Friday, October 11, 2013
Membuat Keputusan
Ada satu perkara yang bila makin dewasa, makin sukar untuk dilaksana. Ia adalah membuat keputusan. Dulu ketika kecil, keputusan mudah diperoleh, jika mahu itu, itulah. Jika tidak mahu, maka, ya sudah, tidak mahu.
Namun kedewasaan menjadikan keputusan itu tidak mudah, sukar dan begitu mencabar untuk dihasilkan. Malah matapelajaran membuat keputusan ini diajar secara formal dan dimasukkan dalam silibus dalam banyak kursus-kursus di universiti dan kolej. Juga matapelajaran yang tidak mudah untuk lulus. Ramai yang ternyata gagal dan berkali-kali ulang untuk memahami konsep membuat keputusan atau decision making ini.
Manusia ini adalah makhluk Tuhan. Allah yang menciptakan manusia begitu memahami makhluk ciptaan-Nya. Dia mengetahui urusan membuat keputusan itu tidak mudah, sangat berat dan memerlukan mekanisme tertentu untuk dilaksanakan. Secara saintifik, akal yang dianugerahkan dimanfaatkan sebaiknya agar formula dan teknik dapat dicari agar membuat keputusan jadi tidak begitu merumitkan. Namun, ia masih tidak mudah. Malah di sana-sini apa saja yang diciptakan dari akal manusia itu penuh keraguan dan ketidakpastian.
Maka Allah yang Maha pengasih lagi Maha penyayang kepada hamba-Nya memberi aplikasi tambahan kepada hamba-Nya yang beriman tentang cara lebih mudah membuat keputusan. Dia berikan satu teknik yang dinamakan 'Istikharah'. Teknik ini khusus untuk tujuan yang sukar ini. Iaitu MEMBUAT KEPUTUSAN.
Dalam istikharah ini Allah pakejkan sekali dengan dua kawalan agar manusia tidak melampaui batas dalam mengaplikasikannya iaitu syukur dan sabar. Ini semua kerana Allah itu Maha memahami makhluk ciptaan-Nya, maka setelah menggunakan teknik istikharah ini, dua kawalan syukur dan sabar ini mesti digunakan agar teknik ini benar-benar memberikan kesan.
Namun, memastikan kawalan ini berjaya dilaksanakan perlu ada satu perisian penting yang dipasang dalam diri hamba itu. Seperti yang telah disebutkan, aplikasi ini hanya untuk hamba yang beriman. Ya, perisian iman itu!
Maka beruntunglah orang yang beriman itu, bersyukur dengan nikmat yang diperoleh dan bersabar dengan musibah yang dihadapi kerana dia percaya dengan janji Tuhannya. Maka kerana keimanan itu, kehidupan yang begitu sukar dan rumit ini mampu menjadi mudah dan ringan untuk dilalui. Keputusan yang sukar dibuat menjadi seperti kacang, yang sekadar sekelumit dari rencah kehidupan.
Maka bermulalah untuk beriman dan percaya!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment