Itulah tema program yang saya sertai hari ini. Saat pengarah program, sahabat saya Saudari Shashi mengucapkan tema itu, lama juga untuk mencerna maksudnya, manakan tidak dari lima patah perkataan yang digunakan hanya satu perkataan bahasa melayu, yang lainnya bahasa arab. Sekadar gurauan. Tema yang menarik dan sangat menepati program pada hari ini. Umpama taklimat pengarah program seawal program bermula, ukhwah tidak hanya terjalin dalam bulatan pengisian usrah tetapi juga dapat dilaksanakan dengan berkesan melalui program-program 'outdoor' seperti ini.
Perancangannya program ini akan diadakan di Taman Botani, Putrajaya. Antara sebab utamanya saya menyertai program ini adalah kerana teruja untuk sekali lagi berbasikal di Taman Botani seperti semester lepas, dan menolak mentah-mentah 2 lagi program yang dijemput sahabat lain yang turut diadakan pada waktu yang sama. Namun, mungkn ini teguran Allah kepada saya, supaya saya kembali membetulkan niat saya hadir ke program yang pertama dan utama adalah sebagai satu ibadah untuk lebih mendekatkan diri kepada-Nya. Astaghfirullah, Alhamdulillah.
Malam tadi, Amnani menghantar mesej agar saya menanti di depan pagar kolej seawal jam 8.15 pagi. Maka, saya lazimnya akan menepati waktu, mungkin sudah tabiat saya sejak kecil untuk sentiasa 'on time' walaupun hakikatnya saya selalu buat kerja last minute tapi dalam urusan berjanji dengan orang, saya sedaya-upaya tidak membuatkan orang tertunggu-tunggu dan gelisah menanti kehadiran saya. Oleh itu, saya tetap bangun awal dan bersiap-siap dan turun menuju pagar kolej tepat 8.15 pagi. Walaupun saya tidur agak lewat malam tadi, lebih kurang 2 lebih pagi. Tapi, bagus juga turun awal, kalau tidak saya pasti terbongkang di atas katil selepas subuh. Asaghfirullah, sesungguhnya, tidur selepas subuh itu bukanlah suatu sunnah malah dilarang nabi serta menyempitkan pintu rezeki. Pendek kata, lebih banyak buruk dari baiknya.
Saya menunggu agak lama, lebih kurang 25 minit. Tidaklah terlalu lama, tetapi oleh sebab tiada tempat duduk dan beranggapan Amnani akan terus mengambil tepat 8.15 pagi, 25 minit itu terasa terlalu lama. Kadang-kadang terdetik juga rasa marah menanti, namun segera saya singkirkan perasaan itu dan bersangka baik. Barangkali Amnani ada urusan, kerana itu terlewat. Bukankah selemah-lemah ukhuwah itu adalah bersangka baik terhadap bersahabat? Saya terus beristighfar dan sabar menanti sambil memerhati kenderaan yang bertali-arus melalui laluan itu.
Saya teringat blog langit ilahi yang saya baca malam tadi, kisah tentang nabi Nuh dan perjalanan dakwahnya. Lantas saya terus mengeluarkan tafsir dari beg dan mencari terjemahan Surah Nuh. Saya hayati kisah Nabi Nuh sambil menjeling-jeling ke arah jalan raya, kalau-kalau Amnani sudah tiba. Alhamdulillah, ada juga manfaatnya penantian itu. Sungguh, tiap ketentuan Allah itu ada hikmah yang terselindung. Terpulang pada kita untuk memahaminya.
Kami tiba di Taman Putra Perdana lebih kurang jam 9 lebih. Kali ini tidak terlalu ramai yang menyertainya. Barangkali, ramai yang sibuk dengan urusan masing-masing. Walaupun hampa tidak dapat berbasikal (Taman Botani sahaja menyediakan kemudahan sewa basikal, dan taman tersebut ditutup kerana pertandingan memancing diadakan), masing-masing masih ceria gembira bertemu sahibbah-sahibbah. Sungguh, dalam kesibukan urusan masing-masing, amatlah sukar untuk bertemu melainkan melalui program-program sebegini. Alhamdulillah.
Selepas pendaftaran peserta, kami bersarapan bersama-sama di dalam talam. Juadah nasi lemak resepi Kak Su sangat menyelerakan sehingga tidak cukup rasanya dan ingin menambah lagi. Sungguh, lama juga saya tidak menikmati nasi lemak, tambah pula sambalnya tidak terlalu pedas dan secukup rasa. Enak sekali!
Selesai menjamu selera, Shashi mengadakan taklimat ringkas program dan pembahagian kumpulan. Kami di pasang-pasangkan dan terdapat 6 pasangan kesemuanya. Saya dipasangkan bersama Kak Asma Ahmad, naqibah saya sendiri. Setelah menyalin peta ringkas sebagai panduan untuk mencari klu-klu nanti, ekplorasi berjalan kaki(sepatutnya ekplorasi berbasikal) pun bermula. Teruja sekali, walaupun perut penuh dengan nasi lemak, kami terus saja berlari pantas menuju 'checkpoint-checkpoint'. Kami perlu mencari sampul yang berisi klu untuk menyelesaikan silang kata yang diberi. Penat juga berlari, sampai 'checkpoint' ke empat, saya sudah tidak mampu berlari dan hanya menapak perlahan-lahan. Sungguh kelelahan!
Setelah menemui kesemua klu, lama juga saya dan Kak Asma memerah otak menyelesaikan teka silang kata itu. Namun akhirnya teka silang kata yang berdasarkan 10 wasiat Imam Hassan Al-Banna itu berjaya juga diselesaikan. Sayangnya, pasangan Amnani dan Maslinda telah mendahului dengan mendaftar sebagai orang pertama yang menyelesaikan eksplorasi dan silang kata. Namun, saya tidak kecewa, kerana untuk memenangi eksplorasi ini tidak termasuk pun dalam agenda saya menyertai program ini. Saya berpuas hati dengan dapat mengeluarkan peluh dan menyihatkan badan, insya-Allah dari badan yang sihat ini saya dapat beribadah kepada Allah dengan lebih sempurna. Selain itu, berjaya menyelesaikan silang kata itu, sekaligus membuatkan 10 wasiat Imam Hassan Al-Banna lebih berkesan di akal dan hati.
Berikut adalah 10 wasiat Imam Hassan Al-Banna
- Apabila mendengar azan maka bangulah sembahyang serta-merta walaubagaimana keadaan sekalipun
- Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku ilmu, pergilah ke majlis-majlis ilmu, dan amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa dalam perkara yang tidak memberi faedah.
- Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa arab kerana bahasa arab yang betul itu adalah satu-satunya syiar Islam.
- Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tidak memberi apa-apa jua kebaikan
- Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.
- Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.
- Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu resmi yang sia-sia malah menyakitkan hati orang.
- Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan jangan bercakap melainkan apa-apa yang memberi kebajikan.
- Berkenal-kenalanlah dengan setiap muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah adalah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.
- Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya.
Setelah itu, diadakan sambutan hari lahir untuk Hanin yang hari lahirnya jatuh pada hari ini, 22.02.09...20 tahun dah Hanin. Semoga dengan pertambahan umur ini bertambahlah lagi kefahaman kita dalam Islam. Insya-Allah. Sama-sama istiqamah dalam perjuangan.
Program diakhiri dengan Kalimah Akhirah oleh Kak Syuwaidah. Saya baru pertama kali berkenalan dengannya. Semoga ukhwah terjalin lebih erat, insya Allah. Kak Syu, banyak berbicara soal muhasabah diri. Saya tidak dapat menumpukan sangat kepada penyampaian Kak Syu kerana terlalu penat dan mengantuk. Walaubagaimanapun, penyampaian Kak Syu sangat baik. Ada sesetengahnya sungguh berkesan di hati dan membawa kita sama-sama menginsafi diri sebagai hamba yang penuh cacat cela. Astaghfirullah.
Lebih kurang pukul satu lebih, kami mulai bekemas dan bertolak pulang. Saya tiba kembali di kolej hampir pukul 2 petang. Selepas menunaikan solat subuh, terus merebahkan diri ke atas katil. Penat sungguh! Semoga rasa penat ini dikira ibadah kepada Allah dan tidak sia-sia sama sekali.
0 comments:
Post a Comment