Pages

Tuesday, September 23, 2008

ramadhan yang akhir

Ramadhan kian hampir meninggalkan. Sungguh bulan ini masa terlalu pantas berlalu. Saya sendiri dihimpit waktu dengan pelbagai urusan dan aktiviti. Kadang-kadang ada kesalan dalam diri bila mengenangkan banyak masa terluang untuk urusan duniawi yang tak putus datang. Dan kelelahan diri pula menyempitkan ruang untuk meneruskan ibadah.

Namun itulah hakikat manusia. Sekadar hamba dan makhluk yang tak sempurna. Kekurangan dan kelemahan diri ini membuatkan kita sedar diri, kita ini terlalu lemah, terlalu daif dan tak punya apa-apa melainkan denga rahmat dan kasih-sayang Tuhan.

Bulan ini bulan tarbiyah, syaitan dibelenggu dan hawa nafsu ditundukkan. Namun masih sukar rasanya mengalahkan kongkongan nafsu dalam diri. Masih tersisa rupa-rupanya begitu banyak sifat-sifat mazmumah baik yang kelihatan atau sekadar dalaman. Walaupun begitu, berputus asa untuk berubah tidak boleh sama sekali. Laksanakanlah berperingkat-peringkat, jadikan ramadhan sebagai tapak pemula dan sepanjang tahun akan datang sebagai medan untuk terus berjuang.

Ah, pilu sekali hati ini bila ramadhan semakin melabuhkan tirai. Bulan penuh kelebihan, yang tiada pada bulan lain kelebihan ini akan berlalu. Masihkah dosaku belum terampun? Ya Allah, andai ini ramadhan terakhir ku, alangkah ruginya aku jika masih jauh dari keampunan Mu. Sungguh aku rindu sekali untuk bertemu Mu, tapi layakkah diri yang penuh dosa dan noda ini memandang wajah Mu. Ya Allah, bantulah aku membersihkan diri, terimalah taubatku dan teguhkanlah aku di atas jalan cinta Mu.

Pada detik-detik akhir ramadhan ini, kembalilah muhasabah diri. Adakah kita golongan yang rugi itu? Golongan yang masih jauh dari rahmat Allah, yang apabila ramadhan meninggalkannya dosanya masih belum diampunkan. Kita masih punya masa, gunakanlah sisa hari dalam ramadhan ini untuk terus mengoreksi diri dan membina hubungan dengan Ilahi. Jadikan setiap malam sebagai waktu pengaduan dan permohonan bersama Rabb. Biarkan air mata menitis dan tangisan berpanjangan menemani solah dan doa.

Pada diri, teruslah menagih kasih-sayang Tuhan tanpa penat dan jemu.....

0 comments: