‘Salah saya kah?’ Khairul merenung Adila tajam. Adila menghela nafas. Buntu untuk terus mengumpul kata-kata.
‘Saya cuma mahu menegakkan hak saya. Saya cuma mahu menegakkan keadilan. Saya cuma mahu kebenaran terbukti. Apa saya kah yang bersalah?’ Khairul terus meluah rasa. Wajah manis Adila ditatap dalam. Adila, bagaimana mungkin gadis itu mampu mengerti apa yang tersembunyi dihatinya. Adakah semata-mata kerana perkara sebegitu hubungan mereka retak menunggu belah, dilambung ribut badai.
Adila memandang wajah pemuda berkulit sawo matang itu. Perkenalan mereka seawal minggu suai kenal. Keserasian terjalin saat mereka bergandingan menyertai penrtandingan debat. Perdebatan seakan menjadi mukadimah dalam hubungan yang terbina antara mereka.
‘Salah? Saya tidak kira awak salah Khairul. Tapi hakikatnya awak kalah,’ Adila terasa seperti merenggut tangkai jantung sendiri saat mengungkap bicara itu. Lelaki itu adalah insan yang mengisi sebahagian jiwanya, melukakan hati lelaki itu seakan menyiat perasaannya namun melihat lelaki itu melangkah khilaf yang disangka lurus, Adila lebih lagi menanggung pedih menusuk kalbu.
‘Kalah? Saya kalah kerana mereka melanggar peraturan berkempen Dila! Saya tidak kalah, tapi mereka yang salah kerana tidak patuh peraturan berkempen. Saya berkempen dengan jujur dan ikhlas untuk memenangi kerusi ini. Tapi mereka.... mereka demi agenda-agenda tertentu telah memilih jalan pintas untuk menang. Mereka umpama ahli politik yang memberi rasuah untuk menang Dila!’ Khairul bersuara keras. Wajahnya merah padam. Adila meneguk liur. Amarah Khairul jelas terpancar di riak wajahnya.
‘Dila, berapa kali saya perlu mengulang pendirian. Kerusi itu milik saya, sedari awal saya adalah calon Yang Dipertua. Saya tidak salah dan saya tidak akan sesekali kalah,’ Pandangan Khairul memanah tepat mata Adila. Adila menggetap bibir. Khairul berpaling untuk melangkah. Ya, tiada guna panjangkan bicara, masing-masing begitu tegar merasakan kebenaran adalah milik mereka.
‘Kita putus,’ teragak-agak namun jelas suara gemersik Adila menerpa gegendang telingan Khairul kata-kata Adila. Khairul berpaling. Wajah manis Adila direnung dalam. Hatinya panas. Mata Adila kelihatan berair. Terdetik dalam hati, mengapa Adila begitu mahu menentangnya? Bukankah sebagai kekasih, Adila sewajarnya berbangga dengannya dan menyokong perjuangannya?
‘Awak lebih rela mempertahankan mereka dari hubungan kita rupanya,’ Khairul bersuara sinis. Adila meneguk liur. Ya, Khairul tak akan pernah mahu mengalah. Dia juga tidak akan sesekali mengalah pada sesuatu yang tidak dia percaya. Itu prinsipnya dan perasaan yang mengisi jiwanya tidak mampu mendahului pendirian akalnya.
‘Maaf, saya tidak sanggup bersekongkol dengan ketidakadilan. Juga keegoan manusia yang menggunakan nafsu dalam menilai kebenaran. Tahniah atas kerusi yang awak menangi biar awak bukan pemilik kerusi itu. Semoga amanah yang awak terima dengan jalan yang salah ini dapat awak tunai sebaiknya,’ Adila tidak menunggu lama dan terus berpaling meninggalkan lelaki yang dicintainya sepenuh hati itu. Dia meneguhkan diri, tidak sesekali berpihak pada yang salah.
Khairul terbakar di dalam. Adila. Hati gadis itu memang keras tidak selembut air mukanya. Dia sedikit ragu melihat gadis itu melangkah tanpa berpaling. Kakinya teragak-agak mahu mengejar. Namun keegoan membuatkannya membatu merenung tampang gadis itu menghilang dari pandangan. Jauh di sudut hati Khairul berjanji akan membuktikan kepada Adila betapa dia di pihak yang benar. Ya, dia yakin yang ditegakkan adalah kebenaran.
Jam menunjukkan angka 6. Tempat menunggu bas penuh dengan pelajar yang mahu pulang dari kuliah ke kolej kediaman masing-masing. Khairul mengeluh sendiri. Setiap petang rabu, dia terpaksa bersesak-sesak dengan pelajar-pelajar lain apabila kelasnya tamat jam 5.30 petang. Kadang-kala terdetik dalam hati untuk membawa kenderaan sendiri, namun mengenangkan kedudukan kewangannya yang tidak mengizinkan, niat itu dipendamkan saja.
‘Senarai nama Majlis Perwakilan Pelajar sudah dikeluarkankan. Kau dah tengok siapa yang menang?’ suara seorang pelajar perempuan menarik perhatian Khairul untuk memasang telinga.
‘Betulkah ada calon yang dibatalkan kelayakan serta kemenangan mereka?’ seorang teman pelajar perempuan tadi mengutarakan pertanyaan. Suaranya serius. Khairul menjeling. Mereka hanya berdiri kurang satu meter darinya.
‘Begitulah, ingat tak Sufian? Kita semua tahu dia menang, tapi namanya tidak tersenarai,’ pelajar perempuan yang mula-mula tadi menjawab. Gadis itu menyarung kurung berwarna merah dan bertudung putih
‘Kiranya benarlah khabar angin itu. Pihak atasan memang sudah dari awal memilih pelajar untuk diletakkan di kerusi majlis perwakilan pelajar,’ temannya yang becelana ‘jeans’ pula besuara.
‘Tapi, keguguran kelayakan mereka kerana mereka berkempen secara berkumpulan dan menggunakan media selain poster yang dibenarkan untuk berkempen,’ pelajar berkurung merah membalas bicara. Khairul menghembus nafas lega. Sepertinya gadis-gadis itu mengerti situasi yang melanda.
‘Persoalannya, mereka mendakwa bukan mereka yang berkempen dengan cara itu tapi adalah teman-teman yang berkempen untuk mereka. Lagipula, bukan semua mahasiswa sedar tentang peraturan sebegini,’ Khairul tersentap. Khairul melirik melihat gadis bercelana ‘jeans’ yang berkata-kata itu.
‘Ya, lagipula apa salahnya menggunakan facebook dan sms untuk berkempen. Menggunakan poster bukan saja satu pembaziran, malah mencacatkan pandangan bila melihat poster-poster bersepah di merata-rata tempat,’gadis berkurung merah membalas.
‘Nasib baik guna e-undi. Tidaklah membazir gunakan kertas untuk mengundi pula,’ gadis bercelana ‘jeans’ meluahkan pendapat.
‘Tapi lucu bukan, jika pihak atasan memanfaatkan e-undi sebaiknya. Tukar awal-awal keputusan pilihanraya, tak perlu buat kerja dua kali dan mengundang lebih banyak ketidakpuasan hati dalam proses pemilihan. Bukankah lebih mudah?’ gadis berkurung merah tersenyum sinis.
‘Itu bermaksud e-undi satu sistem yang telus,’ gadis berkurung hijau yang sedari tadi hanya mendengar meluah bicara. Namun disambut ketawa oleh gadis berkurung merah dan bercelana ‘jeans’. Khairul menjeling. Ekor matanya bertemu dengan pandangan tajam gadis berkurung hijau. Segera dia kembali memandang ke hadapan.
‘Persoalan yang lebih utama, kenapa kempen yang sewajarnya memanfaatkan teknologi agar maklumat dapat dihantar segera dan efektif kepada mahasiswa disekat dengan sistem purba berbentuk poster semata-mata dan kenapa proses pengundian yang sewajarnya dijalankan secara manual memanfaatkan teknologi yang masih diragui ketelusannya?’gadis berkurung hijau bersuara agak lantang. Beberapa pelajar yang berhampiran menoleh pandangan ke arah kumpulan tiga gadis itu. Pandangannya tajam merenung Khairul yang membelakangi mereka. Khairul masih membatu. Ya, dia terasa gadis itu sengaja memerlinya. Namun, dia hanya akur pada peraturan. Dia meyakinkan diri betapa dia masih di landasan kebenaran.
‘Kuatnya, kenapa?’ gadis berkurung merah menegur dan melihat kekiri kanan.
Bas tiba. Khairul memerhati penanda pada bas. Nafas lega terhela. Nama kolej kediamannya tertera. Dia melangkah pantas menuju ke bas.
‘Kau kenal kah dia?’ suara gadis bercelana ‘jeans’ menerpa telinga Khairul.
‘Bakal YDP kita yang mengaut undi terendah dalam sejarah pilihanraya kampus,’ kata-kata gadis berkurung hijau sayup-sayup menusuk tajam gegendang telinga.
Khairul memasuki perut bas. Dia segera melabuhkan punggung ke tempat kosong. Pedingin hawa di ubah agar tepat mengenai tubuhnya yang berkeringat. Ya, dia merasa panas. Panas dengan sindiran itu.
