Pages

Tuesday, January 13, 2009

Seminar Kemahiran Mahasiswa (SKEMA) UPM



Barangkali cuti yang terlalu lama menjadikan saya kurang bersemangat untuk menyertai program-program berciri islamik mahupun peningkatan diri. Namun, dengan niat menjaga hati sahabat juga bimbang dipandang serong teman-teman lain, saya kuatkan juga hati dan perasaan untuk menyertai Seminar Kemahiran Mahasiswa (SKEMA) UPM yang diadakan Ahad lalu, 11 Januari 2009 di Dewan Kuliah 12 Fak. Ekonomi dan Pengurusan, UPM.



Seminar yang dijadualkan bermula pukul 8 pagi, akhirnya bermula jam 9.30 pagi. Barangkali itu permainan pihak penganjur yang dapat menjangka kehadiran para peserta yang pastinya akan lewat. Lega juga kerana tidak terlalu mematuhi waktu seperti selalu, saya tiba di dewan tersebut pada jam 8.15 pagi.



Sementara menanti, saya ambil peluang itu bertukar-tukar cerita dengan sahabat-sahabat lain yang turut hadir. Agak teruja bila sudah lama tidak berjumpa lantaran cuti yang agak panjang. Selain itu, ada juga teman-teman yang baru, menarik sekali bila dapat berkongsi cerita dan pengalaman baru. Entah mengapa, tanpa saya sedari rasa berat hati dan lemah semangat yang saya rasakan sebelum itu semakin hilang. Mungkin saja kerana niat di hati para sahabat yang menganjurkan begitu tulus hingga berkesan di hati. Walauapapun puncanya, alhamdulillah.



Program bermula dengan ucaptama dan perasmian oleh Pak Cik Solehuddin bin Shuib, saya memang sentiasa senag dengan penyampaian Pak Cik Soleh, walaupun kebanyakan isi penyampaiannya lebih kepada satu tazkirah kerana saya rasa apa yang disampaikan sudah berkali=kali saya dengar. Namun ia masih membekas di hati. Kadang-kala ada rasa sebak menyelinap dalam jiwa dan saya seakan mahu menangi mengenangkan keterlampauan dan kesilapa-kesilapan yang telah saya lakukan. Sungguh, ucapannya membangkitkan keinsafan dan menyedarkan saya hakikat kehidupan yang sebenar. Dalam hati saya benar-benar bersyukur kerana Allah masih menguatkan langkah kaki saya walu hati saya begitu berat. Sungguh, maha suci Allah yang telah memilih saya menyertai seminar ini. Sekali lagi alhadulillah.



Setelah rehat, seminar bersambung dengan ceramah oleh Pak Cik Taib bin Pardi yang bertajuk Rahsia Mahasiswa Cemerlang. Saya tak pasti apa yang istimewanya dengan penyampaian Pak Cik Taib kali ini, tapi mata saya terus segar dan sesekali hati saya turut tersentuh. Apa yang pasti, Pak Cik Taib banyak mendedahkan tentang teknik-teknik belajar yang jarang saya ambil berat dan peduli. Namun, bila ditekankan oleh Pak Cik Taib saya jadi teruja untuk mencubanya. Mana tahu, ia akan jadi sangat berguna untuk pengajian saya dalam kursus kejuruteraan yang tak pernah jadi pilihan saya ini.



Alhamdulillah, sebelum azan zohor berkumandang, seminar ditamatkan dengan Kalimah Akhirah oleh Pak Cik Soleh sekali lagi. Sungguh saya benar-benar bersyukur menyertai seminar ini. Minggu depan akan diadakan SKEMA peringkat wilayah tengah di UKM, tanpa berfikir panjang saya mendaftarkan diri. Saya sedar apa yang akan saya dengar bukanlah perkara baru yang luar biasa. Namun, ingatan yang berulang-ulang itulah akan terus menguatkan hati untuk menempuh kehidupan dengan taklifan sebagai hamba dan khalifah dengan lebih berkesan.





0 comments: