Minggu lepas, seperti perang dunia ketiga sedang berlangsung dengan 2 subjek ujian dua dan satu projek yang meniti tarikh akhir. Sungguh, tidur tak lena, mandi tak basah!
Bila ujian matematik berakhir petang jumaat, terasa tubuh sedikit melayang melepaskan beban berat yang ditanggung seminggu. Ah, barangkali memang salah sendiri yang menunda tugasan ke saat-saay akhir. Ada dua lagi projek yang bertarikh akhir minggu depan. Namun, cuti hujung minggu memang dimanfaatkan sepenuhnya membalas dendam dengan rehat sepuas-puanya tanpa menyentuh senaskhah buku mahupun nota pelajaran. Ah, hujung minggu memang menyegarkan.
Semalam, sabtu saya tekad juga menaiki komuter menuju pesta buku di PWTC. Memang baru cuti tahun baru cina yang lalu bertaubat untuk sama sekali tidak menjejakkan kaki ke dalam komuter lagi angkara serik tersepit dan terhimpit di celah ramainya penumpang. Namun, dengan semangat mahu berdikari, saya tanggung mimpi ngeri sekali lagi dalam keretapi letrik yang sentiasa padat dan sesak dengan penumpang itu. Ya, memang serik. Namun, memang tiada jamin untuk saya tidak terlibat lagi.
Namun, tidak semuanya ngeri. Dalam padat dan sesak penumpang, ada seorang jurukamera ralit merakam suasana dalam tren penuh sesak itu. Saya amati pada vast yang di pakai ada seakan simbol berkaitan kempem membaca atau buku. Tidak semena-mena hampir setiap penumpang yang dapat duduk mengeluarkan buku dan menatap khusyuk dan si jurukamera makin galak merakam peristiwa. Saya hanya mampu menahan ketawa dalam hati, entahkan sengaja atau tidak, namun suasana itu memang unik, seakan ada pelakon yang berbayar pula. Segera pula saya teringat saya turut mengusung sebuah buku di dalam beg. Ah, itu memang kelaziman saya dalam perjalanan, menjadikan buku sebagai teman walau hakikatnya saya tidaklah begitu membaca.
Tanpa di sedari Saudara Sayed Munawar, pengacara televisyen yang terkenal itu turut bersesak di kalangan penumpang. Rupa-rupanya beliau bersama dengan jurukamera tadi. Tanpa saya sedari juga di bahagian berbeza gerabak yang sama di mana saya berada tepat di depan pintu, ada seorang lagi jurukamera, dan dari tali tag yang tergantung di lehernya saya ketahui jurukamera kali ini dari Astro. Ah, entah kebetulan namun ia menceriakan pagi hari saya yang baru mahu dinodai rasa kesal teramat memilih menaiki pengangkutan awam. Sungguh memang banyak lagi yang manis dapat dicoret dalam sesak dan padat yang melemaskan.
Keluar dari perut tren di hentian putra saya berpaling ke belakang. Memang ramai, serasa satu tren memang penuh penumpang untuk ke pesta buku. Rasanya komuter mesti dah ringan macam kapas. Ya, manusia memang tidak surut. Nak lepaskan tiket tren bersesak, dalam dewan pameran apatah lagi, di surau lebih-lebih lagi. Sebetulnya, setiap kali nak bina bangunan tumpuan rakyat kena bina sebuah masjid sekali macam di KLCC. Hmm, tiba-tiba saya dah seperti perancang bandar jadinya.
Kami berputar dari satu gerai penerbitan ke satu yang lain. Memang saya tidak merancang untuk berbelanja lebih. Sekadar mencukupkan koleksi dari Faisal Tehrani dan mungkin sebuah dua buku yang lain. Akhirnya satu membawa pulang 5 buah buku semuanya, tiga dari Faisal Tehrani; Bahlut, Ingin Jadi Nasrallah dan Saasatul Ibad. Hampir-hampir saya tidak dapat memilik Saasatul Ibad. Entah mengapa memang sukar betul untuk memiliki novel satira politik berlatar belakang kerajaan kesultanan melayu-Johor ini. 2 buah lagi dari seorang penulis Indonesia, Muhammad Alexander; Ya’juj dan Ma’juj bencana di sebalik gunung dan Alexander adalah Zulqarnain. Memang tak berniat untuk membawa pulang buku kajian yang berat dan tebal itu namun oleh sebab tergoda dengan harga potongan yang ditawarkan PTS publication saya berpatah balik membeli 2 buah buku menarik ini walaupun sudah meninggalkan gerai PTS publication. Ya, saya memang meminati 2 isu yang mahu disampaikan penulis lantaran Surah Al-Kahfi yang memuatkan kisah-kisah ini adalah surah yang paling saya gemari. Sungguh, kisah-kisah sejarah zaman lampau yang mengukir seribu tanda tanya yang pasti ingi saya terokai kebenarannya.
Usai solat zohor, hampir pukul tiga juga keluar dari perut surau lantaran ramainya orang. Kami kemudian bergegas ke pentas aktiviti utama. Ada pelancaran buku Faisal Tehrani. Salah satu sebab saya memilih berkunjung ke pesta buku pada tarikh ini. Ya, saya memang dah agak ‘rindu’ nak mendengar bicara beliau walau hanya seringkas ucapan pelancaran.
Namun, kisah selepas majlis pelancaran itu lebih menarik lagi. Ada slot silang kata jawi. Entah apa yang merasuk saya dengan berani menjadi pengujung pertama yang menjawab soalan dan kemudian bertekad untuk membaca puisi jawi di atas pentas di hadapan ramainya pengujung di pesta buku itu walau saya sedar, berapa ramai pun yang melihat saya ketika itu. Namun,saya benar-benar telah mencipta sejarah. Ya, dalam usia 21 tahun, buat kali ke 5 dalam hidup berkunjung ke pesta buku, pertama kalinya saya menaiki pentas. Sungguh, saya begitu bermimpi andai satu hari nanti saya akan menaiki pentas itu untuk melancarkan buku saya. Ya, insya Allah, satu hari nanti.
Saya tidak jadi melihat ke dalam gerai karangkraf. Ya, saya memang tidak berkira untuk membeli apa-apa dari sana. Selepas peristiwa di pentas utama kami pulang. Kali ini kami memilih menaiki STAR Lrt pula. Memang tak sanggup samasekali bersesak dalam komuter sekali lagi.