Bas bergerak perlahan. Berhenti di satu demi satu hentian. Dia merasakan diperhati oleh setiap pelajar yang memasuki bas. Terasa setiap dari mereka seakan menyindir dirinya. Dia seperti wakil rakyat yang tidak diiktiraf oleh rakyat dikawasannya.
‘Apa yang abang sudah berjaya lakukan sepanjang menjadi wakil pelajar?’ Haris memandang Khairul.
‘Tidaklah terlalu banyak namun cukup menunjukkan sebuah pencapaian yang memuaskan. Khairul sendiri tahu, abang adalah Presiden untuk Majlis Perwakilan Pelajar antara Universiti. Abang berjaya menaikkan nama universiti. Malah kami berupaya menganjurkan banyak program-program berstatus peringkat kebangsaan. Bagi abang, usaha abang berbaloi dalam mengangkat nama universiti, menunjukkan betapa pelajar-pelajar universiti ini berkemampuan dan berkaliber,’ Khairul mengangguk-angguk mendengar kata-kata Haris. Terselit di dalam hati kekaguman dengan keupayaan dan pencapaian lelaki itu. Dia tekad untuk mengikut jejak langkah lelaki itu.
‘Mahal betul! Nasi dengan ikan goreng pun tiga ringgit setengah,’ seorang pelajar duduk di meja sebelah. Bicara antara Haris dan Khairul terhenti. Sedikit terganggu untuk berbicara lanjut dari hati ke hati.
‘Setiap tahun ada saja manifesto dari wakil pelajar yang mahu menurunkan harga makanan. Tapi selama ini tak pernah turun-turun pun,’ pelajar itu terus meluah bicara sambil menyuap nasi ke mulut. Teman pelajar itu seakan menyedari kehadiran Haris di meja sebelah cuba memberi isyarat kepada temannya.
‘Kenapa? Kau faham tak? Aku betul-betul tak puas hati. Universiti kita ini dah popular dengan makanannya yang mahal. Kawan aku yang pernah datang makan di sini terkejut dengan harga makanan di sini yang jauh berbeza dengan universitinya. Tak guna pilih wakil pelajar, mereka bukan ada kuasa pun. Mereka cuma tahu melaram dan menunjuk-nunjuk yang mereka hebat dengan program-program mega mereka itu,’ pelajar itu tidak mempedulikan isyarat temannya dan terus-menerus memuntahkan kata-kata. Teman itu nyata kurang selesa. Ya, Haris dan Khairul lebih-lebih lagi tidak senang duduk jadinya.
‘Sudahlah, janganlah cakap kuat sangat. Semua orang dengar,’ temannya berbisik perlahan.
‘Kenapa? Bukan kau ke yang kata tak guna buat pilihanraya, membazir masa, waktu dan wang sahaja. Siapa yang akan menjadi wakil pelajar sudah pun ditetapkan awal-awal lagi,’ pelajar itu masih tidak mahu berhenti mengungkap ketidakpuasan hatinya. Wajah temannya sudah merah. Tanpa banyak bicara temannya itu meninggalkan meja.
‘Hei kenapa?,’ tergocoh-gocoh pelajar itu menghabiskan nasi di pinggannya dan megejar temannya yang melangkah pantas.
Haris dan Khairul menahan rasa. Wajah mereka merah padam. Pelajar itu yang sudah agak jauh melangkah, berpaling dan pandangannya bertemu dengan Haris dan Khairul. Segera Haris dan Khairul turut meninggalkan meja mereka.
‘Kenapa awak nak bertanding?’ Adila bertanya dengan senyumannya yang indah.
‘Sebab awak,’ Khairul membalas pendek. Dia memandang ke langit yang tinggi. Awan yang meliputi langit memberi teduh kepada makhluk bumi. Pohon-pohon kayu yang rimbun memberi damai pada alam.
‘Sebab saya? Kenapa?’ Adila merenung wajah lelaki yang tinggi cita-cita itu.
‘Sebab awak pernah kata, lelaki idaman awak adalah lelaki yang mampu menjadi pemimpin yang hebat,’ Khairul membalas. Pandangannya masih menadah langit. Adila tersenyum.
‘Saya akan menyokong awak. Saya yakin awak akan menang,’ hatinya berbunga ria. Ya, lelaki itu memang benar-benar meruntun jiwanya. Biar siapapun dia.
‘Ya, saya pasti akan menang!’ Khairul bersuara yakin.
‘Kenapa Khairul?’ Khairul berpaling. Kelihatan Akil, teman sekamarnya berdiri di sisi katil.
Mimpi. Dia bermimpi. Ya, itu kenangan kali pertama dia meluahkan hasratnya untuk menyertai pilihanraya kampus kepada Adila. Adila yang yakin akan kemenangannya. Adila yang berjanji untuk menyokongnya. Khairul beristighfar. Adila yang tiada lagi di sisinya.
‘Kau okay?’ Akil bertanya memandang wajah pucat Khairul. Khairul mengangguk-angguk.
‘Aku okay. Kau tak perlu risau,’ Akil mengangguk dan tersenyum.
‘Kau jadi wakil pelajar sampai ke dalam mimpi. Jangan risau, nama kau dah tersenarai,’ Akil tersenyum dan berlalu. Khairul sedar Akil tidak bermaksud apa-ap, namun dia merasakan seakan teman sekamarnya sejak dalam tahun pertama pengajian lagi itu turut menyindirnya.
Khairul mula merenung. Wakil pelajar? Mengapa aku mahu menjadi wakil pelajar? Sebab Adila? Adila yang meinggalkannya kerana dia bertegas untuk menjadi wakil pelajar. Pemimpin? Pemimpin yang terus-menerus dipandang serong oleh orang dibawahnya. Renungannya perlu dicari solusi.
‘Awak yakin?’ Khairul mengangguk.
‘Awak tak perlu rasa bersalah. Awak bukan merampas hak orang lain, mereka telah dibatalkan kelayakan kerana kesalahan mereka sendiri. Awak dilantik atas kapasiti mereka bersalah bukan sebab lain,’ Khairul menghela nafas.
‘Jika begitu saya mahu pemilihan semula. Saya mahu buktikan saya adalah pemimpin yang dipilih secara demokrasi. Saya mahu mendongak di hadapan pelajar-pelajar lain sayalah pemimpin yang mereka pilih. Bukan pemimpin yang terpilih oleh situasi,’ Khairul berbicara tegas.
Suasana dewan hingar. Acara pemilihan jawatankuasa untuk majlis perwakilan pelajar ternyata gempar dengan penarikan diri seorang wakil pelajar yang telah disebut-sebut bakal menyandang jawatan Yang Dipertua Majlis.
‘Saya dengar awak menarik diri,’ Khairul berpaling. Adila melangkah perlahan menghampiri pondok rehat di tepi tasik itu. Angin bertiup perlahan, membuai hujung tudung biru muda Adila.
‘Langit yang indah. Awak kata warna biru langit warna kegemaran awak bukan?’ Khairul menatap langit yang memayungi tanpa tiang. Adila turut mendongak menatap langit nan biru.
‘Saya tersalah niat,’ Khairul bersuara perlahan. Adila berpaling memandang pemuda yang sentiasa dirinduinya itu. Senyumannya diukir. Jauh di sudut hati, dia bahagia.
‘Menjadi wakil pelajar kerana awak. Adalah niat yang sama sekali salah. Malah kerananya saya kehilangan awak. Maafkan saya, saya bukan lelaki idaman awak. Pemimpin yang hebat,’ Khairul menutur kata-kata. Adila masih tersenyum menatap wajah pemuda itu.
‘Tidak, awak adalah pemimpin yang hebat,’ Adila merenung dengan mata yang berkaca.
‘Apa maksud awak? Saya kalah piliharaya dan dikata-kata orang sebagai pemimpin yang tidak layak,’ Khairul tertawa kecil mengenangkan nasib diri.
‘Bila awak menarik diri, awak telah menyebabkan 5 lagi wakil pelajar yang dilantik kerana keguguran kelayakan calon yang menang turut menarik diri. Awak menyebabkan pilihanraya diadakan semula kerana tiada calon yang sanggup menggantikan kedudukan calon yang digugurkan kelayakan. Awak pemimpin yang hebat bila keadilan dapat ditegakkan dengan awak mengorbankan kepentingan diri awak. Awak pemimpin yang hebat bila awak tidak mahu tunduk pada kebatilan. Bagi saya, awak adalah pemimpin yang hebat atas sebab-sebab itu,’ Adila meluah kata-kata. Air matanya mula menyetuh pipi. Khairul tersenyum, dia menatap wajah gadis yang masih mengisi ruang jiwanya.
‘Habis kenapa awak menangis?’ Adila tertawa perlahan sambil mengesat air mata dengan jemari.
‘Sebab saya masih menanti lelaki idaman saya menghantar rombongan untuk meminang saya,’ Khairul membuntangkan mata. Adila tersenyum penuh makna.
Kehebatan Tinta,
Amal Mina
21 36
9 Februari 2010
6 comments:
rajin menulis!
panasszzzzzzzzz...
erm...terbaik.. keep writing..
tulis lg byk2..blh bce sllu..=)
to ada..
still gaining the materials..=)
Post a Comment