Pages

Sunday, October 13, 2013

Sembang2 Laporan Ketua Audit Negara 2012

Saya cuba meneliti laporan ketua audit negara sebelum memulakan penulisan ini, namun, laporan yang begitu tebal tidak begitu mengujakan untuk diteliti dari kulit ke kulit. Maka saya teruskan saja untuk menulis atas sebab saya bukan mahu mengulas keseluruhan hasil yang diaudit sekadar memberikan pandangan berdasarkan pemerhatian dan kefahaman seorang anak muda yang baru mengenal dunia di luar kotak sesi pembelajaran dan akademik semata.

Tentu, sebagai generasi muda, maklumat yang terpapar di laman maya menjadi rujukan utama. Kami tidak membaca akhbar cetakan mahupun menonton berita di kaca televisyen. Medium perhubungan kami cuma laman-laman sosial facebook, twitter, email, instagram dan sebagainya. Namun, tidak semua dari kami begitu mudah mempercayai setiap yang disuakan. Walau kami masih muda, kami tidak membataskan fungsi akal yang Allah kurnia untuk berfikir bukan semata menerima.

Walau hidup berkitar alam maya. Kami masih manusia yang terdiri dari daging, darah dan tulang secara lahiriah. Keperluan untuk meneruskan hidup dengan keperluan asas makanan, pakaian, tempat tinggal serta keselamatan, pendidikan dan pengangkutan pastinya tidak perlu dipersoal. Kami masih butuh dan perlu itu semua. Makanya, jika ada diantaranya yang seakan gagal atau payah dipenuhi, kami berada dalam situasi yang tidak sempurna  yang boleh mendatangkan rasa tidak cukup dan tidak puas. Kami adalah manusia biasa maka kami ada perasaan untuk merasa itu semua.

Setelah tamat pengajian dan melangkah ke alam pekerjaan, kami berkira-kira sektor yang mana mahu diceburi : kerajaan, swasta atau berniaga. Saya pernah berlatihan industri selama 10 minggu di agensi kerajaan. Pernah juga kerja separuh masa di syarikat swasta. Ada juga berniaga sendiri dengan modal kecil-kecilan. Ternyata setiap sektor ada cabaran, keistimewaan dan kekurangan yang tersendiri. 

Jika disuruh memilih, sektor kerajaan akan jadi pilihan utama kerana jaminan dan keistimewaan yang ditawarkan. Namun, dari sudut cabaran dan persaingan, sektor swasta dirasakan memberikan ruang yang mengiurkan walau ia kurang menjamin dan menimbulkan kebimbangan. Mahu tidak mahu, berniaga sendiri menawarkan kepuasan dan kebebasan tapi memerlukan keberanian dan tentu sekali modal kewangan.

Kami generasi muda, setelah tamat pengajian, perlu serius mencari pekerjaan demi memenuhi keperluan asas untuk terus hidup dan bernafas. Sektor dan bidang kadang-kala tidak sempat diambil kira, yang penting mencukupi, kalaupun tidak cukup, asalkan ada untuk menampung kehidupan. Itulah realiti yang kami lalui, mahu tidak mahu perlu diakui ia sedikit menekan dan mendesak. Didesak untuk hidup berdikari menanggung diri sendiri, ditambah hutang zaman pengajian juga cita-cita membina masa depan dengan insan tersayang. Hidup dirasakan tidak mudah dan menekan. 

Kaitannya dengan laporan audit? Penyelewengan dan ketirisan yang dilaporkan walau dipaparkan oleh sumber kedua, ketiga dan seterusnya pasti menjadikan kami melenting tak sudah. Bukannya apa, kami generasi muda yang bergelut membina kehidupan dan masa depan dengan cukup-cukup makan, tiba-tiba didedahkan dengan perbelanjaan melampau dan tidak berhemah pihak kerajaan menggunakan duit rakyat. Sedang untuk kami golongan muda menempatkan diri dalam sektor awam yang terjamin kehidupannya bukanlah satu jalan mudah. Maka kami tertanya-tanya sendiri, keadilan apakah ini bagi kami anak muda yang terpaksa berdepan segala tekanan dan kesulitan dari sudut ekonomi sedang amanah untuk memanfaatkan hasil negara yang dimiliki pihak kerajaan seakan dipandang enteng dan dibuat main-main. Ini soal masa depan kami yang masih tidak tentu lagi. 

Sebelumnya, kami disalahkan bila mempersoal saat harga petrol yang meningkat atas alasan masih muda dan tak cukup pengetahuan. Maka kami akui dan cuba bersabar, kerana tidak semua kami mengambil mata subjek ekonomi dan mengerti soal subsidi dan royalti. Begitu juga saat harga barang naik satu persatu rentetan kenaikan harga petrol dan diesel, kami cuba memahami formula sebab dan akibat. Bila petrol dan diesel dinaikkan harga menjadi sebab, harga barang-barang lain turut meningkat menjadi akibat. Secara matang dan rasional, sebagai generasi muda cuba menggunakan akal menentukan perkaitan.

Namun, formula sebab dan akibat ini sekali lagi kami aplikasikan dalam laporan audit yang dibentangkan. Sebab : pembaziran wang/aset/harta oleh ketidak cekapan pentadbiran awam kerajaan, maka kerajaan tidak mampu memenuhi subsidi dan royalti. Akibatnya : harga petrol dan diesel naik mendadak. Mudah. Sebab, kami generasi muda tidak mampu menghadam 'lekok dan belok', 'ponteng dan kelentong' dalam sistem pentadbiran awam yang kebanyakan dari kami hanya pernah memerhati dan mendengar khabar angin sahaja. 

Makanya kami menuntut pemahaman. Jangan biar terus berteka-teki dengan penjelasan 'berlapik-berlapis' hingga membuahkan tawa dan senyum sinis. Mudahnya, jujur saja jika tidak telus, tersilap dan terlepas pandang. Terus-terang saja jika wujud penyelewengan dan pecah amanah. Setidak-tidaknya kami belajar untuk mengaku salah bila sudah bersalah. Bukan berterusan menipu dan berlagak bodoh. Mudah. 

Kalaulah benar hidup boleh sebegitu mudah. Pasti kami tidak merasa peritnya hidup seperti waktu sekarang. Senyum. 

Maka saya buka kembali helaian laporan ketua audit negara. Barangkali saya muda, tidak cukup ilmu dan pengalaman. Tapi saya tidak mahu jadi bodoh dan tertipu terus. Apatahlagi menjadi penipu yang berlagak bodoh. 

0 comments: