Pages

Friday, May 10, 2013

KPOP : Kegilaan apakah ini?



Gila. Mudahnya begitu. Malah kalau ditanya pada mereka, tanpa ragu mereka akan mengaku "kami memang gilakan kpop (artis/idol tertentu dari korea selatan)"

Marah? Lama dulu sudah saya rasakan. Ketika saya turut gila seperti mereka. Jauh di sudut hati, saya bicara sendiri, 'kegilaan apakah ini?'

Jangan ditanya, adakah saya sudah membenci korea selatan? Hasil karya seni mereka, drama, lagu, muzik, rancangan hiburan masih menjadi santapan jiwa dan masa lapang saya. Malah saya begitu mengagumi budaya tradisi serta usaha gigih penggiat seninya. Dari satu sudut, saya mencemburui dan ada ketika saya mensyukuri.

Baca saja entri-entri lalu, banyak ulasan drama-drama dari korea selatan mengisi lembaran-lembaran blog ini. Sungguh, kegilaan itu memang ada, namun, jangan terus gila hingga tidak mengerti mana benar, mana salah. Sehingga menafikan fungsi akal dan hati untuk berfikir dan merasa. 

Adik-adik, rasa cinta dan suka itu memang indah, memang mengasyikkan. Kadang-kala untuk berhenti itu sukar. Berbahagialah, Allah campakkan rasa indah itu dalam diri adik-adik. 

Namun, jangan nodakan kecintaan itu dengan kebencian pula. Benci pada sesuatu yang kurang atau tidak mencintai apa yang kita cinta. Memahami setiap manusia itu punya kecenderungan seperti adik-adik juga. Menghormati hak setiap manusia itu adalah cara kita hidup dan berkomunikasi dalam dunia yang bertamadun.

Apa yang paling utama, mengerti, apakah sebab adik-adik berada di atas muka bumi ini? Hidup dan merasakan cinta? 

Saya menghormati impian dan harapan adik-adik bertemu dengan bintang pujaan masing-masing. Tidak dinafikan bertemu dengan yang dicintai adalah impian setiap dari kita malah saya sendiri akan begitu teruja untuk bertemu insan-insan yang saya cinta, puja dan suka. 

Namun, memahami kehidupan ini lebih daripada 'tentang kita'. Kadang-kala kita perlu ambil masa dan melihat persekitaran. Ketika kita sedang enak dibuai merdunya nyanyian lagu dendangan artis pujaan, ada segelintir masyarakat yang perutnya mendendangkan simfoni kelaparan dan kebuluran. Sedang kita begitu teruja melayari laman sesawang memaparkan kisah-kisah sensasi idol popular, ada segolongan yang masih tidak mengenal monitor dan papan kekunci, apatahlagi perisian dan media maya.

Tidak mahu memanjang bicara hingga dikatakan membebel pula, cuma, jangan jadi gila jika masih punya akal yang waras. Berfikirlah. Kerana orang gila itu begitu istimewa, mereka masuk syurga tanpa dihisab. Tapi bagi yang mahu jadi gila, anda masih perlu melalui mizan dan titian sirat... 

1 comments:

Zairul Salleh said...

Salam,

Berdasarkan gambar yang disertakan, terdapat dua 'kegilaan' yang dapat saya lihat. Sekadar mencatatkan pandangan.