Negeri itu punya 3 kelompok utama bangsa. Seringkali terlupa begitu banyak lagi bangsa kecil lain yang terabai dan terpencil. Maka negeri itu sering berdepan polemik. Polemik antara bangsa.
Ada satu bangsa majoriti. Paling ramai sekali. Namun, hakikatnya ia masih berpecah-belah oleh macam-macam suku dan sakat.Maka dimudahkan fahaman, diberi pengertian rasmi, bangsa itu biar apapun sukunya, asal praktik bahasa, budaya dan agama serupa.Maka termasuk dalam bangsa majoriti. Hingga ada yang lupa terus suku sakat asalnya. Mengaku diri bangsa majoriti. Malah, bangsa-bangsa kecil yang terpencil itu juga cuba jadi bangsa majoriti. Ya, asal bahasa, budaya, agama sama. Tidak sukar.
Tetapi dalam kitab agama bangsa majoriti terpapar kata, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahuai, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”.
Mahu tidak mahu bangsa majoriti perlu akui, kitab yang diimani mereka sendiri memahat hakikat, dicipta manusia dari pelbagai bangsa dan tidak mungkin dihilangkan atau dihapuskan bangsa selainnya kerana diminta Tuhan supaya antara bangsa-bangsa itu untuk saling mengenal, memahami dan mengerti.
Bukan saling membuang jati diri bangsa dan menjadi bangsa majoriti.
Jadi jangan taksub jadi majoriti, jangan kecil jadi minoriti. Mengikut hukum hakiki, keadilan itu milik setiap insani. Jika tidak ditemukan di jagat fana ini, pasti terbalas di alam abadi. Itu pasti.
Namun, percaya pada karma dan balasan baik-buruk, tidak jadikan jiwa itu lemah.Mengalah dan menyerah. Perjuangan adalah hak untuk hidup mulia sebagai insan mahupun bangsa.Ya, berjuang saja semahunya, cuma jangan terlupa dunia ini dikongsi sama rata, dalam berjuang sesukanya, ada hak dan kepentingan insan dan bangsa lain perlu diperkira.Baik majoriti mahu minoriti. Baik yang diwar-warkan mahu terpencil diam. Semuanya mesti dibela.
Jadi berjuanglah dengan adab sebagai bangsa manusia yang dikarunia akal untuk mencari hikmah.Kebenaran jika tidak dibicara dengan hikmah boleh jadi kebatilan, kebatilan jika disusun dengan hikmah boleh sampai kebenaran pada yang menerima.
Itulah rahsia hidup bersama di dunia penuh rencam. Memang benar, kadang-kala perselisihan, pergaduhan, pembunuhan serta peperangan tidak dapat dielakkan. Namun, jika terlaksana permusuhan dengan hikmah ketuhanan, bukan sekadar nafsu yang merajai, ia boleh jadi keberkatan dalam kehidupan.
Banyak lagi rahsia dalam hidup ini. Perlu hati-hati disingkap dengan akal nubari.
Jadi, jangan gelojoh bicara, berbuat mahupun berjuang semahunya. Teliti situasi dan konsekuensi.
Jika boleh berjuang dalam damai kenapa mahu berperang berbunuh-bunuhan?
http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/amalina-ismail