Minggu ujian pertama bagi saya sudah berakhir dengan kertas terakhir petang Jumaat lalu. Ya, ujian memang sesuatu yang boleh menekan jiwa dan perasaan. Sepanjang 2 minggu bertungkus lumus mengulangkaji pelajaran, ditambah gementar dan kerisauan untuk mengetahui soaln yang akan dikeluarkan serta kebimbangan andai terlalu berdebar hingga tidak mampu memberikan yang terbaik. Sungguh-sungguh ia menekan perasaan.
Itu belum lagi ditambah apabila ujian selesai. Kecewa tidak dapat menjawab, bimbang tidak akan lulus, ya, gelisah ternanti-nanti keputusan diberikan. Ah, sekali lagi ujian memndera perasaan.
Namun, ia menjadikan kehidupan seakan begitu bermakna. Setiap detik yang berlalu adalh begitu berharga. Tiada saat yang berlalu tanpa kesal kerana tidak membaca. Ya, kerana ujian seakan kita mempunyai tujuan yang pasti yang tidak mahu disia-siakan. Serta tempoh waktu yang hampir, menjadikan kita lebih tekun dan berusaha keras. Bila dikenang, memang jiwa terdera namun, ujian bagai satu motivasi untuk tidak berhenti bekerja.
Ujian pertama saya sudah berakhir. Jelas, matlamat jangka pendek saya telah menemui sasaran tinggal menanti natijah yang bakal diperoleh. Seketika saya merasakan bagai ada beban yang sebegitu berat diangkat dari bahu saya. Saya boleh berbicara tenang bersama teman-teman tanpa resah melihat jam untuk mengulangkaji pelajaran serta lena dengan nyenyak tanpa nota dan buku bertimbun di sisi sehingga mewarnai mimpi. Sungguh. Biar mendera perasaan, perasaan setelah ianya berakhir adalah sesuatu yang amat sukar untuk digambarkan.
Umpama kita berpuasa. Menahan lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang dilarang ketika berpuasa merupakan satu ujian yang menduga, fizikal, emosi dan hati. Namun bukankah Allah telah berjanji, sesiapa yang mampu menenpuhi ujian itu akan bertemu dua nikmat? Nikmat ketika berbuka dan nikmat ketika bertemu Tuhannya.
Ujian. Hidup adalah ujian. Bukan sekadar dalam pelajaran dan berpuasa. Hidup yang dilalui tiap detik dan ketika merupakan ujian dari Tuhan. Setiap waktunya akan diperhatikan dan diberi markah. Natijahnya cuma 2; Syurga dan Neraka.
Bila berdepan kesukaran dan kepayahan, memang ia adalah ujian. Namun saat bahagia dan tenang; jangan terlupa ia adalah ujian yang lebih besar. Ujian yang memduga adakah kita masih mengucapkan syukur atas nikmat yang dikurnia, ujian yang menduga adakah kita mampu meneguhkan diri dan tidak hanyut dalam keindahan kehidupan yang fana.
Apakah kamu sudah beriman, sedangkan kamu tidak diuji????
0 comments:
Post a Comment