Pages

Wednesday, January 13, 2010

Jatuh cinta???


Lama saya berdepan skrin komputer riba. Memang saya tidak tahu apa yang patut dilakukan. Mahu menyiapkan tugasan subjek Lukisan Kejuruteraan masih tiada software Autodesk Inventor yang digunakan. Maka saya pun menyelak-nyelak laman facebook. Tiada apa yang menarik di hati hingga kepada satu laman seorang sahabat.

Semalam kami baru bertemu. Walau dalam tawa tapi dia serius berbicara dia telah jatuh cinta. Saya terkejut. Ya, tidak sewajarnya saya begitu. Untuk jatuh cinta,sesiapa jua tidak berdaya untuk menolaknya.

Ia buat saya terkenang semua ‘kisah cinta’ saya. Seakan banyak pula kedengarannya =). Namun, bagi saya rasa jatuh cinta memang satu pengalaman, indah namun terselit seribu satu resah. Dan berkali-kali jika boleh diulang masa, saya tidak mahu untuk jatuh cinta.

Dahulu, ketika masih di bangku sekolah dan tahun-tahun awal di alam kampus, cerita cinta seringkali menarik hati dan perasaan. Namun, bila usia makin meningkat dan barangkali pengalaman makin bertambah ia tidak lagi begitu mengusik jiwa. Malah seakan begitu sukar untuk begitu mudah jatuh cinta. Dan berbicara tentangnya tidak lagi begitu menawan jiwa.

Namun bila seorang sahabat baik mengungkap begitu, hati saya sedikit terusik. Apatahlagi pada cinta pandang pertama. Ia seakan kisah drama Romeo dan Juliet lagaknya. Jujurnya saya tidak percaya namun jauh di sudut hati saya sedar ia bukan mustahil.

Ia buat saya jauh terkenang. Betapa saya pernah merasa sakit dan derita kerana cinta. Berada dalam persimpangan dan dilema. Sungguh cinta berkait rapat dengan masa, saat masanya tiba kita tidak mampu menghapus gelora dalam dada namun musim tengkujuh pasti jua berlalu dan kita perlu sedar untuk tidak berdegil menempuh badai besar sebelum masa. Ini kerana cinta adalah persoalan masa, bila masa berlalu kisah cinta akan menjadi kenangan dan hari-hari biasa yang berlalu. Jika kita berkeras menyahut cabaran sang badai, bimbang kita tak mampu meraih kembali ke tepian dan hanyut di tengah lautan. Maka itulah cinta yang menyelubungi kita.

Saya sedar untuk jatuh cinta ia tidak perlu sebarang amaran. Ia bisa berlaku secara tiba-tiba diluar kesedaran. Malah untuk saya menghadapinya bila-bila masa ada kemungkinan. Namun untuk tersilap langkah dalam hangatnya bara cinta adalah satu kebodohan. Allah menganugerahi akal dan iman, jika kejahilan juga yang menjadi panduan, kita benar-benar tergolong dalam kalangan yang tidak reti untuk mensyukuri nikmat Tuhan.

Ya, adakala saya rindu dengan perasaan jatuh cinta. Namun saya hangatkan hati saya dengan janji Tuhan betapa ada cinta untuk saya.

2 comments:

Agroindustri Ternakan Ruminan Kolej Vokasional Pertanian Chenor said...

wawawa... ayat2 yang hebat....

Syifa' said...

Betul tu Sis, cuma kadang2 kita selalu dibuai perasaan..kadang2 kita lemah (manusia selalu lemah, kan?) Janji Allah itu benar dan ketentuan Allah itu pasti..