Pages

Wednesday, August 14, 2013

Tunang, Nikah dan Madu

Bulan syawal disambut penuh kemeriahan setelah sebulan Ramadan sarat rahmat dan berkat. Maka tidak begitu terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir & Batin.

Raya kali ini saya sambut sederhana sahaja. Cuma memerhati ragam berita yang terpapar di laman sosial, saya jadi tertanya-tanya sendiri. Betapa dewasanya saya dan teman-teman seangkatan semakin ramai bertunang dan bernikah. Nasib belum ada berita bermadu yang menjengah. Cuma ada kisah-kisah bermadu yang tertayang tentang individu-individu tertentu.

Tahniah bagi teman-teman yang telah dan bakal menamatkan zaman solo masing-masing. Terdetik dalam hati, bila pula tiba giliran diri. Cuma mampu senyum dan berbicara sendiri, jodoh itu rahsia llahi yang kadang-kala misteri. Namun memikir soal jodoh dan pernikahan, pelbagai rasa menyerbu pemikiran. Pastinya ada rencana yang Allah telah tentukan.

Namun, melihat foto teman-teman, memang terselit cemburu melihat mahligai bahagia yang telah dibina. Bertanya pada diri, kebahagian itu bila pula dapat dirasa. Namun, bahagia bukan hadir dalam lafaz akad ijab dan kabul sahaja. Ia hadir dengan kesyukuran menanggapi kehidupan seadanya. Maka kecemburuan itu sirna dan keyakinan Allah adalah kunci kebahagian meneguhkan rasa.

Pertunangan, pernikahan dan permaduan itu juga bukan jalan penghujung kembara mencari kebahagian. Ternyata, ramai sahaja yang tidak bahagia berdepan persimpangan jalan kehidupan ini. Bukan mendoakan keruntuhan mahligai yang dibina namun, membina mahligai perlu teguh mengakar dan mampu berdiri kukuh.

Salam bahagia buat semua. Doakan kebahagian itu lebih bermakna dari bersangka-sangka bagai.