Hujung minggu lalu, masa saya penuh dengan program. Sepanjang hari di panggung percubaan atau sekitar dewan besar sempena berlangsungnya Karnival Keusahawanan dan Kesenian Islam (KALAM) 2010.
KALAM, bagi saya adalah sebuah program yang sangat baik. Walaupun saya cuma menjadi ajk dalam satu acara saja, tapi Alhamdulillah, saya berkesempatan untuk menghadiri hampir setiap acara yang dijalankan, saya merasakan program ini penuh dengan pengisian, maklumat dan percambahan minda. Barangkali saya merasakan budaya ilmu mulai meresap masuk dalam kampus hijau ini yang biasanya penuh dengan aktiviti kebudayaan dan kesenian.
Sebagai contoh, pertandingan pidato yang diadakan menjadi medan untuk pelajar mencurahkan pandangan serta suara dalam pelbagai isu semasa. Ia bukan sekadar pertandingan kalah dan menang bagi saya tetapi ia lebih kepada penyampaian dan perkongsian ilmu sekaligus melatih pelajar untuk berfikiran kritis dan kreatif dalam mendepani isu semasa. Saya berharap aktiviti seperti ini akan lebih mendapat tempat di kalangan pelajar dalam melatih pelajar menguasai kemahiran-kemahiran insaniah sekaligus meningkatkan potensi dan keberanian pelajar dalam menyuarakan hasrat hati masing-masing.
Seterusnya, pada malam perasmian terdapat beberapa program kebudayaan Islam. Bagi saya masih ada ruang untuk penambah baikan, namun bagi permulaan, apa yang dihidangkan memberi nafas baru bagi kesenian di UPM. Malah menjadi wadah dalam penyampaian Islam itu sendiri. Saya berharap selepas ini akan muncul lebih banyak produksi yang membawa kesenian berunsur Islam baik dari sudut muzikal, teater, dan sebagainya. Insya Allah, selain menghiburkan, hati akan lebih terisi dan dekat dengan Allah.
Kemudian, Forum Gerak Usahawan. Saya mengambil keputusan untuk menghadiri program ini di akhir masa. Alhamdulillah, ianya tidak mengecewakan. Banyak informasi berguna tentang keusahawanan yang saya peroleh dan Alhamdulillah ianya dapat memberi manfaat dalam kehidupan saya serta orang disekeliling saya.
Malamnya diadakan pula Diskusi 1 Malaysia: Sains dan agama yang membariskan panel-panel dari 4 agama utama di Malaysia iaitu Islam, Kristian, Buddha dan Hindu. Sambutan amat menggalakkan apabila hadirin penuh membanjiri ruang panggung percubaan. Saya tidak sempat mendengar daripada awal kerana perlu menghadiri taklimat catur bistari. Namun, saya sempat menyertai lebih 3/4 program yang saya kira sangant bermanfaat kepada para pelajar dalam mewujudkan perpaduan dan persefahaman antara kaum sekaligus menambah ilmu teologi.
Keesokannya saya menyertai pertandingan Catur Bistari peringkat IPTA yang menghimpunkan pelajar-pelajar dari IPTA seluruh negara. Hampir 700 orang pelajar telah menyertainya dan ia sesuatu yang mengagumkan bagaimana sebuah permainan dapat mengumpulkan sebegitu ramai penyertaan. Selepas itu disusuli pula ucapan atau ceramah dari Tan Sri Ali Hashim iaitu Pengerusi KFC Holdings. Bagi saya kata-kata beliau sedikit sebanyak menjadi inspirasi kapada para pelajar untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan dan ia adalah satu usaha yang sangat baik.
Petangnya diadakan acara penyampaian hadia untuk pertandingan Catur Bistari di Dewan Besar serentak dengan Program Anda Bijak Jauhi Zina yang berjalan di panggung percubaan. Setelah, tamat acara di dewan besar, saya bergegas ke panggung percubaan dan hanya dapat mendengar sebentar sahaja ceramah yang disampaikan. Namun, bagi saya ia adalah sesuatu yang amat bermanfaat dalam mendepani isu-isu gejala sosial kini. Kelihatan juga sambutan pelajar yang kurang memberangsangkan dan saya berharap program ini akan diadakan lagi pada masa akan datang dan menarik lebih ramai audiens.
Saya kira ini sahaja yang ingin saya kongsikan sepanjang KALAM 2010 ini. Harapnya akan berlangsung KALAM 2011. Tambahan, KALAM adalah program yang saya kira pertama kali melibatkan usaha sama seluruh kolej-kolej kediaman untuk menjayakannya. Alhamdulillah, saya kira ianya agak berjaya. Tahniah kepada semua yang menjayakannya!!!
Tuesday, November 2, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment