Ada filem bertajuk serupa. Acapkali mahu menonton, tapi masih belum diizinkan. Terus sahaja, novel setebal hampir 500 halaman ini khatam dulu. Pasti, tidak mudah. Seperti telah dinyatakan dalam entri terdahulu, malas itu ancaman utama. Namun, ternyata berjaya juga. Ternyata, bacaan dari negara seberang lebih mudah dan dekat di hati untuk ditekuni. Kurang seminggu saya kira setelah tamat karya HAMKA, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, saya tamat menelaah sebuah novel biografi yang ditulis dengan sudut pandangan pertama tentang seorang kiai yang menentang arus zaman.
Kiai Haji Ahmad Dahlan. Atau nama lahirnya Muhammad Darwis. Pengasas Muhammadiyah. Sebetulnya saya seringkali sudah mendengar pertubuhan dari Indonesia bernama Muhammadiyah. Tapi tidak begitu ambil pusing kerana yakin, memang banyak pertubuhan-pertubuhan bersifat jamaah islamiah di Indonesia yang kalau mahu dikaji satu-satu pasti terhimpun menjadi sebuah thesis lengkap.
Tapi ternyata, bila mmbaca novel ini sesuai dengan judulnya, saya jadi tercerah sendiri. Mengira dari tahun ke tahun. Ternyata, Muhammadiyah ini pertubuhan terawal yang ditubuhkan dan masih bertahan hingga sekarang malah lebih awal berbanding penubuhan Ikhwanul Muslimin pada tahun 1928, Muhammadiyah ditubuhkan pada tahun 1912. Uniknya, ia tertubuh atas keterbukaan seorang kiai yang mahu mencerahkan masyarakat dan asasnya mengambil model perkumpulan versi barat-belanda. Kalau membaca secara 'surface' begini pasti terlintas 'double standard' pada kiai yang menerima dan mengagungkan budaya dan ilmu barat 'terpilih' saat penjajahan belanda semakin mencengkam dan menekan umat. Kadang-kala tidak dapat menolak betapa saya konservatif memandang kemaslahatan dan melihat barat itu cuma mengajak yang buruk-buruk sahaja.
Ternyata saya ini juga lahir, diasuh dan dibesarkan dengan sistem dan budaya barat yang jelas tersisa dari penjajahan dan kemajuan yang berkiblatkan barat. Mahu tidak mahu, saya tidak dapat menepis logik dan realistik bahawa kebergantungan masyarakat melayu-islam terhadap barat tidak dapat dielak dan dikesampingkan. Tapi, tentu sahaja kebergatungan pada Tuhan itu yang utama.
Bak petikan kata KH Ahmad Dahlan dalam novel ini "harus punya prinsip tapi jangan fanatik" serta diangkat firman Allah 'lakum dinukum waliyadin' yang bermaksud bagi kamu, agamamu dan bagiku, agamaku. Maka hidup ini perlu sederhana dan konsep wasatiyyah itu bukan sekadar istilah tapi haus terjelma dalam tingkah.
Membaca kisah ini membuat saya terus membanding antara zaman. Kini, berpakaian ala barat itu bukan satu luar biasa, malah untuk kekal memakai pakaian sunnah nabi itu justru sukar dilihat lagi. Pakaian itu memang satu cara komunikasi di mana dengan memakai pakaian yang sama, kita akan mudah diterima. Namun, itu tidak bererti meminggirkan pakaian sunnah apatah lagi wajib kalau bagi wanita. Bila memakai hijab dan menutup aurat itu wajib, makanya, tidak mungkin untuk melecehkannya atas alasan mahu lebih mudah berdakwah untuk kemaslahatan ummat. Itu perjuangan kita hari ini seperti KH Ahmad Dahlan teguh berpendirian untuk berdakwah dengan pakaian barat kerana dilihat serong sesetengah golongan.
Novel ini kisah perjuangan. Pejuang itu adalah mereka yang berdepan kesukaran untuk berada di jalan Allah. Jika ternyata jalan berdakwah itu mudah dan ringan. Jangan mengaku diri sebagai pejuang kerana telah berkali diberi ingat dan pesan, perjuangan ini bukan jalan yang terhamparnya permaidani merah malah penuh onak durinya.
Friday, August 9, 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment