Kisah gempa bumi di Sumatera memenuhi ruangan berita. Banyak kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa yang berlaku. Pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di sana juga di bawa pulang. Ah, pastinya ia sesuatu pengalaman yang mengerikan. Serentak dengan itu, saya tiba-tiba merasa syukur masih tenang dan hidup sentosa.
Kelmarin saya terfikir tentang kematian. Ah, rupa-rupanya saya memang jarang mengingati mati. Sehingga saya merasa aneh bila terfikir betapa saya tidak selamanya di dunia. Sehingga saya merasakan bagaimana mungkin untuk saya dihidupkan semula setelah di ambil nyawa. Sekali berfikir, ia seakan mustahil. Sekali terlintas, ia seakan fantasi. Namun, saya segera beristighfar, bukankan seksa kubur, kebangkitan di hari kiamat serta syurga dan neraka adalah perkara-perkara ghaib yang terkandung hanya dalam pengetahuan Allah. Lantas saya merenung sejenak dan berfikir sebentar.
Kematian. Sepanjang ramadhan yang lalu, banyak sekali berita kematian yang melintas pendengaran saya, malah, setelah berakhir pilihanraya umum yang lalu, banyak pilihan raya kecil yang dilaksanakan ekoran wakil rakyat yang meninggal dunia, juga, sepanjang musim perayaan, betapa ramai yang diambil nyawa di tengah jalan raya. Ah, kematian tanpa mengira usia, tempat dan masa, ia hadir menjelma pada mereka yang telah ditentukan masanya. Maka saya jadi tertanya, bilakah giliran saya akan tiba?
Tiba-tiba rasa gementar dan gerun menusuk dalam jiwa. Apakah akan berlaku pada saya? Mudahkah saat nyawa di cabut dari jasad? Apakah yang menanti saya di liang lahad? Bagaimana keadaan saya saat dibangkitkan di padang mahsyar? Dari arah mana akan saya peroleh buku hitungan amalan? Berjayakah saya melalui titian sirat? Dan adakah saya penghuni syurga atau neraka? Saya ragu. Saya buntu. Apa yang sangat pasti, saya takut sekali!
Jika kematian itu begitu hampir, saya jadi terfikir, apa perlu untuk saya terlalu merunsingkan tentang dunia. Ya, kematian itu pasti, jasad yang kaku di biar dalam kubur itu pasti, hari hitungan itu pasti, masuk syurga atau neraka itu pasti. Maka saya perlu persiapkan diri untuk kepastian itu dari terlalu resah, gelisah memikirkan yang tidak pasti.
Sungguh, akhir-akhir ini, keresahan dan kebimbangan menyelubungi jiwa dan minda saya. Resah tentang masa depan, bimbang dengan kehidupan yang semakin menuntut tanggungjawab dan gelisah dengan arah tuju perjalanan mendatang. Segala kecamuk itu menjadikan saya lemah dan buntu. Membuatkan saya ragu tak menentu. Pastinya, ketenangan bukan lagi milik hakiki saya.
Namun, saya jadi terfikir kini, setelah merenung dan menimbang, sempatkah masa depan saya raih? Berpeluangkah saya mencipta impian dan cita-cita? Saya bukan menunggu kematian tetapi saya menyedari kematian yang pasti dan masa depan tidak pasti. Ah, saya memang begitu jarang mengingat mati hingga saat ini baru menyedari.
Kematian dan hari kiamat memang sesuatu yang lebih hakiki untuk dibimbangi. Kerana detik dan waktu di luar pengetahuan diri, berbanding tarikh akhir hantar tugasan, tarikh peperiksaan dan tarikh pembentangan. Ia sesuatu yang lebih memerlukan persediaan yang terus-menerus. Ah, saya memang langsung tidak bersedia!
Akhir kata kejarlah dunia seperti akan hidup 1000 tahun lagi. Tapi dunia itu ibarat bayang-bayang. Makin dikejar makin ia lari. Kejarlah akhirat seperti akan mati esok hari, kerana akhirat itu umpama matahari. Makin kita kejar akhirat (matahari), dunia (bayang-bayang) akan mengejar kita.
0 comments:
Post a Comment