Penciptaan
makhluk yang bernama manusia itu saja sudah bersifat 'hak'. Berbeza dengan
makhluk lain, haiwan dan tumbuhan, manusia diciptakan dengan keupayaan untuk
menentukan hak dirinya dengan kurniaan akal yang pastinya tidak dipunyai haiwan
mahupun tumbuhan yang hidupnya diatur Tuhan menurut sunnatullah.
Dalam perbahasan panjang Sayyid Abul A'la
Al-Maududi dalam bukunya Asas-asas Islam, beliau menerangkan bahawa Islam
meyakini setiap penciptaan Allah itu Islam sifatnya iaitu tunduk dan patuh.
Taat dengan perintah dan aturan yang ditentukan Allah. Makanya semua dari
segala macam hidupan haiwan, tumbuhan hatta manusia sehingga makhluk tak
bernyawa seperti batu, air dan udara adalah Islam. Setiap dari mereka
diciptakan dengan kudrat dan iradat yang terbatas yang menaati Penciptanya.
Namun, manusia dicipta berbeza atau mungkin lebih
sesuai diistilahkan penciptaannya adalah istimewa. Manusia secara fizikalnya
atau jasmani seperti pertumbuhan pembesaran, fungsi dan pergerakan organ dan
anggota serta lainnya adalah bersifat Islam. Iaitu mematuhi sunnatullah. Pertumbuhan
manusia adalah dari anak kecil bayi, meningkat kanak-kanak, baligh, dewasa dan
tua. Tiada yang melawan susunan ini. Kalaupun ada ia adalah kejadian khusus
yang jarang-jarang berlaku menjadi bukti kekuasaan Sang Pencipta. Begitu juga
fungsi setiap anggota dan organ tubuh. Sifatnya hakiki. Mulut untuk makan, mata
untuk melihat, telinga untuk mendengar. Manusia sejak azali tidak mampu memilih
untuk makan dengan mata atau mendengar dengan mulut. Jika pun ada yang mahu
mencabarnya, usaha itu sia-sia, sekadar mengundang bahaya.
Akal itu menjadikan penciptaan manusia istimewa.
Akal memberikan hak kepada manusia berbeza dengan makhluk lain malah berbeza
dari sifat fizikal dirinya. Ini bermaksud sifat hak yang diberikan itu dalaman
atau rohani. Ya, akal yang diberi itu ghaib sifatnya. Tidak kelihatan pada mata
kasar namun wujud persis dan dipercayai dengan yakin.
Maka, dengan akallah manusia diberi amanah besar
menjadi khalifah di muka bumi ini. Mentadbir alam sesuai dengan keupayaan akal
yang dibimbing oleh wahyu dan petunjuk Tuhan.
[Kemudian
Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh-Nya. Dan Ia
mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran),
(supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu yang bersyukur] –Surah As-Sajadah
ayat 9.
[Dan Ia
telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian
ditunjukkannya kepada malaikat lalu berfirman: ‘Terangkanlah kepada-Ku nama
benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar.] – Surah Al-Baqarah
ayat 31.
Sejak
penciptaan Adam a.s. lagi akal dikurniakan sekali bersama pangajaran dari
Tuhan. Jelas, fungsi akal tidak mungkin bermakna dan benar tanpa pendidikan
atau ilmu dari Tuhan. Akal semata-mata menjadikan manusia sekadar makhluk yang
sesat dalam pencariannya. Malah lebih sesat dari haiwan dan makhluk tidak
bernyawa lain yang hidupnya semata-mata mengikut petunjuk dan aturan Tuhan.
Itulah
yang saya percaya dan premis utama saya dalam berbicara soal hak asasi manusia.
Bagi saya tiada sebab hak asasi bukan milik manusia kerana hakikat kejadian
manusia itu sendiri adalah satu hak yang diberikan Tuhan kepada manusia. Maka,
memperjuangkan hak asasi manusia bagi saya adalah sunnatullah. Ya, biar apapun
hak yang cuba diperjuangkan, semuanya adalah ketentuan yang Allah berikan
kepada manusia untuk mengamalkan kurniaannya yang istimewa ini.
Namun,
berbicara soal hak asasi manusia sejagat, pertembungan dan perbezaan adalah
kemestian. Oleh kerana setiap manusia itu diberi hak oleh Allah, maka hak yang
mereka mahukan pasti berlainan antara satu sama lain mengikut latar belakang
sosio-budaya atau kepercayaan masing-masing. Maka perjuangan adalah sesuatu
yang panjang dan berterusan. Soalnya kini bagaimana perjuangan ini
dilaksanakan?
Oleh sebab
Allah telah mengurniakan akal yang memberikan hak pada setiap insan, maka
kaedah perjuangan itu juga pelbagai. Ada kelompok memaksakan hak secara perang
fizikal, ada pihak menggunakan ruang diplomasi dan dialog, ada dengan pengutkuasaan
undang-undang dan banyak lagi cara lainnya.
Kaedah-kaedah
ini tidak akan berhenti setakat itu. Limitasi penggunaan akal itu masih dalam
rahsia Tuhan. Tidak tahu sejauh mana manusia mampu mengolah kehidupan dan alam
dalam memenuhi haknya melalui penggunaan akal.
Cuma agama
dan kepercayaan wujudnya kehidupan selepas kematian menjadikan manusia yang
beriman itu mempunyai garis panduan untuk apa dan bagaimana hak itu diperjuangkan.
Menurut Sayyid Abul A’la Al-Maududi, hukum Syariah Islamiyyah menetapkan empat
hak yang mesti dilindungi oleh setiap peribadi manusia iaitu:
1. Hak-hak
Allah
2. Hak-hak
diri
3. Hak-hak
manusia lain
4. Hak-hak
makhluk
Tidaklah
saya mahu membahaskan panjang lebar berkaitan setiap hak berikut. Cukuplah
difahami di sini bahawa setiap hak yang digariskan ini adalah kewajipan untuk
setiap individu yang beriman itu menunaikannya dengan penuh keikhlasan, amanah
dan kebenaran. Selain itu, setiap hak itu telah ditentukan langkah-langkah
pelaksanaannya supaya manusia dapat menunaikannya tanpa menyempitkan sesuatu
hak yang lain mengikut batas-batas dan syarat-syarat yang ditentukan. Ini
adalah salah satu ciri-ciri agama iaitu tidak melampaui batas biarpun dalam
menunaikan hak-hak kepada Tuhan. Apatah lagi sesama manusia dan makhluk.
Sungguh,
hak asasi benar-benar milik manusia. Malah, kerana ditaklifkan manusia itu
dengan kurniaan istimewa bernama ‘hak’, maka tergalas baginya untuk memastikan
hak-hak lainnya turut terbela.
0 comments:
Post a Comment