Pages

Friday, May 17, 2013

Berlari Ke Tanah Tinggi


Saat membuat keputusan, saya masih ragu-ragu. Entah ketenangan yang bagaimana ingin saya rasakan, saya memilih mengikuti rombongan yang asing ini ke Tanah Tinggi Cameron.

Perjalanan singkat bermula seawal 4 pagi hari sabtu sehingga 9 malamnya. Benar, ia singkat dan kebanyakan masa cuma bersiar-siar, memburu foto serta membeli-belah. Padatnya dengan jamuan panorama indah kawasan tanah tinggi yang subur dan padat pelancong.

Ini kiranya sudah kali keempat saya melewati tanah tinggi yang dingin hawanya ini. Seingat saya setiap kali kunjungan, pasti titis renyai menemani jalan-jalan. Bedanya kali ini cuaca begitu nyaman selesa. Matahari bersinar cerah namun dinginnya menyucuk tulang sum-sum. Angin juga menghembus sedikit keras tapi masih menyapa gemalai. Kata seorang pengusaha kebun strawberri, cuaca dengan hujan yang kurang ini baik sekali, strawberri yang terhasil manisnya lebih dari biasa. Ya, saat menikmati strawberri dari kebun itu, saya begitu teruja dengan kemanisan rasanya yang jarang-jarang dikecap.

Kami sempat beristirahat, sambil mencicip kek yang masih panas, baru selesai dibakar bersama strawberri segar dan sos strawberri. Enak sekali dan angin yang kadang-kala menghembus kasar. Sambil tenang berbicara santai.  

Setelah itu bermula kegilaan mengeluarkan wang. Ada pasar yang menjual hasil pertanian tanah tinggi serta pelbagai cenderamata yang dikenali dengan nama Kea Farm Market. Di situ, saya memborong pelbagai sayuran dan produk-produk pertanian lainnya. Tidak banyak cenderamata yang saya beli sekadar sarung kaki dan tangan yang tebal, bakal menemani dinginnya perjalanan pulang dalam bas yang dirasakan begitu menyeksakan ketika pergi tadi. Juga 3 jenis kaktus yang berduri dan bulat dimensinya. Tidak terlupa 2 jambangan mawar berwarna merah jambu dan putih.

Penat membeli-belah, kami dibawa untuk solat di Masjid Kayangan dan makan tenghhari di medan selera. Juadah soto menjadi pilihan saya dari gerai no.3. Enak. Teman yang memilih kuewtiaw goreng dari gerai yang sama juga begitu berpuas hati dengan citarasa hidangan yang disediakan.

Perjalanan turun membawa kami singgah ke Ladang Teh Bharat. Pertama kali saya singgah di sini. Lawatan sebelum ini saya cuma sempat singgah ke Ladang Teh Boh. Uniknya teh, minuman ini begitu universal dan sejujurnya agak mahal dan eksklusif. Penanamannya memerlukan suhu dan iklim yang tertentu serta ladang yang luas. Kutipan daun teh masih dibuat secara manual oleh buruh-buruh yang banyaknya dari keturunan india. Pemprosesan masih menggunakan mesin lama sejak berpuluh tahun yang lalu (hasil lawatan di kilang teh boh). Di Ladang Teh Bharat ini tiada kilang untuk dilawati namun panoramanya lebih mengujakan dengan aliran sungan dan air terjun mini di tengah ladang. Saya mengambil keputusan memerhati dari jauh dan tidak turun ke dalam ladang seperti kebannyakan pelawat lainnya.

Di pintu masuk, semua peserta rombongan mengambil gambar kenangan beramai-ramai. Wajah kebanyakan kami begitu ceria. Beberapa ahli rombongan yang membawa kanak-kanak menambahkan keceriaan. Sepanjang perjalanan, saya tidak banyak bicara dengan ahli rombongan yang lain. Sekadar menyapa dengan senyuman dan teguran selamat. Kadang-kala menikmati masa yang berlalu tanpa resah dan rumit perbualan satu ketenangan yang jarang-jarang dicapai.

Sepanjang perjalanan saya benar-benar menjadi seorang pelancong. Bercuti dalam erti kata sebenar. Hingga fikiran juga seakan berhenti memikirkan urusan-urusan rasmi dan tugasan yang menanti. Namun, jelas fikiran saya masih melayang mengingati seseorang. Ingatan yang membuahkan keluhan di sudut perasan. Bagaimana untuk saya membuang ingatan yang mampir tanpa dipinta. Ingatan yang tidak diperlukan mengisi ruang fikiran tapi seperti berlumba-lumba untuk berada di dalamnya.

Saya memilih menikmati pemandangan alam yang menawan dengan zikir yang sambung-menyambung. Bila ingatan itu semakin menyesak, semakin ligat bibir mengitar zikir. Bukankah ketenangan itu milik Tuhan dan mencarinya perlu dengan nama Tuhan.

Perjalanan ke bawah sekali lagi bas berhenti. Kali ini di Lata Iskandar. Saya dilanda kantuk tak tertahan. Hanya menanti di dalam perut kenderaan.

Perjalanan ini singkat. Tentunya saya tidak puas. Berjalan dalam jadual yang disusun pihak penganjur, sedikit sebanyak mendetik tidak puas hati dalam diri. Tapi apakan daya, saya cuma menumpang program orang dan perjalanan ringkas ini sedikit sebanyak melerai kekusutan dengan pelbagai isu dan cabaran yang terpaksa dihadapi di kotaraya.

Inilah kisah pelarian ke tanah tinggi yang sebentar tapi damai.























0 comments: