’. Malah, ‘kempen berteknologi’ turut disekat seakan eksplorasi teknologi oleh golongan mahasiswa pula seakan mahu dimatikan.

Ya, memang lucu. Saya tidak mahu tahu siapa salah dan siapa yang mulakan dahulu. Namun, saya mengharapkan penyelesaian. Sebagai mahasiswa, kita masih terlalu muda untuk membelenggu diri kita terhadap dalam anasir-anasir negatif. Sebagai mahasiswa, kita perlu lebih berlapang dada dan bersikap terbuka tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan berjuang demi kebenaran.

Barangkali ini persoalan terakhir yang ingin saya tanyakan, kali ini kepada bakal-bakal MPP yang akan diisytihar dalam masa yang hampir; Apakah tujuan utama anda bertanding dalam pilihanraya kampus kali ini? Adakah anda benar-benar mahu memperjuangkan hak-hak mahasiswa seperti yang anda senaraikan dalam manifesto anda? Atau sekadar mahu menambah laku resume anda dan menunjukkan kepada betapa hebatnya anda kerana berjaya bergelar pemimpim mahasiswa (walau hakikatnya anda bukan pilihan mahasiswa). Seperti entri yang lalu, saya mahu tekankan lagi, mahasiswa adalah golongan yang perlu bebas dan merdeka, jangan membelenggu jiwa dan minda kita dengan materi dan pengiktirafan semata-mata.

Akhir kata, saya memilih calon yang saya yakin akan kemampuan mereka membela hak saya sebagai mahasiswa. Tidak kira mereka Pro-Aspirasi atau Pro-Mahasiswa. Harapan saya, satukan hati kita sebagai mahasiswa. Jika ada pihak yang tidak mampu berlaku telus, sebagai mahasiswa, kita wajar bersikap telus, jujur dan amanah.

0 comments: