Pages

Saturday, January 17, 2009

politik kampus-sebuah sembang santai



Hari ini saya mahu menulis sedikit tentang politik. Lama sudah rasanya tidak berkomentar tentang topik ini. Kemelut politik negara yang tak pernah renggang dengan isu dan kontroversi buat saya muak dan bosan untuk terus mengikutinya. Barangkali ‘permainan orang dewasa yang keanak-anakan’ itu kurang sesuai dengan jiwa remaja saya yang semakin matang. Terlalu siniskah saya mengungkapnya, biarlah, bak kata orang tua-tua, siapa yang makan cili, dia yang terasa pedasnya. Moralnya, janganlah makan cili, kalau tak nak rasa pedas.



Berbalik kepada tajuk, saya menulis bukan kerana terlalu ghairah dan teruja dengan isu-isu politik ini, namun, hati kecil penulis saya jadi terusik bila mendengar bual bicara teman-teman sebaya yang membincangkan isu ini. Maka, rasa kepingin pula menjelma untuk menumpahkan tinta dan berkongsi cerita. Lupa pula mahu menjelaskan situasi yang telah mencetuskan bual bicara sebegitu rupa, ya, memang jarang sekali mahu mendengar pelajar-pelajar kita yang hidungnya hanya di buku, heboh berkata soal kempen dan pilihanraya. Barangkali kita silap perkiraan, mahasiswa/i kita juga sudah makin dewasa dan matang untuk berbicara soal hak dan keadilan, kezaliman dan penindasan. Jika itu benar, wawasan 2020 yang kita idam-idamkan itu pasti mampu direalisasikan.Oh, panjang sangat celoteh, lupa lagi menerangkan situasi, ketika ini musim pilihanraya kampus (PRK) sedang hangat berlangsung, sungguh, topik apa lagi yang lebih mengujakan untuk dibicarakan di kalangan mahasiswa/i?



Secara fizikalnya, inilah PRK paling tenang, walaupun saya hanya pernah lalui sekali saja PRK sebelum ini, jadi hanya dua situasi yang dapat dibuat perbandingan. Jadi antara yang lalu dan sekarang, sungguh, ia berbeza. Tiada lagi perang poster, banner, risalah manifesto dan sebagainya. Unik sekali pilihanraya ini, diminta mengundi namun tak mengenal calonnya. Bagaimanakah hak dapat ditunaikan? Aneh sekali pihak universiti mengajar mahasiswa/i tentang proses demokrasi dan kebebasan. Barangkali demokrasi itu miliki definisi baru yang diterjemah golongan-golongan cendekiawan pusat pengajian tinggi yang ulung ini. Harapnya dapat diserapkan dalam silibus Kenegaraan secepat mungkin, agar mahasiswa/i yang begitu tekun menimba ilmu di perigi universiti ini tidak keliru dan kebingungan untuk memahami konsep yang cuba disampaikan pihak universiti, bila ‘apa yang diajar, tidakserupa dibikin’.



Bukan mahu membela, menyokong, menolak mahupun menjatuhkan mana-mana pihak, baik pro-mahasiswa mahupun pro-aspirasi, kerana hakikatnya jiwa-jiwa golongan mahasiswa/i ini masih begitu suci dan murni untuk mengenal istilah perpecahan yang cuba dibawa golongan tua. Benarlah kata orang, sudah banyak makan garam, banyaklah penyakitnya. Maka generasi yang masih sihat bugar ini tidak mengira dari pihak mana pun anda, perjuangan anda yang akan diutamakan. Namun, perjuangan bagaimana itu? Saya sendiri kurang pasti kerana masih tak dapat ditonjolkan oleh sekatan dan halangan yang pelbagai.



Walaubagaimanapun, saya akui kesucian jiwa generasi ini baik dari bahagian mana pun ia, miliki nilai perjuangan yang sama. Namun, bila golongan yang berpenyakit tadi mula mendekati, jangkitan pun berlaku, kesucian akan ternoda dan wabak akan melanda. Sungguh, penyakit moral itu lebih bahaya dari serangan virus SARS. Manakan tidak, mengubah suhu badan adalah lebih mudah dari menukar persepsi insan.



Inilah dunia hari ini, akar umbi mana yang perlu diperiksa hingga kuntuman bunga tak lagi mekar mewangi dan buah tidak sempat masak ranum sudah gugur busuk di tanah. Hakikatnya, kita mengharap perubahan dan kemajuan, namun sikap keanak-anakan kita menjadikan kita kekal di peringkat yang sama biar usia terus meningkat. Sedih bukan, bila kita diminta menjadi patriotik tapi dalam masa yang sama taufan sentimen perkauman terus ditiup. Walauapapun, tiap ruang yang ada untuk berjuang perlu digunakan sebaiknya. Maka, biar faham atau tidak, tahu atau tidak, kenal atau tidak, laksanakanlah hak anda dan berusahalah untuk menggunakan hak yang kecil ini sebaik-baiknya. Sokonglah PRK....undilah demi masa depan yang kita idamkan............



0 comments: