Pages

Wednesday, October 16, 2013

Salam AidulAdha 1434 H

Baik. Saya sudah menahan. Tapi jemari masih degil mahu menari. Fikiran dah berserabut bermacam perkara, ingin segera dirakam permasalahan satu-satu dalam bentuk aksara. Saya... tak tahu memilih yang mana dulu.

AidulAdha. Kisah pengorbanan dan ketulusan. Ikhlas dalam pembaktian. Tapi fikiran saya tidak menjurus isu sembelihan dan baitullah. Berada di rumah beberapa hari dengan hampir 24 jam televisyen dipasang. Beberapa isu menjengah pemikiran : Kalimah Allah, kanak-kanak kurang upaya dan derma organ. Juga drama swasta yang sambung-menyambung tak kunjung padam. Oh, saya mahu membaca dan televisyen ini jelas-jelas mengganggu konsentrasi yang ada.

Saya tidak begitu menyedari perkara ini. Tapi saya memiliki fokus dan konsentrasi yang tinggi tapi tidak boleh diganggu. Bermaksud, konsentrasi saya hanya pada satu perkara dalam satu-satu masa. Jujurnya, sejak kecil saya tidak begitu memberi masa mengulangkaji kerana saya cuma perlu fokus di dalam kelas dan pulang tanpa ambil peduli soal nota dan latih-tubi. Bukan saya tidak membuat langsung, tapi saya berupaya ingat dan faham dengan sekali dengar (ya, tanpa gangguan dengan fokus yang tinggi). Namun, teknik ini berkesan pada pelajaran bersifat pembacaan bukan teknikal. Maka kemalasan saya membuat latih-tubi menjadikan subjek teknikal seperti matematik dan fizik kurang mengiurkan jiwa. Tambahan lagi subjek ini tidak mungkin dikuasai hanya dengan mendengar. Akibatnya, saya menilai, saya miliki kelemahan dalam memahami dari sudut visual semata. (Jadi tidak guna nota berwarna segala, ia sedikitpun tidak membantu pembelajaran saya)

Walaubagaimanapun, awal tahun ini, secara suka-suka dalam satu program saya menjawab soalan berkaitan NLP (neuro-linguistik program). Pulang ke rumah, saya mencuba lagi menjawab melalui laman-laman di alam maya. Ternyata, saya bukanlah seorang visual, malah tidak juga auditori. Kecenderungan sedikit kepada kinestatik. Hakikinya, saya seorang audio-digital. Ini buat saya buntu seketika. Jadi teknik belajar apa yang paling sesuai untuk saya?

Rupanya audio-digital perlu memproses maklumat yang diperoleh dan diterjemah dahulu sama ada ingin diterima atau tidak. Sama ada berbaloi untuk diterima, sama ada relevan untuk diterima, sama ada sesuai untuk diterima. Maka saya temui masalah yang saya selama ini tidak saya sedari, teknik pembelajaran yang paling sesuai dengan saya memerlukan sebegitu banyak penapisan, penilaian, pemahaman dan sebagainya, atas kata lain saya perlu usaha lebih banyak dan berfikir lebih keras.

Selama ini, saya sangka fokus dan konsentrasi satu keistimewaan. Tapi hakikatnya, fokus dan konsentrasi memberi ruang saya berfikir panjang dan menilai ketika menerima ilmu dan maklumat. Keperluan untuk saya cemerlang dalam pelajaran. Pelajaran bersifat fakta dan nota pastinya lebih mudah untuk dinilai dan diterjemah berbanding kira-kira dan formula yang memerlukan pemikiran yang lebih mendalam untuk diterjemah kerasionalannya. Oleh itu, saya sedikit lemah untuk mencerna subjek-subjek teknikal itu.

Bila diingat kembali, saya memang gemar mempersoal. Selagi tidak bertemu hakiki dan logik yang diterima akal. Saya terus soal hingga ditegur terlalu banyak bertanya dan mengganggu proses pembelajaran (ternyata, bila ditegur sebegini saya jadi ragu-ragu untuk terus bertanya, hingga kini pertanyaan hanya saya lontarkan ketika suasana lebih santai dan punya banyak masa berbahas atau diamkan saja dan lontar-melontar saja dalam pikiran!). Namun, semakin dewasa, saya memahami bertanya itu satu proses pembelajaran yang sangat baik (ya, bertanya, bukan mempersoal - quote by Ust. Siddiq Fadzil). Secara nakal saya bicara sendiri, wajar sahaja dahulu saya memilih ke sekolah untuk anak-anak genius yang suka bertanya seperti saya maka proses pembelajaran tidak tersekat dan lebih bebas. Sedang hakikatnya, saya bukan genius...

Memahami diri adalah satu proses pembelajaran. Dengan mengenal (baca : diri), (makrifat) kita kenal limitasi dan keupayaan (baca : diri)- quote by Prof. Naquib al-Attas. Tapi itu tidak bermakna perlu berhenti bermimpi. Berhenti untuk beridealis yang kadang-kala terjarak dari hakikat dan realiti. Ini kerana, mengenal had keupayaan diri tidak bermakna perlu berhenti setakat itu. Hakikatnya, mengenal diri juga mengetahui bahawa ada limitasi mutlak dan ada juga yang mampu berubah. Maka proses belajar dan mengenal itu bukan seketika mahupun sekelip mata, ia proses sepanjang hayat dan memerlukan penambah-baikkan.

Kembali berkonsentrasi. Terlalu banyak yang ingin diketik atas papan kekunci ini. Tapi angkara kurang konsentrasi saya bicara soal ini.

Apapun, Salam Pengorbanan untuk semua. Bagi saya, pengorbanan adalah ternyata tidak mudah dan sangat sukar. Saya masih terlalu kerdil untuk membicarakan soalnya. Namun, jauh di sudut hati, saya mempersoal diri. Sejauh manapun berlari, pengorbanan itu pasti kerana itu fitrah insani yang dikurnia Ilahi untuk sama-sama disyukuri.









0 comments: