Saya merasakan masih ada ruang dalam unit penterjemahan dan produksi PTS publication. Namun, usaha menyampaikan ilmu adalah satu keperluan dan perlu sentiasa diteruskan.
Sahabat saya, Amnani,membeli di KALAM baru-baru ini novel terjemahan tulisan penulis terkenal Turki, bertajuk Maria. Saya memang telah mendengar tentang novel ini sebelum ini dan bila Amanani menawarkan untuk saya membacanya, saya tanpa berfikir dua kali terus menatap buku setebal 300 lebih muka surat itu. Dalam beberapa hari, novel itu telah saya khatam. Mungkin agak terlewat, namun, saya bersyukur juga kerana agak lama juga saya tidak membaca novel-novel ilmiah seperti itu.
Maria adalah kisah seorang gadis yang berdepan 3 persoalan agama dalam hidupnya. Ayah yang mendokong fahaman Ateis, ibu yang kuat kristiannya dan kekasih yang beragama Islam. Dalam Maria, tiada sajian kisah cinta yang membuai rasa seperti pandangan awal bahawa ia masih sebuah novel cinta namun bagi saya ia novel sarat dengan perbahasan yang memberi ruang pembaca untuk membuat timbang tara dalam persoalan 3 kepercayaan.
Walaubagaimanapun, bagi saya, Maria adalah sebuah novel yang berlatar-belakang sosial zaman 30-an yang menjadikan kita membayangkan dan membandingkan dengan zaman sekarang. Perancangan-perancangan ateis dalam menghapuskan agama, masyarakat Islam Turki yang mengaku Islam namun menjalani kehidupan tidak bertuhan membuatkan saya menilai zaman kini, lebih 70 tahun setelah zaman itu berlalu. Bagaimana fahaman yang cuba disebar luaskan golongan seperti ayah Maria telah meresap dan meracuni masyarakat Islam hari ini. Khususnya di Malaysia.
ya, sesungguhnya, memang masyarakat kita menganggap Islam itu agama dan Allah adalah satu-satunya Tuhan untuk disembah namun hanya segelintir hukum Tuhan yang diguna-pakai dan sebahagian besar lagi langsung diabaikan. Malah ada yang lebih 'kreatif dan inovatif' mengubahsuai hukum Tuhan agar lebih 'up-to-date' dengan zaman sekarang. Seakan masyarakat kita umpama paderi-paderi kristian yang jahil mengubah kitab Injil. Alhamdulillah, Al-Quran itu masih akan terus dipelihara dan kekal ke hari kiamat cuma penganutnya yang angkuh untuk menuruti kandungannya.
Dalam tidak sedar kita menganut kefahaman ateis. Mempercayai kewujudan Tuhan namun, angkuh untuk menuruti larangan dan perintahnya. Ya, lihat sahaja sekeliling kita, manusia berbuat dosa tanpa segan silu atas alasan muda dan kemodenan. Nauzubillah,minta Allah menyelamatkan kita semua dari terjerumus ke dalam golongan itu.
Bagi yang masih belum membaca Maria, saya sarankan anda untuk membacanya. Maria buakan novel cinta. Bersedialah, ia novel yang merungkai rahsia dalam menghapuskan agama.Namun, seperti Maria, hidayah Allah itu milik Allah, ditengah kefasikan, Maria menemui cahaya dan petunjuk. Maha suci Allah!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment