Pages

Thursday, January 30, 2014

Syura dan Pemimpin

Jujur saya katakan, saya tidak mudah diyakini, tidak senang mengikuti dan sukar untuk ikut membuta tuli. Maka, jika ada yang memberi arahan dan saya rasakan tidak cocok di hati, saya dengan tenang akan berlalu pergi tanpa ambil peduli.

Hidup dalam masyarakat yang bersistem dan berperaturan membuatkan kita terdoktrinasi untuk mengikut tanpa banyak tanya. Bagi saya, taqlid itu bahaya. Sama ada kita jadi zombi, robot atau sesat dalam arus.

Jadi, tidak salah untuk bertanya, meminta penjelasan, meluahkan rasa malah memberikan teguran. Maka, ketika diajar urusan syura, saya begitu teruja memahami. Benar, dalam hidup ada keperluan yang perlu diutamakan, tapi tidak semua keutamaan yang kita rasakan utama itu serupa untuk semua individu. Di sini pentingnya syura, musyawarah itu.

Bermusyawarah itu membawa kita mengenal. Bukan mahu orang lain saja yang mengenal kita, tapi lebih-lebih lagi peluang untuk kita mengenal orang lain. Bermusyawarah itu tidak mesti pada urusan besar dan penting, malah soal makan, pakai malah suka dan benci, semuanya wajar dimusyawarahkan, dibincangkan.

Jadi, jika mahu terus menyuruh itu dan ini, tanpa berbincang, tanpa difahami, tanpa mengenal, kita akan terdedah pada bahaya 'syok sendiri'. Barangkali, ya, arahan dan suruhan itu diikut dan dilaksana, namun, sejauh mana hati yang melaksanakan itu ikhlas dan reda? Kita tak akan tahu tanpa cuba mendengar dan mengerti.

Menjadi pemimpin itu tidak mudah. Jadi saya memang hairan bila orang berebut-rebut mahukan kerusi di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. Ini disebabkan, betapa pemimpin itu perlu miliki kemahiran mendengar, kemampuan mengerti dan keupayaan memahami bukan sekadar pengetahuan itu dan ini, maka 'aku lebih tahu dan ikut arahan ku'. Dalam organisasi juga serupa, 'kerana aku ketua, maka kataku kebal, tidak salah dan tidak wajar dipersoal'. 'Kerana kamu pengikut, maka ikut dan patuh saja arahan itu.'

Alahai pemimpin sekalian, memang tidak mudah jadi pemimpin itu, semua hati perlu dijaga, semua hak mesti dijaga dan keadilan itu mesti ditegakkan. Makanya, bersedialah untuk menerima kecaman, teguran, nasihat malah fitnah dan adu domba walau anda tidak mahu jadi pemimpin namun, sebagai pemimpin, bersedialah!

Makanya, itulah sebab musyawarah itu perlu, mendengar itu mesti, sebab hidup pemimpin bukan hidup sendiri.

Dalam jamaah ini, ada juga syuranya yang tertinggi. Katanya, keputusan syura adalah persetujuan bersama, keputusannya terkandung barakah. Melaksananya jika betul dapat dua pahala, jika salah dapat satu pahala. Membelakangi adalah khianat.

Saya memahami pendirian dan konsep ini. Saya juga mengerti bila ada anggota yang tidak terlibat secara langsung di dalamnya tidak mampu untuk mengikut dan meraikan keputusannya. Ya, mereka tidak didengari suaranya, maka disuruh mengikut saja. Lalu, itulah pentingnya pemimpin mendengar dan meraikan suara mereka, juga cuba memahamkan sebaiknya keputusan yang telah dibuat bersama.

Jika masih tidak mahu, jangan dilabel itu dan ini, sebaliknya biarkan saja mereka dengan langkah mereka dan unjurkan mereka untuk secara terhormat berpisah dari gerakan. Barangkali nampak tidak adil, namun, inilah kemuliaan untuk hidup bersama.

Sebagai anggota, kepatuhan adalah satu kemestian kerana jika bersalahan tindakan kita dengan gerakan yang kita anggotai, akan timbul fitnah dan aib terhadap gerakan ekoran anggota yang gagal patuh dan taat. Maka, jika tidak setuju, dapatkan penjelasan sebaiknya, jika masih tidak berpuas hati, pilihlah untuk diam dan menghormati keberkatan syura atau secara terhormat berpisah dari gerakan.

Pasti ada tolak-ansur di sini selagi tidak berkait akidah dan syariat. Maka, di bawah syura tertinggi itu, syuralah dalam kumpulan-kumpulan kecil supaya dapat saling mendengar dan saling mengenal.

Ketika Anwar Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Presiden ABIM dan memilih memasuki UMNO, bagi saya silapnya cuma satu, beliau tidak dahulu bersyura sebaiknya, tidak dahulu memahamkan anggota. Maka, kesannya begitu pahit, dikenang orang hingga hari ini.

Ust. Siddiq pernah berkongsi pengalaman peribadi beliau ketika membuat pilihan untuk melanjutkan pengajian, ketika semangat berkobar-kobar untuk ke luar negara, beliau berkonsultasi dahulu dan saranan Anwar Ibrahim untuk melanjutkan pengajian di dalam negara di bawah seliaan Prof. Naquib Al-Attas diterima dengan ikhlas dan senang hati. Ya, memahamkan pengikut tentang apa yang pemimpin inginkan akan memberi kesan dalam kepimpinan dan struktur organisasi serta negara keseluruhannya.

Bila menulis tentang ini, saya berfikir sendiri , betapa saya sendiri masih begitu lemah soal musyawarah ini. Saling mendengar, mengenal dan mengerti. Namun, kita diajar untuk terus mengajak orang lain di samping sedaya upaya memperbaiki kelemahan diri.

yok! sama-sama perbaiki diri. Mulakan dengan 'meletakkan diri dalam kasut orang lain'!

Agama yang Mana Kita Berbeza


Selamat Tahun Baru Cina! 
(Doodle from Google)

Agama, percaya dan beza. Ternyata kita semua punya agama, dan kita percaya bahawa agama yang kita pegang itulah sebenar-benar dan hakikinya adalah agama yang benar. Namun, disebabkan agama dan kepercayaan kita berbeza, maka kita tidak sama. Kita berbeza dan bersalahan antara satu sama lain. Kadang-kala bila ada perkara segelintir pihak menerima, ada pihak menolak dengan tegas. Jadi bagaimana perbezaan ini mampu dirai? Atau lebih tepat, mengapa perlu berbeza? Sehingga segalanya seakan tidak keruan dan menimbulkan satu demi satu permusuhan.

Ketika menghadiri Projek Dialog, Agama di Malaysia: Masalah dan Penyelesaiannya, saya masih menggenggam Tasauf Modern karangan Buya Hamka yang masih cuba saya tekuni dari helaian demi helaian di setiap ruang dan peluang. Bila seorang panel membangkit permasalahan agama sebagai punca permusuhan, perbalahan malah mengakibatkan pembunuhan, saya teringat beberapa perenggan yang ditulis Hamka iaitu;

                ‘Apakah tuan kira jika terjadi peperangan antara suatu bangsa dengan bangsa yang lain, terjadi pembunuhan dan pertempuran ngeri, lempar-melemparkan bom, runtuh-meruntuhkan , hancur-menghancurkan negeri, patah-mematahkan jembatan perhubungan; apakah tuan kira bahawa peperangan itu hanya semata-mata keinginan hendak menghilangkan keamanan dunia? Bukan! Bukan peperangan yang jadi tujuan dari peperangan, bukan kerosakan yang jadi cita-cita. Bahkan semua orang yang berperang tahu bahawa perbuatannya ngeri, kejam. Tetapi kerana ada di balik itu yang mereka tuju, lupalah mereka kerosakan itu. Yang mereka tuju ialah akibat sesudah perang, menang atau kalah! Mujur atau malang!
                Jika menang bendera naik, jika kalah bangsa pun hina! Demikianlah adanya hidup ini. Hidup adalah peperangan yang hebat, lagi kejam dan sakit. Di antara sepihak balatentera yang bernama diri dengan sepihak lagi balatentera yang bernama nasib.
                Peperangan itu belum pernah berhenti, dan selama-lamanya tidak akan berhenti, selama nafas masih dalam badan, selama matahari masih dihirup cahayanya, sampai langit digulung dan bumi dibelah, sampai kepada saat manusia yang akhirnya sekali hidup dalam alam ini’

Ternyata, ada benar bicara Hamka, perang, pembunuhan itu terjadi sejak anak Adam pertama, Habil dan Qabil. Malah, hingga hari ini ia tidak pernah kunjung tiba, tidak pernah berhenti. Jika sudah berhenti perang di suatu kawasan, timbul pula perang di kawasan lainnya. Jika lerai sudah perang antara negara, muncul pula perbalahan dan perang antara kaum dan bangsa. Berterusan sepanjang tamadun dan sejarah manusia.

Seperti terbunuhnya Habil ditangan Qabil, setiap perang yang berlangsung ada tujuannya. Tujuannya jelas, seperti bercita-citanya Qabil hidup bahagia bersama pasangan yang lebih menepati citarasanya, begitulah perang berlaku demi kebahagian yang dikejar manusia. Juga bahagia itu punya banyak makna, barangkali bahagia menegakkan kepercayaan dan prinsip, bahagia mengaut kekayaan dan laba, bahagia memegang kekuasaan dan pengaruh, dan lain-lain bentuk bahagia yang didamba manusia.

Maka, bertanya kita, perdamaian dan cinta itu bagaimana bisa dicipta?

Kata Hamka, ada 4 rukun yang harus ditegakkan dalam menyusun masyarakat, kalau mahu keamanan dan kesentosaan sentiasa terjaga;
1. Pertahanan atas diri
2. Menjaga kehormatan
3. Mendirikan pemerintahan
4. Mengakui ada suatu kekuasaan ghaib yang melindungi alam yang akan memberi ganjaran baik dan buruk di hari kemudian

Mempertahankan diri, menjaga kehormatan adalah sifat manusia yang memiliki kemuliaan. Manusia yang mahu menjaga nilai karamah insaniah ini perlu ada keinginan untuk mempertahankan diri, nyawa dan maruahnya. Namun, dalam usaha ini, kadang-kala manusia itu melampaui batas, dalam mempertahankan diri ada kehormatan dan nyawa orang lain yang tertindas dalam hilang. Maka, ada keperluan pemerintahan dan sistem peraturan kehidupan didirikan. Di mana manusia akan terkekang nafsu syahwatnya dan terbatas keinginan rasanya. Kata lain, pemerintahan menjaga pergaulan sesame manusia. Tapi pemerintahan sekadar mengatur lahiriah sahaja. Oleh itu, agama, percaya pada Tuhan (kuasa ghaib dan kehidupan selepas kematian) itu mengendali syahwat menuju kehendaknya, tidak terbentur dengan kepentingan orang lain dan tidak pula merosak diri sendiri. Agama juga yang menentukan di mana batas-batasnya pertahanan diri dan penyerangan pula. Ia juga menentukan batas penjagaan kehormatan diri dan di mana yang mengenai orang lain pula.

Benar, kerana agama kita berbeza, tapi kerana agama jugalah kita mengerti hidup ini ada batasnya. Kebebasan dan berleluasa itu ada had hentinya. Jangan sampai menindas dan tertindas. Jangan sampai jatuh dan menghinakan.

Bila ada pandangan yang mempersoalkan agama menyekat perpaduan, membunuh kedamaian, malah ada berkata agama sekadar kepercayaan karut golongan tradisional, sedang zaman telah berubah dan kebebasan adalah hak milik setiap insan. Perlu, kita kaji kembali, bagaimana agama telah sekian lama mendidik dan membina tamadun manusia.

Ada yang berkata, jika maksud agama hendak mendidik manusia berperangai baik, sedang saya telah berperangai baik, tidak mencuri, tidak berzina, tidak menganiaya, maka apa guna saya beragama lagi? Maka, hendaklah dia semak kembali sejarah bahawa idea dan ajaran mana yang menunjukkan ciri-ciri manusia yang baik itu. Siapakah yang lebih dahulu dari agama yang menerangkan bahawa mengambil hak milik orang lain dinamai mencuri? Siapakah yang menamai hubungan di luar nikah itu zina? Dan siapakah yang mengatakan merampas hak milik orang lain itu menganiaya?

Justeru, penyelesaian masalah perpaduan, perdamaian, keamanan dan cinta ini ternyata adalah kembali kepada agama. Jika sekali-kali manusia memilih untuk keluar dari agama, demi keamanan sejagat, maka tunggulah keamanan yang dicari tak akan kunjung tiba malah huru-hara dan perpecahan semakin berleluasa.

Lalu timbul soal, beda agama pula bagaimana?

[ Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).] Surah Al-Hujurat: ayat 13

Berbeza dan berlainan itu sunnatullah. Dia menciptakan makhluk berbeza supaya kita boleh saling berkenal-kenalan. Bagi saya, supaya kita boleh hidup. Perbezaan menjadikan kehidupan suatu yang relevan kerana tanpa perbezaan, mana mungkin kehidupan boleh berlaku.

Bagi orang yang tidak mengenal maka dikatakan agama itu perselisihan. Tiap-tiap agama mengatakan pihaknya yang lebih benar, dan agama lain penuh dengan kesalahan. Jika terjadi perselisihan antara agama, perlu ada golongan yang menyelidiki, tidak sekadar mengelak dan mengundurkan diri. Pertikaian dan permasalahan menjadi sebab pemeriksaan dan penelitian. Dan seorang penyelidik itu menyatakan hasil peneyelidikannya yang kadang-kadang benar, kadang-kadang mungkin salah. Kalau tidak dengan penyelidikan, tentu orang tidak dapat membedakan yang baik dengan yang jahat. Kalau tidak ada kesungguhan memeriksa, tentu tidak akan bertemu barang yang hilang.

Penyelidikan, penelitian, pemeriksaan atau apa jua istilah yang diberikan, bagi saya maksudnya serupa seperti ayat di atas, kita mengenal. Perbezaan ini memerlukan kita untuk saling mengenal dan mengambil tahu. Membuka akal dan minda untuk menerima bahawa Tuhan memang ciptakan kita berbeza. Kewajipan kita ialah untuk saling berkenalan.

Ruang yang disediakan Projek Dialog melalui perbincangan dan perbahasan antara kaum dan agama bagi saya sangat menepati unjuran ayat Quran di atas. Melalui platform ini kita bebas berbicara, meluah rasa dan ajaran agama masing-masing. Perlu diingat, ada batasnya seperti yang diajarkan agama.


Keamanan dan kedamaian ala utopia barangkali suatu mustahil. Namun, usaha untuk mengecap dan meneguknya adalah perjuangan manusiawi. Bagi Islam, bukan hasil yang Allah lihat, bukan kedamaian yang dicapai itu dinilai Tuhan, tapi tindakan dan langkah yang diatur ke arah damai itu yang diberiNya ganjaran. Maka, seperti diperintahkan agama, perjuangan ke arah keamanan dan cinta sesama insan itu adalah mulia. 

Wednesday, January 29, 2014

Aduhai..

Tiba-tiba hati berdetik seribu rasa. Khabar yang dibawakan teman cuma andaian dan gurauan, tapi ia menyentuh rasa, membuah resah dan bimbang dalam jiwa. Aduhai hati, setelah jatuh berkali-kali.. memang sifatmu seperti mahu berderai rasanya.

Berkali-kali saya menimbang, memilih antara mimpi dan cita-cita, antara masa depan dan bahagia, antara cinta dan rindu yang menyesak dalam dada. Aduhai rasa, akal manakah yang mesti ku ikutkan jua?

Namun, jauh di sudut hati, saya mahu percaya, masa yang berlalu menjadikan sejarah boleh dicipta. Ya, rasa, mimpi, harapan dan cita-cita... bisa jadi realiti, bisa tersimpan menjadi angan-angan yang didambai.

Rindu akan terus dibawa angin lalu... kadang-kadang kencang dan deras, kadang-kadang sepoi beralun. Namun tetap rindu... dan tiba masa, saya percaya angin kan pergi dan rindu tertinggal menjadi rasa yang lalu.

Thursday, January 23, 2014

Berlari, Mengejar Mimpi

Impian, mimpi. Ingin sekali saya berlari mengejarnya! Selamanya, saya mencari begitu banyak alasan untuk tidak menggapainya. Ketika tamat pengajian, kecewa dengan perasaan yang tidak puas hati sepanjang tempoh pengajian. Impian yang makin pudar. Hala tuju yang tak tentu hala. Tugasan dan tanggungjawab yang diluar keupayaan. Saya buntu. Saya menangis mencari jalan keluar.

Seketika lama, saya membiarkan diri, dibawa hanyut oleh arus. Namun, arus itulah kehidupan. Dalam pelayaran yang seketika itu, saya menghadam sejuta perkara. Saya mula mencari mimpi. Saya mula merenung rasa yang tersimpan jauh dalam diri. Saya mula mengatur langkah satu per satu. Ya, memang pincang, masih tidak kelihatan cahaya yang mencerahkan. Tapi, saya mula menemukan laluan. Entahkan benar, entahkan tidak. Saya sendiri tidak pasti.

Beberapa hari lalu, ada teman mengajak untuk sama-sama  menulis antologi cerpen. Sesuatu yang telah saya impikan sekian lama. Impian yang semakin tenggelam dan pudar hilang. Saya tertawa, penulisan kreatif telah agak lama saya tinggalkan. Tertanya-tanya kemampuan diri, sama ada masih berupaya melakukannya kini.

Saya menyemak kembali naskhah cerpen Ku Berlari, Ku Kejar Mimpi, cerpen yang ditulis di pertengahan 2009, cerpen yang ditulis di saat saya mengalami satu pengalaman getir yang membekas dalam jiwa. Ketika itu, saya masih menyimpan mimpi. Kelukaan yang saya alami kala itu cuba saya luahkan dalam cerpen ini bersama mimpi yang ingin saya gapai. Sayangnya, itulah cerpen terakhir saya. Ketika membacanya kembali, saya masih tidak berpuas hati. 

Cerpen ini saya tulis ketika usia menganjak 20 tahun. Bacaan saya ketika itu kebanyakannya adalah karya-karya sastera kontemporari, terutama penulisa Faisal Tehrani. Saya ketika itu, memang terlalu mahu menulis karya berlatar-belakang negara asing. Maklumat yang diperoleh dari sepupu yang sedang belajar di Jepun menjadi modal di samping drama Jepun yang memang menjadi rutin harian. Ternyata, latar yang dipersembahkan tidak begitu kuat. Begitu juga plot yang ditawarkan. Saya tidak pasti jika dibaca orang lain, adakah mereka mengerti jalan cerita yang mahu disampaikan. Ternyata, jika benar-benar mahu diterbitkan, karya ini mesti dimatangkan.

Namun, cerpen ini adalah sebuah kisah yang sangat hampir dengan saya. Ia tersimpan luka, terukir mimpi dan tersirat seribu satu rasa. Kisah ini, bila dilihat kini menunjukkan betapa cintanya saya pada kembara dan kerinduan yang mendalam untuk kembali berkarya. Dan masih, ia mengandung duka yang kekal berparut menemani sejarah lalu saya.

Membacanya kembali ketika saya mula menyusun langkah mencari masa depan, saya seakan mahu berlari dan mengejar mimpi!


Monday, January 6, 2014

Hujung Minggu dan Orang Hebat

Sabtu, menghabiskan separuh hari dalam Seminar Dunia Usahawan Dr. Azizan Osman. Seminar yang mengajar teknik pemasaran secara percuma itu dihadiri begitu ramai peserta. Kerusi yang disediakan tidak mencukupi. Mungkin ada dekat 10k orang yang hadir. Ini menunjukkan teknik pemasaran Dr. Azizan memang berjaya.

Saya memang pernah banyak kali mendengar tentang program-program Dr. Azizan, namun, saya memang tidak berminat untuk hadir. Mungkin disebabkan saya tidak begitu cenderung dalam bidang perniagaan, saya tidak mengambil berat berkaitannya. Namun, setelah dipujuk oleh seorang sahabat, saya hadir juga. Niatnya, ada ilmu yang bermanfaat dapat dibawa pulang juga demi memenuhi hasrat seorang sahabat.

Alhamdulilah, walaupun saya tidak menunjukkan keterujaan dalam seminar yang penuh tenaga ini, saya belajar banyak perkara. Meneliti kisah yang dituturkan Dr. Azizan berkaitan dirinya sepanjang seminar yang diselang-seli dengan teknik-teknik pemasaran berjaya, saya berfikir berbagai perkara.

Pertama, adalah satu tanggungjawab keinsanan itu untuk memberdayakan manusia. Memberdayakan diri sendiri dan juga orang lain. Kedua, sistem pendidikan kita memang mencemaskan. Bukan saja tidak mampu memberdaya, mengharap makan gaji dan meminta-minta, ia juga sunyi dengan kualiti moral dan intelektual yang membentuk sahsiah mulia dan pemikiran kreatif. Ketiga, hidup ini untuk memberi dan kekayaan yang diperoleh untuk di kongsi.

Dr. Azizan mengajar bagaimana untuk kaya, dalam masa yang sama tidak putus-putus mengajak untuk sedar diri dan memberi. Berkongsi kisah lalunya yang selaputi mendung kelabu, memberikan pengajaran bererti. Memahami, makna hidup yang hakiki. Kadang-kala diselit juga sindiran isu semasa, harga barang yang naik dan sebagainya. Beliau juga rakyat biasa. Kaya mana pun turut tersentuh dengan kenaikan kos sara hidup yang meningkat.

Saya, memang tidak bercita-cita mahu jadi jutawan. Namun, melihat beliau membantu mereka untuk membangun diri, memberdaya insani, saya kagum sekali. Barangkali kerana cita-cita saya bukan mahu kaya-raya tapi membangunkan negara dengan membangunkan warganya. Dan, kaedah Dr. Azizan ini mengkin salah satu caranya.

Ahad, separuh hari dalam sesi syarahan Merdeka Rakyat (Prof Syed Husin Ali) dan Asian Renaissance (Anwar Ibrahim). Hadir berseorangan menjadikan perasaan sedikit bimbang. Apatahlagi program yang dianjurkan salah satu pusat latihan parti politik (PKR). Peserta yang memenuhi program juga kebanyakannya ahli parti dan juga anak muda.

Uniknya, kehadiran adalah daripada pelbagai bangsa. Malah isi syarahan menyentuh langsung isu-isu sensitif antara kaum. Syarahan dijadikan medium pembentangan ilmu secara terbuka dengan pendekatan perpaduan antara kaum, pengiktirafan kemuliaan insan serta kepentingan ilmu untuk menjadikan seorang itu pemimpin.

Anwar Ibrahim, walau begitu banyak spekulasi, kontroversi dan fitnah di sana-sini. Tiada siapa dapat menyangkal beliau seorang seorang politikus dan pemimpin yang hebat. Tidak mahu jadi ekstremis, namun Anwar adalah tokoh politik di Malaysia yang wajar dicontohi.

Selain seorang orator yang hebat, dengan kata-kata yang mampu mempengaruhi khalayak masyarakat dan menundukkan kawan serta lawan. Beliau seorang pemimpin yang mementingkan nilai dan tradisi keilmuan. Ugutan yang diberikan kepada pemimpin PKR untuk menambahkan pembacaan dan berbicara dengan rujukan jika mahu beliau kekal memimpin PKR buat saya terfikir sejenak. Benar, memang ramai ahli politik yang cakap tanpa berfikir apatahlagi bercakap dengan ilmu. Namun, Anwar ternyata berbeza. Ahli politik adalah pemimpin dan kewajipan pemimpin itu hendaklah dia lebih berilmu dari yang dipimpinnya atau sekurang-kurangnya berusaha mendapatkan ilmu yang selayaknya untuk memimpin pengikutnya. Nampaknya, Anwar adalah pemimpin yang mahu melahirkan pemimpin seperti beliau juga.

Saya tidak dapat menangkap isi keseluruhan syarahan beliau ekoran beliau memperkenalkan beberapa tokoh di Asia yang wajar untuk diteladani. Merasa malu sendiri, dalam hati saya berazam untuk mengkaji nama-nama tokoh yang disebutkan beliau. Ya, jika mahu jadi pemimpin tidak boleh malas dan culas!

Berkaitan Prof Syed Husin, ini pertama kali saya bertemu beliau. Tidak begitu mengetahui latar-belakang beliau berikutan kejahilan saya sendiri. Namun, beliau rupanya seorang aktivis rakyat yang membela masyarakat miskin bandar.

Isu kemiskinan dan golongan tertindas seringkali menjadi fokus tarikan saya. Ia isu yang mengharukan jiwa dan mengamarahkan emosi. Barangkali jika mahu memperjuangkan nasib mereka, sorotan perjuangan Prof Syed Husin perlu dihayati dan diteladani.

Syarahan ini akan dibuat untuk beberapa siri lagi. Keinginan untuk mengambil diploma dalam bidang psikologi rasanya tidak sekuat keterujaan memahami silibus politik yang bakal disajikan dalam siri-siri syarahan akan datang.

Jika masih ragu-ragu, hilangkan keraguan dan pilih keyakinan!

Malamnya, usrah pimpinan bersama Ust. Siddiq Fadzil. Sesi usrah yang sangat ditungu-tunggu. Sesi pengisian yang saya rasakan paling dekat dengan Ust. Siddiq.

Ust. Siddiq malam ini sedikit bernostalgia bila bercerita kisah zaman kegetiran ABIM ketika Anwar Ibrahim membuat keputusan untuk menyertai UMNO. Kisah yang menjadi pertanyaan ramai, lebih-lebi lagi generasi muda yang tidak melalui zaman itu dan merasai pengalamannya.

Bagi saya, Ust. Siddiq seorang sahabat yang setia, ahli jemaah yang taat dan pemimpin yang dipercayai. Tentu sahaja, guru yang dinanti-nanti sesi kuliahnya. Seringkali mendengar kisah masa lalu, kita akan tertanya-tanya, kisah kita pula bagaimana?

Hujung minggu ini, saya temui 4 orang hebat. Barangkali ramai lagi tapi yang dinyatakan di sini cuma 4. Mereka adalah individu dari pelbagai latar berbeza. Nilai hidup yang berbeza. Tapi mereka cuba dari kaedah apa pun untuk membantu masyarakat. Mereka dengan kepakaran mereka memberdaya ummat. Hujung minggu ini terasa panjang dengan pertemuan bersama orang-orang hebat ini.

Saturday, January 4, 2014

When I try to live the way I want NO MATTER WHAT!


No Matter What! I want to be the person I want to be.

This book was one among I bought at BBW last December. When I want to choose the path of my life and psychology become one of the option. With the thought, may be I can live the life that I love.

Lisa Nichols is a motivational speaker that giving talk and coaching to help people especially teenagers for living the life in better way. I never heard her name before but she achieved a lot in this area and quite known by people.

She represent in the book 9 steps how to live the life you love by unphysical  'muscle' that hid beneath inside us;

  1. Understanding Muscle
  2. Faith-in-Myself Muscle
  3. Take-Action Muscle
  4. I-Know-Like-I-Know Muscle
  5. Honesty Muscle
  6. Say-Yes Muscle
  7. Determination Muscle
  8. Forgiveness Muscle
  9. Highest Choice Muscle
By telling her own life stories, she taught how the 9 muscles can develop and use to live a better. The life we love. Which I admitted that, I am not ready to apply it in my life (oh, motivational think never work on me!). 

However, the stories she told were something else. Stories about an American-African lady that totally different with me. (Really, the story caught my attention rather than how to motivate myself.) What I thought is, the society where she live is sick and she is strong-willed woman that learnt to bounce-back from her imperfect life and applied positive attitude to live the life she love.

When she learnt how imperfect life can be and the effect toward the people (especially the young one), she realized how important to be a person that can play big and help others. That how she started the career she love with a lot of challenges but she manage to be. And I admire that.

But, I am not interested to just help one by one person, try to shape the positive attitude in them so that they can be better and live the life to the best. Still, in the situation and system that not supported their willingness to change. Its not that I don't believe the power of motivational. But, for a person with low willpower like me, if the surrounding do not lead me to the positiveness that I acquired in motivational session, I tend to change back to negative person who I am before. For me, motivation is a temporary power that last in certain time and will be faded if our situation and system of life is still in negative condition. (Haish, how much negative I can be!)

Therefore, I prefer to change the system, the surrounding condition. May be, rather than being a psychologist, I am more interest to be a politician or a person that can draft the principles of the system of our life. Because, to learn how sick this society and being just a healer with other person do all the damages. I felt do not fair and I hate to be just a cleaner when some people do all the shitting.

Nevertheless, I still believe in this world we need motivator. No matter what, in order to create the best system and society, each person and people in there should be the best! Just, its not a career for me...




Wednesday, January 1, 2014

2014 : Jalan yang saya pilih

#I am struggling inside whether to write in malay or english. To write about feeling and personal story, I prefer to use english but to be in article or fact item, my english is not up to and I have to use malay. However, I want to use malay, like old time. Because its my language, although its seem difficult now.

2014. Bila semakin dewasa, makin banyak perkara dan pengetahuan baru yang diperoleh. Lebih-lebih dalam dunia globalisasi di mana komunikasi lebih bebas dan mudah. Ramai beranggapan, tidak perlu rasanya ucapan tahun baru, azam tahun baru atau segalanya. Ini kerana, tahun baru kita tahun hijrah maka tidak perlu dirasakan tahun itu berubah jika ia tahun masihi. Ada juga pendapat mengatakan azam tahun baru itu sia-sia, tidak bertahan lama. Jadi jangan buang masa dengan melaksanakan yang sia-sia itu.

Bagi saya, ia rutin yang saya lakukan saban tahun. Bukan menidakkan tahun hijrah dan mengagungkan tahun masihi kerana, perubahan tahun masihi dalam sistem negara Malaysia kelihatan lebih bermakna berbanding tahun hijrah. Permulaan tahun masihi yang baru menjadi titk bermula sesuatu yang baru, sama ada sekolah baru, cuti tahunan baru, usia baru, dan banyak lagi. Oleh sebab ciri setempat yang menggunapakai tahun masihi, mahu tidak mahu kepentingannya terpaksa diangkat. Maka saya meraikan tahun baru ini, dan seperti tahun-tahun yang lalu, saya akan merakam azam baru.

Waktu kecil dulu, bila malam tahun baru, saya dan adik-beradik lain akan berkumpul di hadapan televisyen, menonton siaran menarik yang ditayangkan pada malam tahun baru. Menanti detik 12 malam. Along akan memasak makanan ringan seperti daging berger, sosej atau nugget dan kami makan berebut-rebut tiga beradik. Kebiasaannya mama dan abah sudah tidur lebih awal. Tapi bila memasuki alam sekolah menengah, kami makin terjarak dengan kejauhan masing-masing. Along di Negeri Sembilan, saya di Perak. Adik pula kekal bersama mama dan abah di rumah. Memasuki sekolah asrama memang begitu terjarak. Kami tidak lagi menonton televisyen bersama, apatah lagi berebut makanan. Jarak dan perubahan masa mengubah segalanya. Jujur saya katakan, antara kami adik beradik hubungannya kelihatan baik, tapi kami tidak begitu erat dan rapat. Dalam banyak perkara, kami tidak mampu untuk berkongsi terutama soal hati dan rasa.

Bicara zaman kanak-kanak, begitu dewasa rasanya melangkah ke usia 25 tahun 2014 ini. Pada usia ini, Nabi Muhammad s.a.w. menamatkan zaman bujangnya. Hela nafas. Jika ada jodoh, ingin rasanya menjadikan tahun ini ketikanya. Ya, bila saya sudah mulakan persoalan jodoh dan perkahwinan, memang tersangat dewasa dan tua rasanya. Namun, inilah persoalan yang tidak terungkap ketika zaman belajar. Limitasi kerana masih menuntut ilmu. Namun, bila semakin ramai teman-teman yang mula membina rumah tangga dan tanggungjawab sebagai pelajar sudah terangkat. Pemikiran yang lebih serius soal ini rasanya sangat perlu.

Namun, saya sedar, perkahwinan tidak mudah untuk seseorang seperti saya. Rasanya, memilih untuk menyambung ke peringkat sarjana dan doktor falsafah itu lebih mudah dari berurusan dengan perkahwinan. Cabaran selepas berkahwin pula pastinya lebih besar. Saya sentiasa ragu-ragu adakah saya mampu hadapinya. 

2014. Saya bukan lagi pelajar. Saya seorang dewasa yang diletakkan tangungjawab sebagai seorang dewasa. Saya ragu-ragu apa yang saya inginkan. Apa yang mahu saya lakarkan sebagai azam tahun baru. Lalu saya semak azam-azam tahun-tahun lepas. Isi utama pastinya berkisar pointer CGPA dan penulisan sama ada blog, cerita atau lainnya. CGPA sudah tamat waktunya. Tapi penulisan seakan kembali mencari laluanya. 

My Dream adalah senarai yang saya buat ketika saat-saat akhir zama belajar. Impian setelah melepasi alam pembelajaran. Mustahil rasanya untuk capai semuanya. Maka untuk setiap bahagian, sekurang-kurangnya saya fokus untuk mencapai sesuatu yang paling mudah dan paling diperlukan (mungkin paling diinginkan).

My Dreams
         Writing
         Write a book (at least)
         Update blog (current issues, reviews)
         Travelog (each time musafir/program)
         Regular Column Writer
         Regular Cerpenist
         Properties
         A reasonable size house with small garden and library
         A suitable vehicle
         A small office/shop/café/factory
★         A small farm with multi plants and animals
☆         Career
★         Build social and business network
★         Experience in NGO, private and government
★         Getting place in education institution
★         Long term research and sharing knowledge
The paths
↗         Find my passion (social work, travel, learn)
↗         Further studies (postgraduate diploma, master, doctor of philosophy)
↗         Start small business with committed (books, drink process, café, boutique)

Tidak mudah untuk memilih. Rasa mahu lakukan semuanya. Kerana itu semua impian saya. Namun, mampukah saya? Saya sekali lagi ragu-ragu. Namun, ini keputusan saya;

Azam tahun baru 2014-01-01

1. “Passion” perlu ditentukan dalam tempoh setahun ini dan untuk tahun-tahun berikutnya, saya akan berlari untuknya.
2. Menulis. A. Samad Said selalu berpesan; membaca, membaca, membaca dan menulis. Baca sebuah buku (minimum) setiap minggu (walau tidak habis) untuk dapatkan ilmu pengetahuan yang baru dan berbeza serta menulis setiap minggu. (sama ada blog, artikel atau travelog)
3. Lesen. Tiada lagi alasan. 2014 ini saya sudah mampu memecut kereta di atas jalan raya. Mula berjimat untuk membayar ansuran bulanan kereta.
4. Kerjaya. Sebuah kedai untuk KO-PKPIM Berhad. Gaji RM 3,000.00 (minimum) bila tahun 2014 berakhir.
5. Aktiviti Sosial. Laksanakan satu program (minimum) setiap bulan. Bukan lagi sertai tapi ketuai pelaksanaannya. Jadi berani dan yakin dengan diri.

Selamat datang 2014. Dan saya mahu jadi berani!